Ulasan Anugerah Bintang Popular
Arena Of Stars, Genting Highlands
Ini kali pertama saya mengikuti Anugerah Bintang Popular secara langsung di Genting Highlands. Satu pengalaman yang biasa bagi saya, tiada bezanya dengan majlis-majlis anugerah yang lain. Cuma anugerah ini nampak lebih glamor dengan artis wanita melaram pakaian gaun petang yang cantik-cantik belaka (meleret-leret hujung kain) serta artis lelaki bergaya segak dengan tuxedo masing-masing (hitam jadi kegemaran).
Saya dan beberapa orang kawan duduk agak jauh dari kelompok wartawan kerana kali ini saya pergi atas jemputan dari akhbar NST, akhbar yang mencetuskan polemik kontroversi baru-baru ini. Tidak lah begitu jauh cuma selang beberapa baris sahaja dan sudut pandangan kami masih agak menarik.
Persembahan Pembukaan pada malam tersebut telah dimulakan dengan lagu dari filem Diva Popular bertajuk Diva Bermimpi oleh Ezlynn, Umie Aida, Azean Irdawaty, Afdlin Shauki, Sheila Rusly dan M.Rajoli. Boleh saya sifatkan sebuah persembahan yang bertenaga untuk memulakan sesebuah majlis anugerah. Sampai koyak-koyak baju penari lelaki yang mengiringi persembahan pelakon-pelakon dari filem tersebut. Walaupun persembahan tersebut adalah persembahan miming, berada di dewan tidak begitu ketara mimingnya kerana sistem bunyi yang bergaung. Boleh tahan juga lirik lagu tersebut yang telah diubah kepada beberapa rangkaian kata yang boleh disifatkan menyindir seperti ku bintang popular kau bintang mi segera, kuali kemek tak siapa yang undi dan beberapa lagi. Terlalu ramai sangat di atas pentas.
Penyampai Radio Wanita Popular : Linda Onn (tepat)
Penyampai Radio Lelaki Popular : Khairil Rashid (tersasar : Halim Othman)
Penyampai : Amy Search dan Nabila
Ramalan saya untuk kategori Penyampai Radio Wanita Popular mengena dengan tepat kerana populariti Linda Onn di radio sememangnya sukar untuk digugat lebih-lebih lagi dengan menjadi duta kepada beberapa produk menjadikan namanya sentiasa berada di bibir peminatnya. Malangkan untuk kategori Penyampai Radio Lelaki Popular rupanya populariti Halim Othman masih sukar digugat oleh Khairil Rashid atau pun Kieran. Mereka antara dua nama yang kuat untuk menyekat penguasaan Halim Othman. Moga dengan penghijrahan Halim Othman ke Sinar FM memungkinkan pemenang bertukar tangan pada tahun hadapan. Penyampai anugerah segmen pertama ini agak membosankan dengan jenaka anak-beranak yang lebih syok sendiri.
Pengacara TV Lelaki Popular : Aznil Nawawi (tepat)
Pengacara TV Wanita Popular : Farah Fauzana (tepat)
Penyampai : Marsha, Que Haidar & Liyana
Seperti sudah dijangka, Aznil Nawawi buat kali ketiga kerana bahana Akademi Fantasia berjaya untuk mengekalkan popularitinya sebagai Pengacara TV Lelaki Popular. Farah Fauzana seperti yang dijangka akan menyelitkan tagline HotFM dalam ucapannya tetapi kali ini menggunakan pendekatan yang lebih kreatif apabila turut menyelitkan ERA dan Melodi dalam ucapan terima kasihnya. Sama seperti yang pernah dilakukan oleh Rosyam Noor sewaktu memenangi Bintang Paling Popular beberapa tahun dahulu.
Persembahan Amuk dan Ruffedge
Persembahan Amuk dan Ruffedge saya suka kerana gabungan rock dan hip-hop dalam sesebuah persembahan. Persembahan-persembahan bertenaga seperti mereka ini memang lebih sesuai untuk ditonton secara langsung kerana sistem bunyi yang lebih bagus dari ditonton melalui siaran televisyen.
