Undilah

SULTANMUZAFFAR (26 Februari 2002 - sekarang)

Seorang blogger, pelayar internet, penyelam scuba dan penagih tegar televisyen dan Wii. Melihat seluruh dunia di laman blog menerusi kamera DSLR dan kacamata tebalnya (kadang-kadang kanta lekap).

Mengkritik tidak bererti menentang, menyetujui tidak semestinya menyokong, menegur tidak bermakna membenci, dan berbeza pendapat adalah kawan berfikir yang baik.
Entri oleh sultanmuzaffar 19 February 2006

9 Naga - Putaran Kejutan Pemikiran Yang Mengejutkan
Tiga manusia berbeza latar belakang. Pelbagai sifat. Pelbagai tujuan hidup. Marwan, Donny dan Lenny. Lantaran sejarah silam mereka sewaktu di zaman kanak-kanak, menyebabkan mereka kini menjadi pembunuh upahan. Imbuhan yang diterima sewaktu mereka kecil kerana berjaya membunuh penjahat paling dibenci orang kampung telah menggerakkan minat mereka untuk meneruskan pekerjaan tersebut. Zaman remaja mereka dihabiskan dengan membunuh dan menerima upah yang lumayan.

Hidup adalah satu proses membuat pilihan. Kadangkala pilihan yang diambil adalah dengan secara sukarela atau pun terpaksa. Begitu juga yang telah berlaku kepada mereka bertiga. Lantaran kemiskinan yang menghimpit, mereka memilih untuk meneruskan pekerjaan tersebut. Donny yang menyedari bahawa pekerjaan tersebut tidak dapat menjamin masa depan akhirnya terpaksa membuat pilihan untuk meneruskan pekerjaannya untuk kali yang terakhir memandangkan perlu mendapatkan wang untuk pembelajaran adiknya. Malangnya kejutan klise yang berlaku ke atas Donny, menyebabkan segalanya berubah. Lalu, Marwan bertekad untuk menebus kesilapannya.

Rudi Soedwarjo selaku pengarah filem ini telah melakukan yang terbaik untuk filem ini. Segala-galanya bermain dengan imej, tempo dan melengkapkan emosi filem ini. Filem ini bergerak terlalu perlahan tetapi mempunyai dialog yang berjaya menerangkan keseluruhan cerita dengan cemerlang. Saya kagum dengan dialog yang digunakan. Ringkas, tepat dan padat. Saya tabik dengan hasil kerja Monty Tiwa.

Kata Monty Tiwa lagi, saban hari berlaku pembunuhan yang tidak dapat dikesan siapa pembunuhnya di Indonesia. Kesan daripada itu, maka filem skrip 9 Naga dihasilkan untuk menerjah apa yang sebenarnya berlaku di sebalik kisah-kisah pembunuhan tersebut. Apa yang menyebabkan berlakunya tragedi tersebut. Apakah kemiskinan ? Keluar sahaja dari panggung, kami mahu penonton berfikir tentang masalah sosial yang berlaku di sekitar mereka. Itulah yang berlaku kepada saya. Saya terus memikirkan apa yang menyebabkan seseorang manusia itu harus membuat pilihan. Dalam konteks filem ini pilihan mereka ternyata silap. Walaupun cuba untuk berubah, nyata perubahan tersebut membawa kepada satu lagi permasalahan baru.

Satu putaran kejutan yang menarik dalam filem ini saya letakkan pada watak Donny yang dipegang oleh Donny Alamsyah. Keinsafan yang timbul dalam diri beliau benar-benar menyentuh perasaan saya. Beliau tekad untuk berhenti dari menjadi pembunuh upahan tetapi lantaran kemiskinan (alasan klise) beliau harus terus melakukannya untuk kali terakhir. Malangnya kerana kebodohan Marwan, Donny terbunuh di tangan sahabatnya sendiri. Watak hero yang sebelum ini jelas kelihatan dibawa oleh Marwan kini beralih kepada Donny. Donny cuba untuk mengubah nasib adiknya dan malangnya setelah kematian Donny, nasib adiknya tidak dibela. Itu yang menarik pemerhatian saya tentang filem ini. Kerana seorang penjenayah akan tetap mementingkan dirinya sendiri sahaja walaupun sumpah sahabat telah dilafazkan.

