Undilah

SULTANMUZAFFAR (26 Februari 2002 - sekarang)

Seorang blogger, pelayar internet, penyelam scuba dan penagih tegar televisyen dan Wii. Melihat seluruh dunia di laman blog menerusi kamera DSLR dan kacamata tebalnya (kadang-kadang kanta lekap).

Mengkritik tidak bererti menentang, menyetujui tidak semestinya menyokong, menegur tidak bermakna membenci, dan berbeza pendapat adalah kawan berfikir yang baik.
Entri oleh sultanmuzaffar 30 August 2004

Puteri Gunung Ledang
Puteri Gunung Ledang
Asas penulisan ulasan saya kali ini adalah bertunjangkan sebuah puisi agung Sasterawan Negara Usman Awang yang bertajuk Melayu. Antara bait-bait penting dalam puisi tersebut ialah :

(1)
Melayu itu orang yang bijaksana
Nakalnya bersulam jenaka
Budi bahasanya tidak terkira
Kurang ajarnya tetap santun
Jika menipu pun masih bersopan
Bila mengampu bijak beralas tangan.

(2)
Melayu di tanah Semenanjung luas maknanya:
Jawa itu Melayu, Bugis itu Melayu
Banjar juga disebut Melayu, Minangkabau
memang Melayu,
Keturunan Acheh adalah Melayu,
Jakun dan Sakai asli Melayu,
Arab dan Pakistani, semua Melayu
Mamak dan Malbari serap ke Melayu
Malah mua'alaf bertakrif Melayu
(Setelah disunat anunya itu)

(3)
Melayu itu kaya falsafahnya
Kias kata bidal pusaka
Akar budi bersulamkan daya
Gedung akal laut bicara

(4)
Walaupun sudah mengenal universiti
Masih berdagang di rumah sendiri.
Berkelahi cara Melayu
Menikam dengan pantun
Menyanggah dengan senyum
Marahnya dengan diam
Merendah bukan menyembah
Meninggi bukan melonjak.

(5)
Bagaimanakah Melayu abad dua puluh satu
Masihkan tunduk tersipu-sipu?
Jangan takut melanggar pantang
Jika pantang menghalang kemajuan;
Jangan segan menentang larangan
Jika yakin kepada kebenaran;
Jangan malu mengucapkan keyakinan
Jika percaya kepada keadilan.

(6)
Jadilah bangsa yang bijaksana
Memegang tali memegang timba
Memiliki ekonomi mencipta budaya
Menjadi tuan di negara Merdeka

Inilah antara bait-bait penting dalam puisi tersebut untuk kita mengenal siapa itu Melayu. Melayu bercakap penuh sopan, ada sebabnya. Melayu cakap berlapik juga ada sebabnya. Melayu setianya melampau juga ada sebabnya. Filem ini besar jiwa Melayunya walaupun....

Akhirnya setelah terlalu lama menunggu, filem hebat ini dapat saya tonton pagi ini atas undangan seorang sahabat dari ntv7. Saya menonton bersama beberapa orang kawan. Sebelum membaca ulasan dari saya, sila baca ulasan dari blogger lain tentang filem ini di Tontonfilem dan Skrin.

Saya harus melupakan tentang Pengarahnya yang berbangsa Cina, melupakan tentang Laksamana Hang Tuah yang pernah bewarganegara Singapura, juga melupakan tentang Gusti Putri Retno Dumillah seorang mualaf serta Mamat Khalid penulis skripnya yang hanya layak menulis skrip filem dan telefilem bergenre komedi kerana filem ini begitu kental jiwa Melayunya. Itu semua tidak penting kerana hasilnya mengatasi segala-galanya. Sedari minit pertama sehingga minit akhir menonton filem ini terasa kental, kuat, utuh jiwa Melayunya. Setiap perincian dalam filem ini sungguh tinggi nilai estetikanya serta memartabatkan budaya Melayu ke tempat yang sewajarnya.

Puteri Gunung Ledang
Pelakon unggul yang saya rindukan lakonannya, Datuk Rahim Razali.