Artis Berkumpulan/Dua Popular : Ruffedge (tepat)
Penyampai : Zizi ERA dan Erema
Ruffedge mengungguli kategori ini seperti yang dijangkakan. Agak sukar untuk VE atau pun Too Phat untuk menyekat penguasaan mereka. Saya berpuas hati dengan keputusan tersebut. Penyampai anugerah tersebut ialah Zizi penyampai ERA yang paling junior serta Erema. Zizi nampak sedikit kurus dengan tuxedo tersebut.
Aku Tanpa Cintamu oleh Mirwana dan Jay Jay
Nasyid era Mirwana memang nampak macam salah konsep tetapi lagu tersebut memang sedap didengar. Persembahan Jay Jay dan Mirwana pun bagus. Selamba sahaja Jay Jay membawakan lagu tersebut.
Penyanyi Nasyid Popular : Mirwana (tersasar : Rabbani)
Artis Komedi Lelaki Popular : Afdlin Shauki (tersasar : Saiful Apek)
Artis Komedi Wanita Popular : Sheila Rusly (tepat)
Penyampai : Maria Arshad, Fazura dan Awal Beat TV
Malangnya Mirwana gagal dalam kategori Penyanyi Nasyid Popular. Sebaliknya Rabbani masih mengungguli kategori ini. Apa yang pembaca suka tentang Rabbani ini pun saya tidak tahu. Lebih baik bagi pada Raihan yang lebih senior dan lebih terserlah penguasaan mereka di antara bangsa. Mungkin pembaca Malaysia sukakan yang gemuk-gemuk saja agaknya. Jangan marah ya Fiebie dan Klubbkidd. (ketawa) Untuk meneutralkan kembali kenyataan sebelum ini, nampaknya pilihan saya iaitu Afdlin Shauki gagal untuk meraih gelaran Artis Komedi Lelaki Popular. Mungkin rata-rata peminat Afdlin Shauki terdiri daripada kolompok urban yang jarang minat mengundi tidak seperti kelompok peminat Saiful Apek yang lebih menyeluruh serta minat mengundi. Sheila Rusly juga masih mengekalkan kejuaraannya apabila dipilih sekali lagi memenangi kategori ini. Sheila Rusly merupakan antara calon yang masih muda dan bergetah. Adibah Noor pun masih muda tetapi belum cukup bergetah untuk diundi peminat. Saingan-saingan lain sudah mula memasuki era senja nan merah.
Kau Di Hatiku oleh Zainal Abidin dan Pija
Dalam banyak-banyak lagu dendangan Zainal Abidin, dia tetap bawa lagu Kau Di Hatiku. Sebuah lagu lama yang membosankan. Sepatutnya Zainal bawalah lagu seperti Hijau, Manis atau Inayah. Lebih membawakan saat-saat nostalgia kerana Zainal Abidin menang Bintang Paling Popular kerana album Hijau. Sememangnya lagu Kau Di Hatiku itu adalah ciptaan dan nyanyian penyanyi antarabangsa Phil Collins. Tidak mahu kalah ! Tetap mahu dilihat sebagai penyanyi yang pernah membawakan lagu yang dicipta oleh pencipta antarabangsa. Mereka memulakan persembahan sahaja, saya tahu persembahan itu tidak bagus kerana vokal Zainal Abidin dan Pija berada pada range yang berbeza.
Artis Baru Lelaki Popular : Mawi AF3 (tepat)
Artis Baru Wanita Popular : Farah AF2 (tepat)
Penyampai : Fasha Sandha dan Jehan Miskin
Saya kira pemenang untuk dua-dua kategori ini adalah dua orang yang paling layak untuk dua-dua gelaran tersebut. Mawi dan Farah ialah dua bintang yang dihasilkan melalui program realiti tv Akademi Fantasia. Sokongan peminat mereka agak utuh berbanding bintang-bintang yang lahir secara semula jadi. Kedua-dua bintang tersebut mempunyai laman web yang kukuh dan kesatuan mereka amat utuh. Satu benteng yang sukar untuk ditembus oleh mana-mana pihak. Walaupun laman web MawiFC adalah laman web sentiasa diserang “hackers” kononnya. Tiba-tiba hilang ! Penyampai anugerah iaitu Fasha Sandha dan Jehan Miskin banyak membebel dan mengada-ngada kepada perkara yang tidak perlu. Bosan.
