Ulasan Filem : Castello sebuah filem aksi yang main-main
Rating : 1/5 bintang
Rating : 1/5 bintang

Filem ini sepatutnya menjadi menarik bukan kerana pesta badan para pelakon lelakinya tetapi kerana adegan aksi dan cerita yang bagus. Filem ini anda dapat melihat Rosyam Noor dan Zain Ruffedge tayang badan. Mujur Que Haidar tidak. Sayangnya pesta badan dalam filem ini menutup segala-galanya. Cerita yang bagus pada mulanya tidak berjaya dibawa ke layar dengan baik oleh pengarahnya. Saya katakan cerita filem ini bagus kerana ia memperkembangkan watak Castello yang wujud dalam filem Gerak Khas The Movie. Tetapi apabila di bawa ke layar, ia seperti tidak kesampaian. Bade Hj Azmi merupakan seorang pengarah sinematografi yang baik tetapi bukan seorang penulis skrip yang baik. Setelah beberapa filem dihasilkan oleh Bade, hasilnya masih sama. Filem aksi yang dibuat main-main. Saya boleh terpegun dengan KL Menjerit, Berlari Ke Langit dan Gangster tetapi tidak KL Menjerit 1 dan Castello. Apa sudah jadi ? Bade seakan sudah hilang taringnya dalam penghasilan filem-filem yang seimbang antara artistik dan komersial.
Kerja kamera yang dilakukan oleh Mohd Azla Kamaruddin juga jelas tidak menampakkan kecemerlangannya berbanding filem Gangster yang agak baik kerja kameranya. Saya melihat adegan aksi bukan sekadar aksi sahaja tetapi perlu disertakan dengan elemen logik dalam filem tersebut. Kelemahan utamanya adalah penceritaan yang meninggalkan banyak persoalan untuk diperdebatkan.
Bagaimana Sepet mampu untuk mengejar Castello dan anaknya sehingga ke Golok masih menjadi persoalan. Mengapa sekumpulan skuter secara tiba-tiba mengejar Castello dan Sepet juga masih bermain-main di dalam kepala. Mungkin kerana adegan aksinya yang terlalu pantas menyebabkan otak saya gagal untuk memproses maklumat dengan cepat. Terlalu banyak juga skuter-skuter yang dimusnahkan untuk memasukkan adegan jetski yang terbang dari langit datang entah dari mana untuk melompat ke Sungai Gombak dalam sekelip mata. Ya ! Sekelip mata.

Kelemahan pemilihan pelakon yang lain adalah melibatkan watak Phim (anak kepada Castello) dan kekasihnya (saya lupa nama wataknya) yang gemar menggunakan skuter serta datang dari keluarga yang kaya raya. Sekiranya pengarah dan penerbit memilih pelakon yang jauh lebih berketerampilan untuk memegang peranan tersebut tentulah hasilnya lebih menimbulkan kesan kepada penonton. Sukar untuk saya menyelami perasaan mereka berdua walaupun pemasalahan yang mereka tanggung agak berat. Feel tidak kesampaian.

Que Haidar pula sekadar memberikan sebuah lakonan yang jauh lebih over dari wataknya. Lakonannya tidak dikawal dengan baik sehingga menimbulkan aksi-aksi yang jelek yang tidak kena pada tempatnya pada pandangan saya. Saya melihat beliau gagal mewujudkan kebencian terhadap wataknya walaupun wataknya sebagai Sepet merupakan perosak utama dalam filem tersebut.
Satu lagi barah dalam filem Melayu ada eksploitasi jenama ke dalam adegan filem. Sudah menjadi trend kini dalam filem Melayu untuk memasukkan jenama penaja sebagai salah satu adegan dalam filem-filem Melayu. Seingat saya bermula dengan Sembilu 2005 dengan Celcom, Gol & Gincu dengan pelbagai jenama seperti Coke, Adidas dan Hotlink kini Castello mengikut jejak langkah mereka dengan mempromosikan Julie’s. Apakah agaknya perubahan yang perlu dilakukan oleh Shuhaimi Baba sekiranya Digi berkeras mahu dipromosikan di dalam filem Pontianak Harum Sundal Malam.

Filem ini membawa kisah mengenai Solo, remaja yang dibesarkan di Sungai Golok. Solo berkahwin dengan seorang gadis Thai bernama Chalita. Di saat Chalita hamil, Solo mula menjalankan kegiatan sebagai pengedar dadah untuk menjadikan kehidupan keluarganya lebih mewah. Tapi Solo tertangkap dan dia dipenjara selama 20 tahun. Di dalam penjara, dia dikenali sebagai Castello. Keluar dari penjara, Castello cuba mengesan semula isteri dan anaknya. Tapi dia kecewa bila mengetahui anak gadisnya Phim telah menjadi penagih dadah. Castello berusaha untuk menyelamatkan Phim yang tidak menyedari bahawa Castello adalah bapanya. Satu hari Castello merampas duit Phim sewaktu gadis itu sedang berurusan untuk membeli dadah. Kerana terlalu ketagih, di luar kesedaran Castello, Phim telah bertemu dengan pengedar dadah dan menceritakan masalah kewangannya.
Si pengedar berlagak baik dan memberi Phim dadah yang diperlukannya. Tapi di saat Phim sedang khayal, dia dirogol oleh konco-konco pengedar itu sebagai bayaran hutangnya kepada pengedar tersebut. Castello 'naik gila' sebaik saja mengetahui kemusnahan hidup Phim. Dia berazam untuk membalas dendam. Tapi di saat sedang bergelut menuntut bela terhadap maruah anaknya yang telah tergadai, Chalita (isteri Castello) telah dibunuh oleh konco-konco pengedar itu. Tentu saja Castello menjadi bertambah marah dan dia bertindak lebih gila. Namun mampukah Castello berhadapan dengan pengedar profesional itu ?
Saya menonton filem ini atas undangan
http://www.castello.com.my
Selamat menyambut Hari Raya Aidil Adha kepada semua peminat filem Malaysia khasnya dan pembaca blog sultanmuzaffar amnya.
Nota :
1. Terpaksa disusun semula ayatnya kerana telah di"cut & paste" di DB MawiFC atas cubaan-cubaan yang tidak diketahui niatnya.
0 komen