Relaku Pujuk muncul Juara di Anugerah Juara Lagu 19
Stadium Putra, Bukit Jalil
Introduksi
Kemenangan Spider dengan lagu Relaku Pujuk menafikan ramalan banyak pihak yang Pulangkan bakal menggondol gelaran Juara di Anugerah Juara Lagu edisi ke 19 yang telah berlangsung semalam di Stadium Putra Bukit Jalil. Kemeriahan Juara Lagu kurang dirasakan kesan bencana tsunami yang berlaku penghujung tahun 2004. Berbekalkan umpan bahawa sebahagian dari jualan tiket akan didermakan kepada mangsa tsunami sedikit pun tidak berjaya memancing penonton untuk turut sama memenuhkan stadium. Harga tiket yang boleh dikatakan agak mahal berbanding edisi Juara Lagu yang terdahulu sedikit sebanyak memberikan kesan. Dalam ada insan lain ditimpa bencana dan mengalami kesusahan, ada juga insan-insan lain yang mengambil kesempatan. Tanpa disedari oleh pihak berkuasa, di luar terdapat beberapa insan yang mengutip derma untuk tabung tsunami. Sama ada mereka dari pihak yang benar masih diragui.
Saya tiba sekitar jam enam petang. Dibenarkan masuk untuk meninjau persiapan. Masih terdapat beberapa model sedang berlatih untuk satu segmen tajaan. Segmen tersebut tidak disiarkan di televisyen, hanya untuk penonton di stadium sewaktu berhenti untuk siaran iklan.
Rekaan Pentas
Saya suka dengan rekaan pentas kali ini tetapi lebih menyukai rekaan pentas untuk tahun lepas. Pentasnya kali ini agak besar berbanding tahun lepas. Warna putih menjadi asas yang terbaik untuk pencahayaan. Berkonsepkan api, angin dan tanah maka warna hijau, biru dan merah merupakan asa penting dalam rekaan pentas kali ini. Penggunaan warna-warna tersebut sahaja sudah cukup untuk menggambarkan konsep yang ingin dibawa pada malam tersebut. Kedudukan barisan orkestra juga tidak dipinggirkan sebaliknya diberikan tempat yang sewajarkan pada bahagian pentas. Penggunaan dua aras pada pentas membuatkan pentas kelihatan begitu besar untuk sebuah persembahan yang tanpa diiringi oleh penari latar. Saiz pentas seakan-akan membenarkan artis membawa segerombolan penari ke pentas. Ini kerana setiap artis perlu memanafaatkan pentas aras atas dengan baik.
Sistem Audio dan Orkestra
Orkestra pimpinan Ramli MS telah berjaya memberikan dendangan yang cemerlang pada malam tersebut. Setiap lagu telah diberikan susunan muzik yang sedikit berbeza bersesuaian dengan konsep lagu. Sayang sekali persembahan Spider tidak dibantu oleh iringan orkestra yang bagus ini. Juara Lagu telah dinilai melalui cakera padat dan sebarang perubahan pada susunan muzik pada malam persembahan hanya akan dinilai untuk persembahan terbaik.
Sistem audio pada malam itu agak tidak seimbang terutamanya pada pembesar suara artis. Ketidakseimbangan tersebut agak membingitkan terutamanya pada lagu-lagu kategori Pop Rock.
