Ramalan Anugerah Juara Lagu 19 : Pulangkah Anugerah Juara Lagu kepada Misha Omar ?
Setiap hujung tahun pasti kemeriahan Juara Lagu 19 yang akan dinanti-nantikan oleh para penggemar muzik tempatan. Namun demikian, bencana tsunami yang melanda pada 26 Disember 2005 telah sedikit sebanyak merosakkan kemeriahan tersebut. Hujung tahun 2004 ditutup dengan suasana yang amat suram dan muram. Tiada Juara yang dinobatkan pada penghujung tahun lepas dan pertandingan tersebut ditunda ke tahun 2005. Walaupun tsunami bukanlah penyebab kepada penundaan tersebut, ia tetap memberikan kesan kepada Juara Lagu. Saya secara jujur ingin sangat melihat bilangan penonton yang akan hadir di Stadium Putra Bukit Jalil untuk menyaksikan siaran langsung Anugerah Juara Lagu edisi 19.
Dengan tema Simfoni Alam Sejuta Ilham, tanah, angin dan api digambarkan sebagai sumber ilham kepada para komposer dan penulis lirik ciptaan-ciptaan tanahair. Ombak dan laut juga merupakan sumber ilham kepada para komposer dan penulis lirik tetapi tidak digambarkan sedemikian. Tanah mewakili kategori Irama Malaysia & Etnik Kreatif, angin mewakili kategori Balada dan api mewakili irama Pop Rock. Satu persimbolan yang menepati ciri-ciri tersebut.
Kategori Balada
Pulangkan (Misha Omar / Ajai / Shuhaimi Baba & Habsah Hassan)
Mengapa Harus Cinta (Vince / Vince / M. Zulkifli)
Kala Hujan (Zamani / Aidit Alfian / Loloq)
Semua Untukmu (Anuar Zain / Shahrizan Mohd Salmi / Shahrizan Mohd Salmi)
Kategori Balada dibarisi nama-nama besar yang pernah meraih gelaran dan menjejakkan kaki di Anugerah Juara Lagu edisi yang terdahulu. Misha Omar pernah menang, Zamani juga pernah menang dan Anuar Zain juga pernah masuk ke peringkat akhir. Terselit satu nama iaitu Vince, seorang Juara Akademi Fantasia telah berjaya memboloskan dirinya untuk sebuah pertandingan yang paling berprestij di Malaysia.
Kategori ini agak menyengat juga. Sukar untuk saya membuat pilihan saya. Setiap lagu punya kekuatan masing-masing. Pulangkan misalnya merupakan sebuah lagu tema dari filem Pontianak Harum Sundal Malam. Lagu berhantu itu telah berjaya meremangkan bulu roma saya. Sebuah dendangan yang menakjubkan dari Misha Omar serta sebuah karangan yang hebat dari Ajai. Mungkin juga Misha memohon agar dipulangkan semua gelaran Juara yang telah beliau menangi tahun lepas.
Mengapa Harus Cinta tidak harus dipandang sepi oleh para finalis yang lain. Walaupun ia dicipta oleh budak mentah yang baru berjinak-jinak dengan Juara Lagu, tidak mustahil lagu ini mampu menempatkan diri untuk gelaran Juara. Kekuatan lagu ini ialah susunan muzik serta vokalnya yang baik. Saya suka cara Vince menyanyikan lagu tersebut. Sekiranya mampu membuat kejutan, saya pilih lagu ini untuk mengambil tempat Pulangkan.
Kala Hujan sekadar sebuah lagu yang bernasib baik telah berjaya memboloskan dirinya ke peringkat Juara Lagu. Tidak lebih daripada itu. Sekiranya menang, memang ia bernasib amat baik. Lagu Semua Untukmu mengambil masa terlalu lama untuk memenangi hati para pendengar muzik di Malaysia. Tempoh dua tahun adalah tempoh yang terlalu lama. Namun demikian, saya tetap menantikan persembahan vokal yang hebat dari Anuar Zain untuk lagu ini. Siapa tahu, dengan lagu ini Anuar Zain berjaya membawa pulang Anugerah Vokal Terbaik di malam tersebut.
Pilihan SM : Pulangkan (Misha Omar)
Underdog : Mengapa Harus Cinta (Vince)
Kategori Irama Malaysia & Etnik Kreatif
Nazam Berkasih (Syura / Pak Ngah/ Siso)
Syair Pesona (Sharifah Zarina / Azmeer /Azira)
Erti Hidup (Dayang Nurfaizah / Afdlin Shauki & Aji / Afdlin Shauki)
Hatinya Tak Tahan (Noraniza Idris / Noraniza Idris / Siso)
Saya harus mengakuinya bahawa tanpa Siti Nurhaliza, kategori ini suram. Mujur ada Noraniza Idris satu-satunya yang mampu untuk menyelamatkan kategori ini dari terus terkubur. Kemunculan mengejut Dayang Nurfaizah dengan lagu Erti Hidup membawa satu perubahan baru dalam Irama Malaysia & Etnik Kreatif. Lagu Syair Pesona dan Nazam berkasih sekadar menjadi pelengkap kategori pada malam itu.
