Undilah

SULTANMUZAFFAR (26 Februari 2002 - sekarang)

Seorang blogger, pelayar internet, penyelam scuba dan penagih tegar televisyen dan Wii. Melihat seluruh dunia di laman blog menerusi kamera DSLR dan kacamata tebalnya (kadang-kadang kanta lekap).

Mengkritik tidak bererti menentang, menyetujui tidak semestinya menyokong, menegur tidak bermakna membenci, dan berbeza pendapat adalah kawan berfikir yang baik.
Entri oleh sultanmuzaffar 05 September 2003

Mesti Tonton Hari Kemerdekaan
Multimedia Super Cintun
31 Augusts :: 9 malam

Mendengar sahaja tajuk drama ini, hati saya sudah berkata. Ini bakal menjadi satu propaganda kerajaan tentang Multimedia Super Corridor. Itu prejudis saya tentang drama ini. Setelah menonton 10 minit drama ini, hati saya berkata lain pula. Sebuah drama yang memaparkan realiti sebenar yang berlaku di Malaysia ketika ini.

Sinopsis
Tiga tahun yang lepas, Maya seorang pelajar di UK telah bertemu dengan Norman seorang eksekutif di sebuah firma IT di internet. Kedua-duanya telah mengenali hati budi masing-masing menerusi IRC. Norman menganggap Maya sebagai seorang yang outspoken dan berpelajaran tinggi manakala Maya menganggap Norman sebagai seorang yang penyayang dan mengambil-berat.

Mereka merancang untuk bertemu di Kuala Lumpur dan kemudian berkahwin. Empat tahun selepas perkahwinan itu dan pasangan itu masih belum dikurniakan cahaya mata. Walaupun kedua-duanya berjaya di dalam karier masing-masing namun demikian mereka menghadapi masalah untuk berkomunikasi. Tanpa mereka sedari, mereka telah merancang untuk mencari kekasih baru di internet.

Pandangan Peribadi

Kata Mahathir “Internet umpama pisau tajam, boleh digunakan untuk mengukir dan juga untuk membunuh.” Drama ini menonjolkan Internet sebagai kedua-duanya. Tapi itulah Internet. Hendak tak hendak kita harus menerimanya.Drama ini juga menepis prejudis bahawa seorang ibu hanya layak menjadi suri-rumah. Golongan wanita adalah golongan yang kemahiran IT mereka lemah.

Drama ini memberi gambaran sebenar tentang cinta siber. Kebanyakan mereka bertemu, bercinta dan kemudian berpisah. Itu realiti. Gelagat yang dipertontonkan juga amat dekat dengan situasi cinta siber. Masalah yang dihadapi juga merupakan masalah-masalah sama yang sering dihadapi oleh pasangan tersebut. Mereka gemar berkomunikasi secara online tetapi apabila berhadapan mereka hilang kata-kata. Sebenarnya sewaktu perkenalan di internet, mereka hanya dapat mengetahui luaran seseorang tersebut. Mereka belumnya mengenal hati budi.

Arahan
Pergerakan naratif drama ini bergerak dengan lancar. Teknik penceritaan yang digunakan juga sampai kepada penonton. Ceritanya mudah. Jatuh cinta di internet kemudian bertemu di Kuala Lumpur dan kemudian berkahwin. Setelah 4 tahun berkahwin, masalah komunikasi mula timbul. Masuk kembali di alam siber dan tidak mustahil bertemu semula dan kemudian bercinta kembali. Yang lebih pasti, alam realiti lebih sempurna. Pengarah drama ini saya kira berjaya membawa melihat keindahan Malaysia dalam era post-modern. Kualiti seni layar drama ini amat cemerlang.

Lakonan
Pelakon seperti Azhar Sulaiman yang membawakan watak Norman dan Norzizi Zulkifli (Maya) agak baik. Walaupun kekuatan drama ini bukan pada pelakonnya namun, setiap pelakon telah memberikan yang terbaik. Begitu juga dengan pelakon yang membawakan watak ibu kepada Norman. Beliau telah berjaya membawakan watak seorang ibu yang gilakan internet.

Fotografi
Teknik fotografi yang digunakan untuk drama ini amat cemerlang. Pengarah bijak mengambil shot yang jarang atau tidak pernah digunakan oleh Pengarah lain. Siapa menyangka, kereta bergerak di tempat letak kereta bawah tanah KLCC juga boleh menjadi satu shot yang cantik. Shot Kubah Masjid As-Syakirin KLCC juga mampu menjadi shot yang menarik. Ini sekaligus membuang klise drama Melayu yang sering menggunakan shot-shot yang sama sepanjang masa. Penggunaan warnanya amat kena dengan cerita post-modern sebegini. Teknik penggambarannya mengingatkan saya akan sebuah filem bertajuk Hanya Kawan arahan Harith Iskandar dan sebuah drama Melayu yang bertajuk Hanya Dikau arahan Rashid Sibir.

Secara keseluruhan saya amat berpuas hati menonton drama ini. Ia sekaligus mengingatkan saya bahawa dunia realiti adakalanya membosankan.