Yang penting, saya suka filem ini. Sebelum memasuki ke panggung wayang kita harus membuang maklumat yang filem ini menelan kos sebanyak RM15 juta untuk disiapkan. Anggap sahaja filem ini terhasil dengan kos RM2 juta sahaja, maka kita akan kagum dengan hasilnya. Saya sendiri risau yang filem ini tidak dapat memuaskan hati saya. Apabila kita terlalu berkira soal ringgit, tidak dapat tidak rasa cemburu dengan jutaan ringgit yang dilimpahi ke atas produksi ini akan menyebabkan kita begitu sinis dan kritis terhadap filem ini. Memang ada pembikin filem bebas di Malaysia yang mampu untuk menghasilkan filem yang lebih hebat dengan kos yang amat kecil. Itulah antara faktor-faktor yang menjadikan api cemburu semakin marak kerana terus-terusan terfikirkan jumlah wang yang telah dibelanjakan oleh produksi ini.

Lakonan
Kekuatan utama dalam lakonan filem ini terletak pada Tiara Jacquelina. Tiara telah memberikan sebuah lakonan yang penuh penghayatan serta secukup rasa. Begitu juga dengan M.Nasir yang juga telah berjaya melengkapkan lakonan hebat Tiara.

Konflik yang dihadapi oleh Hang Tuah benar-benar memberikan impak kepada filem ini. Antara kesetiaannya kepada Sultan Melaka yang amat jelek perlakuannya dan cintanya pada Gusti Putri. Semangat daya-usaha dan kesetiaan cinta Gusti Putri begitu hebat.

Saya melihat kekuatan lakonan filem ini agak seimbang. Setiap pelakon walaupun sedikit adegannya telah memberikan lakonan yang mantap dan penuh berkarektor.

Pertalian kuat di antara Tun Teja dan Gusti Putri Retno Dumillah yang berkongsi permasalahan yang sama iaitu terpaksa berkorban cinta mereka terhadap Hang Tuah demi Sultan Melaka. Antara sebab mereka dipertemukan dalam satu suasana yang agak tenang tetapi penuh rasa cemburu.

Puteri Gunung Ledang
Ekspresi Gusti Putri sudah cukup menceritakan segala-galanya pada babak ini.

Adegan yang paling berkesan bagi saya ialah sewaktu komunikasi telepati antara Gusti Putri Retno Dumillah dan Gusti Adipati Handaya Ningrat. Hanya kedengaran dialog sebagai latar dan ekspresi wajah mereka begitu menjadi dan boleh saya katakan sempurna. Lafaz dialog dilengkapi dengan ekspresi muka mereka yang memberi makna-makna besar pada dialog tersebut.

Saya amat membenci lakonan Adlin Aman Ramlie sebagai Sultan Melaka sekaligus membuktikan yang beliau telah berjaya membawakan wataknya dengan cemerlang. Sedikit kekurangan pada lakonannya ialah lakonannya sedikit moden dan agak tidak serasi dengan watak-watak yang lain.

Nyata modal yang dikeluarkan untuk menerbangkan pelakon hebat dari Indonesia seperti Christine Hakim, Slamet Rahardjo dan Alex Komang berbaloi dengan hasil yang mereka tonjolkan. Kehadiran mereka telah menguatkan lagi filem ini.

Lakonlayar
Cinta Melayu terletak pada keindahan bahasanya. Sememangnya itu cara Melayu bertutur. Penuh tertib. Berhati-hati. Salah pandang, saya akan mengatakan filem ini bergerak terlalu perlahan sehingga membosankan. Rasa itu datang dari pengucapan dialog-dialog puitis yang dilafazkan satu-persatu memberi seribu makna. Dialog yang disusun cukup indah, dikarang cukup bunga dan dilafaz cukup rasa telah memberikan satu lakonan cinta yang penuh perasaan. Perasaan cinta agung itu sampai kepada saya melalui penggunaan bahasa yang amat puitis dan penuh kiasan. Tumpuan saya tidak mahu diganggu walau seminit pun kepada setiap patah dialognya. Lebih memberikan saya kekaguman yang amat sangat apabila penulis skripnya ialah Mamat Khalid yang telah mengarahkan Lang Buana, penulis Pukul Dua Petang yang bergenre komedi dan pengkritik yang telah memberikan kritikan berunsur humor pada Konsert Akademi Fantasia. Saya jabat erat tangan Mamat Khalid kerana begitu kagum dengan hasilnya.