Pengacara
Ketiadaan Aznil Nawawi pada edisi Juara Lagu kali ini agak membosankan. Penggantinya Najip Ali yang diterbangkan dari Singapura untuk mengacarakan siaran langsung ini bersama Sarimah Ibrahim dan Cheryl Samad. Adakah Malaysia ketandusan pengacara-pengacara muda yang berbakat untuk mengisi kekosongan Aznil Nawawi ? Cheryl Samad, pengacara tetap siaran Muzik Muzik mingguan juga diletakkan di belakang pentas untuk menemuramah artis sebelum persembahan mereka. Gandingan Sarimah dan Najip seakan tidak menjadi kerana Najip agak kurang mesra dengan persekitaran sesebuah negara tersebut. Maka lawak-lawak kasar yang membabitkan sensitiviti kenegaraan wajar dikurangkan. Penggunaan simbolisme alam pada skrip pengacara juga tidak dibuat dengan kemas sehingga adakalanya meleret-leret tanpa tujuan. Pengacara di belakang pentas agak menarik kerana Cheryl berpeluang untuk menemuramah artis sebelum persembahan mereka dan berbicara tentang pelbagai aspek. Sayangnya temuramah tersebut semacam mengurangkan elemen kejutan pada persembahan artis tersebut terutamanya pada pakaian yang dipakai oleh artis tersebut.
Segmen Prelude
Bersesuaian dengan konsep Simfoni Alam Sejuta Ilham, maka tanah api dan angin merupakan elemen utama yang ditonjolkan pada segmen tersebut. Sebuah persembahan yang menarik ala Citrawarna Malaysia tetapi sekadar ada sahaja. Persembahan diberatkan dengan mesej-mesej tersirat yang perlu dicernakan oleh penonton yang datang untuk berhibur dan bukannya berfikir.
Sebelum memulakan malam anugerah, penonton telah diminta untuk berdiri bertafakur selama satu minit untuk mengingati mangsa-mangsa bencana tsunami. Satu usaha yang murni kerana dalam kita bersuka-ria tetapi tetap mengingati mereka yang ditimpa kesusahan.
Nazam Berkasih - Syura
Menggunakan konsep tarian Jikey dengan diiringi oleh penari Badan Kesenian Kedah, Syura telah berjaya membawakan lagunya dengan baik. Konsep persembahannya lebih kepada stail Pak Ngah yang bercorak Citrawarna. Beliau muncul dari dalam gendang merupakan elemen kejutan yang ditampilkan oleh Syura. Satu permulaan yang baik untuk menyelitkan elemen spektakular. Persembahan Syura kali ini juga ada unsur-unsur persembahan Nirmala oleh Siti Nurhaliza pada Juara Lagu yang terdahulu. Saya tertarik dengan synchronization beliau dengan para penari. Nampak kemas. Lontaran vokal beliau juga baik. Susunan muzik orkestra untuk lagu ini juga menarik.
Tipah Tertipu - Ruffedge
Persembahan Ruffedge bakal mengundang bencana apabila salah satu props yang dibuat untuk persembahannya patah sewaktu siaran iklan. Penggunaan elemen-elemen kartun semacam menunjukkan ketidakseriusan mereka dalam bekerja dan menampilkan wajah persembahan yang cemerlang. Persembahan Ruffedge bermula dengan klip audio dari filem Ali Setan yang dipopularkan oleh Sheila Majid. Lagu-lagu seperti Tipah Tertipu sekiranya tidak disampaikan dengan sebutan yang jelas hanya sekadar cakap-cakap tanpa tujuan. Itu yang berlaku kepada lagu tersebut. Pada bahagian nyanyian, mereka membawakan lagu tersebut dengan baik tetapi pada bahagian yang memerlukan mereka “rapping” agak tidak kemas dan tidak jelas sebutan mereka. Mungkin juga disebabkan oleh sistem audio yang tidak baik pada malam tersebut. Bagaimanapun saya terhibur dengan alunan muzik orkestra yang dipersembahkan. Secara keseluruhan persembahan Ruffedge seperti kehilangan idea dan tidak menonjolkan kreativiti mereka untuk mempelbagaikan corak lagu tersebut.
