Marsha Birthday Bash
Untitled
Berkali-kali saya diingatkan oleh Badrul dan Klubbkidd tentang majlis tersebut. Jawapan saya mudah sahaja. Saya tidak akan pergi tanpa sebarang jemputan. Berkali-kali juga mereka cuba mendapatkan jemputan untuk saya tetapi tidak berhasil. Terima kasih kerana mempunyai sahabat-sahabat yang sanggup bersusah-payah untuk tujuan “murni” tersebut. Saya terharu.
Akhirnya saya ke sana dengan kad jemputan kepada salah seorang Editor Hiburan yang tidak dapat hadir. Raut wajah penyambut tetamu sedikit berubah. Saya pula menjadi sedikit malu. Maka saya perlu betul-betul membawa diri dengan sebaik mungkin di majlis tersebut. Tidak mahu nanti dikatakan lebih sudu dari kuah. Lebih-lebih lagi saya menggunakan jemputan orang yang tentunya pihak penganjur merasa sedikit pelik kerana kelibat saya masih kelihatan di majlis tersebut. Hendak booking tempat untuk Klubbkidd dan Ted pun saya tidak berani.
Majlis tersebut telah diadakan di Restaurant 39, PNB Darby Park. Sebuah restoran yang agak eksklusif di aras paling tinggi bangunan tersebut. Pemandangan yang menarik terutama di waktu malam. Malam itu, saya lebih selesa duduk bersama Izreen, Meesua, suami dan sepupunya, Waiem dan Najmie dari duduk di ruang hadapan. Berbual tentang hal ehwal semasa serta isu terkini yang sedang hangat diperkatakan masa kini. Sesekali membuat lawak jenaka “press conference” atau jenaka “bangkai”, walaupun isu tersebut isu lapuk. Walaupun kebanyakan dari kami yang agak samar-samar tentang isu paling terkini iaitu “tikam belakang” atau isu “talam”. Pada mulanya kami sudah menempah tempat paling privasi di tempat majlis tersebut diadakan iaitu di dalam sebuah bilik yang tidak ramai orang. Lagipun peminat yang hadir pada malam itu hanya diletakkan di tempat yang berasingan dari para VIP.
Persembahan dari Marsha
Bilik tersebut dibekalkan dengan skrin tv plasma untuk melihat perjalanan majlis yang berlangsung di bilik yang satu lagi. Di dalam Akademi Fantasia juga sudah ada kasta nampaknya. Mujur tidak ramai yang hadir maka kebanyakan para peminat yang hadir pada malam tersebut berpindah ke ruang VIP di pertengahan majlis.
Seketika saya menghadapi makanan di ruang utama tetapi merasakan sedikit tidak selesa, saya kembali bersama teman-teman yang lain di ruang belakang. Tanpa lampu spot yang menyinari terang, udara di ruang belakang lebih dingin. Kebanyakan dari kami lebih sukakan ruang belakang kerana udaranya bukan seperti seseorang itu yang takutkan Kefli di ruang hadapan.
Bintang Akademi Fantasia
Majlis agak hambar mungkin kerana tidak ramai yang hadir kerana kesesakan lalulintas angkara raptai untuk salah satu majlis rasmi negara di sekitar KLCC. Ramai juga bintang Akademi Fantasia yang hadir pada malam tersebut antaranya Amylea, Akma, Felix, Ekin, Yazer, Elliza, Reza dan Kefli. Satu kelebihan untuk para peminat yang berbelanja besar untuk hadir bertemu bukan sahaja Marsha tetapi juga bintang-bintang yang lain. Antara tetamu lain yang hadir ialah M.Nasir dan Marlia Musa. Turut hadir ialah Kelvin (kenalan saya), pereka gaun Marsha pada malam tersebut dan kawannya Yus (Yus lah konon)
Pelancaran Laman Web Rasmi Marsha oleh M.Nasir
Turut dilancarkan pada malam itu ialah Laman Web Rasmi Marsha di alamat www.marshalondoh.com. Saya suka dengan rekabentuk laman web tersebut cuma stereotype yang masih tebal dalam minda masyarakat ialah penggunaan warna merah jambu untuk disesuaikan dengan Marsha. Pada saya ia terlalu klise. Penyanyi wanita harus berani lari dari warna merah jambu. Sama juga dengan apa yang saya lihat pada Laman Web Rasmi Nikki. Sekali lagi warna merah jambu menguasai keseluruhan ruang pada laman web tersebut.