Puteri Gunung Ledang
Antara dialog yang saya ingat ialah “Tuah bertarung untuk dirinya, aku bertarung untuk negara dan rakyatku.” oleh Gusti Adipati Handaya Ningrat.

Beberapa dialog antara M.Nasir dan Tiara juga mampu mencairkan hati wanita. Dari bait-bait dialog itulah datang rasa cinta agung tersebut. Itulah Melayu yang menzahirkan rasa cintanya melalui patah perkataan bukan sekadar bahasa tubuh.

Sinematografi
Setelah Spinning Gasing, inilah filem yang mempunyai sinematografi yang amat indah. Kreativiti Jason Kwan terserlah pada filem ini.

Keindahan semulajadi Gunung Berinchang, Pulau Perhentian dan Tasik Kenyir menjadi begitu kena dengan cerita Puteri Gunung Ledang. Keindahan inilah yang akan menyebabkan penggiat filem antarabangsa berminat untuk merakamkan keindahan yang sama untuk filem-filem mereka kelak. Keindahan New Zealand telah pun dieksploitasi oleh pembikin filem Lord Of The Rings. Tidak mustahil, keindahan lokasi-lokasi yang ada di Malaysia akan terus digunakan satu hari kelak.

Kesan Khas
Pada mulanya saya menganggap kesan khas pada Lord Of The Rings sesuatu yang tidak masuk akal tetapi itulah yang rakyat Malaysia agung-agungkan. Dewa-dewakan.
Jika rakyat Malaysia boleh jatuh taksub dan mendewa-dewakan adegan peperangan di Pelennor Fields dalam Lord Of The Rings, mengapa tidak bangsa kita sendiri mendewa-dewakan adegan pertarungan dalam filemnya sendiri.

Letak diri kita sebagai pemerhati filem antarabangsa yang tidak pernah menonton filem Melayu. Oleh itu, apa yang kita tonton dalam Puteri Gunung Ledang tentunyalah sesuatu pengalaman yang baru. Jika mereka boleh mngiktiraf Crouching Tiger, Hidden Dragon, mengapa tidak Puteri Gunung Ledang.

Antara kesan khas yang amat menarik perhatian saya ialah sewaktu gugurnya daun-daun yang tertulis syarat-syarat peminangan Puteri Gunung Ledang. Walaupun kurang serasi dengan imej sinematografi yang ada tetapi unsur-unsur magik itu ada pada adegan tersebut. Di Istana Melaka, tulisan yang tertulis pada lantai Istana amat cantik sekali.

Skor Muzik
Pada peringkat awal pembikinan filem Puteri Gunung Ledang, saya berkesempatan untuk berbual-bual dengan kes reject pencipta muzik latar filem tersebut. Khabarnya anggaran perbelanjaan yang diminta terlalu tinggi dan akhirnya M.Nasir terpilih untuk melakukannya. Ini baru soundtrack. Jarang benar pada filem Malaysia terhasil sebuah soundtrack yang mampu menarik minat saya. Kali terakhir saya kagum dengan skor muziknya ialah filem Layar Lara.

Puteri Gunung Ledang
Muzik latar yang mengasyikan serta sinematografi yang hebat telah berjaya memberikan rasa pada sebuah cinta agung ini.

Lagu tema filem ini iaitu Bagai Sakti nyanyian Siti Nurhaliza dan M.Nasir serta lagu Asmaradana dendangan Tiara Jacquelina sering kedengaran di corong radio. Irama moden pada lagu Asmaradana setidak-tidaknya dapat menarik golongan muda untuk mendekati filem ini selain populariti para pelakonnya.

