Saya dan Akademi Fantasia
Prolog
Tanggal 7 Jun 2003 bermula satu episod baru dalam dunia hiburan tempatan. Tirai Akademi Fantasia disiarkan dan dari situ berputiklah minat saya untuk mengikuti rancangan tersebut tanpa punya alasan lain untuk tidak mengikutinya. Dunia sekeliling saya seakan terhenti. Yang saya tahu, hanya perlu pulang ke rumah tepat jam 8.30 malam sudah harus terpacak di hadapan peti televisyen. Mujur pada waktu itu, saya baru sahaja selesai mengadakan satu persembahan teater bertajuk Rumah Kedai Jalan Seladang. Akademi Fantasia hadir dalam hidup saya tepat pada masanya.
Saya sememangnya gemar menonton rancangan Survivor dan The Amazing Race. Secara tidak langsung Akademi Fantasia membawa wadah baru untuk saya menyaksikan sebuah rancangan berkonsepkan realiti buatan tempatan. Walaupun rancangan ini disadur dari sebuah rancangan La Academia dari Mexico, tetapi ia masih mengekalkan ciri-ciri buatan tempatan.
Saya tonton rancangan tersebut dan mengenali watak-watak dalam siri tersebut. Ada yang saya sayang, ada yang saya benci, ada yang saya suka, ada yang saya sedih. Watak-watak itulah yang telah menceriakan hidup kita selama beberapa bulan sejak tahun lepas. Yang pasti, Akademi Fantasia tetap sebuah rancangan hiburan yang tidak perlu kita ambil perhatian secara berat. Cukup sekadar hiburan tetapi sebuah rancangan hiburan yang punya masa depan yang besar dan melihat jauh ke hadapan.
Mengapa Akademi Fantasia
Tentu ada sesuatu yang menarik tentang Akademi Fantasia. Sebuah rancangan yang mampu membuatkan saya melekat setiap malam depan TV. Sebagai penonton, saya sukakan konsepnya yang telah melibatkan penyertaan penonton secara interaktif. Penonton boleh memilih untuk menonton siapa yang mereka ingin tonton. Penonton juga boleh sahaja menutup tv mereka sekiranya mereka tidak mahu menonton atau pun menukar ke rancangan Audition atau Malaysian Idol sebagai pilihan lain. Konsep ini agak unik walaupun bukan pertama kali ia berlaku di Malaysia. Saya sukakan human touch yang ada pada rancangan ini. Rancangan yang berlandaskan populariti ini menggunakan penonton sebagai jurinya. “Inilah yang terjadi apabila penonton menjadi jurinya.” Kata Fauziah Nawi pada malam Linda tersingkir dari Akademi Fantasia sebelum diserap kembali untuk Kemuncak Konsert. Penyertaan penonton jugalah yang memungkinkan Linda diserap kembali.
Best bila menonton Akademi Fantasia. Ada kejutan. Ada yang tidak disangkakan. Ada yang betul-betul mengejutkan dan ada yang tidak berapa mengejutkan. Kejutan-kejutan itulah yang menjadi momentum kepada Akademi Fantasia selain daripada versatile dan dinamiknya seorang pengacara bernama Aznil Hj Nawawi. Setelah dua musim dikendalikan oleh beliau, Akademi Fantasia terus kekal sebagai sebuah rancangan yang popular dan mencetuskan fenomena baru dalam dunia hiburan tempatan.
Sebagai penulis, secara tidak langsung saya telah menyediakan satu platform kepada pembaca untuk berbincang tentang Akademi Fantasia. Komen yang dahulunya hanya sekadar 20 telah meningkat kepada 700 pada satu artikel. Mereka berbual dan memberikan komen tentang bintang pujaan mereka. Sememangnya pada tahap ini agak sukar untuk saya membaca satu-satu komen yang ada sehingga adakalanya terlepas komen-komen yang sedikit menganggu pembaca lain. Ulasan yang saya tulis juga adakalanya menjentik perasaan marah kepada para pembaca saya. Memang agak sukar diterima tetapi saya mengharapkan mereka faham konsep blog. Blog ini bukannya blog rasmi Akademi Fantasia. Blog ini tempat saya menulis pendapat saya tentang satu-satu perkara dan di blog ini jugalah saya mengharapkan agar proses bertukar-tukar pendapat secara positif dapat berlangsung. Melalui komen yang saya terima, saya dapat melihat ia berlaku.
Dan sebagai manusia, saya dapat memperoleh ilmu-ilmu baru untuk melengkapkan perjuangan hidup yang kita tidak tahu apa yang akan terjadi di masa hadapan. Komen-komen dari pembaca saya yang positif mahu pun yang negatif saya ambil untuk digunakan pada penulisan akan datang.
