Undilah

SULTANMUZAFFAR (26 Februari 2002 - sekarang)

Seorang blogger, pelayar internet, penyelam scuba dan penagih tegar televisyen dan Wii. Melihat seluruh dunia di laman blog menerusi kamera DSLR dan kacamata tebalnya (kadang-kadang kanta lekap).

Mengkritik tidak bererti menentang, menyetujui tidak semestinya menyokong, menegur tidak bermakna membenci, dan berbeza pendapat adalah kawan berfikir yang baik.
Entri oleh sultanmuzaffar 14 February 2006

Tumbang, MStar, Kabinet Baru, Pasca Puteri Gunung Ledang dan Akademi Fantasia 4

Banyak benar pokok yang tumbang sekitar Kuala Lumpur hari ini. Sekitar Setapak dan Sentul sahaja hampir 10 pokok tumbang bahana hujan lebat petang semalam. Saya dalam perjalanan pulang dari The Star setelah selesai sesi temu ramah bersama MStar Online. Wawancara tersebut adalah berkisar tentang blog, dunia kewartawanan, siapa Mawi, blog selebriti dan komuniti blog. Apabila sudah berada di talian kelak, saya akan hebahkan kepada anda alamatnya. Terima kasih kepada Saudara Salhan yang sudi menemu ramah dan memberikan ruangan untuk memperkenalkan saya kepada pembaca MStar.

Dalam sibuk ditemu ramah, pada waktu yang sama Perdana Menteri Malaysia mengumumkan rombakan kabinet pertama beliau sejak menerajui kepimpinan Malaysia. Bekas wartawan, Datuk Zainuddin Maidin kini dilantik menjadi Menteri Penerangan setelah Datuk Seri Panglima Abdul Kadir Sheikh Fadzir meletakkan jawatan beliau pagi semalam. Manakala suami Normala Shamsuddin, Datuk Azmi Khalid dilantik Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar. Datuk Mustapa Mohamed dilantik sebagai Menteri Pengajian Tinggi menggantikan Datuk Dr Shafie Salleh, Ahli Parlimen Langat yang digugurkan dari barisan kabinet. Tentunya Puteri Gunung Ledang lebih bersemangat pada malam ini apabila Hang Tuah beliau dilantik Menteri Di Jabatan Perdana Menteri.

Yang menjadi kemusykilan saya, Datuk Seri Rafidah Aziz dan Datuk Seri S. Samy Vellu masih kekal menerajui kepimpinan kabinet Pak Lah. Muka-muka lama ini seharusnya diberikan pencen segera kerana memberikan terlalu banyak masalah kepada rakyat. Kes MRR2 retak masih lagi belum selesai. Saya tidak pandai bercerita tentang politik. Cukuplah komen ringkas tentang rombakan kabinet Pak Lah yang pertama kali ini. Lebih baik bercerita tentang dunia yang sering saya ikuti.

Sejak menonton Puteri Gunung Ledang The Musical saya menerima banyak maklum balas tentang teater muzikal tersebut. Rata-rata penggiat seni yang saya temui bertanyakan tentang teater muzikal yang kini sedang hangat dipentaskan di Istana Budaya. Ada yang mengatakan bagus, ada juga yang mengatakan tidak bagus. Saya hanya menontonnya pada malam kedua persembahan. Ternyata harapan saya musnah. Sebaliknya setelah mendengar komen-komen dari mereka yang menonton setelah beberapa hari ia dipentaskan, timbul hasrat saya untuk menontonnya sekali lagi. Tentunya saya sukakan keghairahan dan semangat pelakon serta tenaga produksi sebelum tirai pentas Istana Budaya dilabuhkan buat kali terakhir. Besar kemungkinan saya akan menontonnya untuk kali terakhir pada 25hb Februari sehari sebelum Anugerah Bintang Popular.

Sementara menantikan Nuar yang semulajadi sentiasa lewat di ruang legar Istana Budaya, saya sempat berbual dengan salah seorang kakitangan produksi tersebut yang dikenali sebagai Dale Majid tentang perancangan masa depan Puteri Gunung Ledang The Musical. Ke mana hayat teater muzikal selepas pementasan tersebut ? Saya melihat teater muzikal ini mampu untuk menempah kalendar bulanan Istana Budaya. Bulan Februari adalah bulan yang sesuai untuk ia menjadi acara tahunan dalam kalendar pelancongan Malaysia. Ia tidak mustahil untuk menjadi kenyataan berdasarkan sokongan padu yang diterima untuk teater muzikal ini.

Sekiranya menjadi kenyataan, pelakon pelapis perlu dicari untuk membarisi kelompok pelakon generasi baru dibentuk untuk produksi tersebut. Puteri Gunung Ledang The Musical harus bertapak secara kukuh di buminya dahulu sebelum keluar menjelajah bumi yang asing dengannya. Kita harus menjadikan teater muzikal antarabangsa yang telah lama bertapak dalam peta dunia seperti Miss Saigon, Les Miserable dan Cats sebagai contoh. Produksi tersebut mempunyai barisan pelakon pelapis yang besar dan mampu menakluki dunia dengan persembahan mantap mereka.

