Undilah

SULTANMUZAFFAR (26 Februari 2002 - sekarang)

Seorang blogger, pelayar internet, penyelam scuba dan penagih tegar televisyen dan Wii. Melihat seluruh dunia di laman blog menerusi kamera DSLR dan kacamata tebalnya (kadang-kadang kanta lekap).

Mengkritik tidak bererti menentang, menyetujui tidak semestinya menyokong, menegur tidak bermakna membenci, dan berbeza pendapat adalah kawan berfikir yang baik.

Ulangtahun ke Tujuh Blog sultanmuzaffar

Entri oleh sultanmuzaffar 26 February 2009

Percaya atau tidak, blog sultanmuzaffar sudah berusia 7 tahun hari ini. Masa berlalu begitu pantas. Akademi Fantasia juga sudah masuk musim yang ketujuh. Anda pastinya teruja untuk melihat transformasi pelajar Akademi Fantasia yang baru atau pun menantikan apakah transformasi yang akan saya lakukan pada blog ini menjelang musim Akademi Fantasia yang bakal menjelma bulan Mac ini. Saya masih kekal sebagai wartawan hiburan Gala TV untuk Astro AWANI yang mana berita terkini mengenai program realiti paling popular itu akan dimuatkan dalam program tersebut. Saya akan cuba untuk mengemaskinikan blog ini sekerap yang mungkin. Selain itu saya akan mengemaskinikan sebuah lagi blog yang masih perlu saya rahsiakan lagi sekarang. Sampai masanya, saya akan umumkan. Oleh itu, kalau ikut prioriti saya perlu berikan kepada Gala TV dan yang selainnya.

Baru-baru ini pada 18 Februari yang lalu saya telah menikmati satu pengalaman luar biasa yang jarang sekali orang biasa dapat rasai. Pengalaman menaiki Boeing 747-400 Flight Simulator Malaysia Airlines. Saya boleh anggap ia satu pengalaman yang tidak akan saya lupakan seumur hidup saya.

Saya bersama beberapa orang blogger diberikan peluang keemasan itu oleh Malaysia Airlines. Saya tiba di Kompleks B, MAS lebih kurang pukul 2 petang dan terus dibawa ke Bilik Operasi Simulasi. Saya tidak mengalami perasaan gerun atau takut kerana saya sememangnya suka naik kapal terbang. Kalau boleh pergi ke pejabat naik kapal terbang pun saya akan usahakan kerana tempoh perjalanan yang singkat.
|
Apabila menaiki sebuah simulasi, tiada apa yang perlu ditakutkan kerana kalau terhempas sekali pun tidak akan cedera melainkan kalau operasi simulasi itu bertindak diluar dugaan, itu lain cerita. Operasi simulasi pada petang itu dikendalikan oleh Kapten Kamarudin Kamilin. Beliau membawa kami ke London Heathrow Airport (LHR). Simulasi penerbangan bermula di landasan LHR dan kemudiannya membuat pusingan dan mendarat di lapangan terbang yang sama.

Kami berlepas dan mendarat di LHR sebanyak empat kali. Saya bertindak selaku juruterbang kedua yang duduk di sebelah kanan simulasi. Apabila kapten suruh tarik saya tarik, apabila kapten suruh tolak, saya tolak. Saya hanya mengikut arahan yang diberikan. Selain meneliti panel kawalan yang ada pelbagai jenis suis memang agak memeningkan dan sebagai juruterbang, mereka perlu bersiap sedia dengan sebarang kemungkinan yang akan berlaku.

Kapten Kamarudin turut mengarahkan pembantunya menukar kepada beberapa situasi seperti gangguan “turbulence” dan sebagainya. Saya juga diberikan peluang untuk merasa bagaimana sekiranya berlaku kesilapan sewaktu pendaratan seperti mana berlakunya pesawat terhempas atau terbabas. Namun semuanya ada butang “restart” kecuali pada situasi sebenar yang mana Allah swt sahaja yang akan menentukan nasib anda. Saya difahamkan anda juga boleh menikmati pengalaman ini sekiranya operasi simulasi tidak penuh dengan latihan juruterbang.

1 Responses to Ulangtahun ke Tujuh Blog sultanmuzaffar

  1. Pyanhabib Says:
  2. tahniah!
    (tumpang lalu)