Akademi Fantasia I dan II
Pengalaman Akademi Fantasia
Pengalaman di musim Akademi Fantasia I telah banyak mematangkan saya melalui tindakan-tindakan melulu yang tidak menggunakan akal fikiran. Saya seharusnya sedar yang kejayaan hari ini jika boleh dikatakan kejayaan adalah turut berhasil daripada pengorbanan orang lain. Beliaulah yang telah memungkinkan saya untuk muncul dalam Imbasan IV Akademi Fantasia.
Fenomena yang melanda Akademi Fantasia I telah menyebabkan saya sanggup turun ke Zoo Negara untuk menonton persembahan mereka di sana. Cuma saya tidak sanggup meredah becak di padang Stadium UITM Shah Alam dan bersesak-sesak dalam lautan puluhan ribu manusia di Konsert Reunion di KLCC. Malam Konsert Reunion tersebut saya selesa menonton Multimedia Super Cintun di ntv7.
Pertama kali saya bertemu dengan 12 bintang Akademi Fantasia I ialah sewaktu menonton siaran langsung Imbasan Akademi Fantasia di ntv7.
Bercerita tentang bintang Akademi Fantasia I tidak lengkap sekiranya tidak bercerita tentang Nemo. Saya juga telah melawat Nemo, kucing Akademi Fantasia yang ditinggalkan bapanya kerana seorang perempuan. :) Nemo yang telah mengalami sedikit kemalangan juga telah menjadi sepopular bintang Akademi Fantasia.
Di penghujung Akademi Fantasia I, saya menerima bil telefon sebanyak RM700 yang perlu dijelaskan. Bagaimana dengan tahun ini, biarlah ia menjadi rahsia saya.
Pengalaman di Akademi Fantasia II yang paling tidak dapat saya lupakan tentunya apabila diminta untuk turut serta dalam rancangan Imbasan IV Akademi Fantasia pada siri keempat. Saya juga berpeluang untuk bertemu dengan Finalis Akademi Fantasia II di Studio Muzik@Ria atas jemputan seorang kawans. Juga bertemu Farah dan Adam di Studio ERA atas pelawaan seorang kawan juga.
Bintang Akademi Fantasia
Masa depan Bintang Akademi Fantasia
Khai, Vince dan Adifashla berkebolehan dalam mencipta lagu. Ini membolehkan mereka untuk pergi lebih jauh lagi dalam bidang muzik. Zarina telah pun berpeluang untuk menyanyi di Istana Budaya, satu tempat berprestij yang menjadi idaman setiap penyanyi di Malaysia. Begitu juga dengan Atie yang telah pun berpeluang untuk berlakon di Istana Budaya. Nana kini telah selesa di konti ERA di sebalik kutukan dan kejian yang diterimanya sepanjang berada di Akademi Fantasia I. Linda khabarnya telah mendapat pelawaan untuk berlakon filem. Adam telah pun mendapat tawaran dari KRU. Terima sahaja. Itu satu caranya untuk Adam menyerlahkan dirinya. Dalam sebuah keluarga besar Akademi Fantasia yang punya 24 adik-beradik tentulah kasih sayangnya tidak sama rata. Oleh itu, sekiranya ada peluang untuk menerima kasih sayang dari pihak lain, setiap pelajar perlu menerimanya dan mencekup peluang yang datang.
Satu hakikat yang sukar untuk ditelan walaupun pahit ialah tentang pudarnya populariti bintang Akademi Fantasia I. Memang pahit tetapi harus diakui. Salah-menyalah antara mereka mungkin akan berterusan tetapi pihak pengurusan seharusnya peka dengan keadaan ini. Bintang yang terlahir secara instant itu punya bakat yang besar dan tidak seharusnya dipersia-siakan.
Selangkah sahaja mereka keluar dari Akademi Fantasia, maka bermulalah survival hidup mereka. Maka bermulalah segala kepayahan, kesusahan yang akan datang silih berganti. Menjadi bintang, bukan sekadar terang gemerlap sampai bila-bila. Bintang itu tentunya mahu terus bersinar. Peluang yang tiba harus digunakan sebaik mungkin.
Menariknya Akademi Fantasia II apabila setiap mereka punya pengkhususan tersendiri dalam bidang akademik. Anding berkelulusan Seni Persembahan, Fitri dalam bidang rekaan fesyen, Nurul dalam bidang pengurusan dan Kaer dalam bidang arkitek. Ilmu-ilmu sampingan ini masih ada relevannya dalam dunia seni dan masih boleh diadaptasikan sebagai melengkapkan diri mereka dalam bidang seni.
Di sinilah letaknya peranan penting dari Maestro untuk mempelbagaikan bakat bintang Akademi Fantasia. Business is still a business. Janganlah terlalu mementingkan keuntungan sehingga perkembangan diri bintang dipersiakan.
