Rating : 4/5 bintang
Lama benar tidak menulis sesuatu untuk blog ini. Dari hari ke sehari saya semakin sibuk menyiapkan tugas yang semakin banyak. Banyak juga ulasan tertangguh yang perlu disiapkan. Ada juga yang perlu dihantar. Hidup tidak terlalu mudah mungkin.
Filem Buli Balik telah saya tonton beberapa minggu yang lepas sewaktu tayangan untuk media tetapi tidak berkesempatan untuk menulis ulasan tentang filem tersebut. Walaupun pada hakikatnya saya menyukai filem tersebut. Benar-benar menyukainya. Semalam telah berlangsung Tayangan Komuniti Blog untuk filem Buli Balik. Ramai juga yang hadir untuk sama-sama memberikan sokongan kepada filem tersebut. Pertama kali satu tayangan preview untuk blogger dan para pembaca mereka. Belum pernah dibuat sebelum ini. Nampaknya para pembikin filem sudah mula nampak usaha-usaha yang telah dilakukan oleh para blogger untuk memberikan promosi dan ulasan ikhlas mereka tentang apa yang mereka tonton.
Setelah menonton filem Buli beberapa tahun dahulu, Afdlin Shauki hadir dengan buah tangan yang baru untuk para peminat filem Melayu. Walaupun jaraknya agak terlalu hampir dengan masa tayangan filem Baik Punya Cilok yang saya tidak gemar, filem Buli Balik menjanjikan satu kelainan kepada mereka kelak.
Kali pertama saya menganjurkan tayangan filem adalah untuk filem Puteri Gunung Ledang, yang hadir seramai 21 orang. Kali kedua hasil gabungan dengan BadrulAfterSix adalah untuk filem Sepet, yang hadir adalah seramai 31 orang. Kali ketiga adalah untuk filem Gol & Gincu, yang hadir seramai 53 orang. Manakala untuk Buli Balik yang hadir adalah seramai 88 orang. Grafnya semakin menunjukkan peningkatan. Diharapkan mutu filem Melayu juga akan menunjukkan peningkatan. Selepas ini ada Gubra, The Red Kebaya, Bilut, Puaka Tebing Biru, Susuk, Lelaki Komunis Terakhir, Zombie Kg. Pisang dan Sumo-lah. Sekadar menyebut beberapa filem yang bakal memberikan cerita yang lain dari yang lain. Saya sukakan kelainan yang memadai bukan kelainan yang tidak menjanjikan apa-apa. Maaf sekiranya ada filem yang saya sengaja tidak mahu sebut.
Menyentuh tentang Buli Balik, boleh saya sifatkan sebuah filem yang lebih baik dari Baik Punya Cilok. Kalau Baik Punya Cilok mampu mengaut kutipan sebanyak hampir RM3 juta, tidak mustahil Buli Balik mampu mendapatkan kutipan yang lebih daripada itu. Tetapi saya sedar yang cita rasa manusia berbeza-beza. Mungkin berlaku yang sebaliknya. Kalau ini berlaku, ini membuktikan yang peminat filem Melayu masih dahagakan penampilan Awie di layar perak. Sesuatu fakta yang agak mengejutkan kerana lakonan Awie dan badannya masih boleh dijual kepada peminat filem Melayu.
Inti pati filem Buli Balik amat mudah. Tentang buli atau buli balik. Dalam Buli Balik saya lihat nilai persahabatan lebih dari segala-galanya. Terlalu besar pesanan yang dibawa oleh Buli Balik. Apakah punca seseorang itu menjadi pembuli atau pendera. Kesan buli kepada yang kena buli. Apakah akan berlaku satu putaran yang menyebabkan masalah tersebut tidak akan berakhir. Kesan psikologi yang berlaku dalam seseorang mangsa buli dalam beliau berhadapan dengan realiti hidup di masa hadapan.
Saya pernah menulis tentang program Bersamamu yang mana saya telah menyentuh tentang gejala meninggalkan warga emas di rumah-rumah orang tua. Saya menulis,
Dalam Malaysia menuju kemajuan, tidak dapat tidak beberapa aspek dalam kehidupan terpaksa diabaikan. Lebih menyedihkan apabila terdapat segolongan
manusia yang terus mengabaikan ibu-bapa mereka. Semacam sudah menjadi kebiasaan, berita-berita di akhbar memaparkan juga kisah penderaan kanak-kanak. Ia semacam satu putaran roda kehidupan. Kanak-kanak didera sekarang dan ibu-bapa diabaikan sewaktu umur tuanya. Apakah itu satu kebetulan atau semacam satu pembalasan ?
Sultan Muzaffar is a popular blogger amongst the BM writing blogs, more known
for his reviews and stories in the local entertainment scene. In this blog entry, he offers a profound thought on how we — as a society hurtling towards developed status — may be trapped in a viscious circle of misery.
It’s worth some contemplation.
Dari tulisan bertajuk A vicious circle of misery.
