Kiriman Lukisan Tangan
Saya menerima kiriman ini yang telah dihantar oleh Maslina Sumairi kepada saya melalui pos. Saya sepatutnya menerima kiriman ini melalui tangan pada satu hari di Shah Alam tetapi kerana kesuntukan masa saya tidak dapat menunggu sehingga beliau tiba. Saya hanya terima kiriman ini yang tiba pada hari Sabtu di hadapan muka pintu rumah saya tetapi memandangkan saya tiada di rumah untuk menerima kiriman melalui pos ini maka kiriman tersebut telah dihantar kembali ke Pejabat Pos Brickfields.
Pagi tadi saya ke Pejabat Pos Brickfields untuk mengambil kiriman tersebut. Saya buka kiriman tersebut di dalam kereta. Terperanjat benar saya melihat potret tersebut. Ada potret Mawi, Felix dan saya sendiri pada kertas lukisan tersebut. Ini kali ketiga saya menerima lukisan potret saya sendiri yang dihadiahkan kepada saya. Kali ini agak berbeza kerana ada juga Mawi dan Felix.
Juga dikepilkan beberapa helaian surat bertaip komputer yang agak panjang lebar bercerita tentang gaya penulisan saya yang tidak begitu memihak kepada Mawi. Pengirimnya seorang fanatik Mawi dan tentunya isi suratnya berkaitan dengan Mawi sahaja. Sebenarnya saya berbangga mempunyai pembaca yang bersifat begitu terbuka untuk menerima dan berfikir tentang apa yang saya tulis berkenaan Mawi, baik tulisan berunsurkan negatif mahu pun positif.
Saya hanya mengenali Maslina melalui SMS yang dikirimkan melalui nombor yang tertera di blog ini. Saya juga mengenali beliau berdasarkan komen-komen yang beliau tulis di ruangan Pendapat blog ini. Katanya, walaupun kita berbeza parti, kita tetap boleh berkawan. Parti ? Peminat Mawi parti apa ? Peminat Felix parti apa ? Memang tidak ada salahnya untuk berkawan, cuma saya agak skeptikal terhadap sesetengah jenis peminat Akademi Fantasia dan ia seakan semakin menjarakkan saya dengan mereka.
Kata pengirimnya lagi, blog saya selalu membuatnya merajuk dan terpujuk. Boleh buat tajuk lagu ni ! Katanya lagi, tulisan picisan saya ini berjaya mengumbang-ambingkan emosi beliau. Saya mengharapkan pembaca yang berfikiran terbuka sebegini akan untuk terus membaca dan memberikan maklumbalas berdasarkan fakta dan bukan berdasarkan emosi.
Ia benar-benar membuatkan saya terharu. Sifat yang dimiliki oleh pengirim ini sebenarnya dimiliki oleh beberapa teman rapat saya seperti yang saya ceritakan dalam utusan yang terdahulu. Saya sebenarnya tidak pernah menyangka wujudnya lagi kalangan pembaca yang sebegini dalam blog saya ini. Iaitu mereka yang tidak terlalu dibuai emosi kesan dari manipulasi emosi yang telah dijana oleh rancangan Akademi Fantasia. Setiap tahun Akademi Fantasia menghasilkan kelompok peminat yang pelbagai yang rata-rata saya temui kepelbagaian dalam sifat mereka. Setiap tahun ada keunikan masing-masing.
Dalam PFS atau Kebun rata-rata meminati rancangan Akademi Fantasia secara keseluruhannya. Tanpa perlu emosi terhadap pilihan masing-masing, kami dapat duduk semeja, makan sepinggan, tinggal serumah, tidur sekatil dan berkongsi masalah tanpa ada perasaan prejudis terhadap pilihan masing-masing. Kami semacam sebuah famili. Itu sebabnya sekiranya ada undangan dari mereka, akan saya lupakan jemputan dari mana-mana bintang Akademi Fantasia kecuali Adam lah. Hahaha
Saya cuma berharap segala urusan peribadi berkenaan karier akan selesai secepat mungkin dan mana tahu sambutan raya saya tahun ini akan lebih bermakna dengan PFS dan Kebun. Sempena menyambut ulangtahun saya keluar dari belakang blog untuk bertemu dengan pembaca-pembaca saya, saya mengucapkan ribuan terima kasih kerana memberikan saya peluang mengenali anda dan berkongsi pengalaman baru dengan anda semua. Terima kasih.
Negaraku Tanah Tumpahnya Darahku
Saya terbaca artikel Aspirasi : Kisah Negaraku & Mamula Moon oleh Ramli MS di internet. Artikel tersebut tersiar dalam Berita Minggu dalam sisipan BiPop. Saya terfikir apakah identiti sebuah negara telah tercemar apabila lagu kebangsaannya merupakan lagu saduran dari sebuah lagu dari Barat. Maka, di mana jatidiri kecemerlangan sesebuah bangsa itu dapat dipertahankan dan diagung-agungkan sekiranya muzik lagu kebangsaan sendiri adalah lagu saduran. Apakah Malaysia tidak punya pencipta lagu yang hebat ? Atau pemuzik yang hebat ? Lirik Negaraku biarlah terus dikekalkan.
Anda semua pernah teringat sewaktu zaman persekolahan dahulu apabila kita seakan tidak mahu menyanyikan lagu Negaraku dalam tempo march dan lebih selesa menyanyikan lagu Setia oleh Fran yang setiap hari ke udara di RTM 1. Sewaktu saya bersekolah dahulu, selaku Jemaah Disiplin Pelajar yang bertugas, saya harus memilih dua lagu untuk dinyanyikan di dalam perhimpunan. Adakalanya memang sukar untuk menyanyikan lagu Negaraku versi march tanpa iringan muzik. Maka para pelajar akan menyanyikan secara berterabur.
Kita mampu menghasilkan lagu sehebat Keranamu Malaysia. Kita sendiri senang menyanyikan lagu Keranamu Malaysia berbanding lagu kebangsaan kita sendiri. Sudah beberapa tahun lagu Keranamu Malaysia berkumandang saban tahun, tetapi ia tetap menjadi pilihan kita.
Apa tindakan kita ? Apakah ingin terus menyanyikan lagu Negaraku versi saduran ?
Minggu Buka Puasa
Majlis Buka Puasa Tertutup Family & Birthday Celebration di Wisam KL
Pada hari Jumaat, saya harus mengorbankan Majlis Buka Puasa bersama Farah Fan Club untuk berbuka bersama beberapa teman rapat yang saya kenali melalui blog ini. Hari itu juga merupakan sambutan birthday untuk Wink dan Cikanos. Walaupun sudah menyatakan persetujuan untuk hadir ke Majlis Berbuka Puasa Farah, saya merasa amat bersalah kerana terpaksa membatalkan temujanji tersebut. Untuk mendapatkan ulasan lanjut berkenaan acara berbuka puasa bersama Farah bolehlah melawat blog Rosman Positivo dan Raja Pelaut.
Untuk mengelakkan kesesakan jalan raya, saya tiba agak awal di KLCC. Masa yang ada saya gunakan untuk membeli kad untuk mereka. Saya singgah di Tower Records untuk memberi VCD Siti Nurhaliza In Concert Royal Albert Hall, London dan CD The Best Of Yazer Akademi Fantasia 3. Badrul tiba seketika kemudian. Saya tinggalkan beliau untuk shopping sendirian kerana dia shopping macam perempuan. Lama sungguh compare-compare harga. Sungguh bosan menunggu. Tidak cukup satu shopping complex, beralih ke shopping complex yang lain pula. Kalau bukan wanita, kita harus panggil apa ? Saya mudah. Saya singgah ke bahagian greeting card dan ternampak apa yang saya mahu. Terus sahaja beli.
Najmie tiba. Belek-belek card di bahagian yang sama. Juga ambil masa yang lama. Tetapi menyedari hakikat yang beliau masih seorang pelajar, oleh itu dimaafkan. Ada sebab untuk beliau membuat perancangan perbelanjaan. Kami bergerak ke shopping complex yang lagi satu kerana Bad telah pun berpindah ke sana. Singgah sebentar di Memory Lane untuk Najmie dan Badrul membeli kad pilihan mereka. Masih terlalu awal untuk ke Wisam tetapi kami bergerak juga ke sana.
Ramai juga tetamu yang hadir. Wink selaku tuan rumah. Tetamu lain terdiri daripada Cikanos, Meesua, Badrul, Leen, Izreen, Sumbing, Najmie, OrangKampung, Rose, NHK, Waiem, Bat, Kak Aidid, Nart dan LV. Ada ke yang tertinggal ?
Yang paling menarik gathering buka puasa ini ialah Bazar Ramadhan bila mana Waiem dan Kak Aidid membawa kad raya Mawi dan Prapp Cookies. Saya sempat beli satu pek kad raya Mawi. Untuk apa pun saya tidak tahu. Saya jenis yang pemalas hantar kad raya. Paling tidak pun saya hantar kad raya digital. Mungkin tahun ini saya hantar kad raya digital menggunakan email beserta imej dari kad raya Mawi yang saya scan. Bila terima nanti dari saya, konon-konon macam Mawi lah yang menghantarnya. Mungkin masih sempat lagi saya semak dalam ruangan Pendapat blog saya ini yang mana mereka tinggalkan alamat email mereka untuk saya simpan dan hantar mereka kad raya digital.
Prapp Cookies pun saya beli satu balang. Saya beli Black Mountain. Panjang cerita Black Mountain kalau ingin diceritakan. Cukup sekadar kalau saya katakan, ingat Black Mountain, Ingat Izreen. Hahahaha. Banyak one-liner dalam gathering kali ini. It was fun !
Saya suka dengan rekabentuk kad raya Mawi itu. Rekaan grafiknya menarik. Ia dibuat dengan teliti dan gambar-gambar Mawi telah dirakamkan dengan cantik sekali. Pujian ? Apakah ini kenyataan merayu undian ? It’s OK. Tidak perlu susah-susah. Saya tidak perlu merayu undian jauh sekali ugutan merajuk untuk mendapatkan undian. Lagipun kotak Malaysia Top Blog sudah saya kecilkan agar sukar untuk ditekan. Saya tidak perlu merayu undian untuk berada di atas.
Selesai di Wisam sekitar jam 11 malam. Klubbkidd dan Juan Danza telah lama menunggu di Bangsar. Menyedari saya juga seorang rakyat Malaysia, maka perkataan “on the way” telah saya gunakan. Walaupun sebenarnya masa itu baru sahaja keluar dari Wisam. Apa salahnya blogger nombor tiga dan empat menunggu blogger nombor satu. Tak salah kan ? Lagipun mahkota masih di kepala !
Saya dan Badrul tiba di sana sekitar jam 11.45 malam. Ada projek baru untuk kami bincangkan. Oleh kerana kami berempat ada di sana, maka projek baru yang kami bincangkan ialah taktik untuk menjatuhkan Sekadar Media Picisan. Hahahaha.
Projek baru tersebut masih dalam peringkat perbincangan. Ia melibatkan pelancaran sebuah album baru. Bagaimana cara album tersebut dilancarkan biarlah menjadi rahsia dahulu. Tunggulah dua bulan lagi sehingga projek tersebut berhasil. Sebuah projek yang boleh saya sifatkan satu perubahan pada dunia hiburan tempatan. Cara kita melihat sesebuah produk sepatutnya dipandang dengan lebih hebat dan kegiatan promosi perlu dilaksanakan dengan berkesan.
Pada mulanya Badrul hanya mahu singgah sebentar sahaja, tetapi ia berlarutan sehingga jam 4 pagi. Sebelum saya terlupa, oleh kerana rahsia ini telah pun dipecahkan oleh Juan Danza (mana boleh simpan rahsia) , maka tidak salah rasanya untuk saya bercerita di sini. Sedang sibuk berbincang di Bangsar, Klubbkidd dikejutkan apabila menerima satu SMS yang agak desperate bunyinya. Hahahaha. Sungguh kelakar sekali.
