Malam Elit di Dewan Filhamonik Petronas
Malam itu teringin juga berada dalam satu kelompok elit yang hanya suka mendengar muzik klasik dari Barat. Pelawaan seorang kawan saya terima untuk sama-sama menyertai mereka dalam kelompok elit tersebut. Saya mengenakan sepasang kemeja biru lengkap bertali leher biru bintik kecil putih. Untuk lebih kelihatan elit, saya perlu melengkapkannya dengan suit warna biru tua stail “double breasted”. Memang zaman kini hanya golongan tua sahaja yang masih mengenakan suit “double breasted”. Suit tersebut saya tempah sempena konvokesyen pada tahun 1998. Masih muat untuk dipakai sehingga sekarang. Malam itu saya ke Dewan Filharmonik Petronas dengan Hakim, Marisa dan Nisa. Untuk lebih melengkapkan elit malam itu, kami diraikan di Corporate Suite ASTRO. Sebuah suite yang santai dan begitu eksklusif.
Kali terakhir saya ke Dewan Filharmonik Petronas adalah sewaktu menyaksikan persembahan Perjalanan Seni Dato’ SM Salim sekitar tahun 2001 iaitu pada 31 Mac 2004 sehari sebelum hari lahir saya. Ada sejarah utama yang berlaku pada malam itu.
Pada malam tersebut, Malaysian Philharmonic Orchestra diketuai oleh Tamás Vásáry yang bertindak sebagai konduktor dan pemain solo piano.
Set I
ROSSINI Overture To The Silken Ladder (6 mins)
MOZART Piano Concerto No. 21 in C, K.467 (27 mins)
Saya menyukai persembahan pada Set I ini. Ia lebih segar dan menghiburkan. Enam minit pertama, kita dihidangkan dengan tiupan oboe dan flute yang saling bertingkah sebelum gesekan biola memberikan satu alunan muzik yang lebih memukau. Persembahan solo piano oleh Tamás Vásáry memang menakjubkan. Beliau mendapat tepukan gemuruh serta standing ovation untuk persembahannya. Sambil bermain piano beliau mengemudi orkestranya. Terpegun saya dibuatnya. Saya terfikir, apa akan jadi sekiranya sesebuah orkestra tanpa seorang konduktor. Apakah satu persembahan orkestra akan menjadi sama atau sebaliknya. Soalan ini akan saya tanya dalam pertemuan saya dengan Ramli MS yang akan datang.
Set II
MOZART Adagio and Fugue in C minor, K.546 (8 mins)
SCHUBERT Symphony No. 6 in C Major, D.589 (32 mins)
Persembahan pada Set II agak panjang. Lapan minit pertama kita dihidangkan dengan cello dan bass saling melengkapi bunyi yang dihasilkan. Alunan tersebut kemudiannya diiringi dengan gesekan biola, pertama dan kedua dan saling bertukar ganti. Alunan tersebut menghasilkan satu gabungan yang unik dari kepelbagaian instrumen yang menjadi trend pada zaman tersebut. Pada persembahan yang seterusnya, saya lebih tertarik dengan stamina peniup flute yang banyak memonopoli persembahan pada set kedua. Pemain flute merupakan tunjang utama persembahan ini bila mana beliau berjaya mengekalkan staminanya untuk memberi jiwa kepada Symphony no. 6, D.589 “Little C Major” sebanyak empat movement yang berbeza. Ada yang tertidur ya, siapakah dia ?
Persembahan encore telah memilih salah satu movement yang paling pendek iaitu Scherzo untuk memenuhi permintaan penonton sebelum beliau menamatkan persembahannya.
Berada di kedudukan paling strategik, membolehkan saya menyaksikan persembahan tersebut secara lebih dekat. Saya berpeluang untuk melihat gaya tubuh seorang konduktor dan terpesona melihat perubahan pada alunan muzik apabila berlaku pergerakan pada anggota tubuh seseorang konduktor tersebut. Setiap pergerakan anggota tubuhnya ada makna yang perlu difahami oleh setiap anggota orkestra.
Menurut beliau setelah tamat persembahan, beliau kagum dengan anggota Malaysian Philharmonic Orchestra kerana apa yang telah dilatih sewaktu rehearsal telah diubah sedikit tanpa pengetahuan anggota orkestra tetapi mereka telah berjaya mengimbangi perubahan tersebut tanpa melakukan kesilapan. Tepukan semakin bergemuruh untuk mereka walaupun rata-rata mereka bukannya rakyat Malaysia.
Singgah sebentar di Dome KLCC untuk makan malam sebelum pulang ke destinasi masing-masing.
Malaysian Philharmonic Orchestra
0 komen