Semua Untukmu – Anuar Zain
Sebuah persembahan yang biasa dari Anuar Zain. Kehebatan vokalnya tidak diserlahkan dengan cemerlang melalui lagu ini. Lagu ini juga tidak sekuat lagu Keabadian Cinta. Persembahan Anuar Zain juga hanya diiringi oleh penyanyi latar yang tidak berjaya menampilkan elemen kekaguman yang besar. Pentas yang luas tidak dimanafaatkan dengan sebaiknya untuk memantapkan persembahan beliau. Beliau sewajarkan menampilkan segerombolan penyanyi koir ala gospel untuk memantapkan lagi bahagian permulaan lagu tersebut. Jika ini berlaku mungkin persembahan vokalnya lebih memukau. Kedengaran di telinga saya sedikit perubahan pada susunan muziknya kerana ia tidak sama dengan apa yang saya sering dengar melalui albumnya. Bagaimanapun Anuar Zain bijak untuk mengekang perhatian penonton untuk menonton persembahannya dari note pertama sehingga note akhir. Sokongan penonton terhadapnya begitu besar.
Syair Pesona - Sharifah Zarina
Selain Ruffedge, Sharifah Zarina merupakan artis kedua yang keluar dari balik layar. Bersesuaian dengan konsep lagunya iaitu syair, maka ia dimulakan dengan syair. Diarak dan dijulang seperti seorang puteri. Menariknya persembahan beliau adalah kerana susunan muzik yang dibuat dengan cemerlang untuk memikat pendengar. Elemen keroncong, Timur Tengah, qasidah dan muzik moden seakan menyegarkan lagi ciptaan lagu tersebut.
Hanya Di Mata – Erra Fazira
Sebuah persembahan yang ada konsep. Berkonsepkan ala gipsi, Erra telah berjaya memukau perhatian penonton dengan persembahannya. Sebuah persembahan yang menarik dari segi koreografinya. Persembahan vokal Erra masih seperti biasa dan tidak mampu menyengat dan menggugat mahkota Misha Omar dan Anuar Zain. Sebuah persembahan yang tidak cukup menyengat untuk meraih anugerah persembahan terbaik mahupun kategori pop rock.
Kala Hujan – Zamani
Sebuah persembahan berbajet rendah yang tiada usaha dan kesungguhan untuk menang. Tanpa diiringi dengan penari latar, pentas nampak kosong. Berbekalkan vokal yang tidak kemas, persembahan Zamani sememangnya hambar. Beliau seakan-akan sengaja melewatkan ½ not pada nyanyiannya. Beliau gagal pada bahagian korus tetapi saya harus memberikan pujian kepada not rendah beliau yang sememangnya mantap. Namun demikian lagu Kala Hujan bukan sandaran terbaik kepada Zamani untuk bergelar Juara. Cakap-cakap orang di sekeliling, lagu Kala Hujan tidak sewajarnya berjaya ke peringkat akhir Juara Lagu kerana telah mengenepikan lagu Lembah Asmara oleh Ziana Zain yang kekal selama 14 minggu dalam carta Muzik Muzik.
Hatinya Tak Tahan – Noraniza Idris
Noraniza Idris menggunakan konsep penari Jawa untuk lagu Hatinya Tak Tahan yang bersesuaian dengan elemen lagu tersebut. Menggunakan pendekatan yang lebih selamat apabila tidak membawa ramai penari di atas pentas. Kali ini, beliau bijak untuk menyesuaikan bilangan penari dengan persembahannya. Setiap seorang penari punya sebab untuk berada di atas pentas. Saya merasakan ia merupakan sebuah koreografi yang kemas dan dibuat dengan cemerlang. Elemen-elemen Jawanya jelas dan teliti. Persembahannya bermula dengan baik dan diakhiri dengan sedikit anti klimaks. Tiada kejutan penamat yang memukau penonton. Iringan rebana dan seruling oleh Mohram banyak membantu melodi lagu tersebut serta susunan muzik yang lebih segar dengan iringan orkestra.
