Konsert Akademi Fantasia
UITM Shah Alam
10 Januari 2004
Pertama kali saya menjejakkan kaki ke Stadium UITM Shah Alam untuk menonton Konsert Akademi Fantasia. Saya tiba bersama rakan sekitar jam 7.45 malam. Menunggu rakan lain di luar pintu masuk untuk mendapatkan tiket daripada beliau. Rakan saya beli tiket RM30. Rakan saya menukar fikiran kerana tidak mahu mengotorkan kasutnya dengan lumpur di tengah padang yang macam sawah.
Masuk dalam stadium saya kecewa melihatkan kedudukan pentas yang amat jauh dari grandstand. Pembeli tiket grandstand yang beharga RM30 seakan-akan dianaktirikan oleh penganjur. Sepatutnya kedudukan pentas mestilah di hadapan penonton grandstand lebih-lebih lagi dengan kehadiran tetamu VIP. Mujur tetamu VIP ada panel televisyen. Dari jauh saya tidak dapat mengambil apa-apa gambar. Saya tidak sanggup untuk meredah lumpur di tengah sawah itu.
Persembahan pembukaan dari tuan rumah iaitu UITM agak biasa sahaja. Tiada keistimewaan yang ditonjolkan. Sepatutnya UITM boleh menggunakan masa tersebut untuk mempromosikan kumpulan tarian mereka yang hebat bukan setakat di peringkat Malaysia bahkan peringkat antarabangsa. Hanya persembahan Mirwana sahaja yang boleh dibanggakan. Kumpulan ini mempunyai mutu vokal yang amat baik dan kombinasi mereka amat harmoni. Yang masih saya tidak faham memikirkan sama ada kumpulan ini adalah kumpulan nasyid atau pun kumpulan R&B. Mungkin juga nasyid moden.
Secara keseluruhan, mutu audio untuk persembahan ini agak biasa. Taraf-taraf fun-fair. Rekaan pentas yang berada di tepi kanan dan bukannya di tengah-tengah padang amat mengecewakan. Sekurang-kurangnya dengan kedudukan pentas di tengah padang dapat mengelakkan penonton RM7 dari meredah lumpur di tengah padang dan sekaligus kualiti padang dapat diselamatkan.
Lagu tema Everest Kita Di Puncak Dunia dinyanyikan oleh Prof Madya Khairil Johari Johar yang juga pensyarah di Fakulti Seni Persembahan di UITM. Sebuah lagu yang baik dan mempunyai melodi yang menyuntik semangat pendaki.
Malam itu hanya lapan orang bintang Akademi Fantasia yang muncul di UITM. Mereka ialah Adifashla, Azza, Burn, Sahri, Nana, Nija, Khai dan Rosma. Persembahan tersebut dihoskan oleh Aznil Hj Nawawi. Persembahan pembukaan dari Akademi Fantasia dimulakan dengan lagu Malam Kenangan. Lagu yang pernah dinyanyikan di Anugerah ERA dan Konsert AF di Brunei. Yang menarik tentang persembahan Malam Kenangan itu tentunya rambut palsu yang dipakai. Saya tonton persembahan mereka di Brunei melalui video camera kepunyaan Adi dan mengaitkan persembahan di UITM. Tidak banyak beza dan saya lebih puas menonton mereka secara langsung. Di Anugerah ERA persembahan mereka dibayangi dengan kemunculan penyampai-penyampai ERA tetapi di UITM mereka hanya muncul seramai lapan orang sahaja. Lebih puas !
Burn menyanyikan lagu Permata. Koreograf tariannya sama seperti Konsert 3. Burn patut menvariasikan lagu koreograf tariannya kerana susuk tubuh Burn yang sasa amat sesuai sebagai penari. Posture yang baik untuk menjadi seorang penari yang bagus. Mutu vokal beliau juga bertambah baik terutama bahagian falsetto yang menjadi kekuatan utama Burn.