Ekstremis Islam
Saya boleh sahaja mengabaikan aspek ekstremis Islam pada filem ini kerana tidak ada kasar atau negatifnya seperti yang dipaparkan pada filem tersebut. Terdapat pelbagai cara menyebarkan Islam, salah satunya adalah dengan menakluk. Antara cara-cara penyebaran agama Islam di Melaka dan kawasan sekitarnya ialah melalui perkahwinan, penaklukan wilayah, perdagangan dan kegiatan mubaligh/pendakwah. Mungkin kerana cara Islam disebarkan ke sini dengan cara yang lebih lembut makanya kita tidak biasa dengan sejarah yang berlaku di Majapahit. Di Majapahit, Tanah Jawa dan sekitarnya Islam banyak tersebar melalui cara penaklukan. Itu sememangnya sejarah bahawasanya Islam disebarkan di sana melalui penaklukan.

Adegan yang paling saya ingati:
1. Kemunculan pertama Laksamana Hang Tuah di sebuah pasar. Berlaku kekalutan dan bola sepak raga
2. Bayan membunuh diri dengan tiga imej di cermin serta tiga kuntum bunga mawar. Adegan sebelumnya juga merupakan pertemuan tiga watak yang berlainan kasta iaitu Gusti Adipati, Patih dan Bayan berkonflik kerana bantuan kepada Gusti Putri.
3. Pertemuan pertama Gusti Putri Retno Dumillah dan Laksamana Hang Tuah di Majapahit serta sepakan kaki bunga ke muka Laksamana Hang Tuah. Menurut fadz adegan ini penting kerana di sinilah bermulanya konflik pada setiap watak dalam filem ini.
4. Kenangan semula terimbau sewaktu pertemuan mereka dan sama-sama menari. Adegan ini penting kerana ada tindakbalas positif sesama sendiri. Laksamana Hang Tuah membalas cinta Gusti Putri apabila sama-sama menari.
5. Komunikasi antara Gusti Putri dan Gusti Adipati amat indah dari segi ekspresinya. Lakonan yang terlahir dari jiwa dalaman benar-benar mencipta rasa kagum.
6. Gugurnya daun-daun yang tertulis tujuh syarat peminangan. Keindahan adegan ini memberi satu intepretasi visual baru kepada sebuah kisah sejarah yang kita sudah tahu naratif serta visualnya.
7. Perasaan belah-bahagi Gusti Putri di sebalik rimbunan buluh sambil mendengar keluhan Laksamana Hang Tuah tentang perasaan cinta beliau.
8. Sentuhan Gusti Putri dari belakang bahu Laksamana Hang Tuah. Di sinilah letaknya cinta agung yang diperkatakan oleh filem ini. Cinta mereka yang agung mengatasi segala persoalan maut yang menanti. Dengan teragak-agak Gusti Putri menyentuh bahu Laksamana Hang Tuah menzahirkan rasa cintanya kepada beliau.

Puteri Gunung Ledang
Adegan ini mengingatkan saya kepada watak Erma Fatima dalam XXRay II. Bezanya Tiara telah turun dari puncak Gunung Ledang untuk mengingatkan Sultan Melaka yang terlupa.

Bajet Besar
Limpahan wang ringgit untuk produksi filem ini bukan lagi menjadi rahsia. Semua orang tahu. Limpahan wang ringgit itulah yang telah memungkinkan kostum para pelakonnya direka dengan baik, set dibina untuk merealisasikan kegemilangan zaman kesultanan Melayu Melaka, solekan zaman tersebut yang menjadi dan kena pada zaman juga percikan api yang mengiringi pencak silat M.Nasir dan Alex Komang.

Saya mahu menonton sekali lagi filem ini kerana mahu menghayati setiap patah perkataan yang dilafazkan oleh para pelakonnya. Wanita dalam dunia lelaki yang sering dieksploitasi untuk memuaskan kehendak sang lelaki. Sesungguhnya Puteri Gunung Ledang merupakan sebuah filem Malaysia yang boleh dibanggakan.

Nasihat saya cuma satu: Lihat filem ini sebagai mata antarabangsa dan dari sudut pandangan antarabangsa, bukan sekadar sebagai seorang warganegara Malaysia yang hanya mahu mencari kesilapan.

Keseluruhan: 4.5/5 bintang
Usaha: 5/5 bintang
Lakonan: 4.5/5 bintang
Sinematografi: 5/5 bintang
Skrip: 5/5 bintang

Ulasan Lain:
Tontonfilem
Skrin
Donababygurl.com
Shahnon

Rujukan:
Artikel 1
Artikel 2
Artikel 3