Undilah

SULTANMUZAFFAR (26 Februari 2002 - sekarang)

Seorang blogger, pelayar internet, penyelam scuba dan penagih tegar televisyen dan Wii. Melihat seluruh dunia di laman blog menerusi kamera DSLR dan kacamata tebalnya (kadang-kadang kanta lekap).

Mengkritik tidak bererti menentang, menyetujui tidak semestinya menyokong, menegur tidak bermakna membenci, dan berbeza pendapat adalah kawan berfikir yang baik.
Entri oleh sultanmuzaffar 30 September 2003

Cinta KolestrolCinta Kolestrol : Boleh Membawa Maut

Saya berkesempatan untuk menonton Cinta Kolestrol arah Prof Madya Razak Mohaideen, pengarah filem tersohor yang telah mengarahkan beberapa buah blockbuster seperti Mami Jarum, Mami Jarum Jr. dan Anak Mami. Semuanya saya tonton dari vcd cetak rompak. Mesti ada sesuatu yang menarik saya ke panggung untuk menonton Cinta Kolestrol. Sudah banyak kali saya membaca ulasan tentang filem-filem beliau yang terdahulu.

Cinta Kolestrol mengisahkan tentang perjanjian antara keluarga Haji Zaini dengan keluarga Dato Osman yang ingin menjodohkan anak mereka, Ahmad Yusry dan Fazira setelah Yusry berjaya menyelamatkan Fazira dari mati lemas ketika mereka masih kecil. Setelah 20 tahun, kedua-duanya meningkat dewasa dan Yusry membesar sebagai jejaka tampan, berpendidikan tinggi dan baru pulang ke tanah air. Fazira pula membesar sebagai seorang gadis gemuk, berpersonaliti kurang menarik serta tidak mengikut perkembangan fesyen. Yusry menjadi begitu tertekan setelah mengetahui keadaan Fazira terlalu jauh daripada imaginasinya. Pada masa sama, Nadia muncul dan cuba menggoda Yusry.

Filem ini sedikit sebanyak cuba lari dari stereotype filem Melayu bahawa yang kaya mesti jahat dan yang miskin sering dihina tetapi sayang filem ini telah mencipta satu stereotype baru iaitu yang berpendidikan tinggi dan baru pulang dari luar negara mempunyai sifat yang amat zalim dan suka menghina.

Arahan
Kata Pengarahnya, dari sudut bidang komunikasi massa, filem yang gagal adalah filem yang tidak mendapat sambutan penonton. Dalam membuat filem, beliau masih menitikberatkan mesej, pengajaran dan sesuai ditonton untuk golongan keluarga walaupun tiada nilai artistik. Beliau sentiasa mengkaji khalayaknya agar dapat menerima filemnya.

“Saya akan lebih kecewa kalau filem saya tidak ada penonton. Tak guna buat filem kalau untuk syok sendiri,” jelasnya.

Arahannya kali ini lebih banyak bergantung kepada kesan khas yang digunakan untuk menggemukkan tubuh badan Erra tetapi telah meminggirkan aspek cerita yang sepatutnya menjadi teras dalam sesebuah filem. Struktur plot yang tidak dibuat dengan kemas telah melemahkan naratif penceritaan filem ini. Kesilapan lama yang diulang semula oleh beliau.

Cinta KolestrolLakonan
Menilai mutu lakonan, ada peningkatan dalam mutu lakonan Yusry. Beliau saya kira berjaya membawakan watak Ahmad Yusry dengan baik jika dibandingkan dengan mutu lakonannya yang terdahulu. Lakonan Erra Fazira sebagai Fazira yang bertubuh gemuk boleh saya katakan berjaya dihidupkan dengan baik tetapi beliau sebagai dirinya yang kurus masih kekal di takah lama. Tiada banyak perbezaan. Abu Bakar Omar sebagai Haji Zaini iaitu bapa Yusry telah dihidupkan dengan cemerlang oleh beliau. Karisma beliau sebagai bapa berjaya ditampilkan dengan meyakinkan.

Sinematografi oleh Zainal Othman masih biasa. Tiada unsur-unsur yang mengkagumkan. Lebih mengecewakan shot tepi sungai dengan air dari longkang sedang mencurah diambil dan dijadikan salah satu shot di dalam filem ini. Sudah tidak ada lokasikah di Malaysia ini sehingga shot sedemikian diambil untuk melengkapkan cerita ?

