Undilah

SULTANMUZAFFAR (26 Februari 2002 - sekarang)

Seorang blogger, pelayar internet, penyelam scuba dan penagih tegar televisyen dan Wii. Melihat seluruh dunia di laman blog menerusi kamera DSLR dan kacamata tebalnya (kadang-kadang kanta lekap).

Mengkritik tidak bererti menentang, menyetujui tidak semestinya menyokong, menegur tidak bermakna membenci, dan berbeza pendapat adalah kawan berfikir yang baik.
Entri oleh sultanmuzaffar 15 November 2006

Selangkah Ke Juara Lagu 21

Etnik Kreatif
Misha – Nafas Cahaya
Noraniza Idris/Liza Hanim – Racau Sang Khalifah
Zahid – Warkah Buat Laila
Syura – Candak
Saiful – Cinta Luhur
Adibah Noor/Senario – Zapin Cinta SMS
Nas Adila – Celik Celik
Bob/Aspalela Abdullah – Hantaran Hati
Ramlah Ram - Maharaja
Natasya – Zapin Bahari

Saya memilih :
Misha – Nafas Cahaya
Noraniza Idris/Liza Hanim – Racau Sang Khalifah
Zahid – Warkah Buat Laila
Bob/Aspalela Abdullah – Hantaran Hati

Satu kategori yang wajar dimansuhkan kerana penciptaan lagu dalam kategori ini tidak begitu berkembang sejak akhir-akhir ini. Tanpa Siti Nurhaliza, kategori ini seakan mati. Penciptaan Pak Ngah juga sudah kurang berbisa. M.Nasir juga sudah bijak beralih ke dunia pop yang lebih menjanjikan pulangan yang lebih besar dalam industri muzik yang semakin mengecil. Kalau ada pun yang masih terus bertahan mempertahankan irama etnik kreatif ialah Noraniza Idris. Antara empat lagu yang mempunyai peluang cerah untuk melangkah ke Anugerah Juara Lagu 21, saya melihat peluang lebih besar untuk Warkah Buat Laila nyanyian Zahid dan Nafas Cahaya oleh Misha Omar. Peluang lagu tersebut lebih besar. Lagu lain yang mempunyai peluang ialah lagu Racau Sang Khalifah oleh Noraniza Idris/Liza Hanim. Tempat keempat peluang lebih terbuka luas untuk mana-mana lagu lain, tetapi saya mengharapkan peluang lebih besar untuk lagu Hantaran Hati oleh Bob/Aspalela Abdullah.

Balada
Adibah Noor – Terlalu Istimewa
Sarah – Bersamamu
Mawi - Kian
Misha – Ku Seru
Adam - Jatuh
Awie - Iris
Amy Search – Suralaya Dalam D Major
Nora – Secebis Harapan
Liza Hanim – Merawat Luka Terpendam
Hazami – Mungkir Bahagia

Saya memilih :
Adibah Noor – Terlalu Istimewa
Mawi - Kian
Misha – Ku Seru
Nora – Secebis Harapan

Memang sukar untuk memilih lagu terbaik yang layak untuk melangkah ke Anugerah Juara Lagu 21 dari kategori ini. Ini menandakan yang penciptaan lagu di Malaysia lebih terarah kepada muzik genre ini. Lagu Terlalu Istimewa terlalu istimewa untuk dipinggirkan. Ia merupakan antara lagu terbaik Adibah Noor untuk berpeluang membuktikan bakat besarnya. Ku Seru oleh Misha Omar juga mempunyai peluang yang cerah berdasarkan kualiti muzik dan melodinya walaupun lagu tersebut tidaklah sehebat Pulangkan oleh penyanyi dan pencipta yang sama. Tuah Pontianak mungkin berpihak kepadanya. Lagu ketiga yang mempunyai peluang yang agak cerah untuk melangkah ke peringkat yang seterusnya ialah Kian oleh Mawi. Percaya atau tidak, ia antara lagu yang terbaik nyanyian Mawi dan saya lebih suka ia dibawakan secara langsung dan bukan sekadar mendengarnya di corong-corong radio. Tempat keempat peluangnya lebih terbuka luas untuk mana-mana lagu. Saya memilih Secebis Harapan kerana mahu melihat Nora membawakan lagu ini secara langsung. Nora memang jaguh dalam membawakan lagu-lagunya secara langsung. Lebih memukau. Jika bukan Secebis Harapan, saya mahu melihat Merawat Luka Terpendam oleh Liza Hanim.