Walaupun tuan punya badan bertanya kepada saya sekitar jam 5 pagi, saya buat-buat tidak tahu sahaja. Memegang amanah untuk menyimpan rahsia. Memang meletihkan hari tersebut. Saya pulang dan terus menonton VCD Siti Nurhaliza In Concert Royal Albert Hall, London. Tidur menjadi tidak penting, kerana menonton VCD Siti Nurhaliza di London lebih menghiburkan. Ada ke yang nak komen tentang kenyataan ini ?
Terima kasih kepada tuan rumah dan kepada mereka yang hadir. Anda telah menyerikan hidup saya selama 3 tahun ini. Terima kasih !
Majlis Buka Puasa MRSM
Saya bertemu beberapa orang kawan yang telah lama tidak saya temui. Ada yang bertahun-tahun tidak jumpa. Majlis Buka Puasa tahun lepas saya tidak hadir. Cuma berkesempatan untuk hadir pada tahun ini. Nothing much. Just catching up.
Kami berbual tentang banyak perkara. Tentang pengalaman saya. Tentang pengalaman mereka. Tentang kerja baru saya. Tentang pelbagai. Cuma saya mengelak satu soalan. Kenapa kurus ? Jawapan saya mudah sahaja. Kerana korang dah gemuk. Lagi mereka ini mahu tanya.
Pada malam yang sama, Amy pula bertemu dengan peminatnya dalam satu Majlis Berbuka Puasa bersama Amy di Hotel Coronade. Saya tidak mahu bercakap panjang tentang majlis ini kerana panjang ceritanya. InsyaAllah kalau ada umur yang panjang saya akan hadir pada majlis anjuran mereka yang seterusnya. Untuk gambar-gambar sekitar majlis tersebut bolehlah melawat Fotopages Hakim Amir.
Majlis Buka Puasa Jiwang United
Buka Puasa bersama Jiwang United ini memang menyeronokkan. Kami berkongsi minat yang sama. Akma dan Felix. Maka perbincangan kami tidak keluar dari topik tersebut. Berkali-kali saya menegaskan bahawa perjalanan bintang Akademi Fantasia yang baru sahaja tamat pengajian mereka baru sahaja bermula. Inilah masanya sokongan tidak berbelah bahagi amat mereka perlukan untuk terus hidup dalam industri ini. Tanpa sokongan, mereka akan mati. Di sebalik sokongan terhadap kedua-dua bintang yang baru lahir ini berlaku sedikit perselisihan faham yang telah menjejaskan sedikit perjalanan seni mereka.
Apa yang peminat ingin tahu ialah jadual pergerakan bintang yang mereka sanjung. Di mana mereka membuat persembahan. Di mana kemunculan mereka. Bila mereka balik ke kampung mereka. Bila mereka akan bertemu peminat. Bila album baru mereka akan dipasarkan. Itu sahaja. Ada yang menjadi orang tengah antara fan club dan bintang AF3 tetapi telah menyimpan maklumat-maklumat tersebut untuk dirinya sendiri dan tidak berkongsi dengan para peminat. Ada peminat yang ingin berkongsi, sebaliknya mereka dihalang dari terus menghantar maklumat. Macam-macam.
Di majlis tersebut saya bertemu beberapa orang rakan-rakan baru. Mereka peminat Akma dan Felix. Saya senang berbual dengan mereka. Fara umpamanya senang berbicara dengan saya tentang Gubra. Liza berbincang dengan saya tentang apa yang boleh dilakukan oleh JU untuk menaikkan nama Felix dan Akma. Joejoe bekerja dekat sangat dengan tempat kerja saya dahulu iaitu di blok tengah antara Blok A dan Blok B. Itulah sebab macam pernah nampak. Saya memang selalu berulang-alik antara blok tersebut.
Saya tidak pernah terbayang yang mereka sebenarnya datang dari blog saya dahulu. Merekalah yang sering bercerita tentang fantasi mereka di ruangan Pendapat blog saya. Kalau dahulu sekadar fantasia, ia kini menjadi realiti. Semangat kekeluargaan itu sememangnya wujud sesama mereka. Sifat kasih sayang itu semacam darah daging sendiri. Adakalanya saya terharu melihat bagaimana akrabnya mereka sesama sendiri. Saya tidak pernah terbayang yang saya telah pun melakukan sesuatu untuk mereka.
Dalam perjalanan pulang ke rumah, saya mengalami sedikit kemalangan. Kereta yang berada di hadapan berhenti mengejut untuk belok ke kanan. Kereta di hadapan saya sempat berhenti walaupun agak mengejut. Saya tidak sempat untuk mencelah ke kiri kerana ada sebuah motorsikal di tepi kiri saya. Jalan paling pantas adalah untuk menekan brek kereta sekuat-kuatnya. Kereta saya tidak sempat berhenti dan melanggar kereta Perdana di hadapan. Bunyi kuat juga. Kereta Perdana beralih ke bahu jalan. Saya mengekor dari belakang dan berhenti di belakang keretanya. Pemandunya keluar. Damn ! Salah seorang ahli JU rupanya yang juga seorang Doktor. Memang rasa bersalah gila masa tu. Kakak tersebut tidak perasankan saya waktu itu hanya selepas itu baru dia kenal yang sultanmuzaffar telah langgar kereta dia. Mujur kakak itu kata tidak mengapa dan jangan risau. But still saya rasa tidak sedap. Saya pun tidak tahu nak buat macam mana kerana inilah pertama kali saya accident yang melibatkan kerosakan. Saya tidak pernah cium belakang kereta orang tetapi malam ini saya kemekkan bumper kereta orang. Walaupun kakak tu kata OK, but still kereta Perdana dia kemek, kereta saya OK saja. I think I will call her sebelum Raya lah. Rasa tidak sedap pula.
Salam Raya Akademi Fantasia 3
Untuk melengkapkan perayaan tahun ini rasanya tidak lengkap sekiranya tidak mendapatkan album ini. Sebagai peminat Akademi Fantasia tentunya anda ingin mendengar bacaan Takbir Raya yang diketuai oleh Mawi. Ia merupakan tarikan terkuat untuk memiliki album ini selain daripada nyanyian lagu Ku Pohon Restu Ayah Bonda oleh Mawi.
Antara lagu-lagu yang menarik perhatian saya ialah Kepulangan Yang Di Nanti oleh Kefli, gandingan duet Akma dan Felix untuk lagu Hari Raya Hari Bahagia, keunikan Balik Kampung dalam nafas baru yang telah dipersembahkan dengan cemerlang oleh Aidil, keharmonian vokal Fuad dan Elliza yang meneruskan tradisi kakak beliau untuk lagu Suasana Hari Raya dan Lagukan Hari Raya oleh bintang lelaki AF3.
Keceriaan hari lebaran dapat dirasai pada kulit album ini yang menampilkan setiap bintang Akademi Fantasia berpakaian kebangsaan dalam suasana Hari Raya. Kekurangan paling utama pada kulit album Salam Raya Akademi Fantasia 3 ialah hanya dipaparkan pencipta dan penulis lirik lagu tersebut. Senarai mereka yang terlibat dalam menyusun lagu tersebut ke nafas baru tidak dipaparkan. Ini menyulitkan saya untuk memberikan kredit kepada susunan lagu terbabit.
Ada di antara lagu-lagu yang termuat dalam album ini yang tidak saya ulas secara terperinci kerana tidak tahu untuk tulis apa berkenaan lagu tersebut. Ia bukan kerana saya tidak sukakan penyanyi tersebut atau pencipta lagu tersebut atau apa-apa sebab peribadi. Sekadar terlalu buntu untuk menulis tentang nyanyian mereka. Terlalu tepu dengan vokal mereka mungkin.
02 Ku Pohon Restu Ayah Bonda - Mawi
Sebuah nyanyian yang dipersembahkan dengan penuh penghayatan. Dengan diiringi oleh lafaz takbir, lagu ini menjadi begitu menusuk kalbu. Ia seakan-akan luahan emosi Mawi yang telah disampaikan dengan begitu baik kepada para pendengar. Amanah membawakan lagu nyanyian asal Al-Jawaher dan Mamat dari kumpulan Exists telah dilaksanakan oleh Mawi dengan baik.
04 Kepulangan Yang Di Nanti - Kefli
Lagu ini merupakan nyanyian asal Aman Shah dan pernah didendangkan oleh Fauziah Latiff. Saya menyukai penyampaian Kefli untuk lagu ini. Lagu ini agak sedap apabila dibawakan oleh Kefli. Saya rasa mungkin nyanyian yang mendayu-dayu sesuai dengan vokal Kefli.
05 Hari Raya Hari Bahagia - Akma & Felix
Lagu ini merupakan lagu asal oleh Ideal Sisters. Apa yang saya suka tentang lagu ini apabila gandingan vokal Akma dan Felix menepati kehendak lagu ini. Gandingan mereka saling melengkapi. Sketsa dari Felix juga begitu menghiburkan terutama di penghujung lagu yang mengingatkan agar tidak bermain mercun. Lagu ini diberi nafas moden sama seperti lagu Selamat Hari Raya oleh Liza & Nana pada Akademi Fantasia 1.
06 Anugerah Tuhan - Bintang Wanita AF3
Rata-rata lagu baru tidak begitu memikat pendengaran saya. Agak sukar untuk lagu baru bertemakan hari raya untuk menembusi pengaruh lagu-lagu raya yang malar segar. Lagu Anugerah Tuhan berusaha untuk menonjolkan keharmonian vokal setiap pelajar wanita AF3. Saya akui usaha itu berjaya dilakukan dan hasilnya baik. Vokal bintang wanita kedengaran tidak cuba untuk menonjolkan diri antara satu sama lain.
07 Balik Kampung - Aidil
Terjemahan Aidil untuk lagu Balik Kampung benar-benar mengejutkan. Sebuah lagu yang telah diberi nafas baru dan telah disampaikan dengan baik oleh Aidil. Saya boleh terbuai dalam melodi lagu ini yang agak blues. Nyanyian Aidil juga kena dengan melodi lagu ini. Sebuah susunan muzik yang bagus dan disampaikan dengan cemerlang.
10 Suasana Di Hari Raya - Elliza & Fuad
Apa yang saya ingat tentang lagu ini hanyalah sketsanya. Akma dan Ekin saling bergurau tentang pasangan masing-masing iaitu Felix dan Yazer. Lagu ini mengimbau kenangan Elliza lebih-lebih lagi lagu ini merupakan lagu nyanyian asal kakaknya iaitu Ellina dan Anuar Zain. EKSKLUSIF ! Dalam perkembangan lain, Fuad AF3 telah pun terbang ke Dublin untuk melanjutkan pelajarannya dalam bidang Accountancy di sana. Beliau telah berlepas dari KLIA pada jam 11 malam semalam. Beliau menjadi bintang Akademi Fantasia yang pertama melanjutkan pelajaran ke luar negeri setelah menamatkan pengajiannya di Akademi Fantasia selama beberapa minggu. Semoga beliau terus sukses dalam pengajian akademiknya.
11 Menjelang Hari Raya - Yazer
Tidak lengkap sekiranya tidak menggubah satu lagu raya ke rentak rock untuk diberikan kepada Yazer. Lagu nyanyian asal DJ Dave telah disampaikan dengan bertenaga oleh Yazer. Menurut Yazer beliau sukakan lagu tersebut kerana ada iringan gitar. Sentuhan muzik rock menjadikan lagu tersebut lebih digemari olehnya. "Bayangkan DJ Dave yang nyanyi lagu itu versi rock." sambung beliau. Saya sempat chat di YM bersama Yazer awal pagi tadi. EKSKLUSIF ! Berkenaan dengan perkembangan album Yazer bersama Luncai Emas, beliau akan masuk studio untuk merakamkan lagu-lagu barunya pada 18 Oktober ini. Album tersebut akan diterbitkan oleh M.Nasir. Sempat juga saya bertanya kepada Yazer apakah beliau berpuasa penuh. Manalah tahu kalau ada di kalangan peminat Akademi Fantasia yang hanya menyangkakan bahawa Mawi sahajalah yang berpuasa penuh. Maka jawab Yazer, beliau tidak pernah tinggal puasa. Kalau Yazer tidak bagitahu tentu orang ingat Mawi sahaja yang puasa penuh. Hahahaha.