Azza mengambil tempat Burn dengan menyanyi lagu Pertemuan. Saya tabik pada Azza. Ini kali pertama saya merasakan suaranya kena dengan lagu yang diberikan. Lagu yang dipilih adakalanya memainkan peranan yang penting untuk menyedapkan mutu vokal sedia ada. Koreograf tariannya juga agak baik dan Azza kelihatan tidak mengah di pentas. Beliau mempunyai stamina yang baik untuk beraksi lagu rancak tersebut. Interaksi beliau dengan penonton juga amat memadai dan beliau kelihatan manja di pentas. Yang boleh saya katakan ialah lagu Pertemuan amat sesuai dengan vokal Azza dan lagu ini dapat menutup kelemahan Azza secara tidak langsung.
Sahri mendendangkan lagu Di Sudut Kamar Hatiku. Sebuah persembahan yang baik. Karisma beliau sebagai penyanyi terserlah dalam persembahan ini. Penonton menunggu beliau menghabiskan korus tinggi dengan sabar dan penuh suspen. Walaupun ada sedikit kesilapan di bahagian korus tetapi penonton memberikan reaksi positif dengan persembahan Sahri. Nana dan I Will Survive seakan sudah sebati. Lagu tema Nana ini amat sesuai dengan vokalnya dan Nana bijak berinteraksi dengan penonton. Showmanship Nana juga semakin baik dari hari ke hari.
Seketika kemudian, Nija dan Nana berduet dengan lagu Can’t Fight The Moonlight. Persembahan duet ini juga agak baik walaupun banyak didominasikan oleh Nana. Namun demikian ia merupakan sebuah persembahan yang mantap. Persembahan Akademi Fantasia dihentikan sebelum VE dan Ruffedge mengambil alih pentas dengan persembahan first class mereka. VE dan Ruffedge mempertaruhkan mutu vokal mereka untuk memberikan sebuah persembahan yang terbaik. Saya kira mutu vokal mereka tiada tandingan. Lagu Ayu, Khayalan dan beberapa lagu baru dinyanyikan dengan penuh selamba tetapi dengan penuh bertenaga.
Aznil Hj Nawawi sebagai pengacara amat cemerlang. Beliau seakan sudah terlalu sinonim dengan bintang Akademi Fantasia. Saban hari bersama mereka dan tentunya Aznil kenal mereka luar dan dalam. Jenaka dan lawak spontan Aznil kena dengan bintang-bintang tersebut. Burn kena Abu Bakar Ellah, Rosma dengan cincin tunangnya, Nana dengan isu kerasnya serta beberapa lagi.
Foto oleh Nazli
Kemunculan Adifashla dengan lagu Aku Cinta Kau Dan Dia juga baik. Heartthrob UITM ini muncul mendendangkan lagu tersebut versi Ahmad Dhani tetapi dengan susunan lagu yang baru. Jika digilap, Adifashla akan muncul sebagai seorang artis dengan imej rock walaupun pada awalnya Khai yang lebih selesa untuk muncul dengan imej rock. Interaksi beliau dengan penonton amat cemerlang. Penonton memberikan reaksi positif dan turut sama mendendangkan lagu tersebut bersama-samanya. Lagu yang terpilih di tempat ke 15 Carta 100 Terhangat di ERA dinyanyikan dengan penuh bersahaja oleh Adifashla. Beliau juga sudah sinonim dan selesa dengan lagu tersebut.
Burn muncul sekali lagi untuk mendendangkan lagu Rindu Bayangan. Namun demikian, kehadiran Aznil yang turut sama mendendangkan lagu tersebut sedikit sebanyak merosakkan persembahan Burn. Ini adalah kerana Burn mendendangkan lagu tersebut dengan style R&B dan Aznil masih mendendangkannya dengan style asal. Secara tidak langsung tiada harmoni pada suara duet mereka. Jika Aznil dapat menyanyikannya mengikut versi R&B tentu lebih menarik persembahan tersebut.
Rosma muncul menyanyikan lagu Nirmala. Karisma beliau sebagai penyanyi juga terserlah. Penonton ternanti-nanti beliau menghabiskan korus tinggi. Ada beza antara penyanyi yang berkarisma dengan penyanyi yang biasa. Contoh penyanyi yang mempunyai karisma yang tinggi sebagai penyanyi ialah Siti Nurhaliza, Anuar Zain, Ziana Zain sekadar menyebut beberapa nama. Penyanyi-penyanyi ini apabila menghabiskan korus tinggi mereka penonton akan menanti dengan penuh sabar. Bahagian tinggi merupakan aset penting kepada penyanyi ini.
