Undilah

SULTANMUZAFFAR (26 Februari 2002 - sekarang)

Seorang blogger, pelayar internet, penyelam scuba dan penagih tegar televisyen dan Wii. Melihat seluruh dunia di laman blog menerusi kamera DSLR dan kacamata tebalnya (kadang-kadang kanta lekap).

Mengkritik tidak bererti menentang, menyetujui tidak semestinya menyokong, menegur tidak bermakna membenci, dan berbeza pendapat adalah kawan berfikir yang baik.

Facebook Banyak Curi Masa Saya

Entri oleh sultanmuzaffar 02 February 2009

Secara jujurnya memang saya akui Facebook banyak mencuri masa saya menulis blog. Di Facebook saya lebih terbuka dan senang berkomunikasi dengan pembaca mahu pun teman-teman saya. Saya baru saja pulang dari Kota Kinabalu kerana menghadiri sesi ujibakat Akademi Fantasia 7 di sana. Sama seperti tahun sebelumnya, sesi ujibakat tahun ini agak nyata perbezaannya.

Setiap peserta ujibakat perlu melalui 4 peringkat ujibakat. Di peringkat pertama sekadar menyanyi di hadapan dua orang juri tanpa iringan muzik. Dalam peringkat ini mereka dinilai sama ada mempunyai suara atau pun sekadar main-main. Jika berjaya mereka akan ke peringkat kedua yang mana lebih sukar kerana perlu berhadapan dengan juri profesional yang terdiri daripada penyanyi atau pun komposer. Peringkat ini peserta diuji sama ada vokalnya baik atau pun tidak. Ada keunikan atau pun sama seperti penyanyi-penyanyi yang pernah dilahirkan dulu. Jika berjaya mereka akan ke peringkat ketiga yang akan dinilai oleh komposer, wakil penerbit dan pelakon. Di sinilah perwatakan peserta diuji. Segala rahsia cuba dikorek untuk melihat sejauh mana peserta mahu menyertai pertandingan realiti itu. Kebolehan menari juga diuji dalam peringkat ini. Selain lagu pilihan, peserta juga akan diminta untuk menyanyikan beberapa lagu lain untuk menilai versatiliti peserta. Jika berjaya, barulah peserta bergerak ke Bilik Kebal Peringkat Empat. Di sinilah peserta ujibakat mencurahkan segala keinginan, harapan dan isi hati mereka dalam Akademi Fantasia.

Di peringkat tersebut jugalah beberapa rahsia peserta dicungkil untuk digunakan sebagai kejutan sekiranya mereka terpilih sebagai pelajar Akademi Fantasia kelak. Jika anda masih ingat kepada Mas dalam Akademi Fantsia 2, di peringkat inilah dia memberitahu yang dia sudah mempunyai anak. Selain Mas, ada beberapa pelajar lagi telah mendedahkan rahsia mereka di sini yang tidak wajar untuk saya tulis di sini.

Jadi apa bezanya Akademi Fantasia musim ini dengan musim terdahulu. Penyertaan peserta dari Singapura boleh dianggap sebagai perbezaan musim ini. Strategi memperluaskan jenama Akademi Fantasia ke Singapura boleh dianggap sebagai meluaskan pasaran muzik tempatan. Jika berjaya, jenama Akademi Fantasia boleh menjadi satu trademark untuk muzik Asia atau pun ASEAN. Jenama itu masih kekal di Malaysia selama 7 musim dan potensi untuk ia diteruskan di masa-masa akan datang pastinya ditunggu-tunggu oleh peminat program realiti itu.

Sebenci-bencinya peminat/pembenci dengan Akademi Fantasia, seboleh-bolehnya jugalah mereka akan menjadi penonton untuk program itu. Biar pun menonton untuk mengutuk dan mengeji, mereka pasti menonton.


Lagu Pembukaan

Baru-baru ini saya ada menonton sebuah filem bertajuk Slumdog Millionaire yang kini sedang hangat diperkatakan di Hollywood mahu pun di seluruh dunia. Filem itu menerima sepuluh pencalonan di Anugerah Akademi ke 81. Sebelum ini ia memenangi Filem Terbaik di Anugerah Golden Globes dan Ensemble Lakonan Terbaik di Anugerah Screen Actors Guild. Semalam, pengarahnya Danny Boyle diiktiraf di Anugerah Directors Guild.

Filem itu pada mulanya dibeli hak penayangan oleh Warner Independent Picture dengan harga USD5 juta tetapi syarikat itu tidak yakin dengan filem itu dari aspek komersial. Lebih malang apabila Warner Independent Picture ditutup pada bulan Mei 2008 dan mencadangkan Slumdog Millionaire dipasarkan dalam bentuk DVD. Mujurlah Fox Searchlight Picture sanggup berkongsi dengan WIP dan seterusnya filem itu dapat ditayangkan kepada umum.

Filem itu pertama kali ditayangkan di Festival Filem Telluride pada 30 Ogos tahun lalu dan menerima respon positif daripada penonton sekaligus menjadi buah mulut masyarakat perfileman di Hollywood. Selepas ditayangkan di Festival Filem Antarabangsa Toronto pada bulan September, filem itu menjadi semakin popular sekaligus menang Anugerah Pilihan Penonton.

Sehingga kini, filem itu telah mengutip lebih USD57 juta dalam kutipan tiket di Amerika Syarikat dan lebih USD86 juta di seluruh dunia. Filem itu kini sedang ditayangkan di India. Filem itu juga telah ditayangkan di United Kingdom, lebih-lebih lagi pengarahnya berasal dari sana. Selepas memenangi empat Anugerah Golden Globes, jualan tiket melonjak naik.

Kesan kemenangan dan polemik luar biasa yang diperolehi filem ini sangat hebat. Ada yang menyukainya tidak kurang yang tidak menyukainya. Mereka tidak sekadar bercakap mengenai jalan cerita mahu pun arahannya tetapi turut menyentuh isu-isu sensitiviti yang berlaku di India. Pelakon kanak-kanak yang berlakon dalam filem itu ada di antaranya yang berasal dari kawasan daif di India yang menjadi latar jalan cerita filem itu. Nasib kanak-kanak itu turut diberikan perhatian oleh penonton filem itu lebih-lebih lagi apa yang akan berlaku kepada mereka setelah berlakon dalam filem tersebut.

Seperti yang pernah berlaku dalam filem The Kite Runner, pelakon kanak-kanak filem itu dibawa berhijrah ke negara lain selain diberikan dana pendidikan untuk meneruskan pengajian mereka sehingga berusia 18 tahun. Perkara yang sama berlaku kepada pelakon kanak-kanak filem Slumdog, cuma mereka diberikan dana pendidikan sehingga 18 tahun. Walaupun filem itu mendapat tempias populariti di karpet merah, mereka tidak didedahkan dengan glamor tersebut semata-mata agar mereka memberikan tumpuan kepada pelajaran mereka.

Filem itu adalah pilihan yang terbaik untuk kita menghargai hidup. Filem itu sempurna dari aspek penceritaan, arahan, muzik, lakonan dan sinematografi. Sangat hebat. Sekiranya anda masih belum menonton Slumdog Millionaire, anda patut menontonnya kerana saya telah menonton filem itu sebanyak 6 kali tanpa rasa jemu.

Lagu Penutup

1 Responses to Facebook Banyak Curi Masa Saya

  1. Anonymous Says:
  2. bgus ker citer..hehehhe

    siyes aq blom tgk ag..