Undilah

SULTANMUZAFFAR (26 Februari 2002 - sekarang)

Seorang blogger, pelayar internet, penyelam scuba dan penagih tegar televisyen dan Wii. Melihat seluruh dunia di laman blog menerusi kamera DSLR dan kacamata tebalnya (kadang-kadang kanta lekap).

Mengkritik tidak bererti menentang, menyetujui tidak semestinya menyokong, menegur tidak bermakna membenci, dan berbeza pendapat adalah kawan berfikir yang baik.

Gula-Gula Untuk Anda !

Entri oleh sultanmuzaffar 01 November 2008

Awani selepas setahun
Oleh Elrafaei Sapi

PADA 6 September tahun lalu jam 6 pagi, buat kali pertama siaran Astro Awani (saluran 501) ditayangkan pada khalayak. Ketika itu, Pengarang Input Kanan merangkap penyampai berita, Zaiful Ariffin diberi tanggungjawab mengendalikan program Awani Global.

Berbeza dengan pencapaian awal Awani setahun lalu, kini sambutan penonton terhadap saluran itu makin positif. Tentunya kejayaan saluran ini tidak hanya diukur pada sambutan penonton menerusi rating, tetapi pengenalan program baru yang memenuhi citarasa ramai.

Program khas Undi 2008 yang diadakan sempena Pilihan Raya Umum pada Mac lalu dan siaran langsung Gala TV mengenai pengumuman berita perkahwinan Mawi bersama Ekin baru-baru ini, antara program terbaik yang mencatatkan kejayaan buat Awani.

Meraikan ulang tahun pertama Awani, Pengurus Besar Awani, Rozina Aziz berkata kejayaan Awani selama ini didukung kakitangan mereka yang banyak berkorban masa dan tenaga ketika bekerja.

Untuk mengisi slot siaran berita selama 24 jam tanpa henti, komitmen penuh kakitangan amat penting dan bersedia pada bila-bila masa apabila diperlukan.

Katanya, bekerja di Awani memberi cabaran berbeza kerana penyampai berita dituntut melakukan pelbagai tugas. Jika sebelum ini seorang penyampai hanya dipertanggungjawabkan mengendalikan satu program saja, tetapi di Awani, mereka perlu menyesuaikan diri untuk mengacara dua hingga tiga program sehari.

"Ada penyampai yang mempunyai pengalaman dalam bidang kewartawanan penyiaran sebelum ini. Itu memberi kelebihan pada mereka faham dengan tugasan mencari berita.

"Dalam menggilap personaliti mereka menjadi penyampai TV, kami melihat bagaimana mereka melakukan stand upper di depan kamera. Dari situ, kami dapat tahu sama ada mereka mempunyai gaya seorang penyampai atau tidak.

"Sebelum penyampai beraksi di depan kamera, kami turut menyediakan latihan untuk mereka. Masa latihan berbeza mengikut pengalaman penyampai masing-masing.

"Ada latihan singkat selama tiga minggu dan paling lama menjangkau hingga enam bulan. Dulu ketika mula Awani beroperasi, kami juga mempunyai latihan menyeluruh untuk semua penyampai.

"Buat masa ini, Zaiful bersama Penerbit Eksekutif, Suhaimi Sulaiman bertanggungjawab dalam melatih penyampai di Awani. Suhaimi terbabit dalam aspek temu bual dan program wawancara manakala Zaiful tertumpu pada teknik menyampai berita.

"Selepas setahun, Awani mempunyai program yang lebih fokus pada laporan berita yang ingin disampaikan. Menariknya, kami menyampaikan berita tempatan dan antarabangsa mengikut perspektif kami sendiri," katanya.

Berbeza dengan saluran Astro sedia ada, Rozina percaya unit berita di Awani mempunyai kekuatan dan keunikan pada penonton.

Malah, program berkonsep liputan khas sering kali menarik perhatian penonton di Awani.

Penekanan isu semasa tidak hanya meliputi berita tempatan, tetapi antarabangsa.

Sebagai contoh, menerusi program Debat Presiden Amerika Syarikat, penonton tempatan berpeluang mengikuti perkembangan politik di sana dan Atma Asia Khas: Umno - Transformasi, Awani menyediakan platform secara terbuka pada semua calon yang bertanding jawatan dalam Umno untuk memberi pandangan mereka sendiri terhadap perjuangan parti.

Selain isu politik, Awani juga memberi fokus pada isu wanita menerusi WW yang dihoskan Dangsuria Zainurdin dan program Sudut Pandang yang memberi analisa mendalam terhadap sesuatu isu.

Di samping menyampaikan berita, Awani berpendirian mahu menyalur maklumat menyeluruh pada penonton.

Bermula 6 September lalu, Awani juga memperkenalkan dua program baru iaitu Bisnes Awani dan Sukan Awani.

Bisnes Awani memberi fokus pada perkembangan pasaran kewangan dan pelaburan dunia yang memberi kesan secara langsung pada pasaran tempatan dan ia disiarkan selama 15 minit pada setiap Isnin hingga Jumaat jam 1.30 petang, 6.30 petang, 9.30 malam dan 11.30 malam.

Sukan Awani pula disiarkan selama 15 minit sejurus Bisnes Awani. Berdasarkan respons penonton terhadap program di Awani, Rozina berkata kejayaan yang dicapai membanggakan. Biarpun tidak menyiarkan jumlah rating, tetapi kredibiliti penyampai dan program yang dikendalikan memberi keyakinan Awani mampu mencipta banyak kejayaan selepas ini.

"Setiap penyampai mempunyai kecenderungan pada bidang yang mereka minat. Kami melihat sesuatu kerja itu lebih mudah dilaksanakan jika penyampai itu pakar dalam bidang berkenaan.

"Di Awani, kami menampilkan gabungan penyampai untuk menjadikan suasana program bertambah menarik dan hangat dalam membincangkan topik yang dibawa. Sebagai saluran berita baru, kami bukan mahu bersaing dengan stesen atau saluran berita lain, tetapi mahu memberi penghargaan pada penonton yang memilih saluran kami," katanya.

1 Responses to Gula-Gula Untuk Anda !

  1. Anonymous Says:
  2. Walaweiii..terujanya aku baca experience kejer di astro. Ni yg bikin aku nak try apply kijer kat saner nih. hopefully aku nyer arah tuju hidup lebih cerah kat sana :D