VCD Telefilem Neon Kisah Satu Malam
Skrip, lakon layar dan arahan : Mohamed Feroz Abdul Kader Sahib afm
Videografi : Bob Fitri
Penyunting : Nimalan
THE MALAYSIA BOOK OF RECORDS
"Most Number of Well-Known Artistes In A Movie"
(66 Popular Artist)
Saya jarang beli VCD Melayu yang banyak berada di pasaran. Banyak yang saya pinjam. Kecuali beberapa. Pada mulanya saya tidak berminat untuk membeli VCD Neon. Saya hanya temankan sahabat saya sewaktu beliau membelinya. Beliau mengkhabarkan kepada saya, beli VCD Neon dan ulas ! Katanya lagi sebuah realiti hidup orang Kuala Lumpur. Saya beli VCD Neon kerana nak tunggu pinjam darinya katanya lambat lagi. Oleh itu saya beli sendiri.
Neon berkisar tentang Hafiz lakonan Faizal Yusup yang ditimpa nasib malang tidak henti-henti, namun keadaan berubah dengan kemunculan cahaya harapan yang menyuluh harapan, sekali gus memberi kekuatan untuknya meneruskan hidup. Hafiz berhadapan dengan segala jenis kedukaan dan malang pada satu satu malam, Hafiz menemui pelbagai jenis manusia dengan ragam dan karektor yang berbeza. Yang menarik tentulah pertemuannya dengan Laila. Seorang mangsa kasanova kolej yang ditinggalkan di tepi jalan. Mereka mengenali diri masing-masing lalu memberi sedikit sinar buat Hafiz.
Realiti hidup dipaparkan satu persatu walaupun hanya muncul sekejap sahaja tetapi penonton dengan jelas dan cepat dapat menangkap mesej telefilem tersebut. Bermula dengan korupsi ketua pejabatnya, beliau dibuang kerja. Sebut apa sahaja kejelekan Kuala Lumpur ada dalam telefilem tersebut. Persoalan maruah, waiter, GRO, panas baran, broken english, sexual harrassment, gaduh laki bini, cemburu, mungkir janji, tidak menepati masa, materialistik, kutu rayau, penyeluk saku, menukar wang kecil, putus tunang, curi kereta, kelalaian, bateri kong, vandalisme pondok telefon, baca majalah free, mamak gerai magazine, kesombongan orang KL, bongkak, credit card kena suspend, tidak profesionalnya orang filem bekerja, mat motor yang kurang ajar, pengutip sampah, pondan, kena kencing, pelanggan kaya yang kedekut, perjudian, masuk lokap, kena soal siasat dengan polis, polis yang baik hati, orang gila, pemandu teksi, student kerja part-time, perompak teksi, tayar pancit, langgar lari, pelacuran, prepaid habis, penagihan dadah, tukang jual barang 5 minit, pasangan bercinta gaduh tepi jalan, ambik kesempatan dalam kereta, tandas awam, gay, penyamun, kemiskinan bandar, setinggan, daif, melayu yang pemaaf dan lain-lain.
Mesej telefilem ini jelas, setiap apa yang berlaku ada hikmahnya. Secara jujur, ia memaparkan realiti kehidupan di Kuala Lumpur. Pengarahnya dengan berani menceritakan segala kejelekan dan realiti rencam hidup di Kuala Lumpur dengan jujur.
Saya tabik penulis skrip dan pengarah telefilem ini. Adakalanya saya tersenyum melihatkan realiti yang dipaparkan. Melalui telefilem ini kita sedar dan harus berani mengakui bahawa pelanggan pondan kebanyakannya yang berkereta mewah dan berada. Orang KL yang berkereta mewah dan berkot tidak semestinya kaya raya. Kad kredit mereka juga kadangkala overlimit. Adakalanya kita di Kuala Lumpur terlalu mempercayai orang di sekeliling kita sehingga kita tidak sedar yang orang di sekeliling kita itulah yang akan memakan diri kita akhirnya. Telefilem ini juga cuba memberikan persepsi mesra pengguna kepada imej polis yang agak tercalar sedikit masa dahulu. Shot slogan PDRM Mesra, Cepat, Betul yang mengambil tempat setelah adegan ini merupakan satu provokatif minda yang terhasil melalui layar. Masih ingat adegan dalam filem Spinning Gasing bila mana salah satu watak membaling keluar surat khabar dari kereta dan mengenai patung polis di tepi jalan ? Hafiz cuba untuk mengambil jalan mudah dengan membuang kad nama pegawai polis yang mulia itu tadi memberi gambaran imej orang Kuala Lumpur yang hidupnya hanya tahu berdiri tanpa orang lain. Saya saya juga tersentuh melihat bagaimana cekalnya seorang pemandu teksi wanita yang dalam waktu yang sama belajar secara sambilan. Dunia pelacuran Kuala Lumpur yang semakin terdesak mencari rezeki, membawa anak sambil menjalankan perniagaan. Namun demikian dia masih sempat membantu Hafiz yang dalam kesusahan. Masalah kemiskinan bandar yang semakin meruncing. Unsur humor dalam telefilem ini pastinya apabila Apek mengambil tempat cameo. Apek yang memegang watak kutu jual barang membawa segala-gala barang jualan dalam jaketnya. Dunia gay hanya dipaparkan di dalam tandas, satu interpretasi pengarah yang boleh saya sifatkan amat cetek. Dunia ini amat luas merangkumi dunia intelektual, politik juga keagamaan bukan hanya seks di dalam tandas. Tetapi benarkah tandas awam di Kuala Lumpur bersih seperti yang dipaparkan ?