Panel Juri Profesional
Panel Juri Profesional untuk Anugerah Juara Lagu 19 dibarisi dengan nama-nama agung dalam industri muzik dan bahasa di Malaysia. Mereka terdiri daripada Lukhman S iaitu penulis lirik terkenal, Ooi Eow Jin, pencipta lagu serta koordinator muzik TV3, Amran Omar, penulis lirik terkenal, Aubrey Suwito, pencipta lagu Menuju Puncak dan pemimpin orkestra terkenal, Sheila Majid, diva irama pop dan R&B terkenal, Suhaimi Jais, Lim Swee Tin, pendeklamator pusi serta penulis puisi terkenal, Dato Yusni Hamid penyanyi evergreen dan Ketua Panel Juri iaitu Farihin Abd Fatah.
Simbiosis – Ella
Saya suka dengan persembahan Ella. Ia merupakan sebuah persembahan yang bersahaja. Saya nampak ada kesungguhan dalam diri Ella untuk memberikan persembahan yang bersahaja tetapi memukau. Penampilan Ella begitu santai sekali dan beliau bijak memikat perhatian penonton. Kekuatan utama persembahan Ella ialah karisma beliau sebagai seorang penghibur yang berbakat. Cara beliau mengawal vokalnya juga baik. Lagu Simbiosis merupakan sebuah lagu yang mudah dan tidak memerlukan Ella memberikan sepenuh perhatian kepada teknik vokal. Persembahan santai Ella sudah cukup memberikan impak yang baik untuk lagu tersebut. Kemunculan Man Kidal sebagai pemain gitar undangan seakan-akan merangsangkan untuk memberikan sorakan yang padu untuk Ella. Sekali lagi saya terpukau dengan iringan muzik orkestra yang disusun dengan baik untuk menyedapkan lagu tersebut.
Baru teringat, sememangnya ada sedikit kesilapan masuk pada bahagian kedua lagu tersebut setelah selesai bridge dari Man Kidal. Terima kasih atas peringatan tersebut.
Mengapa Harus Cinta – Vince
Bersandarkan penghayatan vokal yang mantap dari Vince, sebuah lagu dari pencipta muda ini benar-benar berjaya memukau saya dengan sebuah persembahannya yang ringkas tetapi penuh bermakna. Imej-imej multimedia yang muncul sekejap-sekejap tidak banyak menggangu tumpuan saya terhadap nyanyian Vince. Saya mengharapkan beliau memenangi Vokal Terbaik tetapi sayangnya beliau gagal di tangan Misha Omar. Saya suka dengan penghayatannya membawakan lagu tersebut. Kawalan vokal beliau sejak di Akademi Fantasia sehingga ke Anugerah Juara Lagu semakin mantap. Tidak hairan beliau menggondol pelbagai anugerah sepanjang penglibatannya selepas Akademi Fantasia. Alunan muzik orkestra seakan melengkapkan lagi nyanyian Vince. Kekuatan lagu ini terletak pada susunan muzik serta kemantapkan vokalnya. Setiap satu not yang dibawakan oleh Vince merupakan muzik yang indah. Kawalan falsettonya mantap. Ekspresinya tidak keterlaluan. Penghayatannya sederhana dan memadai.
Erti Hidup – Dayang Nurfaizah
Sememangnya vokal Dayang begitu memukau. Inilah yang dikatakan kawalan vokal yang hebat. Beliau tahu jarak antara pembesar suara dengan vokalnya. Vokalnya amat mantap dan menjadi kekuatan lagu tersebut. Membawakan konsep penyanyi hindustan nampak seperti ketandusan idea dan tidak mampu menyerlahkan kreativiti berpakaian. Setelah memenangi kategori Irama Malaysia dan Etnik Kreatif, tidak syak lagi lagu Erti Hidup merupakan sebuah lagu yang baik dari segi penciptaannya. Konsep persembahannya bertemakan alam dan segmen sayap menarik untuk ditonton tetapi agak pendek dan tidak puas. Saya berharap agar selepas ini lagu Erti Hidup menjadi lebih popular dan album “Dayang Sayang Kamu” semakin meledak di pasaran.