Lingkaran syaitan yang dimaksudkan ada di dalam filem Buli Balik. Roy didera emosinya sewaktu kecil apabila melihatkan ibunya yang sering dipukul oleh bapanya. Kesan psikologi yang berlaku ke atas Roy menyebabkan beliau membuli Nordin sewaktu mereka menuntut di sekolah yang sama. Apa yang terjadi kepada Dasuki, bapa Roy ? Dasuki diabaikan sewaktu meniti hari-hari tuanya. Kesan-kesan negatif tersebut sentiasa berputar-putar dan tidak pernah padam. Dendam yang tersimpan di dalam diri Roy dibawa ke zaman remajanya. Nordin boleh mengambil kesempatan untuk membalas dendam terhadap apa yang telah Roy lakukan. Dan putaran tersebut akan berterusan dan tidak akan berhenti. Apakah Nordin akan meneruskan putaran tersebut akan hanya terjawab apabila anda menonton filem Buli Balik.
Arahan/Cerita
Saya lihat ada perbezaan besar dalam arahan Afdlin Shauki untuk filem ini berbanding filem Buli. Beliau tahu cerita yang ingin beliau sampaikan dan meletakkan arah tuju yang betul untuk arahannya. Beliau tahu apa yang perlu dimasukkan dan apa yang perlu ditiadakan dalam filem ini.
Penggunaan dialog-dialog pendek yang melucukan juga menyuntik elemen komedi pada filem ini yang boleh saya sifatkan bercorak drama campur romantik campur komedi. Semua elemen tersebut digaul dan menjadi Buli Balik. Itu yang bagus tentang filem ini apabila dialog-dialog pendek mampu membuatkan kita terasa macam ditempeleng atau pun membuatkan kita terasa gelak macam tidak mahu berhenti.
Pembaca Berita 4 : Lagu "Sure Or Not" nyanyian Tan Sri Michaelsoft mengalahkan lagu Siti Nurhalimah bertajuk "Cintaku Bukan Di Atas Email". Sungguh sinis.
Kesan buli dibawa dari zaman lampau ke zaman kini. Manakala kesan hilang ingatan dapat dipulihkan dengan kembali ke zaman lampau. Menarik bukan putaran ini.
Pujian harus juga diberikan kepada Penata Seni dan Pereka Set untuk set dan lokasi yang menarik ditampilkan dalam filem ini. Lokasi yang dipilih amat bersesuaian dengan cerita dan berjaya menimbulkan mood untuk penceritaan filem ini. Set untuk rumah kampung Dasuki telah dibuat dengan baik, begitu juga dengan tempat kerja Nordin dan Tan Sri Michaelsoft.
Seperti filem Gol & Gincu, Castello dan Sembilu 2005, pengaruh jenama turut menguasai Buli Balik. Saya agak kurang selesa melihat Nasha memegang botol Dermalogica dan menunjukkan cara-cara memakai lip-gloss kepada Umie Aida. Penggunaan telefon bimbit kamera dan 3G lebih bersesuaian dengan babak dan cerita filem tersebut dan tidak nampak dibuat-buat. Jenama apa pula selepas ini ? Filem Susuk boleh mengundang diva paling popular untuk mengesahkan produk mereka pula.
Lakonan
Inilah pertama kali saya kagum dengan lakonan Hans Issac sebagai Roy. Beliau telah menampilkan sebuah lakonan yang bersahaja tetapi berkesan. Beberapa kali saya terdengar penonton memberikan simpati mereka kepada Roy setelah melihatkan perbuatan Ako Mustapha (Shaff) yang agak keterlaluan menggunakan kesempatan yang tiba sewaktu Roy masih dalam proses memulihkan ingatannya. Walaupun Roy sebenarnya adalah punca Nordin merasa rendah diri dan merasa teraniaya akibat dibuli oleh Roy sewaktu zaman persekolahannya. Penonton cepat melupakan kesilapan-kesilapan Roy dalam Buli dan memaafkannya dalam Buli Balik. Walaupun pada penghujung filem ini beberapa ekspresi Roy agak keterlaluan tetapi Nordin (Afdlin Shauki berjaya mengimbangi kekurangan tersebut dengan lakonan yang amat berkesan. Hans Issac menguasai hampir keseluruhan filem ini dengan lakonan yang mantap.
Lakonan Nasha Aziz sebagai Dr. Ika lebih bersahaja dalam filem ini dan menampilkan perwatakannya yang lebih matang berbanding filem Buli. Adegan-adegan romantis dilakonkan dengan baik oleh Nasha.
Tan Sri Michaelsoft (Patrick Teoh) juga berjaya mengekalkan elemen komedi pada beberapa adegan dengan dialog-dialog pendeknya yang melucukan. Patrick Teoh wajar diberikan watak yang tidak stereotype untuk filem seterusnya. Memandangkan sudah banyak filem menampilkan beliau sebagai seorang berbangsa Cina yang bercakap dengan pelat Cina yang agak klise untuk terus dipertontonkan dalam filem seterusnya.