Suntingan
Suntingan yang tidak kemas menyebabkan plot filem menjadi kucar-kacir. Perkembangan watak tidak dibangunkan dengan ikhlas dan jelas dibuat kerana terpaksa. Suntingan yang kacau menyebabkan unsur-unsur komedinya menjadi terlalu bodoh dan diperbodohkan. Naratif cerita tidak dapat digabungkan oleh taraf akal seorang manusia yang normal.

Kesan khas
Kos yang dibelanjakan untuk menjadikan kesan khas pada tubuh Erra amat besar iaitu sebanyak RM200,000 termasuk kos mereka baju besar untuknya. Solekan di muka Erra Fazira dikira berjaya tetapi keadaan tangan Fazira nampak macam tangan hantu. Ketelitian mereka menjalankan kerja-kerja kesan khas telah dibuat sambil lewa sehingga beberapa aspek penting tidak dititikberatkan.

Imej superimpose di penghujung cerita juga dibuat dengan tidak begitu kemas. Saya sebagai seorang rakyat Malaysia yang berfikiran terbuka dan pemaaf harus menerima teknik kesan khas ini seadanya kerana ini percubaan mereka yang pertama kali.

Cinta KolestrolKeliru
Latar masa tatkala Haji Zaini iaitu ayah Yusry memarahi Yusry apabila mengetahui tentang Fazira yang terlantar di hospital benar-benar kacau. Suntingan yang kabur dan tidak memahami masa sesuatu jalan cerita menyebabkan penonton terkeliru bilakah saat kematian Haji Zaini.

Senarionya mudah sahaja, Haji Zaini memarahi Yusry kerana angkara Yusry, Fazira terlantar di hospital, Yusry memarahi ayahnya dan kemudian menaiki kereta ke litar go-kart, Yusry mengimbas kembali kenangan waktu kecil, di rumah, ayahnya sedang tenat serangan sakit jantung, Yusry kembali semula ke rumah dan melihat ayahnya di halaman rumah, ayahnya mengingatkan tentang janji dan kemudian menemui ajal.

Yang pelik, bagaimana Fazira yang berada di Switzerland dan langsung tidak mengetahui hal kematian Haji Zaini sedangkan sewaktu kematian Haji Zaini, Fazira berada di hospital Malaysia.

Apa hubungan Fazira dan Saiful sehingga mereka boleh tinggal serumah ? Adik kepada Fazira ? Mustahil ! Kerana Saiful membahasakan ayah Fazira sebagai Dato Osman.

Lebih mendukacitakan saya adalah adegan tatkala Yusry pulang dari London dan disambut oleh ayahnya di KLIA. Haji Zaini sebagai seorang Melayu yang berpegang pada janji menjadi seorang Melayu yang biadap apabila tidak mempelawa Nadia, kawan Yusry menaiki kereta bersama mereka. Jika filem ini dihasilkan dengan niat untuk mendidik masyarakat, saya kira ia tidak berjaya.
Dalam perjalanan pulang apabila melintasi Litar F1 Sepang, Yusry terkejut apabila tidak menyangka ia wujud di Malaysia sedangkan baru 8 tahun tidak berada di Malaysia. Dengan teknologi yang ada, mustahil kewujudannya tidak disedari langsung.

Saya lebih terkeliru apabila muncul Erra Fazira sebagai seorang model untuk mempermainkan Yusry dan dilihat bersubahat dengan Saiful. Di pertengahan cerita saya menyangkakan yang Fazira telah menjadi kurus kesan menjalani latihan di Switzerland. Tetapi andaian itu tidak menjadi kenyataan di akhir cerita. Siapakah Fazira yang kurus masih menjadi tandatanya.

Moral
Orang yang gemuk hanya bersemangat hangat-hangat tahi ayam. Sanggup ke Switzerland untuk menjalani rawatan menguruskan badan tetapi pulang semula ke Malaysia sebagai orang gemuk juga. Lelaki yang berpendidikan tinggi, lulusan luar negara akan menjadi seorang yang zalim dan suka menghina.

Terlalu tinggi kandungan kolestrol di dalam saluran darah, boleh menyebabkan serangan sakit jantung. Sakit jantung boleh membawa maut. Cara pemakanan harus dijaga dan penyedia makanan juga perlu punya rasa bertanggungjawab. Jika filem sebegini terus dipertontonkan kepada masyarakat, apakah kualiti masyarakat yang dapat dihasilkan dari filem sebegini. Penonton dan Penerbit perlu punya rasa tanggungjawab. Tanggungjawab.

Bintang: 2/5 bintang