Majlis Pelancaran Program 2004 Istana Budaya
laman web Istana Budaya
Majlis tersebut yang berlangsung dalam suasana yang amat meriah sesuai dengan namanya Istana Budaya. Untuk tahun 2004, Istana Budaya telah menyusun-atur sebanyak 20 pementasan: 12 pementasan tempatan, 6 dari luar negara dan 2 adalah gabungan artis luar negara dan tempatan. Secara keseluruhan ia meliputi 133 hari pementasan.
Sedar atau tidak sejak Panggung Sari melabuhkan tirainya pada pertengahan September 1999, seramai 15 orang pengarah teater Malaysia telah berpeluang untuk berkarya lalu mempamerkan kreativiti mereka dan pelbagai bentuk pementasan drama, muzikal, bangsawan dan teater kanak-kanak. Nama-nama seperti Dato’ Rahim Razali, Ahmad Tarmimi Serigar, Zakaria Ariffin, Othman Haji Zainuddin, Lokman Ghani, Aminah Raphor, Kalam Hamidi, Dr. Zainal Latiff, Rohani Yousoff, Rosminah Tahir, Dato’ Syed Alwi, Dato’ Jins Shamsuddin, Ahmad Yatim, Dr Anuar Nor Arai dan Hatta Azad Khan sendiri.
Menariknya, saya tidak pernah ketinggalan satu pun menyaksikan persembahan yang disutradarakan oleh pengarah teater Malaysia. Ada yang saya tonton sekali, ada yang saya tonton beberapa kali, ada juga kerana hubungan yang rapat saya turut terlibat dengan mereka di belakang pentas. Teater Kanak-Kanak Siti Di Alam Fantasi contohnya, kanak-kanak itu membesar bersama saya. Sejak mereka di Tunas Budaya hingga mampu beraksi di pentas Istana Budaya saya sudah mengikuti perkembangan bakat mereka. Teater Ronggeng Rokiah saya tonton beberapa kali kerana ketaksuban saya terhadap karya-karya magik Dr. Anuar Nor Arai. Saya terlalu kagum dengan kerja-kerja teknikal dan sinografi Hassan Muthalib. Teater Antara contohnya saya kagum dengan pendekatannya yang bersifat minimal. Merdeka Merdeka Merdeka saya menggelengkan kepala dan jenuh menahan mata dari tertidur kesan durasi yang terlalu panjang.
Untuk tahun 2004 ini Istana Budaya memberikan penghormatan kepada tiga orang lagi pengarah teater Malaysia untuk mempersembahkan kerja kreatif mereka iaitu Meor Hashim Manap, Faridah Merican dan Dr. Samat Salleh.
Kata Ketua Pengarah Istana Budaya, Dr Hatta Azad Khan, aktivis teater Bahasa Malaysia kita sangat pemalu, langkahnya juga perlahan dan tidak panjang. Mereka tidak suka memasarkan diri tetapi menunggu untuk dikunjungi. Kalau minta proposal melalui iklan surat khabar, kertas suratkhabar dah kuning dan dah terjual kepada pembeli “paper lama” proposal belum juga tiba. Tak mengapa ! Mereka tidak datang kalau tidak dijemput, mereka tidak menjenguk jika tidak diundang. IB terpaksalah memainkan perana merisik, menjemput bahkan sampai memujuk. Tetapi ada juga yang selepas dirisik dan ditanyakhabar memberikan jawapan yang berbunyi....’nantilah aku fikir dulu’ dan fikit itu terus berpanjangan tanpa hujungnya.
Difikirkan secara logik, Istana Budaya merupakan satu laman paling gah untuk mementaskan karya serta kerja kreatif masing-masing. Tetapi mengapa ada aktivis teater yang malu untuk menampilkan diri mereka di tempat eksklusif tersebut. Jawapannya mudah. Aktivis teater Malaysia (baca: Melayu) bersifat ketam batu dan tidak senang melihat kejayaan orang lain. Akan ada sahaja yang tidak kena dengan persembahan di Istana Budaya.
Bukti aktivis teater Melayu tidak pernah senang dengan kejayaan aktivis teater Melayu yang lain boleh kita baca di komen artikel Ronggeng Rokiah dan juga komen artikel Tivi.
Pendapat Faridah Merican tentang kritikan dan komen,
Kita perlu menggalakkan kritikan yang membina. Elakkan serangan peribadi! Komen-komen yang saya baca di laman web Kakiseni misalnya, panjang berjela-jela! Saya sendiri pun tidak tahu di mana silapnya [sehingga mereka bersikap begini]. Mungkin mereka [pengkritik] gemar mendengar alunan suara sendiri. Mungkin juga mereka mempunyai terlampau banyak masa! Mengapa tidak digunakan tenaga dan masa yang dihabiskan untuk menulis komen itu untuk mereka sesuatu! Janganlah hanya menjadi pengkritik kerusi malas.
Berdasarkan statistik tahun 2003: jumlah purata penonton mengikut jenis persembahan mendahului di tangga pertama adalah Konsert Simfoni Ghazal Johor dengan jumlah purata 942 sehari, kedua adalah opera Tosca dengan 931 penonton sehari dan ketiga adalah teater persembahan muzikal Spring Kisses Lovers Tears oleh Dama Orkestra diikuti Teater Ronggeng Rokiah.
