Tiada Harapan
Lewat petang hari ini saya singgah sebentar di Subang Jaya Medical Centre. Azwan, anak jiran saya di kampung kemalangan jalan raya. Beliau dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi. Inilah kali pertama kali saya menjejakkan kaki ke Unit Rawatan Rapi. Sana sini mesin. Sana sini tiub. Bau ubat jangan cakap.
Menurut keluarga mereka kemalangan berlaku sekitar jam 4.30 petang hari Rabu. Terlanggar pokok di bahu jalan kerana kesan darah dan rambut masih melekat pada pokok tersebut. Dibawa menaiki ambulan yang tiba 20 minit selepas waktu kejadian (agak cepat !). Punca sebenar kemalangan masih tidak diketahui. Yang pasti kepala Azwan cedera parah. Azwan dibawa ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR). Melihatkan keadaan Azwan yang cedera parah, para petugas di Hospital berkenaan memberikan satu ayat penyata yang amat memeranjatkan iaitu “Tiada Harapan”. Saya berfikir, bagaimana perkataan keramat itu boleh keluar dari mulut kakitangan hospital tanpa ada usaha-usaha untuk menyelamatkan beliau ? Apakah dengan melihatkan keadaannya yang agak parah terus diandaikan beliau tiada harapan ? Apakah hak seorang manusia atau dengan lebih manis “kakitangan hospital” untuk mengaturcarakan kehidupan seseorang ? Lebih memalukan tanpa sebarang usaha dilakukan seolah-olah menyerah kalah sebelum berperang.
Azwan terus dibiarkan di katil hospital tanpa diberi rawatan yang sewajarnya. Satu hari satu malam beliau di Hospital Tengku Ampuan Rahimah sambil menunggu “saat kematian”nya seperti yang telah diatur oleh kakitangan Hospital tersebut. Melihatkan keadaannya yang tidak terjaga, pihak keluarga telah memohon agar beliau dipindahkan ke SJMC. Pihak hospital menjelaskan tiada kemudahan yang mencukupi untuk merawat beliau. Kenapa setelah satu malam, baru pihak hospital menjelaskan bahawa mereka tidak mempunyai peralatan yang baik untuk merawat Azwan ? Azwan yang sepatutnya boleh dipandu terus ke SJMC pada petang Rabu sebaliknya dibiarkan “menginap” selama satu malam oleh kakitangan Hospital Tengku Ampuan Rahimah.
Di Subang Jaya Medical Centre, Azwan diberi rawatan secepat mungkin. [Duit !] Penbedahan dilakukan segera. [Duit !] Konsultasi doktor memberi perkembangan terkini setiap jam. [Duit !] Ruang menunggu yang selesa. [Duit !] Esok lusa, pembedahan plastik. [Duit !] Doktor di SJMC memberitahu agak lama masa yang diambil sebelum dibawa ke situ. Pendarahan otaknya agak kritikal. Selesai pembedahan pertama. Alhamdulillah, Azwan kini berada di dalam keadaan stabil walaupun masih ditempatkan di ICU. Ya, Stabil ! Walaupun kakitangan Hospital Tengku Ampuan Rahimah pernah menjangkakan yang beliau tiada harapan.
Cuba fikirkan, apakah rakyat Malaysia Boleh yang berduit sahaja yang layak untuk boleh mendapatkan rawatan yang terbaik dari pihak hospital kerajaan mahupun swasta ? Tapi, jangan lupa, rakyat negara Malaysia Boleh yang pergi ke hospital kerajaan pun belum tentu dapat rawatan sebagus hospital swasta kalau yang mereka dapat hanya perkataan “Tiada Harapan”.
Saya sedar ada di kalangan pembaca saya yang IP mereka datangnya dari Kementerian Kesihatan dan juga Institut Jantung Negara. Saya mohon kerjasama mereka untuk mencetak artikel ini dan diserahkan kepada pihak pengurusan anda. Mahu juga saya mendengar komen Menteri Kesihatan.
0 komen