Proud Mary oleh Anita Sarawak
Orang kata persembahan Anita Sarawak hebat, saya kata tidak. Kalau hebat saya sudah bangun menari tanpa perlu disuruh-suruh. Mungkin sifat orang Malaysia yang malas bertepuk tangan dan juga malas untuk memberikan penghargaan kepada sebuah persembahan yang hebat seperti Anita Sarawak. Beliau hebat dan gagah di pentas. Ligat sekali persembahannya. Jangan sebut tentang kualiti vokal kerana ini persembahan secara langsung. Saya kagum dengan semangat beliau.
Pelakon TV Lelaki Popular : Fahrin Ahmad (tersasar : Rosyam Noor)
Pelakon TV Wanita Popular : Eja (tersasar : Fasha Sandha)
Penyampai : Fauziah Nawi dan Norman Hakim
Dua-dua kategori saya tersasar. Nampak sangat saya bukan penonton televisyen. Kebanyakan drama yang popular di televisyen datangnya dari saluran TV3 yang saya jarang-jarang tekan kecuali untuk Buletin Utama. Paling menarik kategori Pelakon TV Lelaki Popular apabila Rosyam Noor mengumumkan akan menarik diri dari Anugerah Bintang Popular bermula tahun hadapan untuk memberikan laluan kepada bakat-bakat baru. Ada cakap-cakap sinis di belakang pentas menyatakan yang tahun ini Mawi bakal berlakon drama TV, maka sebelum kalah kepada Mawi lebih baik Rosyam Noor tarik diri dahulu. Itu sekadar cakap-cakap belakang pentas. Eja nampaknya gagal mengekalkan gelaran tersebut sebaliknya berpindah tangan kepada Fasha Sandha. Popular sangat ke lakonan Fasha Sandha sehingga berjaya menyapu kategori ini ? Sekali lagi, saya bukan penonton televisyen yang setia. Saya hanya penonton televisyen yang setia pada bulan Mei hingga Ogos sahaja. Selain daripada itu, saya tertarik dengan satu jawapan dari Fauziah Nawi tentang persediaan yang diperlukan untuk menjadi pelakon yang baik. Jawapan dari Fauziah Nawi sungguh sinis dan tidak ramai yang perasan agaknya apabila beliau mengatakan “penatlah Marlia Musa mengajar” Selain Akademi Seni Kebangsaan, Marlia Musa adalah tenaga pengajar untuk Akademi Fantasia.
Penyanyi Lelaki Popular : Mawi (tepat)
Penyanyi Wanita Popular : Siti Nurhaliza (tepat)
Penyampai : Fauziah Latiff, Noraniza Idris dan Nana
Mana ada penyanyi yang mampu menggugat populariti Siti Nurhaliza atau pun Mawi pada waktu-waktu sekarang. Siti Nurhaliza masih kekal bertakta di hati para peminatnya. Yang menarik apabila Siti Nurhaliza turut mengucapkan terima kasih beliau kepada orang yang disayangi. Siapa agaknya ? Mawi pula mengucapkan terima kasihnya kepada ibunya yang world ! Tiada apa yang mengejutkan semuanya telah dijangka. Dalam banyak-banyak penyampai, apabila diumumkan nama Noraniza Idris selaku penyampai anugerah ini hati saya sudah terdetik apakah Siti Nurhaliza gagal kali ini ? Mujur Siti Nurhaliza menang juga untuk kali yang ke entah berapa kali. Cantik kan Siti Nurhaliza dengan gaun kuning siap dengan pony tail macam Raja Sehari pula. Eh ! Ke mana perginya kalung mutiara yang berharga 3.6 juta yang dikatakan akan diperagakan oleh Siti Nurhaliza pada malam itu ?
Sekadar Di Pinggiran oleh Jaclyn Victor
Dalam banyak-banyak persembahan, inilah antara persembahan yang boleh saya sifatkan sebagai yang terbaik. Terbaik dari segi showmanship serta persembahan vokalnya yang hebat. Sayang sekali hanya sebuah lagu yang didendangkan untuk mengingati saat-saat kemenangan Fran sebagai pemenang pertama Penyanyi Wanita Popular. Mujur tidak didendangkan lagu Setia. Gaun malam Jaclyn pada malam tersebut nampak begitu bersesuaian dengannya.
