Zikir Ratna : Siapa yang keliru ?
Video Zikir Ratna - Haliza Misbun
Beberapa hari sebelum ia dipentaskan saya berpeluang untuk meninjau persiapan kumpulan ini. Saya melihat rekaan setnya yang sedang disiapkan serta bertemu dengan beberapa orang pelakon teater tersebut. Penggunaan bahan terbuang secara tidak langsung mengurangkan kos produksi teater ini.
Saya puas menonton pementasan Zikir Ratna yang dijayakan oleh Yayasan Seni Karya Prihatin Malaysia ini kerana muziknya. Saya cuba untuk melupakan mesej skrip karya Erma Fatima ini yang boleh saya sifatkan khutbah Puteri UMNO mengajak anak muda menyertai UMNO.
Secara keseluruhan persembahan ini dibawa dengan mood keinsafan. Sejauh mana keberkesanannya tidak dapat diketahui. Intonasi persembahan ini sama sahaja. Terlalu mendatar sehingga tidak sedar di mana klimaksnya. Skop penceritaannya adalah kepada bangsa Melayu. Bangsa yang tidak pernah selesai masalahnya. Maka datang penyelamat untuk menyelamatkan bangsanya iaitu Puteri Gunung Ledang dan Hang Tuah. Dua nama besar dalam sejarah Melayu lama.
Pelakon
Lakonan Erma Fatima sebagai Ratna (Puteri Gunung Ledang) agak biasa. Beliau bijak memonopoli pentas dengan dialog yang panjang sekaligus meletakkan watak Ratna sebagai watak utama. Beliau telah pun berangan-angan untuk membawakan watak itu sejak penghasilan skrip tersebut.
Haliza Misbun sebagai Mustika agak berlebihan wataknya. Adakalanya beliau seakan-akan peguambela sedang membela anak guamnya. Sebagai seorang yang alim, intonasi beliau terlalu berdebat bunyinya. Sebuah khutbah yang bernada garang dan tidak nampak kecewa.
Jalaluddin Hassan sebagai Hang Tuah mengingatkan saya tentang watak sama yang beliau pernah pegang dalam XX Ray 2. Imej Hang Tuah di dalam XX Ray 2 masih menebal dengan beliau Cuma kali ini tatkala berada di zaman yang serba moden beliau tidak terpinga-pinga.
Video Zikir Ratna - Erotik
Arahan
Persembahan ini bergerak terlalu perlahan sehingga adakalanya meresahkan penonton. Tempo persembahan tidak dikawal dengan baik sekaligus penghayatan penonton terganggu. Setiap pergerakan yang dihasilkan oleh pelakon perlu ada sebabnya. Sebuah karya yang baik bukan hanya terletak pada skripnya tetapi juga garapan seorang sutradara turut memainkan peranan yang penting. Itu yang kurang dalam persembahan ini. Mood penonton tidak berjaya dikekang dengan unsur-unsur spektakular sebuah pementasan teater.
Muzik
Lagu yang didendangkan oleh Kumpulan Dendangan Anak amat baik mutunya. Vokal mereka begitu harmoni. Usaha mengumpulkan mereka dalam satu kumpulan wajar dipuji. Mereka nampaknya ikhlas bermain muzik dan menyanyi. Kekuatan persembahan ini terletak di bahu mereka kerana skrip teater ini belum mampu untuk mengundang khalayak untuk menontonnya. Oleh itu, kehebatan pemuzik wajar dijadikan sandaran utama untuk mempromosikan sebuah pementasan teater yang bermesej berat yang penuh dengan seribu persoalan.
Koreograf
Kumpulan korus dan pelakon pembantu sedikit sebanyak membantu mood persembahan. Walaupun tidak secara keseluruhannya. Tetapi sayangnya setiap pergerakan yang dihasilkan maknanya gagal diserap oleh penonton. Ketidakseimbangan pelakon di atas pentas juga sedikit sebanyak merosakkan tatacahaya dan fungsi set di atas pentas.
Video Zikir Ratna - Erma Fatima
Set dan tatacahaya
Set yang dibina dengan kos produksi yang tidak besar benar-benar mengkagumkan. Rekaan set nampak mewah tetapi untuk hanya sebahagian pentas. Set di kanan pentas yang menempatkan lorong-lorong hitam terlalu gelap dan lebih menyedihkan ia jarang digunakan. Berbeza dengan rekaan set untuk bahagian kiri pentas iaitu tempat Ratna diperkenalkan buat pertama kali. Konsep siluet yang digunakan sudah banyak kali digunakan untuk pementasan.
Mesej yang ingin ditonjolkan oleh pementasan ini bersifat universal. Tidak kira di mana sahaja, masalah gejala sosial ini merupakan masalah utama negara. Bagaimana cara negara menanganinya terpulang kepada pemimpin setiap negara. Simboliknya persembahan ini berkisar kepada segolongan anak muda yang tiada hala tuju dalam hidup. Tetapi secara tidak sedar penyelesai masalah juga turut terlibat dengan masalah kekeliruan hidup.
Jika negara sendiri tidak mencintai kita, mengapa kita harus mencintai negara kita ?
0 komen