Relaku Pujuk – Spider
Sayang sekali lagu Relaku Pujuk hanya dapat didendangkan oleh Spider tanpa diiringi oleh orkestra. Sekiranya diiringi oleh orkestra tentunya susunan muziknya menjadi lebih baik dan kemas. Namun demikian, dengan berbekalkan nama Spider, kumpulan ini berjaya meraih gelaran Juara Lagu 19. Vokal Tam juga agak baik dalam sebuah persembahan secara langsung ini. Nampak ada kesungguhan beliau membawakan lagu ini dengan stailnya yang tersendiri. Keterbatasan ruang Tam dalam lingkungan lilin menyebabkan tiada kepelbagaian dalam showmanship beliau. Lebih-lebih lagi beliau bermain gitar sambil menyanyi. Lingkungan api lilin menampilkan elemen api dalam persembahannya. Sebuah persembahan yang biasa tetapi memadai untuk sebuah kumpulan yang bermain secara langsung tanpa iringan orkestra.
Pulangkan – Misha Omar
Persembahannya bermula dengan baik. Elemen seram ditampilkan untuk disesuaikan dengan konsep lagu yang diambil dari filem Pontianak Harum Sundal Malam. Sememangnya tidak dinafikan bahawa vokal Misha Omar sememangnya bagus. Konsep persembahannya biasa tetapi penghayatannya keterlaluan. Saya agak rimas melihatnya ke sana ke sini berlari-lari di atas pentas seperti orang meracau membawakan lagu tersebut. Namun demikian dalam keadaannya yang terkejar-kejar beliau masih mampu untuk menjaga lontaran vokalnya dengan baik. Nyanyiannya bagus tetapi persembahannya terlalu keterlaluan. Sayang sekali ia bermula dengan baik tetapi ditamatkan dalam kerimasan penonton melihat siksanya beliau membawakan lagu tersebut. Memperkenalkan Izzat Izzudin selaku penyanyi undangan buat pertama kali merupakan usaha yang bagus dalam menghargai insan-insan yang terlibat dalam menjayakan lagu tersebut. Sayangnya kemunculan Izzat Izzudin hanya di sebalik tabir. Ia seakan-akan tidak menghargai usaha Izzat Izzudin yang turut mempopularkan lagu tersebut. Setelah melihat persembahan Misha agak sukar untuk menjangkakan yang beliau bakal menggondol anugerah persembahan terbaik. Belajar dari kesilapan dahulu, penghayatan jangan over sangat. Sempat juga saya berdoa, manalah tahu sekiranya betul-betul Misha Omar dirasuk pontianak pada malam itu.
Segmen Interlude
Persembahan Interlude pada malam tersebut dijayakan oleh Ning Baizura yang pakaiannya amat sedih untuk dinilai. Kemunculan Amy Mastura mengejutkan ramai penonton dengan imej berambut pendek dalam keadaan sedang berbadan dua. Ejad Exist dan Rem melengkapkan lagi konsep pada malam tersebut. Manakala kemunculan Zainal Abidin membawakan lagu Gaia sememangnya dinanti-nantikan oleh penonton.
Saya kurang berpuas hati dengan persembahan segmen ini kerana impaknya tidak kuat untuk disimpan oleh penonton. Lebih-lebih lagi diakhir klip ditayangkan segmen Karam Singh Walia yang meloyakan dengan trademark tangan serta pantun dua keratnya.
Pemenang Malaysian Idol hanya datang sebagai penonton. Itu pun berapa kerat sahaja. Mungkin kerana mereka sedang sibuk dan banyak show yang perlu dihadiri oleh mereka. Khidmat mereka sepatutnya boleh digunakan untuk menarik penonton walaupun persembahan mereka sekadar pada segmen interlude. Mungkin juga pemilihan artis untuk segmen ini dibuat dalam keadaan tergesa-gesa. Sayang sekali pemenang Malaysian Idol tidak diundang untuk menyanyi di bahagian segmen ini.