Pelakon Filem Lelaki Popular : Rosyam Noor (tepat)
Pelakon Filem Wanita Popular : Erra Fazira (tersasar : Maya Karin)
Penyampai : Erma Fatima dan Shaharuddin Thamby
Ku sangkakan Erra Fazira akan mendapat undi simpati seperti Mas dapat masa Akademi Fantasia 2 dulu. Rupanya sangkaan saya meleset sama sekali. Erra Fazira pulang tangan kosong. Erra datang ke ? Maya Karin berjaya memintas. Nampaknya watak beliau dalam Puntianak Harum Sundal Malam 2 berjaya memintas Erra Fazira dari filem entah saya tidak ingat. Kalau sudah popular di televisyen, tentunya Rosyam Noor akan popular di filem juga. Kenapa Pelakon Pembantu Lelaki/Wanita Popular dimansuhkan ?
Anugerah Khas Bintang Popular : Datuk Ahmad Nawab
Sebagai mengenang jasa Datuk Ahmad Nawab, Anugerah Khas Bintang Popular telah dianugerahkan kepada beliau. Sayang sekali tidak ramai bintang yang bangun memberikan penghormatan kepada beliau sewaktu menerima anugerah tersebut. Sekadar tepukan paksa. Sudah banyak lagu yang dicipta oleh Datuk Ahmad Nawab dan masih kekal malar segar di telinga para pendengar muzik tempatan. Nama-nama seperti Datuk Sharifah Aini, Hail Amir, Siti Fairuz, Ramlah Ram, Salamiah Hassan adalah antara yang popular kerana lagu ciptaan beliau.
Medley Istimewa Datuk Ahmad Nawab dipersembahakan rangkaian lagu-lagu seperti Wajah Kesayangan Hamba, Ku Gembira Di Sampingmu, Tiada Maaf Bagimu dan Kasih oleh Zahid, Adibah Noor, Ning Baizura dan Hazami. Saya boleh merasakan kehebatan lagu-lagu ciptaan beliau yang telah disusun semula oleh maestro terkenal Ramli MS. Bermula dengan Zahid yang membawakan lagu popular Hail Amir saya dapat merasakan yang Zahid lebih sinonim dengan irama-irama sedemikian. Irama hip-hop sukar untuk didekati oleh para peminatnya. Maestro, syarikat pengurusan Zahid harus mengubah corak perancangan untuk Zahid dalam album keduanya sekiranya ada. Adibah Noor membawakan lagu Ku Gembira Di Sampingmu dengan baik, begitu juga Ning Baizura dengan lagi Tiada Maaf Bagimu. Lagu dendangan asal Datuk Sharifah Aini itu telah disampaikan dengan cemerlang oleh Ning Baizura di hadapan Siti Nurhaliza. Tajuk lagu sahaja sudah cukup menakutkan dengan lirik-lirik penuh sinis yang ditujukan untuk Siti Nurhaliza. Ada banyak lagu lain, lagu itu juga yang menjadi pilihan. Persembahan medley ditutup oleh Hazami dengan lagu Kasih yang pernah dipopularkan oleh Sudirman Hj Arshad dan pernah disampaikan oleh Adam dalam Akademi Fantasia 2. Tetap mahu sebut kan ! (ketawa)
Anugerah Seniman Veteran : Hussein Abu Hassan
Anugerah Seniwati Veteran : Azean Irdawaty
Setelah puluhan tahun bergelumang dalam industri hiburan, inilah merupakan kali pertama Seniman Hussein Abu Hassan dianugerahkan sebuah gelaran untuk dikenang sepanjang hayatnya. Dalam usia yang semakin meningkat tua, beliau telah dipimpin oleh anaknya iaitu Dilla serta anak saudaranya Rosyam Noor. Jika ada yang pelik kenapa tiba-tiba Rosyam Noor gila glamor mahu pimpin pemenang anugerah pada malam tersebut, jawapannya ialah Hussein Abu Hassan ialah bapa saudaranya yang telah membawa beliau ke layar perak melalui filem Gila Gila Remaja. Jadi tidak ada salahnya beliau memimpin bapa saudaranya. Ucapan Azean Irdawaty begitu teratur sambil diiringi suara yang tersekat-sekat menahan sebak. Saya menunggu juga sekiranya beliau melaungkan kata keramat “Lihatlah dunia ! Aku anak wayang !”