Mulai esok, cakera padat single dari Puteri Gunung Ledang The Musical akan dipasarkan. Ia berharga RM15. Cakera padat terseebut memuatkan lagu Keranamu Kekasih dan Di Puncak Tertinggi dalam versi Pop Edit. Manakala Original Soundtrack Puteri Gunung Ledang The Musical yang merupakan rakaman secara langsung dari pementasan yang telah berlangsung akan dipasarkan setelah pementasan berakhir. Saya menyukai lagu-lagu yang terdapat dalam pementasan tersebut yang boleh saya sifatkan telah mencipta satu aras tanda yang agak tinggi untuk sebuah teater muzikal yang telah dipentaskan sebelum ini di Malaysia.

Manakala rakaman secara langsung teater muzikal tersebut akan dipasarkan dalam bentuk DVD. Saya melihat ini sebagai satu perkembangan yang agak positif untuk seni teater di Malaysia. Sewajarnya DVD ini menjadi satu alat bantuan mengajar kepada para penggiat teater apabila segala proses latihan dan pembikinan teater muzikal ini dirakamkan untuk dijadikan panduan kepada semua penggiat teater.

Satu perkara yang menyebabkan saya kurang berpuas hati apabila melihat laman internet rasmi produksi ini. Walaupun mempunyai satu pautan bertajuk BLOG tetapi ia tidak dikemaskinikan langsung. Masih tertera perkataan keramat “Coming Soon” yang masih tidak berubah-ubah. Blog perlu dikemaskinikan setiap hari. Blog adalah catatan harian. Tetapi sayangnya Blog dalam Puteri Gunung Ledang The Musical tiada maklumat yang boleh dikongsi bersama. Sepatutnya catatan harian yang ditulis Tiara di dalam Berita Minggu lebih sesuai untuk diletakkan di bahagian Blog. Bukan sekadar Puteri Gunung Ledang berkongsi pengalamannya, Hang Tuah juga boleh mencatatkan sesuatu tentang pengalaman yang dilalui olehnya di Malaysia. Blog dalam produksi teater pernah dilaksanakan oleh produksi OPs Ophelia. Kalaulah saya yang diberikan peluang untuk mengendalikan laman internet rasmi ini, pasti saya akan menjadikannya sebagai satu yang besar untuk produksi ini. Saya pernah melakukannya untuk OPs Ophelia dan saya berkeyakinan dapat melakukannya untuk PGLtM. Tarikan utama sesebuah laman internet rasmi adalah koleksi gambar tetapi sayangnya ruangan Galeri masih belum dikemaskinikan. Tiada foto Hang Tuah dan Sultan Mahmud Melaka yang merupakan antara pelakon utama produksi tersebut.

Teater Muzikal Lantai T.Pinkie, tidak mahu cuba melakukan yang sama ?

Oh ya ! Sebelum terlupa. Saya ada meletakkan satu pungutan suara online untuk dijawab oleh para pembaca saya. Topiknya adalah berkisar tentang Akademi Fantasia 4. Khabar angin sedang bertiup kencang tentang bakal Tenaga Pengajar Akademi Fantasia 4. Antara yang bakal terpilih ialah Roslan Aziz (Pengetua), Syafinaz dan Juliza Adlizan (Guru Vokal), Adlin Aman Ramlie (Guru Drama) dan Dato' Fadillah Kamsah (Pakar Motivasi). Manakala Linda Jasmine khabarnya akan terus dikekalkan sebagai Guru Tari untuk musim keempat. Antara nama yang disebutkan di atas, ada di antara mereka yang mengesahkan telah mendapat tawaran untuk jawatan-jawatan baru tersebut, tetapi bukan perbincangan secara terperinci lagi. Kita masih menunggu laporan rasmi. Saya masih mahukan Farihin Abdul Fatah sebagai Pengetua Akademi Fantasia 4 dan Adlin Aman Ramlie sebagai Pengkritik Tetap menggantikan Kudsia Kahar yang tidak akan meneruskan tugas tersebut musim ini. Tetapi apa sahaja kemungkinan boleh berlaku.

Secara tidak rasmi Akademi Fantasia Xtra akan kembali lagi menemui anda dalam wajah yang agak berbeza. Nantikan sahaja apa yang akan dipaparkan di Xtra itu kelak. Sempat juga saya membaca komen ringkas yang menjadi sedikit hangat di Forum MawiFC berkenaan Hos Rancangan AF4 dan calon baru Pengetua AF4. Khabarnya pengacara yang namanya bermula dengan huruf A akan menerajui tempat tersebut. Nantikan sahaja Akademi Fantasia musim baru ini. Khabarnya akan lebih hangat bahana AF kali ini.

p/s: Saya juga telah mendapat tawaran...