Beberapa adegan menarik dari filem ini yang mampu membuatkan saya tersenyum adalah sewaktu ketiga-tiga mereka selesai melakukan pembunuhan yang pertama. Donny membasuh tangannya dengan air, manakala Marwan dan Lenny kedengaran sendawa kekenyangan. Mereka puas kerana berjaya melakukan pembunuhan tersebut.

Satu lagi adegan yang cantik adalah sewaktu Marwan perlu memberitahu adik Donny yang abangnya mati terbunuh di tangannya. Sudut kamera dari belakang adik Donny tanpa kita ketahui apakah ekspresi wajah beliau ketika itu sungguh mengharukan.

Adegan anak Marwan iaitu Damar bermain pistol air dan menembak ke pipi Marwan juga mampu menyentuh perasaan. Ini antara adegan yang mampu membuatkan air mata mengalir. Selain sewaktu Ajeng membaca surat terakhir dari suaminya, Marwan. Walaupun saya tidak begitu sedih dengan kematian Marwan kerana Marwanlah penyebab kematian Donny.

Poster filem ini sedikit mengelirukan. Siapa sebenarnya hero filem ini ? Poster 9 Naga mengangkat Fauzi Baadila sebagai penghias wajah di poster filem tersebut, sekali gus mengangkat beliau sebagai hero filem ini. Saya berbeza. Saya meletakkan Donny (Donny Alamsyah) selaku hero filem ini kerana matinya mati katak. Watak Fauzi Baadila sebagai Lenny tidak begitu kuat untuk diangkat menjadi penghias poster selain menampilkan susuk tubuh yang sasa.

Pendapat pembaca saya, Midy :
Saya sempat berbual dengan seorang sahabat tentang penampilan Fauzi Baadila sebagai penghias poster. Menurut beliau watak Lenny sebenarnya mewakili watak Donny dan Marwan. Lenny pernah menyatakan yang beliau mahu menjadi pandai seperti Donny dan kuat seperti Marwan. Tetapi Marwan mahu Lenny menjadi dirinya sendiri. Dan apabila pengarah mengangkat beliau sebagai hero, watak Lenny sebenarnya adalah refleksi kepada kedua-dua watak tersebut.
Secara keseluruhan, filem ini merupakan sebuah filem yang perlahan. Amat perlahan. Mujur ada skrip yang bagus untuk saya menghayati bait-bait dialog yang dilafazkan oleh para pelakonnya. Kekuatan utama filem ini terletak pada arahannya, gaya sinematografinya yang cantik serta dialog yang tepat dan padat. Ketiga-tiga elemen itu sudah cukup membuatkan mata saya terjaga untuk dua jam walaupun saya menonton filem ini di tayangan tengah malam.

Filem sebegini belum tentu dapat menarik bilangan penonton yang ramai. Rudi Soedjarwo pernah menghasilkan Ada Apa Dengan Cinta, Mengejar Matahari dan Tentang Dia. Setiap filem mempunyai ceritanya yang tersendiri. 9 Naga adalah hasil yang terbaik beliau. Apakah filem Malaysia sudah setanding dengan filem Indonesia yang satu ketika dahulu pernah merosot dari segi kualitinya ? Filem Malaysia juga setanding dengan filem Indonesia cuma penggiat media tidak tahu untuk mendidik penonton agar mendekati filem-filem baik Malaysia dari pengarah seperti U-Wei Hj Shaari, Adman Salleh dan lain lain lagi. Itu silap kita sendiri atas pilihan yang kita sendiri buat.

Arahan : A
Lakon Layar : A
Suntingan : B
Lakonan : B
Sinematografi : B

9 Naga : http://www.9naga.com/
Trailer : http://www.youtube.com/?v=qm4aB2_jjqE
Wiki Rudi : http://id.wikipedia.org/wiki/Rudy_Soedjarwo

Ulasan Lain :
Sekadar Media Picisan
Tontonfilem
Mendongak Ke Langit
Jakarta Post

Kredit Foto : Laman Rasmi 9 Naga