Lama juga perlu menunggu untuk majlis countdown tepat jam 12 tengah malam. Majlis nyanyi-nyanyi hanya sebuah persembahan biasa dari Marsha. Mengulang lagu Untuk Terakhir Kali, Destiny dan Pilihlah Aku untuk para peminatnya. Sesekali diselitkan acara untuk para peminatnya. Seperti satu rutin, pertandingan menyanyi lagu “Pokok Kelapa” harus tidak ketinggalan. Meesua menjadi pemenangnya itu pun setelah peserta lelaki utama yang kononnya peminat fanatik tersohor Marsha sengaja membuat kesilapan. Perlu juga menunggu lagi untuk pertandingan trivia diselesaikan dalam keadaan soalan trivia tidak disediakan terlebih awal. Aduh !
Marsha dan Kelvin (Pereka Gaun Marsha)
Baru-baru ini saya menonton filem bertajuk Philadelphia yang ditayangkan di Astro. Mendengar petikan piano oleh pemain piano pada malam itu mengingatkan saya adegan sewaktu kematian Andrew Beckett. Tidak ubah seperti sebuah majlis pengebumian.
Sementara menantikan majlis memotong kek dijalankan, beberapa orang-orang penting diminta untuk memberikan ucapan selamat hari lahir kepada Marsha. Penasihat MarshaFC, wakil MarshaFC dari Sabah, kakak Marsha, wakil Maestro dan beberapa orang lagi. Setelah beberapa orang selesai membuat ucapan, Badrul memanggil nama saya untuk berucap. Wah ! Orang yang tidak dijemput ke majlis, mana boleh masuk dalam list orang penting untuk berucap ? Penting sangat ke ucapan saya untuk Marsha ? Lawak-Lawak ! Saya ke depan dengan hati yang berat.
MC Hammer Bidan Terjun
Selesai majlis memotong kek dan bergambar sana sini, kami pun pulang itu pun perlu menunggu sehingga Badrul selesai menjalankan tugasnya sebagai pengacara majlis pada malam tersebut.
Sekalung penghargaan buat penganjur majlis yang telah berusaha sebaik mungkin untuk melancarkan perjalanan majlis. Kemeriahan sekejap-sekejap yang dirasai terutamanya kepada para peminat Marsha tentulah merupakan kenangan paling manis buat mereka.
Potensi Masa Depan Marsha
(Kalau tidak nervous, inilah yang akan saya ucapkan semalam. Tetapi oleh kerana nervous dapat lah ucap sepatah dua sahaja.)
Semoga tahun depan aku layak ke AIM, boleh pinjam baju Datin belakang ni...
Marsha mempunyai potensi yang besar menjadi seorang yang lebih dikenali di masa akan datang. Personaliti beliau yang menarik merupakan asset paling berharga yang ada pada beliau untuk dipergunakan.
Beliau agak mudah untuk didekati. Beliau juga merupakan pemain paling utama dalam setiap tindakan yang dibuat olehnya dan juga dalam usia yang muda beliau masih memerlukan kakaknya untuk banyak membuatkan keputusan untuknya.
Kekalkan hubungan yang positif bersama pihak media kerana mereka inilah yang akan memberikan ulasan-ulasan positif tentang anda. Kemesraan yang ditunjukkan sewajarnya dikekalkan.
Dalam usia yang muda, beliau memerlukan seorang yang matang untuk membantu beliau dalam membuatkan keputusan. Lebih-lebih lagi apabila dikelilingi para oportunis yang sentiasa menantikan peluang untuk mendekatinya.
Beliau perlu bijak mengambil segala peluang yang datang sementara masih dikenali, paling tidak sebelum ketibaan musim baru Akademi Fantasia. Peluang-peluang yang datang sekali seumur hidup itu bukan sekadar terhenti setakat itu sahaja, tetapi perlu dilakukan tidakan susulan agar hubungan tersebut berkekalan. Ini secara tidak langsung akan lebih memanjangkan hayat Marsha dalam dunia hiburan tempatan.
Inilah masanya untuk mengumpul harta. Ikut seperti Bob yang gigih mengumpul harta sewaktu popularitinya sedang memuncak. Bila sudah tenggelam nanti, satu sen pun tiada gunanya.
Marsha, Happy Birthday To You !
Pujian Lain :
Badrul
Sekadar Media Picisan
Waiem
0 komen