Bintang Paling Popular 2005 : Mawi (tepat) 351,570 undi
Hebat ! Bintang realiti Akademi Fantasia sebuah program kegemaran saya telah berjaya melahirkan sebutir bintang yang mampu menggugat populariti Siti Nurhaliza, Rosyam Noor dan Saiful Apek. Saya sebut program kegemaran saya, bukan bintang kegemaran saya. Jangan salah faham. Dengan undian 351,570 undi, Mawi berjaya mengetepikan saingannya Siti Nurhaliza (57,117 undi), Rosyam Noor (20,883 undi), Saiful Apek (7,554 undi) dan Afdlin Shauki (5,781 undi). Hebat aura budak botak ni ! Tiada yang mengejutkan kerana sememangnya Mawi popular di hati para peminatnya. Sebagai seorang artis baru, Mawi harus berusaha untuk memperbaiki dirinya agar kredibiliti yang beliau cari akan diperolehi. Kejayaan akan menjadi lebih manis sekiranya populariti dan kredibiliti berjalan seiring dan kualiti dan kuantiti sama-sama dikecap.
Lagu Cinta Lagu Jiwa oleh Mawi dan M.Nasir
Sebuah persembahan penutup yang tidak memorable dan akan diingati sampai bila-bila. Sebuah persembahan penutup harus meninggalkan kesan kepada penonton seperti persembahan medley Datuk Sharifah Aini, Siti Nurhaliza dan Misha Omar yang diingati sampai bila-bila. Saya lebih bersiap sedia untuk makan di Post Award Party kerana sejuk-sejuk begini cepat lapar.
Pengalaman Mengerikan di Tanya Linda
Sesiapa sahaja yang menonton program Tanya Linda malam ini jangan gelak ya ! Memang payah bila harus duduk di kerusi tersebut tanpa rela untuk menyokong pilihan peminat. Maka terpaksalah saya menelan debat-debat hebat dari Fauzi Marzuki dan Aziz Bakar. Pendapat-pendapat mereka saya sokong.
Bagaimana saya perlu memotong komen-komen dari nama-nama besar seperti Fauzi Marzuki atau Aziz Bakar sedangkan saya bersetuju dengan komen-komen mereka ? Nama mereka terlalu besar dalam industri untuk saya yang mewakili peminat bertikam lidah dengan mereka.
Oleh itu saya hanya menjawab soalan-soalan dari Linda dengan hati yang tidak ikhlas sekadar untuk cukup syarat menyokong pilihan peminat. Jawapan-jawapan saya sekadar main-main dan saya sendiri tidak tahu apa yang saya perkatakan.
Saya redha sekiranya diberikan komen negatif oleh para peminat kerana gagal melaksanakan tugas menyokong pilihan mereka. Saya bukanlah orang yang terbaik untuk duduk di kerusi tersebut untuk menyokong pilihan peminat kerana pandangan saya sentiasa berada di pihak juri. Presiden MawiFC lebih layak untuk duduk di situ mempertahankan pilihan peminat. Saya sekadar pemerhati bebas Akademi Fantasia yang tetap berpegang kepada pilihan juri lebih baik dari pilihan peminat.
Sebelum bereadar sempat juga saya berbual dengan Aziz Bakar tentang pencalonan album Yang Tercinta nyanyian Mawi. Saya sempat memberikan buah pandangan saya kepada beliau agar kategori Album Mini Terbaik diwujudkan untuk memberikan peluang kepada album-album yang mempunyai 10 lagu ke bawah diberikan peluang untuk bertanding dalam Anugerah Industri Muzik. Sebelum ini kategori Album Nasyid Terbaik dan Album Dangdut Terbaik pernah diwujudkan sebagai memenuhi tuntutan pasaran yang berubah mengikut trend. Maka tidak menjadi pelik sekiranya, Album Mini Terbaik diwujudkan. Ini sebagai memberikan penghargaan kepada penyanyi dan syarikat rakaman yang tidak berkemampuan untuk meletakkan 10 lagu dalam album mereka. Dengan adanya 8 lagu, harga cakera padat menjadi lebih murah dan mudah untuk bersaing di pasaran. Hasilnya telah terbukti apabila album-album terbitan Maestro agak lagu di pasaran. Malangnya sudah terlambat kerana sikap tunggu dan lihat beberapa syarikat rakaman. Kita tunggu sahaja perubahan yang akan di bawa oleh AIM yang akan datang.
Malam ini saya akan ke Tirai Akhir Puteri Gunung Ledang The Musical. Tidak mahu menonton Tanya Linda.
0 komen