Penyanyi seperti Fauziah Latif juga merupakan penyanyi tetapi apabila penonton mendengar nyanyiannya, hanya sekadar mendengar dan penonton tidak terbawa-bawa dengan persembahannya. Penonton tidak mudah terpancing dengan corak persembahannya. Itulah yang ada pada Rosma. Penonton cepat terpancing dengan persembahannya. Vokalnya tidak wajar saya pertikaikan. Cemerlang tetapi jangan sampai menjadi klon Siti Nurhaliza. Rosma harus berani mencuba untuk membawakan lagu-lagu selain lagu Siti Nurhaliza. Beliau perlu lari dari imej Siti Nurhaliza.
Nija kemudian mendendangkan lagu Kenangan Pahit. Seperti biasa head-banging menjadi identiti lagu tersebut. Korus tinggi lagu tersebut agak biasa tetapi Nija telah membawakannya dengan caranya yang tersendiri. Kemunculan Khai memang ditunggu-tunggu oleh sebilangan besar penonton perempuan di Stadium UITM tersebut. Mereka sanggup meredah lumpur dan berhujan untuk menonton persembahan Khai secara dekat. Lagu Dambaan Pilu dinyanyikan dengan baik oleh Khai. Imej jiwang secara tidak langsung lekat pada Khai dan beliau telah menyerahkan title rocknya kepada Adifashla. Ini kali pertama saya bertemu Khai secara langsung dan mendengar persembahannya secara langsung. Saya perhatikan persembahan beliau agak baik. Beliau bijak mengawal penonton dan begitu selesa dengan lagu tersebut. Persembahan Khai diiringi dengan seorang peminat cilik yang bernama “Mohd Khairuddin”. Tatkala Khai mendukung kanak-kanak kecil itu terus peminat-peminat Khai di bawah pentas menjerit-jerit cemburu. Selamba ajer Khai dukung budak kecil tuh !
Persembahan Bole Chundiyan juga agak menarik. Saya tertarik dengan koreograf lagu tersebut yang ditarikan dengan cemerlang oleh lapan bintang Akademi Fantasia tersebut. Sebelum mengakhiri persembahan, dua peminat lelaki dan perempuan dibawa naik ke atas pentas. Mereka dikehendaki menarikan lagu Menuju Puncak. Peminat perempuan telah menarikan koregoraf tarian lagu tersebut tanpa kesilapan langsung. Menakjubkan ! Saya lagu Menuju Puncak tak pandailah, tapi kalau Khayalan, ok ajer ! hahahahaha ! Menuju Puncak menjadi penutup persembahan malam itu.
Selesai persembahan, saya ke belakang pentas bersama rakan saya. Saya bertemu Shaz dan keluarganya. Saya tidak sanggup untuk berebut-rebut dengan adik-adik di UITM dan terus meneruskan perbualan dengan Shaz. Saya beri peluang kepada mereka untuk bertemu dengan bintang Akademi Fantasia kesukaan mereka. Adifashla hanya sempat melambaikan tangannya setelah menyedari kehadiran saya bersama Shaz di belakang pentas dan beliau juga tidak dapat bergerak jauh kerana dikawal ketat bodyguard.
Persembahan amal ini dianjurkan bersempena Projek Demi Everest 2004 yang bermatlamat untuk menjadikan UITM sebagai universiti pertama menghantar pendaki ke puncak gunung Everest, mewakili mahasiswa seluruh Malaysia mengibarkan Jalur Gemilang di puncak tertinggi di dunia serta melahirkan mahasiswa berjaya dalam akademik dan aktiviti luar yang mencabar.
Rating
Persembahan : Puas Hati !
Sistem Audio : Boleh Tahan !
Pentas : Tidak Puas Hati Langsung !
Profil Pendaki:
1. Muhamad Muqharabbin Mokhtaruddin yang lahir pada 20 April 1982 mengambil jurusan Sains Sukan dan Rekreasi
2. Ahmad Reduan Rozali yang lahir pada 27 Jun 1982 yang mengambil jurusan Sains Gunaan
Laman Web Demi Everest 2004
SuaraMalaysia.com
Sinis SM: Esok dah dapat pangkat Datuk, jangan lupa kat para penderma yang membiayai projek ini pulak !
0 komen