Hatinya Tak Tahan merupakan sebuah ciptaan yang baik. Noraniza Idris bereksperimentasi dengan genre dan elemen muzik Nusantara yang kaya dengan pelbagai rentak dan ritma. Sekiranya usaha ini dinilai, pasti lagu Hatinya Tak Tahan bakal menghadapi laluan yang mudah untuk bergelar Juara.
Erti Hidup sebuah lagi lagu yang bereksperimentasi dengan vokal penyanyinya. Ia merupakan sebuah ciptaan etnik kreatif yang moden dan menepati zaman. Keaslian Melayu pada lagu tersebut masih ada. Itu keunikan lagu tersebut.
Pilihan SM : Hatinya Tak Tahan (Noraniza Idris)
Underdog : Erti Hidup (Dayang Nurfaizah)
Kategori Pop Rock
Hanya Di Mata (Erra Fazira / Azlan Abu Hassan / Ucu)
Tipah Tertipu (Ruffedge / Cat, Mode & Zain/ Cat, Mode & Zain)
Simbiosis (Ella / Ajai / Ad Samad)
Relaku Pujuk (Spider / Tam / Keon)
Kategori Pop Rock yang digambarkan sebagai api, kurang marak apinya. Yang paling api pun hanya lagu Relaku Pujuk dan Tipah Tertipu. Itu pun sekadar suam-suam kuku. Lagu-lagu lain terlalu moderate untuk dikategorikan sebagai Pop Rock. Tetapi kategori inilah yang paling sukar ditelah siapa Juaranya.
Relaku Pujuk terlalu Melayu rocknya. Sebuah lagu rock yang biasa tetapi telah berjaya memikat hati pendengar. Begitu juga dengan lagu Hanya Di Mata yang merupakan sebuah lagu pop yang agak menarik tetapi masih belum dapat memikat hati saya.
Irama hip-hop untuk lagu Tipah Tertipu juga berjaya mencuri tumpuan. Kelebihan lagu ini ialah iramanya yang agak bersesuaian dengan genre kategori tersebut. Cuma saya kurang menyukai permainan bahasa atau dengan lebih jujur pencemaran bahasa yang dibawa oleh lagu ini. Sebagai hiburan, saya tetap menyukai lagu ini.
Simbiosis juga merupakan sebuah lagu pop yang subtle. Saya menyukai liriknya yang mudah tetapi membawa maksud yang mendalam. Susunan muziknya juga menarik dan catchy. Cuma kesilapan sedikit dari vokal Ella bakal mengurangkan peluangnya untuk bergelar Juara.
Pilihan SM : Simbiosis (Ella)
Underdog : Relaku Pujuk (Spider)
Anugerah Persembahan Terbaik
Jika dinilai daripada usaha-usaha yang telah dilangsungkan oleh penyanyi ini, tidak mustahil beliau bakal meraih semula Anugerah Persembahan Terbaik pada malam itu. Usaha beliau membawa taraf baru kepada Irama Malaysia & Etnik Kreatif memang sukar untuk dinafikan. Cuma biarlah konsep persembahannya kena dengan lagu tersebut tanpa perlu penggunaan pyrotechnic yang keterlaluan kerana lagu Hatinya Tak Tahan bukan dalam Kategori Pop Rock. Satu nama lain yang tidak seharusnya dipandang sepi ialah Misha Omar. Lebih-lebih lagi sekiranya beliau menyampaikan lagu Pulangkan sehingga berjaya menimbulkan kesan-kesan seram kepada penonton. Ekspresi muka memainkan peranan yang penting untuk lagu ini serta lontaran vokal berbisik sambil menyampaikan mesej lagu tersebut.
Anugerah Vokal Terbaik
Saingan pastinya sengit antara Misha Omar, Anuar Zain, Vince dan Dayang Nurfaizah. Sekiranya mereka mampu menyampaikan lagu-lagu mereka dengan baik dengan menggunakan segala kehebatan vokal mereka pasti gelaran juara kategori boleh mereka menangi. Pembahagian markah untuk vokal bakal menentukan siapa juara keseluruhan. Keempat-empat penyanyi yang disebutkan telah dinilai mutu vokal mereka secara langsung. Semuanya berpeluang untuk menang.
Satu kecacatan yang paling tidak dapat saya maafkan ialah ketiadaannya website Anugerah Juara Lagu 19 yang rasmi untuk dilayari oleh penggemar muzik tempatan. Mana mungkin muzik Malaysia ingin dibawa keluar sekiranya laman internet yang rasmi tidak mampu diwujudkan untuk tujuan promosi. Laman internet bukan sekadar untuk promosi tetapi sebagai arkib untuk tujuan rujukan di masa akan datang oleh peminat internet seperti saya. Saya benar-benar kecewa.
Masih belum terlewat untuk kita sama-sama merasakan kemeriahan Anugerah Juara Lagu edisi 19 di Stadium Putra, Bukit Jalil pada 16 Januari ini. Tiket beharga RM52 dan RM32 boleh didapati di http://www.axcess.com.my ataupun di kaunter Stadium Putra pada hari Ahad.
Nota:
Laman Internet Anugerah Juara Lagu 19 telah pun dikemaskinikan di http://ajl.tv3.com.my/. Terima kasih wizard !
0 komen