Undilah

SULTANMUZAFFAR (26 Februari 2002 - sekarang)

Seorang blogger, pelayar internet, penyelam scuba dan penagih tegar televisyen dan Wii. Melihat seluruh dunia di laman blog menerusi kamera DSLR dan kacamata tebalnya (kadang-kadang kanta lekap).

Mengkritik tidak bererti menentang, menyetujui tidak semestinya menyokong, menegur tidak bermakna membenci, dan berbeza pendapat adalah kawan berfikir yang baik.

Meneroka Keindahan Bali Bersama Air Asia (Bahagian 2)

Entri oleh sultanmuzaffar 15 June 2009

Destinasi : Ubud


Pagi 3 Jun 2009 bermula agak awal daripada kebiasaan. Tepat jam 9 pagi saya sudah turun bersarapan pagi. Tidak banyak yang boleh dimakan di Bali Agung Village melainkan roti bakar, omelette dan minum kopi. Walaupun ada mee goreng tidak saya sentuh kerana was-was. Selesai sarapan pagi, saya membuat keputusan untuk ke Ubud. Saya harus meneroka daerah menghala ke utara dari Kuta untuk hari tersebut.

Saya teringatkan nombor yang dibekalkan oleh Ning Baizura. Ada dua nombor pemandu di Bali. Saya hubungi Putu. Malangnya Putu tidak dapat memenuhi permintaan saya kerana sudah ditempah untuk jam 4 petang. Sebagai gantinya, Putu menyarankan pemandunya yang lain dengan bayaran yang sama. Pak Nyoman tiba sebagai ganti dengan Toyota Avanzanya tepat jam 11 pagi. Bayarannya murah sahaja, hanya Rp400,000 untuk sehari atau lapan jam. Maknanya dari jam 11 pagi hingga 7 malam.

Kami menaiki Toyota Avanzanya yang masih baru. Menurut Pak Nyoman saya pengguna pertamanya. Saya percaya segala ceritanya lagipun mereka orang yang berniaga. Apa sahaja cara akan digunakan untuk mengumpan hati pelanggannya. Untuk ke Ubud, kami menempuh beberapa daerah seperti Sanur, Batubulan, Celuk dan Batuan. Sanur juga merupakan antara tempat tumpuan pelancong di Bali. Di Batubulan, kami melihat perusahaan ukiran batu yang menjadi keutamaan penduduk di kawasan tersebut. Sementara di Celuk merupakan kawasan perusahaan perak dan emas. Kami hanya melewati daerah tersebut, tidak singgah kerana ia bukan tujuan saya ke Bali. Batuan pula merupakan kawasan perusahaan lukisan. Kedai-kedai yang berderet di daerah tersebut dipenuhi dengan lukisan-lukisan dinding yang cantik-cantik.

Pura Batuan

Pura Batuan

Pura Batuan

Pura Batuan

Pura Batuan : Bekas bunga rampai ini akan diletakkan di hadapan rumah, kedai dan berhala

Pura Batuan : Pembikin bunga rampai

Pura Batuan : Pembina baiksemula pura

Saya hanya singgah di Pura Batuan, salah satu pura yang dibuka untuk pelancong. Di Bali, tidak semua pura dibuka untuk pelancongan sebaliknya ada yang hanya untuk tujuan beribadat. Tidak begitu jauh bezanya dengan Malaysia, saya kira. Sekitar jam 12 tengahari saya menghabiskan masa kira-kira setengah jam di pura tersebut.

Kami masih belum tiba di Ubud dan kami hanya tiba di Ubud pada pukul 1 tengahari. Masa yang sesuai untuk makan tengahari. Tidak lengkap jika melancong ke Ubud jika tidak singgah di Bebek Bengil atau pun “crispy duck”. Kami makan tengahari di situ. Sebuah restoran yang indah dengan senibina Bali yang masih mengekalkan keasliannya. Kami menikmati hidangan itik goreng di tepi sawah.

Bebek Bengil : Pintu masuk ke Bebek Bengil

Bebek Bengil : Permandangan tepi sawah di Bebek Bengil

Bebek Bengil : Makan itik goreng di sini

Bebek Bengil : Bergambar di tepi sawah

Selesai makan tengahari, kami meneruskan perjalanan ke Ubud Palace. Saya tidak begitu menghabiskan banyak masa di Ubud Palace memandangkan senibina pura yang terdapat di Bali lebih kurang sama. Masuk satu, lebih kurang masuk semua. Tiada bezanya. Di situ terdapat sebuah Arts Market, di mana penduduk tempatan berniaga cenderamata yang boleh dibawa pulang ke Kuala Lumpur. Agak lama juga kami menghabiskan masa di situ walaupun tidak banyak membeli kerana melihat budaya dan kesenian Bali lebih utama. Namakan apa saja barangan cenderamata ada di situ. Pelbagai bentuk, pelbagai saiz dan pelbagai warna.

Ubud Palace : Sudah saya katakan, sama sahaja.

Ubud Palace : Sudah saya katakan, sama sahaja.

Rice Terrace : Padinya sudah dituai

Selesai di Arts Market, saya meneruskan perjalanan ke Rice Terrace. Saya tidak bernasib baik kerana padinya telah dituai sehari sebelum saya tiba di situ. Masih di Ubud, saya menghabiskan masa cuma 15 minit saja di situ. Saya sempat online Facebook awal pagi ini dan melihat komen-komen yang diberikan oleh kawan-kawan saya di Facebook. Menurut Norenshah, salah seorang kawan saya pernah menyarankan agar saya singgah minum petang di Murni’s Warung. Katanya, warung itu terletak di tepi air terjun. Saya terima cadangan tersebut dan singgah di situ.

Setibanya di Murni’s Warung, saya tidak mendengar bunyi air terjun sebaliknya hanya bunyi aliran air sungai. Tidak mengapa kerana sudah puas berjalan, saya harus berhenti untuk merehatkan diri. Saya tiba di situ sekitar jam 4.30 petang. Waktu itu merupakan waktu untuk penduduk tempatan mandi. Sudah menjadi kebiasaan bagi penduduk tempatan untuk mandi di sungai. Dilihat boleh, dipegang jangan. Dari tingkat atas warung itu, kami melihat penduduk tempatan mandi. Lama kami di situ.

Tepat jam 5.45 petang, kami pulang semula ke hotel penginapan dan tiba di Bali Agung Village sekitar jam 7 malam. Hari sudah gelap. Malam, saya harus bersiap untuk makan malam di Ku De Ta, sebuah restoran yang sangat eksklusif lagaknya. Agak asing, kami berada di sana kerana pengunjungnya terdiri daripada bangsa asing yang mungkinnya bekerja atau pun melancong ke Bali. Kami pulang lebih kurang jam 10.30 malam untuk bersiap menikmati waktu malam di Seminyak.

Sekitar jam 2 pagi, saya pulang ke hotel penginapan untuk tidur bersiap untuk perjalanan hari esok.

4 komen

  1. TokSky Says:
  2. Nampaknya Tuanku enjoy sakan disana. Teruskan berehat.....

     
  3. kay Says:
  4. Warung Murni....jom mandi sungai!!!!

     
  5. Tok Sky : Waktu berehat dah habis. Sekarang waktu bekerja.

    kay : lets !! hahaha

     
  6. bangkutut Says:
  7. Bro banyak jumpa BABI GULING tak? Aku sampai lar ni, tak lupa nama tu, komersial sangat lah... mana mana ada kat sana. Paling best jumpa menu BABI sweet and sour... boleh jugak gitu. hehehehhe. Anyway BALI memang best