Bagaimana pula dengan sikap Melayu yang terlalu pemaaf seperti yang digambarkan oleh watak Hafiz. Hafiz dengan mudah memaafkan Topa yang telah menyeluk sakunya dan menjadi punca masalah yang bertimpa-timpa yang berlaku ke atasnya. Lakonan Fauziah Nawi sebagai ibu Topa agak stereotype dengan watak-wataknya yang sebelum ini.
Adakalanya perkara sekecil menukar wang syilling, kehabisan prepaid, bateri kong, kad kredit digantung kita anggap sebagai satu perkara yang tidak penting. Tetapi sebenarnya perkara sekecil itu akan memberikan kesan yang besar dalam hidup seseorang.
Kenapa Topa mencuri ? Untuk membeli sedikit makanan buat ibunya yang sedang sakit. Topa walaupun kelihatan jahat, sebenarnya seorang yang berhati mulia dan seorang yang sopan dan hormatkan orang tua. Itulah realitinya.
Lakonan
Faizal Yusup memberikan lakonan yang cemerlang. Wajah beliau yang agak keanak-anakan berjaya menimbulkan kesan simpati kepada penonton. Wajahnya ada mirip pelakon Rashid Salleh. Lebih-lebih lagi lakonan Erik Fauzi sebagai Topa yang amat cemerlang. Erik Fauzi sememangnya sudah dikenali di pentas teater kanak-kanak beberapa tahun dahulu. Antara teater yang pernah dilakonkan oleh beliau ialah Siti Di Alam Fantasi dan Taman Baginda. Pelakon tambahan seramai lebih enam puluh orang artis popular menjadi penyeri telefilem ini. Lakonan mereka walaupun hanya muncul sekitar 10 saat – 30 saat masih relevan. Baik berskrip atau pun tanpa skrip. Kesesuaiannya diambil kira oleh pengarah menimbulkan kesan realistik kepada telefilem ini. Buat pertama kali, saya boleh memuji lakonan Rita Rudaini yang dikawal dengan baik. Wataknya jelas manja dan tidak terlalu dibuat-buat seperti lakonannya dalam Mistik dan Mami Jarum.
Teknikal
Penggunaan teknik fast cut serta fast movement camera work mencantikkan kerja kamera telefilem ini. Kerja kamera telefilem ini juga amat baik. Penggunaan warnanya tidak terlalu artificial. Masih kelihatan asli. Sesetengah kerja kamera filem tempatan nampak begitu dibuat-buat. Nampak terlalu perfect. Suntingan telefilem ini juga baik. Ia dilakukan dengan teliti membuatkan cerita ini bergerak dengan lancar. Walaupun unsur kebetulan terlalu banyak di dalam telefilem ini tetapi suntingan yang dibuat dengan cemerlang telah menutup kelemahan tersebut.
Soundtrack
Penggunaan muzik underground menjadi tunjang utama telefilem ini. Lagu-lagunya segar.
Telefilem ini boleh saya bandingkan dengan Spinning Gasing dan Dari Jemapoh Ke Manchestee. Tema telefilem ini ada unsur-unsur road-movie yang ada pada kedua-dua filem tersebut. Ia mengisahkan perjalanan seseorang dalam menuju destinasinya dan setiap catatan perjalanannya ada hikmah tersendiri.
Antara pelakon yang terlibat Faizal Yusup, Erik Fauzi Ary Malik, Azhar Sulaiman, Rita Rudaini, Tan Sri Dato' SM Salim, Opie Zami, Radhi Khalid, Maidin, Isma Danial, Zaibo, Norman Hakim, Abby Abadi, Bell, Melissa Saila, Abu Bakar Omar, Apek Senario, Sathiya, Jit Murad, Bob Azrai, Abon, Shamsul Ghau Ghau, AC Mizal, Fiza Elite, Kartina Aziz, Nisdawati, Sheila Mambo, Fauziah Nawi, Eja, Jasmin Hamid, Serina Riduwan, Rashidi, Vanida Imran, Jalaluddin Hassan, Zaidi Omar, Aziz Sattar, Ropie Cecupak, Yasmin Hani, Khey Cheng Guan, Imuda, Danny X-Factor, Hamid Gurkha, Izi Yahya, Mustapha Kamal, Hani Mohsin, Bob Lokman, Kuswadinata, Hairie Othman, Aman Shah, Loloq, Badrul Muhayat, Norzizi Zulkifli, Aziz M.Osman, Norish Karman, Zami Ismail, Azza Elite, Arash Muhamad, Zila Bakarin, Ferhad, Chiko, Ako Mustapha, Normala Samsudin, ucop Cecupak, Ezanny, Nurul Iman, Khatijah Abdul Ghani, Bront, Soffi Jikan.
Rating: 4.5/5 bintang
0 komen