Dejavu
Arahan : Siti Rohayah Atan
Lakonan : Ogy Ahmad Daud, Shukor Yon, Juhara Ayob, Norzizi Zulkifli, Mubarak Majid, Melissa Saila, Shahronizam Noor
Tarikh : 24-29 Januari 2004
Jam : 8.30 malam
Tempat : Auditorium Tunku Abdul Rahman, Pusat Pelancongan Malaysia (MTC), Jalan Ampang
Tiket : RM10
Anjuran : Persatuan Penulis Wanita Malaysia dan Kementerian Perpaduan Negara dan Pembangunan Masyarakat
Hubungi : 03-61866592 atau 019-2694434
Sinopsis
Cerita ini berkisar di satu daerah tempat para pesalah dibuang daerah. Lokasi tempat kejadian adalah penghujung sebuah rumah murah yang berdampingan dengan sebuah rumah kongsi pekerja yang sudah tidak digunakan lagi. Rumah kongsi itu dihuni oleh sepasang suami isteri pendatang Indonesia yang agak cerdik pemikirannya kerana mereka adalah lulusan universiti; Narti dan Yanto.
Pasangan ini sebenarnya rindu pada kampung halaman mereka dan merasa amat rendah diri sebagai pendatang. Jiran mereka adalah tiga wanita yang pelbagai taraf sosial mereka iaitu Nora seorang GRO di Kelab Semarak Hati, Salmi iaitu seorang ustazah yang mengajar di sekolah kawasan itu dan Rohana seorang pelajar universiti yang sedang menjalankan praktikal perguruan di pekan kecil itu.
Rohana sering dihantui oleh mimpi yang menjadi ‘dejavu’ kepada dirinya. Dia mendapat isyarat-isyarat yang agak buruk tentang tempat itu tetapi tidak dapat mentafsirkannya. Kesan daripada isyarat-isyarat yang tidak dapat ditafsirkan itu, Rohana telah menjadi agak emosional dan tidak ketentuan. Rohana telah memandang hina kepada Nora dan sering menyindir profesion Nora.
Bagaimanapun, penghinaan itu tidak dipedulikan oleh Nora dan hubungan mereka masih normal setiap hari hinggalah pada satu hari mereka didatangi perompak yang gagal merompak kedai emas dan diburu polis. Perompak itu juga cuba merompak mereka dan memperkosa mereka; Rohana menjadi pilihan perompak itu.
Lakonan
Fauziah Datuk Ahmad Daud telah memberikan satu lakonan penuh stailistik. Beliau bijak menguasai pentas dan jenaka spontannya tepat dan mengena. Monolog oleh Ogy agak pendek dan keberkesanannya tidak sempat dinikmati oleh penonton. Gandingan Ogy dan Shukor Yon amat ideal. Beliau merupakan kekuatan lakonan persembahan ini. Tumpuan utama diberikan kepada beliau. Satu yang saya perhatikan, pengalaman Ogy sebagai pemain teater memberikan sedikit kelebihan kepada beliau. Beliau sering mencipta ad-lib yang adakalanya menyebabkan pelakon lain hilang konsentrasi dan gagal mengawal keadaan lalu turut terpancing dengan jenaka spontannya. Namun Ogy tetap selamba mengawal keadaan. Tabik spring untuk beliau.
Shukor Yon juga telah memberikan lakonan yang baik. Melissa Saila sebagai Ustazah Salmi telah memberikan lakonan yang biasa. Mimik mukanya yang blur menguatkan lagi watak tersebut. Tidak dapat tidak, saya pasti membandingkan lakonan Norzizi Zulkifli sebagai Rohana yang sebelum ini secara kolektif. Persembahan tahun 1999, Norzizi muncul bertongkat dan persembahan kali ini beliau telah memberikan satu persembahan yang cukup baik. Satu yang saya perhatikan beliau gemar menepuk paha setelah selesai menghabiskan dialog. Mubarak Majid sebagai Pak Jamal telah memberikan satu persembahan monolog yang baik. Beliau juga bijak mengawal pentas terutama apabila adegan bersama Ogy. Juhara Ayob sebagai GRO telah memberikan satu yang amat membanggakan. Beliau yang sebelum ini lebih dikenali dengan watak-watak perempuan baik telah lari dari stereotype tersebut apabila membawakan watak GRO. Pujian haru diberikan kepada jurusolek yang telah men”jalang”kan wajah Juhara. Shahronizam Noor sebagai perompak banyak kali cuba mengawal gelaknya angkara jenaka spontan Ogy. Karisma beliau sebagai pelakon teater terserlah dalam persembahan ini.