Keputusan
Vokal Terbaik – Pulangkan - Misha Omar
Persembahan Terbaik – Hatinya Tak Tahan - Noraniza Idris
Irama Malaysia Etnik Kreatif – Erti Hidup – Dayang Nurfaizah
Balada – Pulangkan – Misha Omar
Pop Rock – Relaku Pujuk – Spider
Anugerah Juara Lagu 19 – Relaku Pujuk - Spider
Sidang Akhbar
Rata-rata para wartawan berbicara tentang kejutan keputusan pada malam tersebut. Kemenangan Relaku Pujuk seakan sukar diterima. Saya juga sukar untuk menerimanya.
Berkait kepada satu soalan yang ditanya kepada Ajai tentang ramalan banyak pihak yang meramalkan Pulangkan bakal menang besar tetapi ia tidak menjadi, Ajai berkata memenangi Kategori Balada sahaja sudah cukup bagus. Adakalanya industri memerlukan kelainan dan ini mengingatkan saya kepada kemenangan lagu Keliru pada Juara Lagu yang terdahulu. Seperti lagu balada, tidak banyak yang boleh dipelbagaikan. Ini berbeza dengan sebuah lagu pop rock yang boleh dipelbagaikan dengan bermacam-macam cara. Lagu pop rock lebih bersifat expandable.
Menurut Ajai lagi, lagu Relaku Pujuk lebih catchy dari sudut vokal dan melodi. Sekiranya lagu tersebut boleh menjadi siulan ramai, maka ia sudah menjadi yang terbaik. Arrangement lagu tersebut juga bagus.
Menurut Misha Omar, memenangi sebanyak dua kali anugerah Vokal Terbaik merupakan pembakar semangat untuk menjadi yang lebih baik pada tahun ini. Ini secara tidak langsung sebagai pembukaan yang baik untuk tahun 2005.
Kemenangan Afdlin Shauki untuk lagu Erti Hidup membuktikan beliau serius dalam bekerja. Lagu yang pada mulanya hanya untuk Program Khidmat Masyarakat akhirnya telah membuahkan hasil yang besar. Menghasilkan lagu etnik secara tidak langsung dapat mengimbas kembali erti hidup kita.
Turut ditanya ialah tentang kriteria penilaian panel juri dalam memilih pemenang. Trend muzik sering berubah-ubah. Tentu adanya keistimewaan dalam lagu Relaku Pujuk sehingga berjaya meraih gelaran Juara Lagu 19.
Lepas selesai Sidang Akhbar, bersantai sebentar di Ruang Jamuan. Sempat bertemu dengan Ramli MS dan mengucapkan tahniah buat beliau atas orkestra pada malam tersebut yang menjadi penyelamat kemeriahan malam itu. Pulang sekitar jam 1.30 pagi sebelum singgah untuk mengemaskinikan gossip tentang Datuk Sharifah Aini yang berhajat untuk hadir ke Anugerah Juara Lagu malam tadi. Cukuplah saya sekadar berdoa dari jauh sahaja. :)
Ranking sultanmuzaffar
Mengapa Harus Cinta – Vince
Pulangkan – Misha Omar
Erti Hidup – Dayang Nurfaizah
Semua Untukmu – Anuar Zain
Relaku Pujuk – Spider
Simbiosis – Ella
Hatinya Tak Tahan – Noraniza Idris
Tipah Tertipu - Ruffedge
Nazam Berkasih - Syura
Hanya Di Mata – Erra Fazira
Kala Hujan – Zamani
Syair Pesona - Sharifah Zarina
http://ajl.tv3.com.my/
Foto Album Anugerah Juara Lagu 19
Ulasan Satira Anugerah Juara Lagu 19 oleh Buku Nota
0 komen