Watak-watak pembantu dalam kelas terapi menampilkan Aziz M.Osman, Sharifah Shahira, Harun Salim Bachik, Wahid Senario dan Hani JD juga telah membawakan watak mereka dengan berkesan walaupun tidak dikembangkan dengan baik.
Adegan Menarik
Antara adegan menarik dalam filem ini yang wajar diingati ialah adegan sewaktu pertembungan emosi antara Nordin (Afdlin Shauki) dan tiga orang murid sekolah. Satu adegan yang memberikan kesan yang cukup besar dalam Buli Balik dalam mengembalikan semangat Nordin untuk melawak sifat rendah dirinya.
Adegan antara Nordin dan dirinya di hadapan cermin juga agak klasik. Teknik morphing yang digunakan benar-benar membuka mata. Ia berjaya menyampaikan pesanan emosi yang Nordin sedang berperang dengan dirinya sendiri untuk melawan sifat rendah dirinya itu.
Babak sewaktu Nordin menyatakan kekesalannya kepada Dr. Ika juga menarik dan di luar jangkaan. Tidak boleh cerita panjang. Anda kena tonton filem ini secara keseluruhannya.
Kalau saya begitu tidak gemarkan adegan penghujung filem Baik Punya Cilok, sebaliknya yang berlaku untuk filem Buli Balik. Apa yang boleh saya perkatakan adegan kemuncak filem ini mengingatkan saya akan pertarungan Nordin dan Roy dalam animasi tiga dimensi. Lebih-lebih lagi dengan kemunculan Ramlah Ram sebagai cameo dengan pakaian simboliknya.
Pengaruh muzik latar dalam adegan Roy kembali ke kampungnya benar-benar meninggalkan kesan yang mendalam buat saya. Saat waktu Roy sampai ke kampungnya dengan iringan muzik yang ringkas tetapi kena dengan adegan tersebut mampu membuatkan satu persatu ingatan Roy terhadap apa yang telah dilalui olehnya datang kembali secara beransur-ansur.
Muzik Latar
Dari situ kesan muzik latar benar-benar mempengaruhi perjalanan sesebuah filem. Afdlin Shauki menggunakan khidmat Pacai dan Aji untuk menghasilkan muzik latar filem ini. Sesetengah filem suka menggunakan lagu tema filem Out of Africa dan Schindler’s List sebagai lagu latar filem mereka. Berbeza dengan Buli Balik. Ada beberapa lagu yang menarik dari filem ini Naluri, Pada Senyummu dan U Sure Or Not.
Walaupun ramai yang menyukai penampilan Tan Sri Michael dalam muzik video U Sure Or Not, saya kurang menyukainya. Saya merasakan adegan tersebut agak panjang untuk pengenalan sesuatu watak tetapi masih memadai untuk menimbulkan elemen komedi pada filem tersebut. Lebih menarik sekiranya muzik video tersebut dipendekkan.
Ada yang bertanya lagu latar yang digunakan pada penamat filem tersebut. Lagu tersebut bertajuk Tiada Lagi dan lirik lagu tersebut amat kena dengan jalan cerita Buli Balik. Lagu tersebut ada terkandung di dalam album Fuuyo !
Poster
Saya lebih menyukai versi poster awal filem ini. Lebih menarik dan mesejnya kuat sedikit berbanding poster terkini filem ini. Poster awal menampilkan wajah bengis Nordin dan pelakon-pelakon lain berada di belakang dengan pelbagai mimik muka. Tetapi setelah menonton filem ini kali kedua, saya merasakan poster terkini filem ini lebih sesuai kerana ia menampilkan Nordin dan pelakon-pelakon lain di baju Nordin. Mimik muka pelakon lain yang pelbagai sentiasa berada dekat dengannya. Saya tiba-tiba teringat salah satu dialog dalam filem ini.
Nordin : Kawan-kawan saya semua ada kat sini...(aku dah mengalir air mata time ni !)
Damn ! Aku mengalirkan air mata menonton adegan tersebut. Bagaimana persahabatan melebihi segala-galanya walaupun Nordin pernah mengalami trauma dibuli oleh Roy. Senang sekali untuk memaafkan walaupun tidak semua orang mempunyai sifat tersebut. Ini bukan kali pertama, ini kali kedua. Filem terakhir yang mampu membuatkan saya mengalirkan air mata ialah adegan kehadiran kanak-kanak Palestin dalam filem Selubung tetapi apabila menonton kali kedua saya tidak terasa sangat. Berbeza dengan adegan akhir filem Buli Balik, walaupun sudah dua kali menontonnya pun saya masih mengalirkan air mata. Ini satu petanda yang filem ini tidak wajar dilepaskan. Saya semakin optimis dengan filem Melayu.
Laman Web Buli Balik
Forum Buli Balik
Ulasan Blog : DJCybersonique, Mat Jan, Basri, Superdiman, Blueqube, Nina, Anne, Goldenoro, SeniKami, etc
0 komen