13 Lagukan Irama Raya - Bintang Lelaki AF3
Melodi lagu ini agak catchy tetapi nyanyian bintang lelaki AF3 tidak begitu bertenaga. Saya terpikat dengan lirik lagu ini yang agak simple tetapi menarik. Sebuah lagu raya sememangnya tidak boleh lari dalam irama-irama sebegini dan hasilnya biasa sahaja. Berbanding lagu bintang perempuan, lagu ini lebih menarik.
14 Syawal Telah Menjelma - Bintang AF3
Lagu ini belum cukup meriah seperti Lagu Di Pagi Raya. Lagu ini lebih serius dan tidak begitu ceria untuk disampaikan. Lagu Di Pagi Raya oleh Bintang Akademi Fantasia 1 lebih catchy dan senang untuk didengar. Anda boleh mendengar lagu tersebut di blog Klubbkidd. Ia mengimbau kenangan bersama bintang Akademi Fantasia 1.
Turut dimuatkan dalam album ini ialah Takbir Raya oleh Bintang Lelaki AF3, lagu Pulang Di Hari Raya oleh Amylea, Suasana Riang Di Hari Raya oleh Ekin & Amy, Bersama Di Hari Raya oleh Idayu & Marsha dan Selamat Hari Raya oleh Reza.
Dapatkan album ini dengan segera untuk hari raya yang lebih bermakna bersama Bintang Akademi Fantasia 3 dengan harga RM21.00 di stor-stor muzik berdekatan. Saya mendapatkannya di Tower Records sebagai koleksi.
Ranking Pilihan sultanmuzaffar
01 Balik Kampung - Aidil
02 Ku Pohon Restu Ayah Bonda - Mawi
03 Hari Raya Hari Bahagia - Akma & Felix
04 Suasana Di Hari Raya - Elliza & Fuad
05 Lagukan Irama Raya - Bintang Lelaki AF3
06 Anugerah Tuhan - Bintang Wanita AF3
07 Kepulangan Yang Di Nanti - Kefli
08 Menjelang Hari Raya - Yazer
09 Pulang Di Hari Raya - Amylea
10 Selamat Hari Raya - Reza
11 Syawal Telah Menjelma - Bintang AF3
12 Bersama Di Hari Raya - Idayu & Marsha
13 Suasana Riang Di Hari Raya - Ekin & Amy
* Takbir Raya - Bintang Lelaki AF3
Nota : Saya tidak meletakkan Takbir Raya di dalam ranking pilihan saya kerana sekiranya saya meletakkan Takbir Raya itu pada kedudukan nombor yang bawah kelak saya dikatakan tidak meletakkan bacaan Quran di tempat yang paling atas (sama seperti kes Gubra dan berbuka puasa). Oleh itu sebagai langkah berjaga-jaga, saya mengenepikan Takbir Raya dalam ranking pilihan saya. Ia tidak ada kena mengena dengan Mawi atau yang sewaktu dengannya. Harap maklum.
EKSKLUSIF ! Dalam perkembangan lain, Fuad AF3 telah pun terbang ke Dublin untuk melanjutkan pelajarannya dalam bidang Accountancy di sana. Beliau telah berlepas dari KLIA pada jam 11 malam semalam. Beliau menjadi bintang Akademi Fantasia yang pertama melanjutkan pelajaran ke luar negeri setelah menamatkan pengajiannya di Akademi Fantasia selama beberapa minggu. Semoga beliau terus sukses dalam pengajian akademiknya.
Ulasan EVO ‘05 Akademi Fantasia 3
Album trilogi EVO ’05 Akademi Fantasia 3 terdapat kombinasi pelbagai genre dari world music, etnik fusion, pop, rock, balada, lagu evergreen yang diberi nafas baru. Kebanyakan lagu di dalam album ini telah dicipta oleh Adnan Abu Hassan dan Ajai.
Album terbaik ialah album EVO ’05 01, 02 dan 03 mengikut turutan secara kebetulan. Saya menyukai EVO ’05 01 adalah kerana lagu Kau Inspirasiku oleh Fuad dan Berdebar-Debar oleh Amy. Manakala untuk EVO ’05 02 adalah kerana Percaya Pada Cinta oleh Akma dan Warkah Berlagu Pilu oleh Felix. Sementara album EVO ’05 03 adalah kerana lagu Jangan Berjanji oleh Ekin dan Merah Warna Cinta oleh Yazer.
Penghasilan kulit album perlu dibuat lebih teliti di masa akan datang. Masih terdapat kesilapan-kesilapan kecil yang sedikit telah mencacatkan kualiti kulit album tersebut. Sekiranya dalam EVO ’04 ada konsep yang ditampilkan iaitu putih dan oren serta rakaman fotografi studio dilakukan khas untuk kulit album tersebut. Tetapi tidak pada album EVO ’05. Foto-foto yang diambil adalah sewaktu persembahan mereka di Konsert Akademi Fantasia.
Setelah tiga musim Akademi Fantasia berlangsung, inilah trilogi EVO yang terbaik dihasilkan dari segi produksi lagunya. Kulit albumnya masih boleh dibaiki di masa akan datang.
EVO ’05 [01]
01 Aduh Saliha - Mawi
Saya tidak pasti dengan pendengar lain tetapi saya merasakan ada sesuatu yang tidak kena pada permulaan lagu ini. Semacam nyanyian Mawi begitu perlahan dan tidak mengikuti tempo muzik lagu ini. Pada pertengahan lagu tersebut, Mawi dapat menghayati lagu tersebut dengan baik. Saya lebih menyukai versi Rakaman Dari Studio Satu Akademi Fantasia 3 yang disampaikan dengan baik. Sesetengah lagu lebih senang didengar dalam bentuk secara langsung. Lagu ciptaan M.Nasir dan lirik oleh Loloq iaitu Aduh Saliha adalah salah satu daripada lagu tersebut.
02 Mari Berpesta - Elliza featuring Yogi B
Lagu ini adalah ciptaan Adnan Abu Hassan dan Firhad sementara liriknya ditulis oleh Mable Lew dan Yogi B. Maka tidak hairanlah lagu ini menjadi sebegini kerana Firhad memang suka kepada lagu yang berkonsepkan fast-music seperti ini. Sebuah lagu ceria dari Elliza. Memang sedap lagu ini. Kali pertama saya mendengar lagu ini adalah sewaktu wawancara dengan Rizal XFresh di Studio XFreshFM. Waktu itu saya tidak mengendahkan lagu tersebut kerana sedang bergelak ketawa angkara fitnah Rizal XFresh. Saya akui konsep sebegini sesuai dengan keceriaan Elliza. Sedangkan Klubbkidd juga menumpukan pendengarannya kepada pembesar suara untuk mendengar melodi lagu tersebut dengan teliti untuk menilai produksinya. Saya merasakan lagu ini sebuah lagu yang baik dari Elliza cuma gelak di penghujung lagu tersebut sekiranya ditiadakan tentunya lebih menarik rasa saya.
03 Kau Inspirasiku - Fuad
Pertama kali mendengar lagu ini saya sudah terpikat dengan melodinya. Melodinya agak kuat pengaruh etniknya dengan irama-irama muzik Cina(saya suka mendengar alat muzik Cina walaupun saya Melayu). Mendengar vokal Fuad lebih mengasyikkan. Lagu ini lebih kepada konsep Zainal Abidin bercampur dengan Hasnul yang satu ketika dahulu terkenal dengan lagu-lagu berkonsepkan etnik dan world music. Dengan rentak yang lebih perlahan, lagu ini menjadi lebih menarik apabila dapat membuai pendengaran saya. Satu ciptaan yang unik oleh Adnan Abu Hassan dan Faris. Saya mengenepikan prejudis saya terhadap attitude beliau dan tetap merasakan lagu ini adalah lagu terbaik dalam koleksi trilogi Akademi Fantasia 3 kali ini.
04 Berdebar-Debar - Amy
Konsep yang lebih kurang dengan lagu Kau Inspirasiku dan Mari Berpesta. Lagu ini telah dicipta oleh Adnan Abu Hassan dan Firhad serta liriknya ditulis oleh Faris. Saya suka juga muzik sebegini yang agak keras temponya pada bahagian korus. Lagu berentak pop-rock ini agak unik kerana ada gabungan etnik. Persembahan vokal Amy lebih baik dalam lagu sebegini. Keupayaan vokalnya tidak dikerah seteruk lagu Idayu yang terlalu dibuat-buat. Vokal Amy lebih sederhana dalam lagu ini. Lagu-lagu begini lebih segar dan lebih kena dengan konsep penampilan Amy sendiri.
05 Takkan Ku Lali - Reza
Muzik Takkan Ku Lali agak advanced dan mempunyai sedikit suntikan muzik Indonesia. Lagu ciptaan Any Flop Poppy dan lirik oleh Ad Samad juga agak sesuai dengan konsep funky yang dibawakan oleh Reza. Mungkin lagu ini perlu didengar beberapa kali untuk membuatkan saya terpikat dengan lagu ini. Lagu ini agak terkebawah bukan kerana melodinya yang tidak sedap tetapi kerana lagu ini tidak dapat menangkap pendengaran saya pada kali pertama saya mendengarnya.
EVO ’05 [02]
01 Warkah Berlagu Pilu - Felix
Pertama kali saya mendengar lagu ini sewaktu didendangkan oleh Felix di Final Akademi Fantasia 3. Kita dapat lihat bagaimana sukarnya Felix membawakan lagu ciptaan Adnan Abu Hassan dan Faris itu. Lagu ini saya akui begitu indah untuk didengar. Sayang sekali nyanyian Felix seakan-akan tidak mampu sampai pada bahagian yang tinggi. Nyanyian Felix kedengaran agak tersiksa dalam lagu ini. Kita pernah terhibur dan terpesona dengan nyanyiannya untuk lagu Cinta Seorang Teman dan sentiasa mengharapkan lagu-lagu sedemikian dibawakan oleh Felix.
02 Untuk Terakhir Kali - Marsha
Sebuah lagu yang kena dengan jiwa Marsha. Lagu ini adalah ciptaan Sharon Paul dan lirik oleh Mohariz Yaakup. Satu kelebihan Marsha yang telah dibawa ke dalam lagu ini ialah penjiwaan beliau. Penyampaiannya dilakukan dengan begitu baik sekali. Lontaran vokalnya serta penyampaian makna lirik dilakukan dengan tepat. Saya pernah mendengar Marsha membawakan lagu ini dengan begitu cemerlang sekali di Rakaman Dari Studio Satu Akademi Fantasia 3. Sememangnya lagu tersebut kena dengan jiwanya dan body language Marsha sewaktu membawakan lagu tersebut juga bagus.
03 Percaya Pada Cinta - Akma
Selalunya agak sukar untuk saya menyukai lagu ciptaan Ajai dan Nurul. Tetapi berbeza dengan lagu ini. Ia adalah sebuah lagu yang bersesuaian dengan vokal Akma. Keupayaan Akma membawakan lagu ini dengan baik mungkin disebabkan liriknya yang agak berkait-rapat dengan apa yang berlaku di dalam Akademi Fantasia beberapa bulan yang lalu. Maka penyampaian Akma lebih jujur dalam nyanyiannya itu. Saya telah mendengar Akma membawakan lagu tersebut secara langsung di Gathering A Moment With Akma beberapa minggu yang lalu dan telah disampaikan dengan baik dan mendapat tepukan gemuruh dari para peminatnya.