Sahabat Akademi Fantasia
Setelah berakhirnya Akademi Fantasia I saya berpeluang untuk bertemu hampir 30 orang kawan baru dari serata pelusuk negara. Itulah kali pertama saya bertemu dengan pembaca blog saya. Itupun setelah saya mengenali mereka secara mendalam melalui sembang online di Yahoo Messenger dan Zonkboard. Memang saya seorang yang agak introvert. Saya lebih suka menyendiri. Saya seorang yang lebih gemar menonton wayang seorang, menonton teater seorang tanpa perlu menyusahkan orang lain untuk mengikut bersama. Mudah. Saya tidak perlu mengikut kepada masa orang lain dan orang lain tidak perlu mengikut masa saya.
Bertemu dengan pembaca yang selama ini membaca blog saya tentunya sesuatu yang berbeza. Mereka datang dari pelbagai latarbelakang tetapi mampu berbual dari pagi sehingga petang tentang satu perkara iaitu Akademi Fantasia. Itu yang sangat menyeronokkan saya. Tanpa mengira siapa yang kita minat, kita akan berbincang tentangnya tanpa perlu membuat komen-komen serta kritikan-kritikan pedas tentang siapa yang kita minat.
Mereka ini dari pelbagai pelusuk negeri. Berkomunikasi menggunakan internet dan bertemu. Memang sudah agak rapat. Bagaimana saya berasa selesa dengan mereka dibuktikan apabila saya sudi untuk membawa mereka bersantai di rumah saya beramai-ramai untuk satu jamuan Hari Raya Aidilfitri. Mereka menggelarkan diri mereka PFS yang tercipta dari thread email terpanjang iaitu Petrol Free Setahun tetapi saya berperasaan yang ia bermaksud Peminat Fanatik Sultanmuzaffar. Hahahhahahaa. Oleh kerana mereka dengki, mereka berhasrat mencipta satu lagi nama iaitu PBSM yang bermaksud Pembaca Blog SultanMuzaffar. Walau apa pun namanya, saya tetap berasa selesa dengan mereka ini.
Sahabat Baru
Rumah Terbuka sultanmuzaffar
Hadiah Hari Jadi dari kawans
Tiga Jam Yang Terlalu Singkat
Saya memang senang apabila bersama mereka kerana masing-masing berkongsi minat yang sama. Jika diminta untuk saya lepak bersama mereka sehingga ke pagi pun tidak mengapa. Walaupun saya jenis yang cepat mengantuk.
Saya ada lagi satu kelompok kawan yang terdiri daripada moderator beberapa Yahoogroups iaitu Adifashla, Sahri, Vince dan operator AFChat serta seorang abang yang boleh diklasifikasikan sebagai Abang Besar dalam novel Akademi Impiana.
Untuk Akademi Fantasia II, saya telah membangunkan 12 yahoogroups baru untuk setiap bintang dan dengan masa yang ada pada saya sendiri, saya tidak berhasrat untuk terus menjaganya. Saya bernasib baik kerana mendapat sokongan yang kuat dari yahoogroups yang ada seperti contohnya untuk Farah, Adam, Kaer, Anding dan Zahid. Mereka terdiri dari Fauzi, Alia, Feeda, Alang, Firmanfirdaus dan Fatul serta stalker Zahid yang paling ulung, niwanda. Saya tidak berkecil hati sekiranya ada di antara yahoogroup yang ingin memisahkan diri mereka dengan yahoogroups yang ada sekarang kerana sememangnya Melayu tidak pernah bersatu dari dahulu lagi.
Peminat Akademi Fantasia
Jumlah SMS yang tiga kali ganda telah bertambah tentunya datang dari bilangan peminat Akademi Fantasia yang turut bertambah jumlahnya. Mereka ini punya pelbagai personaliti dan latar belakang. Wujud nama-nama baru dalam dunia peminat Akademi Fantasia. Begitu juga di dalam blog saya sendiri dan saya tidak mampu untuk menaipnya satu persatu tetapi anda tentunya tahu siapa diri anda.
Sistem pertahanan mereka begitu kukuh untuk menjadi benteng penghalang kutukan terhadap bintang yang mereka puja. Jangan sekali dijentik mereka akan membalasnya dengan komen-komen yang tidak kurang pedasnya. Kekuatan mental inilah yang menjadi sumber dan hasil penting kepada ASTRO. Sedar atau tidak, business masih menjadi tunjang utama Akademi Fantasia.
Penjara yang saya cipta di blog ini serta moderation system yang saya aktifkan untuk yahoogroups hanyalah salah satu sistem penguatkuasaan agar kita menjadi lebih dewasa dan tahu menghargai kemudahan yang telah disediakan untuk kita gunakan berkomunikasi sesama sendiri.
Saya dan Akademi Fantasia sememangnya rapat. Pertalian itu kukuh sehingga minat dan permintaan untuk mengulas Malaysia Idol tidak saya endahkan. Malaysian Idol hanya sekadar saya tonton kerana pertalian antara saya dan finalisnya tidak wujud sama sekali.
0 komen