Fragmen ANGKA
Pada 26 hingga 28 September 2003, bertempat di Mini Auditorium, Pusat Penerangan Pelancongan Malaysia (MTC) Jalan Ampang, Kuala Lumpur telah berlangsung Fragmen Teater oleh Angkatan Karyawan Aktif Kuala Lumpur atau ringkasnya ANGKA. Kumpulan ini telah mementaskan 4 karya pendek bertajuk Posto, Hang The Picture, Please, Suara-Suara Mati dan Ghazal Party Queen.
Menyedari akan wujudnya aktiviti berteater oleh kumpulan-kumpulan pasang-siap yang hanya akan muncul tatkala heboh Festival Teater, maka ANGKA mengambil inisiatif untuk mewarnai dan mevariasikan perkembangan teater tanahair supaya bakat-bakat yang ada tidak lagi menjadi koleksi Pekan Teater.
Memetik ringkasan produksi dalam lembaran produksi menyebut, objektif Pekan Teater adalah untuk melahirkan kumpulan teater yang mantap dan mempunyai kepekaan terhadap keperluan persekiraran selaras dengan pembangunan negara yang mana aspek rohani dan sosial sering dipertikaikan kesinambungannya.
Pada masa sekarang, pementasan teater tanahair belum mencukupi dan boleh dikatakan bermusim kerana ia lebih menonjol ketika kehadiran Pekan Teater. Bakat-bakat baru yang terserlah pada masa itu hanya menjadi koleksi Pekan Teater dari tahun ke tahun.
Yang menariknya pementasan ini, karya yang dipentaskan menggunakan pendekatan yang berbeza. Ia dipentaskan dengan menggunakan konsep mime, sebuah karya berbahasa Inggeris, sebuah karya zaman Inggeris yang diadaptasi ke Melayu dan sebuah drama pendek berlatarkan zaman 60an-70an
Posto
Video Posto
Pementasan ini menggunakan pendekatan mime. Tanpa satu dialog pun, persembahan ini berjaya dihidupkan oleh dua orang pelakon berbakat dan dibantu oleh kesan bunyi yang baik. Persembahan mime ini mengisahkan seorang posmen yang jatuh cinta kepada seorang gadis dan kepayahan baginya untuk mengutuskan surat cintanya kepada gadis tersebut.
Mimik muka oleh pelakon lelaki dan wanita berjaya dipersembahkan dengan berjaya. Mereka mampu menghidupkan watak mereka tanpa menggunakan dialog. Itu kelebihan yang ada pada kumpulan ini.
Lebih membuatkan persembahan ini menarik ialah aksi pelakon yang mengikut rentak hindustan, cina, disko, sedih apabila dibuai lagu My Heart Will Go On. Teknik lampu yang digunakan juga sesuai dengan persembahan dan mimik muka pelakon jelas kelihatan.
Fragmen ini telah diarahkan oleh Azman Hasan.
Hang The Picture, Please
Video Hang The Picture, Please
Hang The Picture, Please merupakan percubaan berani mementaskan sebuah karya berbahasa Inggeris yang diadaptasi dari novel, Three Men and A Boat karya Jerome K Jerome. Persembahan ini diolah semula dan diarahkan oleh Esnani Elias, mengisahkan gelagat seorang bapa yang tidak gemar melakukan sebarang kerja sendirian walaupun hanya menggantung satu gambar. Akibat sikapnya itu, sesuatu kerja yang dilihat mudah menjadi rumit apabila terlalu banyak pihak campur tangan. Suasana menjadi haru-biru dengan keadaan tersebut.
Lupakan tatabahasa yang tunggang langgang, percubaan berani ini wajar saya puji. Mereka bukan pelakon regular di Actors Studio yang selalu menggunakan bahasa Inggeris. Tetapi keberanian itu yang saya puji. Jika saya diberi pilihan sudah pasti saya hanya ingin mementaskan sebuah karya yang berbahasa Melayu yang tidak banyak dialognya kerana saya tidak gemar menghafal skrip. Teknik lampu yang tidak teratur adakalanya pelakon berlakon di dalam gelap.