04 Bersama Mu - Aidil
Aidil menyerlahkan bakatnya dalam mencipta lagu apabila membawakan lagu ciptaannya sendiri sambil dibantu oleh Iman Wan untuk mencantikkan lagi lagu tersebut. Liriknya juga ditulis oleh Aidil. Selera saya pada muzik lebih kepada lagu-lagu sebegini. Lagu Bersama Mu amat minima penggunaan instrument pada permulaannya dan mampu membuai perasaan untuk saya lebih menghayati liriknya. Saya juga pernah mendengar Aidil membawakan lagu ini secara langsung di Brunch With Aidilistic beliau dan telah disampaikan dengan penuh perasaan. Lagu-lagu sebegini sesuai dengan vokal Aidil kerana beliau mempunyai vokal seakan-akan dalam kelompok Rem dan Sudirman Hj Arshad.
05 Kasih Yang Terpisah - Idayu
Lagu ini pula mengeksploitasi kelebihan vokal Idayu secara maksima. Bersandarkan lagu-lagu bernada tinggi sebegini tidak begitu memikat pendengaran saya, maka agak sukar untuk saya menyukai lagu ini. Idayu perlu diserlahkan dalam situasi yang tidak terlalu dibuat-buat. Lagu sebegini sukar untuk menarik perhatian pendengar untuk menyukai Idayu. Sekiranya lagu yang lebih ballad diberikan kepada Idayu dan tidak begitu cuba untuk menyerlahkan kehebatan vokalnya, tentunya pendengar akan lebih menghargai bakat Idayu. Lagu ini adalah ciptaan Adnan Abu Hassan dan lirik oleh Mohariz Yaakup.
EVO ’05 [03]
01 Ku Berserah - Amylea
Persembahan Amylea untuk lagu ini juga agak baik. Nyanyiannya bertenaga. Melodi lagu ini juga berkeupayaan untuk menyerlahkan kredibiliti vokal beliau ke tahap paling maksima. Amylea perlu memperbaiki intonasinya agar nyanyiannya lebih jelas di masa akan datang. Teknik vokal Amylea menyerlah dalam lagu ini. Lagu ini telah dipersembahkan dengan cemerlang oleh Amylea. Lagu ini adalah ciptaan sepenuhnya oleh Adnan Abu Hassan.
02 Merah Warna Cinta - Yazer
Pertama kali saya mendengar lagu ini adalah sewaktu Malam Apresiasi Bersama Yazer yang didendangkan secara unplugged. Mungkin kerana sudah biasa mendengar Yazer jamming secara solo di Akademi maka apabila lagu ini dibawakan dalam iringan pemuzik kedengaran agak janggal. Sebuah lagu yang agak keras pengaruh slow-rocknya untuk menyesuaikannya dengan konsep Yazer sendiri. Penyampaian Yazer untuk lagu ini juga telah menyerlahkan lagi persembahan vokal beliau. Saya dapat mendengar dengan jelas vokal yazer berbanding sewaktu beliau di dalam Akademi Fantasia. Lagu ini adalah ciptaan Ajai dan lirik oleh Nurul.
03 Jangan Berjanji - Ekin
Bermulanya lagu ini sudah cukup mengasyikkan. Iringan piano sudah cukup indah. Persembahan vokal Ekin juga cukup meyakinkan. Lagu ini seakan-akan membawa saya ke satu dunia lain yang penuh dengan rasa gothic. Entah kenapa tetapi ada sesuatu dalam lagu ini yang mengingatkan saya kepada unsur-unsur itu. Mungkin kerana bunyi piano yang meremangkan bulu roma. Nyanyian solo Ekin dalam iringan piano benar-benar menggerunkan. Lagu ini adalah ciptaan Ajai dan Nurul.
04 Kembali Padamu - Kefli
Sebuah lagu yang biasa yang telah dicipta oleh Ajai dan lirik oleh Nurul. Persembahan nyanyian dari Kefli masih boleh dibaiki. Saya merasakan intonasi Kefli boleh dibaiki di masa hadapan. Sebutan seperti “ada” dan bukannya “yada” agak merimaskan. Sebuah lagu yang berentak agak ballad dan berjaya disampaikan oleh Kefli dengan bersahaja. Ciptaan lagu ini tidak cukup kuat untuk menyerlahkan kehebatan penyampaian Kefli dalam lagu-lagu sebegini.
05 Medley Bertahkta Di Hati…Antara Matamu Dan Mataku - Felix & Akma
Mengapa saya letak lagu ini dalam kedudukan terakhir adalah kerana penyampaian Akma dan Felix tidak menepati kehendak saya. Jiwa yang diberikan pada saya masih kurang berbanding sewaktu persembahan Konsert Akademi Fantasia. Macam kurang penghayatan. Saya sedar wujudnya chemistry pada kedua-dua penyanyi ini. Mereka bagaikan serasi apabila membawakan lagu ini. Saling melengkapi antara satu sama lain. Pada saya nyanyian mereka secara langsung lebih berharga untuk ditonton. Sementara lagu Antara Matamu Dan Mataku juga agak klise. Bukankah lebih baik sekiranya sebuah ciptaan baru dapat dihasilkan untuk pasangan ini. Tentunya lebih memukau dan merangsang jiwa.
Ranking Pilihan sultanmuzaffar
01 Kau Inspirasiku - Fuad
02 Percaya Pada Cinta - Akma
03 Jangan Berjanji - Ekin
04 Warkah Berlagu Pilu - Felix
05 Aduh Saliha - Mawi
06 Berdebar-Debar - Amy
07 Untuk Terakhir Kali - Marsha
08 Mari Berpesta - Elliza featuring Yogi B
09 Merah Warna Cinta - Yazer
10 Bersama Mu - Aidil
11 Ku Berserah - Amylea
12 Kasih Yang Terpisah - Idayu
13 Takkan Ku Lali - Reza
14 Kembali Padamu - Kefli
15 Medley Bertahkta Di Hati…Antara Matamu Dan Mataku - Felix & Akma
Ulasan lain berkenaan EVO '05 boleh dibaca di Javardkent. Ulasan Salam Raya Akademi Fantasia 3 akan dibuat pada utusan yang akan datang.
Ulasan Gubra : Hati Terdetik, Minda Terlihat, Mata Bersuara dan Telinga Berfikir
Saya menerima pelawaan Nizam Zakaria pada jam 7 petang sebelum waktu berbuka untuk sama-sama hadir ke tayangan Gubra rough cut di Leo Burnett jam 8 malam. Saya lupa tentang berbuka dan saya terus menyiapkan diri untuk bergegas ke sana. Oleh itu saya mohon maaf sekiranya ada yang terasa saya tidak mengajak mereka bersama saya untuk tontonan tersebut. Saya pun hanya sekadar menerima pelawaan orang. Pada saya, menonton filem itu menjadi prioriti saya ketika itu. InsyaAllah sekiranya ada tayangan yang lain saya akan bawa beberapa sahabat saya untuk sama-sama merasai apa yang saya rasa semalam. Saya tiba di Leo Burnett dan menjamah jamuan yang disediakan. Hidangan Gubra lebih mengenyangkan dari berbuka puasa.
Saya baru pulang menonton Gubra versi rough cut di Leo Burnett. Seperti Fadz, setiap adegan masih terbayang-bayang di dalam kotak fikiran saya dan menghantui diri saya. Deria saya menjadi kacau. Hati saya terdetik, minda saya tiba-tiba terlihat, mata saya bersuara dan telinga saya berfikir. Semuanya bercampur-aduk kerana Gubra. "Jangan banyak fikir, rasa sahaja." kata Yasmin Ahmad. Saya duduk dua jam dan merasainya. Dalam ketawa pada jenaka yang dilontarkan, hati saya terfikir, minda saya terdetik. Setiap deria saya merasainya. Tersentuh pada setiap adegan yang terpapar di layar putih itu tadi. Mengenangkan nasib yang bakal menimpa pada sesetengah adegan yang baru saya tonton. Menghubungkaitkan kegubraan keluarga Orked dengan keluarga saya. Menyatukan perasaan tenang dan sayu pada keluarga Bilal dan persekitarannya yang kotor. Menyelami perasaan Orked dan persekitarannya yang berkecamuk. Serta kembali ke dunia Sepet setelah beberapa bulan saya tinggalkan. Imej-imej itu kekal dalam minda saya sekarang.
Gubra membawa penonton untuk melihat secara dasar tentang apa yang berlaku di sekitar dua buah keluarga iaitu keluarga Bilal dan keluarga Orked. Dua cerita ini berlaku secara berasingan tetapi dalam masa yang sama. Keluarga Bilal berhadapan dengan pemasalahannya yang tersendiri dalam menangani isu hubungan mereka dengan persekitaran dua orang pelacur. Manakala keluarga Orked perlu berhadapan dengan pemasalahan keluarga Orked itu sendiri, keluarga Jason dan hubungan dengan suaminya.
Saya pernah berkata, saya mahu menonton sebuah filem yang simple tidak perlu cerita-cerita yang berbelit-belit. Masalah utama filem Melayu adalah ceritanya. Walaupun Gubra mempunyai banyak sub-plot untuk dihuraikan satu-persatu, tetapi setiap adegan diarahkan dengan begitu cemerlang sekali oleh Yasmin Ahmad dan kerja-kerja suntingan dilaksanakan dengan baik oleh Afandi Jamaluddin.
Lebih-lebih lagi kebanyakan watak dan perwatakan telah diterangkan di dalam Rabun dan Sepet sebelum ini dan memungkinkan penonton mendapat pemahaman yang lebih jelas di dalam Gubra.
Diteliti dari aspek lakonan, keseluruhan pelakon Gubra telah memberikan sepenuh jiwa mereka dalam lakonan mereka. Namron cemerlang sebagai seorang Bilal dan ketua keluarga yang mempunyai hati yang mulia. Nur Khairiah yang memegang watak sebagai Mas iaitu isteri Bilal sebenarnya merupakan kekuatan utama filem ini. Lakonan beliau begitu hebat. Beliau pernah kita tonton sebagai Orked dalam Rabun. Sementara Rozie Rashid dan Juliana Ibrahim berperan sebagai pelacur dan menjadi simbol gelap dalam filem ini.
Sementara Sharifah Amani mengekalkan standard elit beliau dalam Sepet ke dalam Gubra dan telah memberikan lakonan yang outstanding ! Adegan terbaik beliau adalah sewaktu perselisihan faham dengan suaminya. Begitu terkawal sekali lakonan beliau dan amat konsisten emosinya. Harith Iskander dan Ida Nerina telah memberikan lakonan yang memuaskan dan seakan pelengkap kepada filem ini. Malangnya saya kurang menggemari lakonan Adlin Aman Ramlie. Mungkin kerana gaya berdirinya dan kedudukan tangannya agak stereotype. Sama sahaja dalam teater atau filem beliau sebelum ini. Mungkin posturenya sahaja stereotype tetapi emosinya jelas berbeza dalam filem ini. Setiap pelakon saling melengkapi antara satu sama lain dalam permainan watak masing-masing.
Adegan paling menarik bagi saya adalah sewaktu pertindihan adegan antara laungan azan, sepasang keluarga Cina sedang bersembahyang di depan tokong cina, seorang bapa dan anaknya bersembahyang di gereja, dua orang perempuan (siapa mereka ? tonton filem ini kelak)bersembahyang di masjid. Hanya rakyat Malaysia yang berakal waras sahaja yang mampu menghasilkan filem sebegini kerana kepelbagaian bangsa yang ada di Malaysia dan juga hanya rakyat Malaysia yang berakal matang sahaja yang mampu menerima adegan sebegini ditontonkan kepada mereka tanpa rasa prejudis.
Adegan ini sangat indah lebih-lebih lagi dalam bacaan azan, bacaan Quran dan bacaan Bible dalam maksud yang sama saling bertukaran dalam adegan tersebut. Hanya di Malaysia sahaja kita boleh tengok adegan ini.
Setiap adegan menjentik minda saya untuk berfikir sejenak apa kesannya kepada penonton filem ini. Seawal 5 minit pertama filem ini ditayangkan, adegan seorang Bilal (Namron) menyentuh seekor anjing berkaki tempang di tepi jalan dalam perjalanan menuju ke Surau pada waktu Subuh sudah membuatkan perbincangan selepas menonton filem itu berlarutan sehingga jam 11.30 malam.
