Rabun
Yang celik tetap celik, yang rabun terus rabun
Sabtu 24 Januari 2004
Cerekarama, TV3
Ini kali pertama saya menonton tayangan Rabun setelah menunggu sekian lama ia ditayangkan di saluran televisyen. Beberapa kali tertangguh angkara keputusan yang tidak menentu. Saya terlepas menyaksikan tayangannya di Dewan Bahasa dan Pustaka satu ketika dahulu dan terus mengharapkan ia cepat-cepat ditayangkan di televisyen.
Tatkala TV3 menayangkan teaser tentang Rabun, saya sudah mengagak Rabun yang saya tunggu-tunggu akan muncul di TV3 Sabtu ini. Lama saya menunggu.
Tema kasih sayang sering menjadi topik utama garapan oleh Yasmin Ahmad yang sememangnya sudah sinonim dengan iklan-iklan Petronas. Siapa boleh melupakan iklan “Kenapa saya suka rumah saya ?” dan "An Indian and His Father during Independence Day" serta “Janda Tujuh Beranak” yang ke udara sewaktu musim perayaan kebangsaan. (Janda Tujuh Beranak adalah hasil kerja Hafiz Ibrahim di Leo Burnett)
Rabun berkisar tentang hidup Pak Atan dan Mak Inom. Mata yang hanya menilai orang kampung baik-baik belaka dan orang bandar jahat-jahat belaka. Itu rabun pada permulaannya. Konflik hidup dan pemasalahan hidup di kampung secara tidak langsung memberi kesedaran kepada Pak Atan dan Mak Inom akan realiti sebenarnya. Mereka akhirnya telah dicelikkan. Satu keluarga di kampung, sebuah keluarga bahagia, sebuah keluarga sengsara. Sering ditimpa masalah.
Bermula dengan montaj pembukaannya sahaja saya sudah terpegun melihatkan grafik yang bermakna. Kabur yang dijelaskan dengan terang setiap pekerja di belakang tabir kerja seni ini.
Propaganda Melayu sering menjadi usul utama dalam kerja-kerja seni Yasmin Ahmad. Melayu yang terus rabun memandang kebaikan orang lain tetapi celik apabila memandang keburukan orang lain.
Lakonan M. Rajoli dan Kartina Aziz amat natural dan wujud chemistry antara mereka berdua. Dialog-dialog sinis serta kedengaran agak kasar menguatkan lakonan mereka berdua. Ketawa mereka serta gurau senda mereka mampu membuat kita terfikir wujud lagikah pasangan sedemikian di muka bumi ini lagi. Pelakon Ho Yuhang yang melakonkan watak Elvis memberikan unsur komedi pada lakonannya. Dialognya lurus dan penuh bermakna.
Fotografi filem ini amat mudah. Banyak adegan-adegan simbolik yang cukup meyakinkan. Selain memerlukan otak gred A untuk mencernakan maklumat-maklumat tergantung dalam banyak adegan. Penonton-penonton filem yang sudah terbiasa menonton arahan Prof Madya A Razak Mohaideen dan Datuk Yusof Haslam dinasihatkan agar tidak menonton filem ini.
Antara adegan yang menjentik minda tentulah adegan seperti sebuah keluarga bahagia yang sambil bemesra melihat bulan penuh, sambil adegan yang satu lagi Yem dari sebuah keluarga yang sering dirundung malang sedang sibuk mengasah parang.
Penggunaan konsep iklan video di dalam seni fotografi filem ini amat menarik. Jurugambar banyak menggunakan still shot dengan dialog. Penonton sekali lagi perlu menafsirkan ekspresi serta lontaran dialog pelakon tanpa melihat mimik wajah mereka. Jelas konsep iklan dalam filem ini berjaya disampaikan dengan baik.
Suntingannya kemas. Penonton perlu melengkapkan sendiri cerita-cerita kosong tanpa suara antara adegan-adegan. Penonton perlu menafsirkan sendiri apa yang dilakukan oleh Mak Inom kepada Yem sehingga Yem jatuh terlentang. Bagaimana hon kereta Mak Inom mampu membuatkan sebuah kereta Porche bergerak ke tepi memberi laluan kepadanya. Adegan kereta BMW Yasin dan Orchid yang berhenti di tengah-tengah jalan tetapi kereta yang datang dari arah hadapan mengelak dan berlalu di tepi. Pelik bukan ?
Saya agak kecewa apabila beberapa degan dipotong. Adegan-adegan kuat yang mengukuhkan filem ini dipotong lalu membuatkan penonton gagal memahami maksud-maksud tersirat yang ingin disampaikan. Adegan mandi bersama antara Pak Atan dan Mak Inom di tepi perigi merupakan adegan paling sensual dalam mana-mana filem Melayu. Begitu juga dengan adegan Cik Nor yang baring memeluk bantal kegersangan kerana dahagakan kasih sayang turut dipotong. Dua adegan ini merupakan penguat filem ini.
Filem ini ditamatkan dengan adegan berkumpulnya mereka satu-satu bermain kodi. Mak Inom sebagai juara tetap handal bermain kodi walaupun dengan matanya ditutup. Bukankah lebih baik, sekiranya manusia dapat hidup tanpa sengketa, tanpa perbezaan warna kulit, bangsa, taraf hidup dan agama ?
Saya kagum dengan hasil kerja Yasmin Ahmad. Insan-insan sebeginilah yang harus FINAS dan kerajaan Malaysia biaya untuk menjejakkan kaki di pentas antarabangsa. Harap FINAS tidak terus rabun untuk menilai kerja seni kelas A ini.
Rating: 4/5 bintang
Rujukan dan Ulasan lain :
Nizam Zakaria
Torino Film Festival
Wawancara NZ dengan Yasmin Ahmad
Filem Rabun Filem Yasmin Yang Tak Pernah Rabun Oleh Fadz
Rabun Tapi Celik oleh Faisal Tehrani
Ulasan Rabun (versi TV) oleh Fairul Nizam Ablah
Pemenang BEST ASEAN FILM (ABOVE 60 MIN) - MVA ASEAN Awards & Industry Night
GOLD
TITLE: Rabun
WINNER: Yasmin Ahmad
Tayangan di 21st TORINO FILM FESTIVAL
Nota: Ia telah pun mendapat perhatian besar di Pesta Filem Singapura dan Cinemaya New Delhi dan telah memenangi Malaysian Video Awards 2003 bagi kategori Best ASEAN Film (jangka masa melebihi 60 minit).
0 komen