Panggung Sari telah dikunjungi oleh hampir 40,000 penonton yang menyaksikan 15 jenis pementasan dengan jumlah 64 hari pementasan. Secara purata 559 orang penonton dalam sehari. Hanya 40% kapasiti Panggung Sari yang mampu memuatkan 1412 penonton. Jumlah itu bukanlah sesuatu yang boleh dibanggakan kerana sebagai satu nama besar segah Istana Budaya iai memerlukan 70% kapasiti untuk setanding dengan panggung yang setara dengannya.
Beberapa persembahan dibatalkan di saat-saat akhir kesan wabak SARS dan kekecohan perang di Afghanistan dan Iraq. Kesannya bukan sedikit tetapi cukup untuk memberi imej negatif kepada Istana Budaya. Penentang Istana Budaya menunggu masa saja untuk bertepuk tangan bersorak gembira.
Satu perkara yang paling menarik tahun 2004 ialah obligasi sosial yang diangkat oleh Istana Budaya untuk mempertingkatkan muzik, tari dan lakonan. Istana Budaya mengambil inisiatif untuk memulakan siri Teater Malaysia dan Koreografi Terpilih. Tiga orang pengarah muda teater Malaysia dan sepuluh orang koreografer Malaysia akan diberikan peluang untuk menghasilkan karya terbaik mereka di Istana Budaya. Ini secara tidak langsung memberi peluang kepada kumpulan-kumpulan marhaen yang seringkali mengeluh kerana tidak berpeluang untuk berpencak dan beronggeng di Istana Budaya melunaskan impian mereka di Istana Budaya. Diharapkan dengan adanya peluang sebegini, penggerak kumpulan-kumpulan marhaen tersebut berani menentang arus menerima cabaran Istana Budaya bukan hanya sekadar mengeluh dan mendesah di dada-dada akhbar. Atau lebih memalukan sekadar menunggu jemputan kepada mereka.
Istana Budaya di tahun 2004 membuka lebih lagi ruang kepada penggiat tempat kini memberi laluan kepada sebuah pusat sumber dan sebuah ruang pembelajaran yang dilengkapi peralatan multimedia bagi menerajui aspek latihan dan pembelajaran yang berkait dengan seni pentas. Ruang ini sepatutnya dimanafaatkan oleh penggiat seni pentas tanahair juga kepada generasi muda yang berminat untuk menceburi bidang ini untuk tujuan penyelidikan khasnya.
Saya suka untuk melihat perkembangan maju teater Barat yang gah dengan Cats, Miss Saigon, Les Miserable, New York New York sekadar menyebut beberapa nama. Persembahan mega mereka sudah sinonim di dalam setiap tahun kalendar pementasan yang mereka pertontonkan. Cats dipersembahkan oleh beberapa kumpulan baru yang semakin bertambah dari tahun ke tahun. Mereka ini terlibat secara profesional dan komited dengan kerja mereka. Lalu Cats menjadi identiti mereka yang ditonton oleh jutaan penonton di dunia. Oleh itu sewajarnya Malaysia juga mempunyai satu atau dua atau tiga teater identiti yang boleh dipentaskan di Istana Budaya setiap suku tahun sekali oleh kumpulan yang berbeza tetapi masih mengekalkan mutu kerja kreatifnya. Karya-karya agung Datuk A.Samad Said iaitu Lantai T.Pinkie, Sungai Mengalir Lesu dan Salina boleh dijadikan sandaran untuk dimartabatkan menjadi teater identiti Malaysia. Kita wujudkan pelbagai kumpulan yang berupaya mementaskan karya-karya berat sebegini untuk mementaskan karya agung ini berulang kali di Istana Budaya. Malaysia harus punya satu teater yang menyerlahkan identitinya sendiri. Jika ia dilakukan dengan jujur, tidak hairanlah jika satu hari nanti teater identiti Malaysia ini boleh diangkat di pentas antarabangsa satu hari kelak. Itu impian saya.
Pementasan di Istana Budaya 2004
Anak Kerbau Mati Emak 16-25 Januari 2004
Iruvar 6-9 Februari 2004
Konsert Putera Puteri 20-22 Februari 2004
Konsert 100 5-7 Mac 2004
Death Of A Scarecrow 9-11 April 2004
Muzikal Hang Li Po 22-26 April 2004
Saturday Night Fever 7 Mei 2004
Wild Zebra 5-10 Jun 2004
Rashomon 18-27 Jun 2004
Konsert Keroncong Perdana 30 Julai – 1 Ogos 2004
The Merry Widow 29-29 Ogos 2004
Gema Zapana 2-6 Disember 2004
Carmen 16-20 Disember 2004
Artikel rujukan :
Teater Melayu Lesu: Di Manakah Silapnya ?
Oleh : A. Wahab Hamzah
Diskusi Secangkir Latte Bersama Faridah
Faridah Merican berbicara dan memberikan buah fikirannya tentang teater
Oleh : Adam Tuan Mukriz
Rokiah: Melayu Yang Bagaimana?
Di antara glosari dan knovensi teater dengan konvensi dan glosari filem
Oleh : Faisal Tehrani
Pameran Foto oleh Bazuki.com
0 komen