Tentunya persoalan halal haram akan menjadi permainan di kotak fikiran sesetengah penonton, paling tidak pun kepada panel yang menduduki kerusi panas Lembaga Penapisan Filem (LPF).
Gubra membawakan persoalan yang lebih besar terutamanya tentang agama, bangsa dan negara. Jawapannya ada pada kita. Minda kita harus bekerja apabila menonton filem sebegini. Gubra bercakap tentang banyak perkara. Gubra turut menyelitkan tentang persoalan bangsa. Bagaimana sifat prejudis sentiasa menyelubungi manusia. Perbezaan bangsa atau kaum sering menjadi masalah utama yang tidak pernah selesai. Agama adalah sesuatu yang suci dan kepercayaan masing-masing adalah merupakan tunjang kekuatan iman seseorang dan tidak wajar untuk dipersoalkan. Kepercayaan masing-masing sebenarnya membawa kepada aspek positif dalam kehidupan mereka sendiri.
Penamat filem ini bakal sekali lagi menjadi perbualan hangat sapa seperti yang berlaku dalam filem Sepet. Mungkin ada yang tersenyum dan mengimpikan kehidupan sempurna sedemikian. Tidak wajar saya ulas lanjut tentang penamat filem ini dan anda harus tonton sendiri filem kelak. Saya merasakan ini adalah hasil Yasmin Ahmad yang terbaik dan wajar ditonton oleh setiap lapisan masyarakat yang ingin belajar mengenali agama dan budaya di Malaysia. Filem ini mendidik erti perpaduan antara kaum tanpa ada rasa prejudis.
Tentu sahaja pembikin filem arus perdana bakal wajib merasa gubra dengan kemunculan filem Gubra. Filem ini sebuah filem yang besar buat Malaysia, ia adalah satu cenderamata yang paling berharga dari Yasmin Ahmad untuk agama, bangsa dan negaranya.
Penilaian Awal sultanmuzaffar (versi rough cut)
Rating : A-
Arahan : A+
Lakonan : A
Suntingan : A-
Skrip : A-
Sinematografi : A-
Arahan Seni : A-
Muzik Latar : B
Adibah Noor - Terlalu Istimewa 3.4/5 bintang
Sememangnya Adibah Noor terlalu istimewa. Beliau mempunyai bakat nyanyian yang hebat walaupun kurang menyerlah di sebalik nama-nama bintang Akademi Fantasia yang tumbuh cendawan selepas hujan. (Maksud sebenarnya ialah tumbuh seperti cendawan selepas hujan. Tetapi kalau tumbuh cendawan selepas hujan pun boleh juga. Perkataan yang sama, maksud yang berbeza sama sekali. Tetapi cukup sinis. Kredit : Ted) Namun demikian, beliau tidak patah semangat. Berbekal pendapatan yang diperolehi olehnya melalui persembahan makan malam, konsert dan lain-lain sepanjang bergelar artis, beliau melaburkan wang tersebut untuk pembikinan album Terlalu Istimewa ini.
Adibah Noor selaku Penerbit Eksekutif album ini mempunyai pasukan yang terdiri daripada nama besar persada muzik tempatan. Nama seperti Azlan Abu Hassan (beliau pernah menghantar email kepada saya kerana komen saya yang agak pedas terhadap kerja beliau dalam album Jaclyn Victor), Jock Chew, Mohariz Yaakup (penulis lirik lagu Untuk Terakhir Kali) dan Badrul “The Muffin” selaku Penerbit untuk album ini.
Unik kulit album ini kerana menampilkan Adibah di sebuah funfair telah direkabentuk oleh Nizam Rahmat dari Ad.Verse dan Din juga dari Ad.Verse. Mereka pernah memenangi pelbagai anugerah di Anugerah Industri Muzik dalam kategori Kulit Album Terbaik. Funfair sering digambarkan sebagai sebuah taman permainan. Penuh dengan lampu-lampu berkelipan dari merry go round yang berpusing. Giant Wheel pula melengkapkan sebuah funfair. Dalam sebuah funfair, objek utama yang perlu ada tentulah Giant Wheel atau ferris wheel. Pancaran neonnya bergemerlapan. Saya boleh mengibaratkan funfair itu seperti industri hiburan dan Giant Wheel itu ialah Adibah Noor. Industri hiburan menjadi tidak lengkap tanpa Adibah Noor, begitulah funfair menjadi tidak lengkap tanpa Giant Wheel. Tetapi mengapa funfair itu kosong ? Keseronokan di funfair itu tidak berpanjangan. Apakah sesuatu yang indah itu tidak mampu menarik pengunjung untuk sama-sama merasai keseronokannya ? Begitu juga digambarkan untuk Adibah Noor. Beliau ibarat pelengkap dalam dunia hiburan tempatan. Beliau mempunyai vokal yang hebat dan mula mencipta nama sejak memenangi sebuah pertandingan nyanyian Suara 90an Nescafe pada tahun 1994 tetapi tidak mendapat perhatian yang sewajarnya. Bakatnya seakan dipinggirkan. Itulah yang saya terjemahkan pada kulit album beliau ini.
Antara lagu-lagu yang menarik perhatian saya ialah lagu Fantasia Sebuah Cinta, Joget Hati Senang, Terlalu Istimewa dan Pengorbanan. Terlalu Istimewa lebih indah apabila ditujukan buat adik Nurul Huda (10 tahun) yang menjadi mangsa rogol yang kemudiannya telah dibunuh dan mati kerana kekejaman sesama manusia. Penyampaian Adibah Noor lebih jujur dalam lagu ini. Ia telah disampaikan dengan penuh perasaan. Saya ingin sekali mendengar versi live pula selepas ini. Tentunya lebih bersemangat dan penuh penghayatan.
Mengapa saya suka Putih ? Putih sebuah lagu yang easy listening. Melodinya agak catchy. Saya sememangnya jenis yang suka sesuatu yang simple. Macam lagu ini lebih simple dan senang bila mendengar lagu tersebut. Rentaknya agak moderate tidak terlalu perlahan dan tidak begitu rancak.
Pengorbanan merupakan sebuah lagu nyanyian semula oleh Adibah Noor yang turut dimuatkan dalam album ini. Lagu Pengorbanan merupakan nyanyian asal Azlina Aziz dan Liza Aziz yang telah memenangi tempat ketiga dalam pertandingan Asia Song Festival pada tahun 1999 di Kuala Lumpur.
Entah di mana silapnya, sudah jarang benar pertandingan nyanyian yang melibatkan Asia atau ASEAN seperti ABU Golden Kite Song Festival, Asia Song Festival, ASEAN Song Festival, ASEAN Pop Song Festival dilangsungkan di sini atau pun di mana-mana negara sekitarnya. Saya masih ingat lagi sewaktu Wah Idris (sekarang Datuk) memenangi ABU Golden Kite Song Festival dengan lagu OK pada tahun 1985. Bayangkan pada umur 11 tahun minat saya terhadap muzik semakin bercambah.
Masih ingat dengan lagu Ikan Di Laut Asam Di Darat yang tersiar di dalam sebuah iklan Petronas sewaktu perayaan Aidilfitri & Deepavali tahun lepas ? Lagu tersebut dimuatkan juga di dalam album ini dan dinyanyikan oleh Adibah dalam nafas baru. Sebuah remake yang segar dan kena pada masanya. Bapa saya suka lagu ini. Ya, tentunya versi asal. Saya tidak pasti sama ada beliau akan menyukai versi nafas baru lagu ini. Pernah beliau mencemuh Anuar Zain merosakkan lagu Jeritan Batinku dalam sebuah rancangan hiburan yang ditayangkan sempena Tribute kepada P.Ramlee.
Entah kenapa saya teringat kepada lagu-lagu dari Amy Mastura apabila mendengar lagu Begitulah Asmara. Melodinya kuat pengaruh pop Amy Mastura yang popular satu ketika dahulu. Lebih menjurus kepada lagu-lagu zaman drama bersiri Cinta Korporat. Berbeza dengan lagu Fantasia Sebuah Cinta yang lebih minima penggunaan instrumen dan menyegarkan pendengaran apabila mendengar lagu sebegini. Saya lebih suka lagu-lagu sebegini dimuatkan dalam albumnya yang akan datang. Lebih fokus kepada vokal dan muzik iringan yang bersesuaian.
Lagu berentak balada pula bertajuk Fantasia Sebuah Cinta, Terlalu Istimewa, Pengorbanan dan Hanya Restu. Manakala lagu Ikan Di Laut Asam Di Darat lebih kepada sebuah lagu remake yang segar daripada Adibah Noor. Antara lagu yang agak rancak termuat dalam album ini ialah Detik Itu, Putih, Joget Hati Senang (etnik kreatif), Kelabu, Begitulah Asmara dan Terlalu Hina (rock).
Apa yang boleh saya katakan ialah album ini terkandung lagu dari pelbagai jenis genre. Album ini album rojak. Ada lagu balada, lagu rock, jazz, lagu etnik kreatif, lagu lama yang dirakam semula dalam gaya yang lebih segar dan lagu pop. Persembahan vokal Adibah Noor sudah cukup baik untuk album sulung ini tetapi saya belum puas mendengarnya kerana keupayaan vokal Adibah Noor boleh pergi lebih jauh daripada apa yang telah dihasilkan ini. Saya mengharapkan album keduanya nanti akan memerah seluruh kehebatan vokal beliau secara maksima macam bagaimana Yasmin Ahmad memerah seluruh jiwa Adibah Noor sebagai Yam dalam Sepet. Saya tetap pasti vokal Adibah Noor boleh pergi lebih jauh daripada apa yang telah saya dengar sekarang.
Track Lagu
1. Detik Itu
2. Putih
3. Fantasia Sebuah Cinta
4. Joget Hati Senang
5. Terlalu Istimewa
6. Kelabu
7. Ikan Di Laut Asam Di Darat
8. Pengorbanan
9. Begitulah Asmara
10. Hanya Restu
11. Terlalu Hina
Lagu-lagu secara minus one juga boleh didapati di dalam album ini. Ia terdiri daripada lagu Joget Senang Hati, Terlalu Istimewa, Kelabu, Ikan Di Laut Asam Di Darat, Pengorbanan dan Begitulah Asmara. Siapa yang teringin menjadi Adibah Noor atau bersiap sedia untuk Akademi Fantasia 4, bolehlah berlatih menggunakan minus one yang ada di dalam album ini.
Khabarnya lagu ini sedang mendahului carta jualan di Tower Records Kuala Lumpur. Semoga apa yang dilaburkan oleh Adibah Noor berjaya mendapat pulangan yang sewajarnya. Jika anda ingin mendapatkan album ini bolehlah mendapatkannya di Tower Records KLCC atau mana-mana cawangan The Store dan Ms Read atau email sahaja kepada Adibah Noor Entertainment di alamat adibah_noor(at)yahoo(dot)com.
Ranking Pilihan sultanmuzaffar
1. Terlalu Istimewa
2. Fantasia Sebuah Cinta
3. Putih
4. Pengorbanan
5. Joget Hati Senang
6. Hanya Restu
7. Ikan Di Laut Asam Di Darat
8. Detik Itu
9. Begitulah Asmara
10. Kelabu
11. Terlalu Hina
Artikel 10 Things You Didn't Know About : Adibah Noor oleh Yeang Soo ChingSenarai Pengedar Album Adibah Noor : Klik & Skrol ke Bahagian Paling Bawah (Maaf, senarai ini rupanya pengedar Suara Keadilan.)