Pop Rock
M/Nasir/Mawi – Lagu Jiwa Lagu Cinta
M.Nasir – Juwita Citra Terindah
Nurul/Ajai – Serasi Bersama
Ruffedge - Lemas
Pretty Ugly – Diari Seorang Lelaki
Ruffedge – Da Bomb
Elyana – Tak Tercapai Akalmu
Amy Mastura – Bukakanlah Pintu
Sarah/Zahid – Menari Denganku
Nikki/Zahid - Caramu

Saya memilih :
M/Nasir/Mawi – Lagu Jiwa Lagu Cinta
M.Nasir – Juwita Citra Terindah
Pretty Ugly – Diari Seorang Lelaki
Nikki/Zahid - Caramu

Terus terang saya katakan kategori ini merupakan kategori paling sengit tahun ini. Ada beberapa lagu dalam kategori ini yang kualitinya lebih baik berbanding beberapa lagu dalam Etnik Kreatif yang tidak sewajarnya dipertandingkan. Saya agak yakin Lagu Jiwa Lagu Cinta oleh M.Nasir/Mawi dan Caramu oleh Nikki/Zahid bakal melangkah mudah ke Anugerah Juara Lagu 21. Lagu Diari Seorang Lelaki oleh Pretty Ugly juga mampu untuk merebut salah satu tempat ke Juara Lagu jika dibawakan dengan baik oleh mereka. M.Nasir sekali lagi mendapat sentuhan berbisa pada tahun ini dengan lagu Juwita Citra Terindah dan dengan bergaya akan menjadi komposer yang berjaya dengan semua lagu nyanyian dan ciptaannya untuk ke Anugerah Juara Lagu 21. Antara lagu lain yang mungkin membuat kejutan ialah Lemas oleh Ruffedge atau Menari Denganku oleh Sarah/Zahid.

Sekali lagi saya mahu mencadangkan kepada pihak produksi TV3 agar mewujudkan kategori yang berasingan untuk generasi SMS mencapai impian mereka. Tidak salah mewujudkan Juara Kategori SMS Balada, Etnik Kreatif dan Pop Rock serta Persembahan Pilihan SMS dan Persembahan Vokal SMS. Lagi banyak kategori SMS diwujudkan maka lebih banyak wang generasi SMS yang boleh dikaut jika keuntungan yang dimahukan. Tidak salah kan ? Biarlah kategori yang ada dinilai oleh juri bertauliah yang ada. Kalau tidak puas hati pilihan juri sekalipun, saya tulis juga tentang juri kerana blogger sememangnya seorang yang tidak pernah puas dan sukar untuk dipuaskan. :)

Apa pilihan anda ?

Grey's Anatomy telah berjaya membuatkan saya untuk menulis sesuatu tentang rancangan tersebut. Menonton salah satu episod sebentar tadi membuatkan saya terdetik untuk berfikir. Bayangkan dua tubuh yang tertusuk satu palang besi angkara kemalangan keretapi yang menanti saat meminta nyawa untuk terus hidup. Dua tubuh, seorang bangsa kulit putih dan seorang lagi bangsa kulit hitam. Bertemu dan saling menghadap antara satu sama lain, memberikan harapan kepada diri masing-masing untuk terus hidup. Masing-masing menagih keadilan untuk terus menghirup udara. Malangnya keputusan harus dibuat. Salah seorang perlu berhadapan dengan ketidakadilan dunia. Salah seorang harus mati untuk salah seorang diberikan harapan untuk terus hidup. Apakah faktor yang membolehkan nyawa seseorang diambil ? Warna kulit ? Tahap kecederaan ? Peluang tipis untuk hidup ? Apakah itu namanya keadilan ? Apakah ada keadilan dalam dunia ini ? Adil sekiranya kita memperolehi peluang untuk terus hidup, bagaimana pula keadilan yang diperolehi oleh mereka yang punya peluang tipis untuk terus merasai hidup ? Jika anda berhadapan dengan situasi demikian, apa pilihan anda ? Untuk terus hidup atau menghadapi mati ?

