Undilah

SULTANMUZAFFAR (26 Februari 2002 - sekarang)

Seorang blogger, pelayar internet, penyelam scuba dan penagih tegar televisyen dan Wii. Melihat seluruh dunia di laman blog menerusi kamera DSLR dan kacamata tebalnya (kadang-kadang kanta lekap).

Mengkritik tidak bererti menentang, menyetujui tidak semestinya menyokong, menegur tidak bermakna membenci, dan berbeza pendapat adalah kawan berfikir yang baik.
Entri oleh sultanmuzaffar 10 August 2004

Akademi Fantasia IIDiari Akademi Fantasia 10-03-04

Teknik Pernafasan
Tanpa ada kesengsaraan di wajah Cikgu Siti Hajar, beliau mengendalikan kelas beliau dengan tenang. Tidak perlu mengulang beberapa kali, tidak perlu menterjemah beberapa perkataan bahasa Inggeris. Nampak mudah sahaja kerja beliau. Setiap pelajar diperingatkan tentang teknik-teknik pernafasan yang betul. Cara mengambil nafas, kedengaran begitu mudah tetapi tidak semudah yang disangka. Seringkali artis sedia ada juga berlaku kesilapan dalam teknik mengambil nafas terutama sewaktu menyanyi secara langsung. Sesetengahnya, boleh kedengaran bunyi nafas diambil melalui pembesar suara. Teknik pernafasan boleh menjadi baik akan dapat disokong dengan baik melalui proses kerja yang dilakukan oleh tubuh badan manusia. Ia hanya akan terhasil apabila diafragma bekerja dengan betul. Dalam teater juga punya teknik pernafasan yang betul untuk melontarkan vokal dengan lantang serta kawalan stamina seseorang pelakon di atas pentas. Begitu juga dengan nyanyian.

Mencari Sesuatu Yang Hilang
Saya kehilangan. Mencari-cari sesuatu yang hilang. Bukan dalam gelap, tetapi dalam terang. Ia tetap hilang. Belum mampu untuk menarik nafas kelegaan kerana yang hilang akan terus hilang. Berbeza dengan kelas seni persembahan Cikgu Fauziah Nawi, mereka diminta untuk melakukan improvisasi perubahan watak dari satu watak ke satu situasi yang berbeza. Bermula dengan keadaan gelap di dalam sebuah bilik, mencari jalan keluar, apabila lampu dibuka, menarik nafas lega. Bayangkan keadaan tersebut. Tidak sukar untuk saya bayangkan kerana saya kini juga sedang kehilangan. Tetapi walaupun lampu dipasang, ia tetap hilang. Bob dan Kaer memberikan lakonan yang biasa sahaja. Saya suka dengan gaya Adam membawakan wataknya. Begitu juga Zahid. Linda masih mengamalkan gaya dahulu, iaitu tidak serius apabila berlakon keseorangan.

Apabila dipasangkan, saya lebih menyukai lakonan Bob dan Adam. Adam masih sepserti dahulu. Memang benar, apabila skrip berada di hadapan kita, tidak dapat tidak pasti hati kita akan tergerak untuk melihatnya. Sebagai pelakon, wataknya tidak mampu berkembang dengan baik kerana terlalu terikat dengan skrip yang berada di hadapannya. Adam hanya perlu fahamkan situasi, fahamkan keadaan, pasti beliau boleh melakukannya.

Menepati Waktu
Saya ada seorang sahabat. Seorang yang amat menepati waktu. Kalau ada temujanji dengan beliau, sudah pasti saya akan berusaha untuk datang tepat pada waktunya. Jika terlewat, saya akan memberitahunya yang saya terlewat. Kini tiada lagi. Banyak ilmu baru yang dipelajari oleh pelajar sewaktu kelas kendalian Puan Mahani. Lebih-lebih lagi bekalan mereka sebagai seorang yang bergelar artis kelak. Disiplin merupakan perkara paling penting. Bagaimana seriusnya mereka untuk menjadi bintang dinilai pada minggu ini apabila baju yang dibuat ukurannya satu inci lebih kurang dari saiz sekarang. Oleh yang demikian, disiplin diet permakanan perlu mereka ikuti. Benar, Zahid dan Bob perlu melakukan sesuatu untuk itu.

Bill Keith Datang Lagi
Kunjungan Bill Keith sekali lagi ke Akademi Fantasia adalah untuk mengambil ukuran badan Linda untuk pakaian beliau di Konsert hujung minggu ini. Linda inginkan sesuatu yang agak elegan dan seksi berasaskan warna merah atau biru. Bill Keith merasakan untuk lebih mudah bergerak, Linda sesuai menggunakan fesyen jenis two-piece.

Kelas Cikgu Adnan Abu Hassan
Ooo La La dendangan Adam (baca: Yusry) memang banyak sumbangnya. Tetapi itulah yang disukai oleh Adam. Nyanyiannya mirip benar dengan KRU. Lenggoknya tidak cuba diubah mengikut kesesuaian sekadar ditiru bulat-bulat. Cikgu Adnan turut memuji pitching yang cemerlang oleh KRU dan menegaskan itu rakaman di studio. Secara langsung tentu lain pula ceritanya. Adam buat sahajalah apa yang beliau suka, lagipun ini minggu terakhir.