Ada satu topik menarik. Saya sempat chat dengan salah seorang sahabat merangkap pembaca merangkap mak ayam saya sendiri iaitu Cikanos. Kata beliau, kenapa saya tidak tulis blog menggunakan bahasa yang sering digunakan oleh Mat Jan atau Tok Rimau. Saya memang akan sekali-sekala menulis dalam gaya bahasa yang agak lucu seperti artikel berkenaan Blogger di XFresh !. Tetapi saya tidak akan menulis menggunakan gaya lucu itu sampai bila-bila. Hanya sekali-sekala sahaja. Gaya tersebut lebih sinonim dengan Mat Jan atau Tok Rimau dan saya sendiri merupakan salah seorang peminat Mat Jan. I mean tulisan Mat Jan. Kadang-kadang selepas membaca apa sahaja yang Mat Jan tulis, saya pasti akan menghentak meja sambil berkata “Damn, kenapa aku tak pernah terpikir apa yang dia tulis tu dulu !!” dengan perasaan yang amat cemburu sekali. Kadang-kadang letak komen pujian pun dengan niat yang tidak ikhlas. Tapi itulah kelebihan Mat Jan atau pun Tok Rimau. Menulis dalam gaya bahasa lucu ini memerlukan daya ketahanan yang tinggi. Sesetengah pembaca tentu akan menganggap ia sebagai satu tulisan yang riak walaupun sebenarnya itu bukan niat penulis. Itulah yang saya anggap pada Mat Jan seawal waktu saya mengenali blognya. "Riak gila budak ni, exam dapat A berderet pun nak bagitahu semua orang." Bayangkan sekiranya saya menulis "Well, Ada juga ya peminat Felix yang nak jadi popular. Kalau macam tu kenalah tunggu tiga tahun macam sultanmuzaffar. Usaha kena gigih, populariti tidak datang sekelip mata, dik !" Maka akan berduyun-duyunlah anti-sultanmuzaffar melawat blog ini dan mencaci ayat entri tersebut. Berbalik kepada blog Mat Jan, lama kelamaan saya sudah boleh menerima jenis penulisan sebegitu lebih-lebih lagi setelah mengenali penulisnya secara dekat. Lagipun saya mahu diberi peluang untuk menjadi diri saya sendiri. Saya selesa dengan bahasa kamus Dewan Bahasa dan Pustaka dan akan terus kekal sebegitu. Sekali-sekala riak atau berkelakuan lucu, harap dimaafkan.
Hari ini seharian saya bermain dengan Google Earth. Apa yang boleh saya perkatakan, aplikasi Google Earth memang sebuah aplikasi yang hebat. Saya boleh meninjau tempat-tempat yang tidak pernah saya lawati dan merasai suasana persekitarannya seperti berada di sana. Saya tentunya menghabiskan banyak masa di Kuala Lumpur dan kawasan sekitarnya. Dari satu bandar ke satu bandar saya lawati.
Saya ada terdengar juga keluhan sesetengah pihak sewaktu aplikasi ini dilancarkan. Kegusaran mula timbul apabila sesetengah pihak merasakan aplikasi ini bakal memudahkan pengganas untuk merancang serangan mereka terhadap sesebuah lokasi. Saya mengambil contoh Amerika Syarikat yang mana resolusi lokasi seperti New York, Los Angeles, San Francisco agak tinggi resolusinya. Saya dapat melihat dengan jelas jalan-raya, kereta, rumah, bangunan serta premis-premis di bandar tersebut. Sekiranya saya seorang pengganas, saya akan menggunakan aplikasi Google Earth sebagai peta untuk merancang serangan ke atas sesebuah lokasi.
Aplikasi Google Earth ini masih di fasa beta, maka tidak semua kawasan boleh dilihat secara terperinci. Malaysia contohnya, masih Kuala Lumpur dan sekitarnya sahaja yang boleh diterokai secara lebih terperinci. Selain daripada itu, separuh daripada Shah Alam, Subang, Petaling Jaya, Ampang, Sg Besi, Serdang, Kajang, Putrajaya boleh kelihatan dengan jelas. Kawasan selain daripada itu tidak dapat kelihatan.
Saya ada merakamkan beberapa lokasi yang menarik untuk kita sama-sama tinjau. Gambar adalah kredit untuk Google Earth. Dan disertakan beberapa lokasi untuk diteka. Silalah...
Kg Baru
Pertemuan Dua Sungai
Perumahan Duta di Jalan Ampang
Persekitaran Lorong Haji Taib
Lokasi 01 : (klu: Wira bermastautin di sini)
Menara Berkembar Petronas dan Taman KLCC
Lokasi 02 : (klu : baru berkahwin dengan anak Tun Razak)
Gagah Guard di Wisam !!
Lokasi 03 : (klu : sakit hati tiada dalam perkhidmatan)
Pasar Ramadhan bertukar lokasi. Jauh sedikit tahun ini
Pemilihan Peserta Soccastars Malaysia - Kelana Jaya
Pemilihan peserta Soccastars Malaysia telah diadakan di Kompleks Sukan PKNS pada hari Sabtu dan Ahad lalu. Pemilihan ini telah mendapat sambutan ramai serta menggalakkan. Rata-rata kebanyakan peserta terdiri dari golongan remaja. Mereka menunggu sejak pukul 7 pagi lagi. Dianggarkan seramai 600 peserta telah berjaya mendaftarkan diri pada hari Sabtu tersebut.
Para peserta diuji dalam empat jenis kemahiran :
1. Kemahiran mengelecek
2. Kemahiran hantaran dekat
3. Kemahiran rembatan ke arah gol
4. Kemahiran sprinting atau pecutan
Para peserta yang terpilih ke peringkat kedua akan diberikan kad hijau manakala yang tidak bernasib baik akan menerima kad merah. Format yang sama dalam Akademi Fantasia. Pemilihan ini mempunyai 4 peringkat dan bersambung ke hari Ahad. Hari kedua menyaksikan para peserta perlu menjalani ujian kemahiran yang lebih sukar. Ketahanan stamina serta kawalan bola telah diterapkan kepada setiap peserta. Kebanyakkan para peserta tidak mempunyai teknik kawalan bola yang baik dan ada juga di antara peserta yang saya lihat mempunyai kemahiran-kemahiran serta teknik yang menarik.
Pastikan anda tidak ketinggalan untuk menonton program baru terbitan ASTRO ini. Banyak kejutan yang bakal dihidangkan kepada penonton. Belum puas dengan AFXtra, pastikan anda tidak ketinggalan untuk menonton klip eksklusif pemain bola sepak lelaki di tempat latihan mereka. Saya pun sudah tepu dengan Akademi Fantasia, boleh juga bertukar angin ke Soccastars Malaysia pula. Mengharapkan satu pembaharuan kepada dunia hiburan tempatan dalam menyuntik elemen sukan sebagai sebuah bentuk hiburan yang lain daripada yang lain. Selalunya sukan hanya sekadar pertarungan di padang atau gelanggang, tetapi kini sukan cuba dibawa ke dalam bentuk realiti untuk melihat di belakang tabir pembikinan seorang bintang. Mampukah Soccastars Malaysia menarik perhatian penonton ? Tunggu !
Artikel dan foto blog ini diedit dari blog KASC07. Terima kasih.
Blogger di XFresh !
Menerima panggilan dari Fara XFresh tidaklah begitu mengejutkan kerana sebelum ini saya agak selalu juga berbalas-balas email dengan beliau untuk mendapatkan gambar-gambar sempena gathering Mawi (siapa kata saya tak suka Mawi) dan juga kunjungan Marsha ke XFresh. Selalunya beliau akan mengajak saya untuk membuat liputan kunjungan-kunjungan artis yang datang bertandang ke studio XFresh. Tetapi kali ini saya diundang ke Studio sebagai tetamu. Menurutnya XFresh ingin menemuramah Malaysian Top Blogger. Bukan saya seorang, tetapi berempat. What ?? Siapa top blogger Malaysia selain dari saya ? Juan Danza katanya. Sudah berapa lama Juan Danza itu mempunyai blog ? Dua tahun ? Tiga tahun ? Empat tahun ?? Klubbkidd katanya lagi. Popular ke dia tu ? Ala, blogger yang lagi seorang itu pun popular kerana menumpang populariti AF. :) Termasuk Elkapitan. HAH !! Budak setahun jagung itu pun turut dijemput ?? Ini tidak boleh jadi. Badrul tiada ? Oh ! Badrul boleh buat sesi temuramah khas diri sendiri pada hari Sabtu atau Ahad di ERA. Dialah yang soal, dialah yang jawab, dialah yang putar lagu, dialah yang jawab panggilan, dia juga yang reka permintaan dan segala-galanya dia lah.
Xfresh XTopia dikendalikan oleh Rizal dan Burn. Tetapi pada hari ini hanya Rizal yang akan melayan karenah empat orang blogger gila, sentap, skema dan control macho di studio (sila pilih sendiri anda yang mana satu !). Sesi tersebut bermula agak lambat dan menyebabkan masa siaran saya semakin pendek angkara dua blogger yang perasan diva dan ratu tiba agak lewat. Oleh itu sesi pengenalan hanya saya dan Elkapitan sahaja yang buat. Sesi tersebut berakhir dengan aman walaupun agak kecoh sedikit kerana masing-masing cuba memberikan hujah masing-masing. Juan dapat satu pembesar suara, Klubbkidd dapat satu pembesar suara. Saya dan Elkapitan berkongsi pembesar suara dengan dua dayang istana di kiri dan kanan kami menjadi tukang kipas.
Sudah dua kali saya menjejakkan kaki ke studio XFresh. Teringin juga melihat dan mengetahui bagaimana dan apakah yang canggihnya dalam Studio tersebut. Saya sempat melihat senarai lagu yang telah siap disimpan dalam komputer. Aduh Saliha ?? Delete !! Warkah Berlagu Pilu tiada ?? Hahahaha ! Lagu Percaya Pada Cinta oleh Akma tiada lagi agaknya. Nak Akma Jugak !
Soalan yang panas katanya tetapi tidaklah begitu panas. Mungkin panas bagi Juan Danza yang diajukan soalan tentang nama sebenar dan cabaran berhadapan dengan komen-komen panas di blog. Satu Malaysia sudah tahu nama Juan Danza sekarang. Dan satu Malaysia juga menjadi saksi saya difitnah Rizal XFresh dan konco-konconya mengatakan saya peminat Elliza sebelum lagu barunya diputarkan.
Sempat sahaja seorang penganggur ini mempromosikan dirinya. Moga-moga ada CEO, Presiden, MD company yang besar-besar mendengar XFresh semalam. Entahlah, saya kurang berpuas hati dengan hasilnya semalam. Xfresh jadi macam tidak ceria, mungkin kerana saya terlalu skema menggunakan bahasa blog apabila bercakap. Tetapi saya merasa lebih selesa bercakap di radio berbanding di televisyen kerana pendengar tidak nampak apa yang berlaku melainkan jika mereka menonton WebCast. Saya rasa saya harus lebih ceria, happening, enjoy lagi untuk siaran radio yang mana para pendengarnya dalam lingkungan umur belasan tahun. Saya berharap peringkat umur yang saya letakkan untuk XFresh ini bukan merupakan satu insult buat XFresh. Berbanding salah seorang blogger itu yang mana side profilenya disamakan dengan Zahid. Lawak gila. I will keep that in mind sampai bila-bila. Now, you are not Zizan BeatTV, not even Nabil Mentor but Zahid AF2 ! Hahahaha ! Terimalah hakikat !
Pada pembaca lain yang ingin mengetahui kedudukan terkini Malaysian Top Blog, bolehlah melawat ke Portal Malaysian Top Blog. Jangan klik, tengok saja. Nanti menyumbang satu hits kepada mereka. Itu petua dari Juan Danza dan Klubbkidd.
Selesai sesi wawancara tersebut, Badrul menyertai kami di kafetaria. Habis segala rahsia dibongkar oleh Badrul termasuk permintaan palsu yang sekali lagi memfitnah saya untuk siaran ERA. Saya terlepas untuk menonton episod Hikmah semalam. Oppss ! Entah apalah yang terjadi kepada Ana, Adrian dan Arman semalam. Hari ini merupakan episod terakhir drama Hikmah. Saya akan membeli juadah berbuka cepat-cepat dan tunggu depan TV.
Jangan ambil serius sangat dengan artikel ini. Sekadar untuk berjenaka di bulan puasa. Siapa yang masih kuat godaan syaitan yang menghasut untuk terasa dengan artikel ini, sila beredar secepat mungkin. Kepada peminat Juan Danza, Klubbkidd dan Elkapitan, jangan boikot saya pula selepas ini. Trend sekarang ni, main boikot-boikot ! Takut juga !