Ina Naim Calon Penyanyi Wanita Popular ?

Industri muzik semakin galak dengan anugerah. Industri muzik semakin terdesak. Peminat semakin tersedak. Nafas saya semakin sesak ! Dari 38 penyanyi, baik yang betul-betul seorang penghibur, atau yang baru cuba bertapak untuk menjadi penyanyi, atau yang sememangnya sudah begitu lama menyanyi, atau pun hanya sekadar popular kerana skandal dengan penyanyi, atau sebahagian daripadanya sudah bergelar diva, yang telah tersenarai dalam kategori Penyanyi Wanita Popular benar-benar membuatkan saya tidak lalu makan. Terselit nama Ina Naim dalam kerlipan bintang seperti Aishah, Amy Mastura, Camelia, Dayang Nurfaizah, Ella, Fauziah Latiff, Francisca Peter, Jaclyn Victor, Misha Omar, Nora, Ramlah Ram, Sheila Majid dan Siti Nurhaliza (sekadar menyebut beberapa nama). Apa sudah jadi ?

Dalam terkilan memikirkan beberapa nama yang tercicir dari senarai seperti Ning Baizura dan Nikki, saya lantas tersenyum apabila memikirkan kesan yang akan berlaku apabila Ina Naim berjaya meloloskan dirinya ke dalam kelompok Top 5 pada bulan Februari kelak.

Lebih menjadi mimpi ngeri apabila Ina Naim berada di garisan yang sama dengan Sheila Majid, Misha Omar, Jaclyn Victor, Dayang Nurfaizah dan Siti Nurhaliza. Dan akan menjadi trauma yang lebih kronik, apabila kelak Ina Naim berjaya merosakkan rekod 10 tahun kemenangan berturut-turut Siti Nurhaliza menerusi kategori tersebut.

Apa taruhan Ina Naim ? Penawar Rindu ? Aku Tak Punya Siapa ? Buku Catatan Duka Ina Naim untuk menang kategori tersebut ? Jika Ina Naim berjaya menempatkan dirinya dalam kelompok tersebut, ia merupakan satu tamparan yang hebat buat Berita Harian kerana populariti bukan lagi dinilai dari bakat tetapi kini populariti dinilai dari kontroversi dan skandal cinta.

Walaupun saya tidaklah begitu bersetuju atau menggemari bekas tunangnya, sekurang-kurangnya beliau boleh juga menyanyi dan menghibur serta ada aura tersendiri tetapi penyenaraian nama Ina Naim dalam kategori tersebut sebenarnya lebih memburukkan industri muzik dan telah merendahkan kualiti kategori tersebut. Ina Naim tiada apa-apa untuk industri. Namanya sekadar dijaja. Itu saja. Noktah !

Apakah syarat untuk tersenarai dalam kategori tersebut ? Dua lagu dari album yang sama atau tempias dikaitkan dengan nama bekas tunangnya ? Sekiranya antara 5 calon yang terpilih ada nama Ina Naim, maka cepat-cepatlah empat calon yang lain berusaha untuk dikaitkan dengan bekas tunangnya agar tempiasnya dapat dirasai.

Oleh yang demikian, saya menyarankan agar undilah Ina Naim kerana beliau amat memerlukan kemenangan ini untuk berdiri sama tinggi dengan pemenang kategori Penyanyi Lelaki Popular. Itulah impiannya. Marilah kita realisasikan impiannya. Mesti seronok kan dapat ambil gambar sambil pegang anugerah sama-sama. Yang tidak tercalon dalam kategori ini, faham-faham saja lah.

nota sultanmuzaffar : Nantikan ulasan filem The Red Kebaya dan Cinta. Industi perfileman semakin meriah, industri muzik semakin galak, dunia saya semakin sibuk dan racau. Saban hari ada saja program baru, acara majlis, pemikiran baru yang perlu diperah untuk terus hidup dan merasai nikmat hidup, lalu saya terfikir apakah ini jalan yang betul atau terus berada di jalan sekarang.