Kaer dengan Sway agak baik. Selesa dengan lagu tersebut, menambahkan keyakinan beliau. Sebuah dendangan yang menarik dari Kaer. Benar saya terpegun mendengarnya. Begitu juga dengan Zahid yang dapat mempelajari teknik terbaru nyanyian asal Broery Marantika. Cikgu Adnan nampak selesa untuk mengajar teknik baru yang boleh diguna-pakai untuk lagu tersebut kepada Zahid dan Kaer. Bukan masanya di minggu kesepuluh untuk Cikgu Adnan memberi komen tentang pitching dan sumbang. Untuk Zahid dan Kaer, Cikgu Adnan memberi idea tentang teknik. Untuk sesetengah pelajar, Cikgu Adnan memberi komen tentang pitching. Jadi, kita sudah boleh agak di mana taraf mereka sebagai pelajar. Baik buruk, pengundi yang tentukan.

Bob dan Zahid saya merasakan mereka agak kurang bernasib baik kerana menerima lagu yang kurang popular. Berbeza dengan Farah yang membawakan sebuah lagi lagu Inggeris bertajuk Sk8er Boi dan Linda yang membawakan lagu Only You versi Spanish. Farah membawakan sebuah lagu yang agak rancak maka stamina beliau perlu ditingkatkan. Linda rasanya tidak mempunyai masalah besar untuk lagu tersebut.

Kau Kembali
Lagu: Johan Farid Khairuddin
Lirik: Omar Khan
dari http://cybersonique.org/

Mengapa langit nan biru
Mengapa daun 'kan gugur
Oh mengapa dunia kelam tanpa mentari
Mengapa bertahun lama kau pergi
Haruskah diri membenci
Namun hati terus rela menerima
Kedatanganmu

(Chorus)
Kau kembali
Membawa sinar cahya
Ayahanda
Kau pulangkan sinar mata di Bonda
Ayahanda
Kau terangi sudut hati yang kelam
Usahlah dikenang kisah yang lama lagi
Ayah, kau kembali

Ku ingin mendakapimu
Tapi langkah masih kaku
Namun aku
Teguh mengorakkan senyuman
Oh Ayah
Mengapa bukan dahulu
Kau hadir dalam hidupku
Ku keliru
Namun ingin sekali ku
Mengenalimu

Repeat chorus

(Bridge)
Tiada kata yang dapat ku gambarkan suasana
Pahit getir namun aku telah sedia
Untuk rela memaafkan seribu dosa lama
Dari hidup sesaat lagi tanpa mu
Oh Ayah

(Repeat chorus)

Kaer menghadapi sedikit masalah kerana tidak mendapat lirik yang betul untuk lagu tersebut. Mungkin juga sememangnya dirancang agar satu pertemuan bersama pencipta lagu tersebut dapat diadakan di Akademi. Menurut pencipta lagu tersebut di blognya, beliau akan dibawa bertemu dengan Kaer ke dalam Akademi. Jika Kaer mendapat lirik seperti yang di atas tentunya lagu Kau Kembali akan menjadi popular terutamanya apabila Kaer berjaya menyampaikan lagu tersebut dengan cemerlang.

Jika di Akademi Fantasia I, Menuju Puncak Broadway dibawakan sewaktu Kemuncak Konsert, untuk Akademi Fantasaia II melodinya masih lagi menjadi rahsia. Kita hanya dapat melihat sebuah koreograf baru yang dipadankan untuk enam orang pelajar. Apakah kejutan yang bakal dibawakan melalui melodi lagu Menuju Puncak ?

Imbas
Mengimbas masa silam memang merupakan saat paling menyeronokan lebih-lebih lagi apabila bercerita tentang yang manis. Mereka mengimbas kembali detik pertemuan pertama mereka dan persepsi mereka terhadap setiap pelajar. Ada yang positif, ada yang negatif, tetapi itu sekadar pandangan pertama mereka. Pandangan masing-masing tentunya berbeza sekarang, mungkin berubah, mungkin tidak. Ada yang kata saya kayu, ada yang kata saya tidak boleh bercakap, tetapi ia tidak akan mengubah pendirian saya tentang diri saya sendiri.

Quote of The Day: “Kaer jenis lambat nak rapat dengan orang.”

Koreograf Farah dan Adam
Kedua-duanya perlu memberikan kelainan pada aspek persembahan agar penonton dapat melupakan kekurangan faktor vokal pada lagu berkenaan. Berikan satu showmanship yang amat cemerlang untuk mengaburi mata penonton. Cikgu Linda diharapkan dapat mencipta sedikit kelainan kepada koreograf lagu Ooo La La. Farah bakal menghadapi cabaran yang besar untuk lagu Sk8ter Boi kerana sebuah lagu yang agak rancak dan dalam bahasa Inggeris.