Suara-Suara Mati
Video Suara-Suara Mati
Karya Manuel Van Loggem ini pula menampilkan sebuah cerita yang penuh dengan konflik, ketegangan dan ancaman antara tiga insan iaitu suami, isteri dan sahabat. Persahabatan antara mereka bertiga menjadi renggang apabila anak yang lahir hasil hubungan sulit isteri dengan sahabat meninggal dunia. Sepucuk surat menjadi jawapan kepada setiap persoalan.
Pelakon wanita persembahan ini telah memberikan sebuah mutu lakonan yang terbaik. Beliau berjaya menjiwai wataknya dengan cemerlang. Begitu juga dengan seorang pelakon lelaki yang pada mulanya lumpuh telah memberikan ekspresi wajah yang saya kira mampu membuatkan penonton benci. Lirikan matanya amat dibenci.
Fragmen ini diadaptasikan oleh Aziz MH ini diarahkan Juraida Abdullah.
Ghazal Party Queen
Berdasarkan kepada suatu kehidupan seorang penari ghazal party yang satu masa dahulu amat popular di Utara Malaysia. Pada usia yang sudah lanjut ini, Pak Teh Nan mengimbas kembali nostalgia zaman mudanya sebagai seorang darai yang selalu mengadakan persembahan di majlis-majlis kenduri sebagaia satu mata pencariannya. Namun begitu, pada satu majlis kenduri yang mana Pak Teh Nan menjadi penari menjadi malam terakhir Pak Teh Nan sebagai penari Ghazal Party Queen. Beliau telah dimalukan oleh Mak Andam.
Persembahan ini bermula dengan monolog yang panjang. Pelakon lelaki yang menjadi pendokong utama drama pendek ini berjaya melakonkan wataknya dengan berkesan. Dialog berjaya disampaikan dengan bersahaja. Fragmen ini telah diarahkan oleh Mohd Rodzi Hj Abdullah.
Video Ghazal Party Queen
Sayangnya, unsur hiburan yang terlalu banyak disuntik untuk pementasan ini telah memadamkan mesej yang hendak disampaikan oleh Pengarah. Penonton terlalu banyak ketawa melihatkan lakonan yang baik oleh penari-penari ghazal dan mak andam. Mesej yang ingin disampaikan tenggelam dalam ketawa penonton dan lontaran suara jadi tenggelam timbul. Ruang pentas yang sempit dan bilangan pelakon yang terlalu ramai di atas pentas pada satu-satu masa jika tidak dikawal dengan baik oleh Pengarah boleh menyebabkan tontonan penonton terganggu dengan blocking pelakon antara satu sama lain. Keseimbangan pentas tidak dikawal dengan baik oleh Pengarah.
Secara keseluruhan ini merupakan sebuah pementasan yang cemerlang dengan menggunakan daya tarikan hiburan. Tarikan hiburan mampu menarik golongan penonton untuk menonton persembahan sebegini. Promosi yang dilakukan juga amat baik dan mendapat kerjasama dari pihak akhbar dan media.
Taktik fragmen merupakan cara yang terbaik untuk menarik penonton menjadi khalayak teater ini. Penonton seakan-akan dipaksa untuk menonton persembahan ini walaupun hanya ada satu atau dua fragmen sahaja yang boleh dinilai sebagai baik. Seharusnya sebagai menghormati nilai wang yang telah penonton keluarkan untuk menonton persembahan fragmen, setiap persembahan fragmen dibuat dengan baik dan bermesej.
AGE harus belajar dari kumpulan ini bagaimana untuk menguruskan sebuah pertubuhan dan cara melakukan promosi yang berjaya. Idea menghasilkan fragmen telah pun dilaksanakan oleh mereka dengan senyap-senyap. Hasilnya baik. AGE perlu mencari idea baru agar idea kita nampak segar.
0 komen