Arahan/Teknik
Pengarah telah menjalankan tanggungjawabnya dengan cemerlang. Arahannya amat cemerlang. Beliau telah mencipta klimaks persembahan dengan berjaya. Dinamik persembahan tersebut telah dibina dengan baik. Temponya dikawal dengan bijak dan telah membuatkan penonton ternanti-nanti penghujungnya. Namun demikian adegan Pak Jamal menyerahkan dompet kepada Ustazah Salmi perlu diberi penekanan kerana adegan itulah induk persembahan tersebut. Satu lagi kelebihan persembahan ini, beliau bijak mengadaptasi gejala-gejala sosial masa kini ke dalam skrip karya Ismail Kasan itu. Secara tidak langsung beliau telah memberi jiwa baru kepada skrip yang telah ditulis pada tahun 1999. Inilah kekuatan persembahan ini. Skrip yang relevan pada bila-bila latar masanya. Kelemahan ketara yang terjadi pada Anak Kerbau Mati Emak yang mana skripnya terlalu tidak relevan dengan tahun 2004. Pengarah juga telah berjaya mengimbangi ketrampilan setiap pelakonnya dengan seimbang. Setiap pelakon telah diarah untuk muncul dengan stail dan telah berjaya mencipta karektor watak masing-masing. Teknik yang minima merupakan langkah paling selamat. Teknik lampu general turut memberikan kesan yang baik kepada persembahan ini. Teknik tatacahaya sewaktu monolog juga memberikan peranan untuk menghidupkan persembahan tersebut. Rekaan set yang sesuai serta telah dipergunakan sepenuhnya oleh pelakon dengan baik. Tatabunyi yang minima juga telah memberikan sedikit kelebihan kepada pelakon untuk mempersembahkan lakonan yang cemerlang tanpa gangguan.
Kata Pengarah teater ini Siti Rohayah Atan, “Falsafah dan semi-humor melalui watak yang cerdik mindanya tetapi miskin fisiknya menjadikan naskhah ini bukan leteran atau khutbah panjang. Mengajar manusia erti ilmu bukan dari bahasa buku tetapi dari bahasa mulut”. Skrip teater ini merupakan sebuah skrip panjang yang terlalu kaya dengan mesej-mesej berat. Dialog-dialognya berfalsafah tinggi tetapi kreativiti Pengarah telah meringankan minda penonton untuk menghayati persembahan ini dengan mudah. Elemen-elemen masa-kini yang serabut dengan gejala sosial disuntik ke dalam skrip serta memadai dan tidak terlalu dibuat-buat.
Dejavu secara tidak langsung telah mengangkat sebuah skrip menjadi begitu relevan walaupun telah dipentaskan untuk kali kedua. Barisan pelakon yang mantap serta skrip yang kukuh telah dipersembahkan dengan cemerlang oleh produksi ini. Persembahan sebegini perlu diberi peluang untuk singgah di Istana Budaya kerana kekuatan lakonannya serta skrip yang relevan. Hari ini juga kita sering mengalami “dejavu” apabila perkara yang sama berlaku berulang-ulang kali. Apa tindakan kita ? Kata Perompak 2 “Aku perompak yg baik.. aku tak rogol budak perempuan dalam semak..dalam pondok jaga.. dalam bas.. kat parking kereta..itu semua kerja bodoh..” Dejavu inilah yang sering menghantui kita. Tindakan hanya muncul setelah kejadian berlaku dan selepas itu senyap kembali. Perkara yang sama terus berulang-ulang. Manusia akan terus memecah kesunyian untuk menarik perhatian masyarakat tetapi inisiatif ke arah perubahan masih kosong.
Hidup perlu diteruskan biar pun terlalu hebat dan besar masalah dan rintangan yang perlu dilalui. Pedulikan persepsi seorang masyarakat kerana hidup perlu terus diberi nyawa kerana tujuan hidup bukanlah untuk memuaskan ego manusia lain.
Kesudahan cerita ini adalah sesuatu yang akan dapat memberikan pengajaran kepada masyarakat bahawa penilaian kita tentang aspek sahsiah manusia sebenarnya masih berkisar di sekitar kulit sahaja. Kita tidak boleh memandang hina orang yang pada kacamata masyarakat sebagai hina. Di tengah kehinaan yang kita anggapkan itu barangkali terselit kemuliaan yang amat tinggi. Teman-teman hanya datang pada kita bila mereka perlukan bantuan. Setelah mendapat apa yang mereka kehendaki, mereka tikam kita dari belakang. Justeru, menghormati semua manusia adalah wajar. Di sisi Tuhan, orang yang mulia adalah orang yang mahu dimuliakan bukan orang yang memuliakan dirinya kerana perbuatan itu sebenarnya adalah keegoan melulu.
Ulasan Lain :
blog Jemi
Dunia Vovin di weblog Nizam Zakaria
0 komen