Undilah lagu Kau Teristimewa oleh Zahid untuk Xfresh FM Sepuluh dan Carta Xfresh 20 ! Galeri Foto XFresh selalunya akan diupdate di sini, tetapi bila adalah di luar bidang kuasa saya. Silalah sentiasa refresh. Kualiti gambar saya tidak begitu memuaskan. Gambar lebih jelas boleh dilihat di blog Juan Danza. Dia ada jurugambar profesional pejabat yang dibuat macam harta sendiri. Saya kena ambil sendiri.
Artikel "Malaysia Top Bloggers" telah diupdatekan di Portal XFreshFM. Selain daripada itu artikel dari Fara XFresh dan saya sendiri telah diupdate di Blog XFresh.
Selamat Menyambut Bulan Ramadhan dengan ucapan, "Ada Puasa, Ada Raya, Ada Exam"
Artikel Tentang Blog di Sisipan IkonArtikel bertajuk "Blog..luahan hati alam maya" tulisan Diyanah Anuar ini tersiar di dalam sisipan IKON Berita Harian keluaran 1 Oktober 2005.
Ia semacam membaca Blog For Dummies sekiranya anda masih belum terdedah kepada dunia blog. Wawancara yang berlangsung hampir 2 jam itu meliputi banyak topik yang berkaitan dengan blog. Secara dasar menerangkan apakah itu blog, jenis-jenis blog, fungsinya, pengaruh blog dalam masyarakat serta kesan terhadap fenomena blog yang mula menular di Malaysia kini.
Di dalam artikel tersebut turut memetik kata-kata saya yang berbunyi “Saya berpegang kepada satu perkara; apa yang tidak boleh dilakukan offline, tidak boleh juga dilakukan online,” kata Muzaffar. Untuk pengetahuan semua, kata-kata tersebut saya petik dari blogger yang paling berpengaruh di Malaysia iaitu Jeff Ooi dalam salah satu entri blog beliau bertajuk "Peter Tan turns 'blog-buster'" di Screenshots. Ianya bukan datang dari saya sendiri.
Apabila ditanya tentang pencetus idea menghasilkan blog sendiri saya terus menjawab ia sebenarnya datang dari Bluehikari.com dan kemudian saya berbincang dan bertukar-tukar pendapat bersama rakan baik saya iaitu Nizam Zakaria untuk menghasilkan blog masing-masing.
Blog yang sering saya lawati setiap hari adalah BadrulAfterSix, Sekadar Media Picisan, Klubbkidd, Nizam Zakaria, Juan Danza, Afdlin Shauki, Jeff Ooi, Brand New Malaysian, BlogPisang, MakAndeh dan Kennysia.com.
Esok, jam 5 petang, Klubbkidd, Juan Danza, sultanmuzaffar dan Elkapitan akan bersiaran di XFreshFM.
A Moment Like This bersama Akma
MegaView Banquet
Menara KL
anjuran AkmaFC.net
Saya tiba keseorangan pada malam tersebut kerana ada seseorang itu yang sedang menunaikan tanggungjawabnya sebagai pelajar demi agama, bangsa dan negara. Saya bertemu Wink di lif dan tetamu-tetamu lain mula tiba. Ini kali pertama saya naik ke KL Tower. Bahagian yang paling tinggi pula. Sempat juga berbual-bual dengan Izreen, Cikanos, Leen dan Feli(nb)x. Banyak juga gosip dari saya yang perlu mereka update dan banyak juga gosip dari mereka untuk saya update. Sudah dua hari gathering ini berlangsung, tetapi tidak putus-putus komen yang boleh dibaca. Antara maklumat penting yang perlu diketahui oleh para peminat Akma ialah album EVO 02 yang memuatkan lagu Percaya Pada Cinta akan dipasarkan pada minggu ini. Selain daripada itu, album EVO 03 yang memuatkan lagu duetnya bersama Felix yang bertajuk Bertakhta Di Hati dan sebuah lagu duet evergreen dendangan Hail Amir dan Uji Rashid.
Majlis dimulakan dengan bacaan doa oleh bapa Akma sendiri dan kemudiannya ucapan oleh Badrul selaku Penasihat AkmaFC.net. Teks ucapan beliau boleh dibaca di blog BadrulAfterSix. Akma seterusnya menyampaikan ucapannya. Turut hadir pada malam tersebut ialah M.Nasir, Marlia Musa, Dr. Azahari, Hasrul dan Anita dari KL Tower. Majlis telah dipengerusikan oleh Rostam dari ERA. Majlis pelancaran Website AkmaFC.net telah dilancarkan oleh Akma dan bekas Pengetua Akademi Fantasia iaitu M.Nasir. Majlis malam tersebut juga telah ditaja oleh Menara KL, Kukubar, Coffee Bean dan Radiance. Semuanya kroni. :)
Pertamanya, makanan malam tersebut sememangnya pedas. Hangat juga lidah ini menahan kepedasan. Rasanya kehangatan makanan pada malam itu umpama hangatnya …(JU sila sambung). Keduanya, tema pakaian pada malam tersebut ialah biru dan putih. Sama macam pakaian Felix semasa membawakan lagu Aku Semut Merah. Hampir semua hadirin sporting dengan mengenakan pakaian mengikut tema. Saya pakai tshirt warna biru kehitaman walaupun nampak macam hitam.
Hayati lirik lagu single dari Akma ini dan pasti ada yang tersenyum sendirian.
Percaya Pada Cinta
Semenjak pertemuan itu
Kurasa hadir sesuatu
Bagai pelik rasa di hati
Berdegup hatiku ini
Mungkinkah ini rasa kawan
Atau sebaliknya
Tapi aku kian merasa
Ada cinta di dalam hati
chorus
Kubiarkan cinta ini hadir
Datanglah segera kepadaku
Kerna kau ada sesuatu
Membuatku cinta kepadamu
Kutahu dikau pun merasakan
Katakanlah kata kepada ku
Jangan biarkan cinta pergi
Percayalah
Ini sudah suratan Maha Esa
bridge
Hadir mu di sisiku ini
Merubah segala galanya
Gembira bila bersama
Mimpi bila kau tiada
Mungkinkah ini rasa kawan
Atau sebaliknya
Tapi aku kian merasa
Ada cinta di dalam hati
Ulang korus 2x
Kutahu dikau pun merasakan
Katakanlah kata kepada ku
Jangan biarkan cinta pergi
Percayalah
Ini sudah suratan Maha Esa
Percaya pada cinta
Malam itu Akma telah mendendangkan beberapa buah lagu seperti Ku Bahagia, Percaya Pada Cinta, Kaulah Segalanya, Cahaya dan Pulangkan. Memang biru juga muka ini apabila disuruh berduet dengan Akma. Mujur saya tidak mengulang lirik “pabila digiring angin” pada bahagian yang terlupa lirik itu. Kalau ada lirik di tangan, rasanya saya boleh membawakan lagu tersebut dengan lebih baik lagi sehingga Felix terpaksa bersara dari bidang seni. Saya mana boleh kejutan-kejutan seperti ini. Saya cepat nervous. Lalu hilang semua darah turun ke kaki.
Soalan-soalan yang dilemparkan oleh para peminat Akma memang lebih tajam dari para wartawan hiburan Malaysia. Jenis yang direct to the point tanpa selindung-selindung. Berpeluh juga Akma ingin menjawabnya. Dalam soalan-soalan berbau cinta, beberapa soalan yang menarik untuk dikongsi bersama datangnya dari Nisa yang ingin tahu di manakah Akma melihat dirinya lima tahun akan datang. Soalan sebegini lebih berbentuk jangka panjang bukan sekadar seronok-seronok jangka pendek. Begitu juga dengan soalan jenis muzik yang digemari oleh Akma oleh salah seorang peminatnya. Ya benar, kita boleh berseronok-seronok, tetapi kita mesti ada matlamat kita yang lebih besar. Walau apa pun yang terjadi, sokongan kita terhadap kedua-duanya harus berterusan. Jangan jadi macam LV yang lebih bersifat jangka pendek.
Ada satu soalan dari peminat Akma yang membuatkan saya berasa amat bersalah. Soalannya adalah berkenaan bagaimana Akma menangani tekanan sewaktu minggu keenam apabila melibatkan kes Amylea. Saya kira hampir kesemua pembaca saya tahu yang saya benar-benar tidak berpuas hati dengan Akma berkenaan apa yang terpapar di dalam Diari pada minggu tersebut. Melihatkan bagaimana Akma menangani masalah itu secara matang membuatkan saya berasa begitu bersalah. Saya memohon maaf. Macam ada seorang itu yang merasa bersalah apabila mendengar Haider menyanyi dengan baik di Malam Apresiasi bersama Yazer. Saya menganggap apa yang berlaku di dalam Diari sudah lama berlalu dan cabaran lebih besar sebenarnya baru bermula. Kematangan Akma jelas mencerminkan sifatnya yang begitu merendah diri dan membuatkan saya sedikit tidak berasa kekok untuk berkomunikasi dengan beliau.
Hari ini rasanya Akma sudah mengenali saya yang sering kelihatan pada mana-mana majlis yang melibatkan bintang Akademi Fantasia. Begitu juga seorang lagi kawan saya itu. Tapi saya pasti, Akma lebih mengenalinya. Hari tersebut juga Akma telah mengenali abang-abang, kakak-kakak, adik-adiknya dari AkmaFC.net yang telah sudi hadir pada malam tersebut. Akma juga telah berpeluang untuk mendapat satu lagi kumpulan sokongan yang dikenali sebagai Jiwang United. Selepas ini kalau Badrul merajuk, tentu Jiwang United akan pujuk Badrul. Maka secara tidak langsung, hits Badrul akan melonjak naik secara mendadak. Oleh itu, jangan buat Badrul merajuk. Sekarang ini trend merajuk, hits akan naik.
Secara keseluruhan, gathering ini boleh saya sifatkan penuh dengan rasa kasih sayang. Setiap seorang dari mereka yang hadir pada malam itu hadir dengan hati yang berbunga-bunga. Di sini kita mengharapkan kebahagiaan sampai bila-bila, walaupun di luar sana ada yang mengharapkan keruntuhan perhubungan insan lain. Itu bezanya kita.
Apa yang saya nampak dari pertemuan ini, sebuah lagi pertemuan yang lebih bermakna mampu dilaksanakan oleh setiap dari kita. Kita boleh bergabung usaha untuk melaksanakan aktiviti yang melibatkan Akma di masa akan datang. Jika gathering kali ini dianjurkan oleh AkmaFc.net, maka untuk gathering akan datang Jiwang United boleh membantu untuk melancarkan lagi gathering yang akan datang. AkmaFC.net tentunya memerlukan lebih lagi tenaga sukarelawan untuk sama-sama menaikkan nama Akma. Gabungan ini tentunya akan menjadikan nama Akma lebih mantap dan kukuh di dalam industri hiburan tempatan.
Saya dengan jelas dapat melihat keseronokan yang terpancar pada wajah setiap yang hadir pada malam tersebut apabila Felix menjelmakan dirinya untuk Akma sebagai kejutan kepada semua hadirin. Mata anda bersinar-sinar. Senyuman anda semakin lebar. Telinga anda sentiasa bersedia untuk merakam setiap perbualan Akma dan Felix. Lidah anda baru sahaja hilang pedas makanan yang terhidang. Ini membuktikan kita mampu melakukannya sekiranya kita mahu. Kita mahu dan kita buat. Kita bukan sekadar mahu tetapi duduk diam. Kita buat. Melihatkan kelancaran dan kesempurnaan gathering pada malam itu, tentunya Felix juga mahu kita melakukan sesuatu untuknya pula. Felix kemudiannya berduet dengan Akma untuk lagu Bertakhta Di Hati. Walaupun kelihatan agak penat, mereka menyampaikan lagu tersebut dengan showmanship yang tidak begitu memuaskan hati saya. Saya mengharapkan sebuah persembahan yang lebih romantik. Fanatik lah tuh !! Persembahan Bertakhta Di Hati tidak seperti yang dipersembahkan di Konsert Akademi Fantasia yang lepas. Tapi mata Felix tetap curi-curi jeling.
Semoga AkmaFC.net akan terus mekar sampai bila-bila berkat sokongan semua pihak yang jujur menyokong kerjaya Akma. Terima kasih kerana sudi menjemput saya. Kepada pemenang hadiah utama cabutan bertuah, saya cemburu !! Saya amat gembira pada malam tersebut. Saya tahu orang lain juga gembira.
Sila lawati BadrulAfterSix dan Sekadar Media Picisan untuk membaca ulasan dari mereka. Foto lain akan diletakkan di Fotopages SM dan Fotopages Ajeem. Terima kasih.
Malam Apresiasi bersama Yazer
Tropicana Golf & Country Club
dianjurkan oleh Yazer Fan Club
Saya berkesempatan untuk meluangkan masa untuk bersama-sama meraikan Yazer di majlis yang diberi nama Malam Apresiasi bersama Yazer. Saya hadir bersama Badrul dan Klubbkidd. Turut hadir pada malam tersebut ialah Rozina Aziz mewakili ASTRO, Zainal Alam Kadir mewakili Malay Mail, M.Nasir dan Marlia Musa mewakili Tenaga Pengajar di Akademi Fantasia.
Di majlis tersebut saya berkenal-kenal dengan beberapa orang peminat Yazer yang terus menyokong Yazer dari mula sehingga kini. Antaranya ialah Atavader (rakan blog sejak AF1), Darsani (Penasihat Fan Club) serta Feena (rakan satu universiti dahulu). Terima kasih Puan Jumilah yang sudi menjemput saya serta beberapa kawan saya untuk hadir di majlis tersebut.
Yazer turut menyampaikan beberapa buah lagu antaranya Relaku Pujuk, Ready For Love dan Merah Warna Cinta. Haider turut sama memeriahkan majlis dengan menyampaikan dua buah lagu iaitu Mungkin Nanti dan Thank You For Loving Me. Turut ditampilkan suara Zainal Alam Kadir dengan lagu tema Astana Idaman iaitu Bukan Itu Bukan Ini. Antara lain yang turut memberikan persembahan ialah beberapa orang peminat Yazer yang datang dari Tawau dan Presiden Yazer Fan Club sendiri.
Apa yang saya mampu perkatakan ialah Yazer seorang yang bertuah kerana keahlian kelab peminatnya terdiri daripada pelbagai latarbelakang. Lebih menarik apabila ada seorang Pereka Grafik yang sama-sama membantu mencantikkan pakej Yazer. Malam tersebut turut dilelong satu poster berukuran hampir sama besar dengan Yazer yang agak seksi serta eksklusif. Poster tersebut tidak disiarkan di mana-mana majalah dan pembida turut memperoleh salinan CD source file poster tersebut. Poster tersebut telah dilelong dengan harga RM500 kalau tidak silap saya. Atau mungkin kurang daripada itu.
Komen Kenyataan President Yazer Fan Club
Saya tertarik dengan kenyataan President Yazer Fan Club yang mana Yazer Fan Club sebagai sebuah pertubuhan yang baru ditubuhkan amat memerlukan sukarelawan untuk sama-sama membantu melancarkan lagi aktiviti kelab peminat tersebut. Tujuan sesebuah kelab peminat ditubuhkan adalah sebagai satu platform untuk sama-sama menaikkan lagi nama bintang yang mereka sokong. Dengan mempunyai sebuah ahli jawatankuasa yang kukuh, maka segala aktiviti dapat dirancangkan dan dilaksanakan dengan baik dan lebih teratur.
Segala urusan promosi dan usaha menangkis kritikan boleh dilakukan sekiranya seseorang bintang mempunyai satu komite yang kukuh. Ketahanan dan lama mana seseorang bintang itu boleh bertahan di dalam industri juga terletak kepada peminat. Kekuatan bilangan peminat yang ada secara tidak langsung dapat mengeratkan hubungan sesama mereka lalu terbina sebuah komuniti yang lebih efektif. Semakin berkembangnya nama bintang yang disokong, maka bilangan ahli akan bertambah dan lebih banyak aktiviti dapat dilaksanakan.
Bakat Haider
Seperkara lain yang menarik adalah nyanyian Haider yang boleh saya sifatkan lebih cemerlang dari sesetengah bintang Akademi Fantasia yang ada. Beliau membawakan lagu Mungkin Nanti dan Thank You For Loving Me dengan baik sekali. Saya merasakan adalah sesuatu yang merugikan sekiranya bakat Haider tidak dipandang oleh mana-mana pihak. Peluang harus dibuka kepada beliau untuk lebih berjaya di masa akan datang.
Saya mengharapkan agar Yazer Fan Club akan lebih berjaya di masa akan datang dan terus mendapat sokongan yang tidak berbelah bahagi dari para peminatnya. Kesepakatan mereka untuk sama-sama menaikkan nama Yazer amat diperlukan agar kelancaran aktiviti dapat dilaksanakan dengan baik.
Peminat Dangkal
Dalam perjalanan pulang, saya dihantar oleh Klubbkidd ke Uptown kerana meletakkan kereta di sana. Kami sempat berbual banyak topik meliputi karenah segolongan peminat yang semakin melampau yang boleh saya klasifikasi sebagai peminat terlampau. Mereka kononnya mampu bertindak sebagai Tuhan untuk menentukan rezeki seseorang artis. Ada yang sanggup untuk mematikan karier artis yang memberikan pandangan mereka tentang Mawi. Sekiranya pandangan mereka bersifat tidak menyokong Mawi, maka karier seni mereka perlu dimatikan dan jika pandangan mereka bersifat menyokong Mawi, maka mereka perlu disokong. Sebagai seorang peminat Akademi Fantasia, lahirnya segolongan peminat dangkal sebegini amat memalukan.
Saya menunggu reaksi mereka setelah artikel "Kecoh si komposer" tersiar dalam Utusan Malaysia hari ini. Apakah pula nasib yang bakal menimpa Iman Wan selepas ini ? Saya hanya mampu menunggu dan melihat sahaja kerana mereka adalah golongan yang bijak pandai.
Nota: Gambar lain akan diuploadkan ke Fotopages SM.

Album Launching Adam - Tak Tahu
Grand Ballroom
Hotel Maya, Kuala Lumpur
Pelancaran Album Adam bertajuk Tak Tahu telah berlangsung dengan suasana yang agak eksklusif di Ballroom Hotel Maya, Kuala Lumpur. Pertama kali menjejakkan kaki ke hotel tersebut yang mempunyai rekaan dalaman yang hebat dan bersesuaian dengan konsepnya yang bercirikan sebuah resort urban butik. Saya telah ke majlis tersebut bersama seorang kawan media dan kemudiannya Juan Danza dan Klubbkidd menyertai saya. Sempat juga saya bertemu dengan Keluarga Adam yang terbang dari Kota Kinabalu, Sabah, keluarga Kapten Misman, Feeda dan Hanis iaitu Presiden dan Naib Presiden Adam Fan Club Malaysia serta beberapa kawan yang lain.
Pada malam tersebut turut dilancarkan Laman Web Adam yang dikendalikan oleh KRU. Saya merasakan ini bakal mengelirukan para peminatnya. Pihak Adam Fan Club Malaysia harus berbincang dengan pihak KRU Music untuk saling bertukar-tukar link antara satu sama lain agar peminat tidak keliru dengan kedua-dua website yang ada. Maklumat-maklumat di antara dua website tersebut juga perlulah selari dan tidak berlaku kekeliruan kepada peminat di masa akan datang. Satu website harus bertindak sebagai perantara Adam dan peminatnya manakala yang lagi satu boleh dijadikan portal komuniti untuk peminatnya.
Menariknya kejutan yang dilakukan untuk melancarkan album Adam apabila ditampilkan tenaga-tenaga pengajar dari Akademi Fantasia 2 yang membawa kek hari lahir Adam dan album beliau ke dalam dewan. Pengetua Ramli MS, guru Seni Persembahan Puan Fauziah Nawi, guru Motivasi Dr Sher Kawi, pakar tatarias Puan Mahani dan guru Nada Suara Puan Siti Hajar antara yang hadir di majlis tersebut. Pada saya ia merupakan satu moment di majlis tersebut yang agak touching untuk melihat reunion antara anak murid mereka dan tenaga pengajarnya. Lebih-lebih lagi dalam situasi anak murid mereka telah berjaya melahirkan sebuah album untuk para penggemar Akademi Fantasia. Ia merupakan hari menuai hasilnya setelah 10 minggu berada di Akademi Fantasia dan hampir setahun sebagai bintang Akademi Fantasia.
Secara jujurnya, Adam bertuah kerana kesanggupan KRU melaburkan wang mereka untuk membeli Adam dari Maestro Talent. Seperti yang pernah saya ucapkan sewaktu di Gathering Pertama Adam Fan Club setahun yang lalu. Inilah masanya untuk Adam melombong setiap pengalaman adik-beradik KRU iaitu Norman, Yusry dan Edry yang sememangnya bijak merancang perniagaan mereka. Adam harus menjadi seorang bintang yang bijak dalam memikirkan tentang masa depannya sendiri.
Ya benar, KRU bukanlah nama besar dalam bidang muzik. Nama mereka tidaklah begitu gah dalam menghasilkan album-album yang bermutu lagi berkualiti besar. Bukan sekadar itu sahaja yang perlu Adam kaut sewaktu masanya dengan KRU, tetapi juga bakat mengendalikan perniagaan serta mempelbagaikan perniagaan mereka yang jarang-jarang ada dalam minda sebilangan besar artis tempatan tetapi ada pada kumpulan KRU.
Antara lagu yang termuat dalam album berkenaan adalah lagu Tak Tahu yang kini menjadi lagu popular yang sering dimainkan di corong-corong radio. Turut dimuatkan ialah lagu remix Terhangat Di Pasaran (duet bersama KRU) serta Haruskah iaitu lagu yang pernah menjulang nama Adam sebagai pemenang Tempat Ketiga di Akademi Fantasia 2. Selain daripada itu lagu Menggapai Bintang yang kini dinyanyikan solo oleh Adam turut dirakamkan semula.
Single kedua dari album ini bertajuk Jatuh merupakan sebuah lagu balada yang tentunya akan menjadi kesukaan para peminat wanitanya, Ku Bertanya merupakan sebuah lagu yang berkonsepkan unplugged yang agak minima penggunaan muziknya dan lagu Walaupun lebih berkonsepkan nostalgia KRU era Awas. Antara lagu rancak rakaman baru yang turut dimuatkan dalam album ini ialah Sana Sini, Seri Satu Sama dan Keliru. Lagu-lagu tersebut bakal menyerlahkan lagi kehebatan Adam dalam bidang tarian.
Sempat juga berbual dengan Pengetua Ramli MS dan beliau turut bertanya tentang email yang saya hantar kepada Editor Bintang Popular Berita Harian berkenaan artikel dalam kolum Aspirasi beliau. Sekali lagi saya menyatakan artikel-artikel sedemikian yang perlu diarkibkan di dalam laman web Bintang Popular dan bukannya gossip-gossip artis. Apa faedahnya menyimpan gossip-gossip artis di dalam server dan membuang artikel Aspirasi Ramli MS ?
Selesai majlis, beberapa kawan-kawan dari ASTRO termasuk Rozina Aziz, Aznil Hj Nawawi dan rakan-rakan media telah melakukan tour di sekitar hotel serta kemudahan-kemudahan yang disediakan di hotel tersebut oleh pegawai pemasaran. Sememangnya rekaan dalaman Hotel Maya amat menakjubkan sekali. Kami dibawa melawat ke setiap jenis bilik yang ada di Hotel tersebut, kolam renang, bilik spa, kemudahan bilik videoconference dan Sky Lounge yang mengadap Zouk. Speechless !
Foto Majlis Album Launching Adam - Tak Tahu boleh didapati di Fotopages SM.


