Zikir Ratna kupas isu rogol, sumbang mahram
Oleh Khairull Azleyana Ishak dari Berita Harian keluaran Rabu 17 September 2003
JIKA kesan bunyi yang sungguh berkesan dan tatarias pentas menarik yang menjadi umpan khalayak ke Pusat Pelancongan Malaysia (Matic), barangkali teater Zikir Ratna sudah berjaya berbuat demikian.
Ini kerana kedua-dua aspek itu begitu dititikberatkan pengarahnya Meor Hashim Manaf dan M Nasir Ayob dalam persembahan teater yang juga mendapat sentuhan Erma Fatima, selaku penulis skripnya.
Aspek muzik dan nyanyian yang mengiringi persembahan teater lakonan Jalaluddin Hassan dan Haliza Misbun ini juga sungguh indah dan memberikan kesan keindahan pada pementasannya.
Beberapa lagu asli dan keroncong yang dipersembahkan pada akhir teater begitu mengasyikkan dan penonton ternyata terpukau dengan suara dan muzik dendangan pemuzik Kelab Dendangan Anak.
Bagaimanapun, alangkah lebih molek jika teater amal anjuran Yayasan Seni Karya Prihatin Malaysia ini digarap dengan lebih baik lagi. Sebenarnya, Zikir Ratna, adalah sebuah teater berat yang sarat dengan mesej dan penuh persoalan.
Ia bermula dengan penggarapan simbolik yang begitu menarik - sekumpulan anak muda yang seolah-olah tiada hala tuju dalam hidup dan diselitkan dengan masalah sosial - serta diiringi muzik dan nyanyian yang sungguh hebat.
Selaras dengan masalah sumbang mahram dan rogol yang sering berlaku ketika ini, Erma cuba mencetuskan persoalan itu dengan mewujudkan watak Irama dan Irham yang hanyut dalam gelora nafsu yang terlarang.
Lakonan Haliza yang memegang watak Mustika, yang seolah-olah menjadi pendakwah yang bersajak sepanjang teater ini, memang tidak boleh dipertikaikan lagi. Bagaimanapun, banyak keadaan yang memerlukan penonton membuat tafsiran sendiri. Misalnya, babak Puteri Gunung Ledang yang muncul sambil bersilat dan penuh sifat keperwiraan. Sukar bagi penonton untuk menyelami misi dan wawasan Puteri Gunung Ledang yang kononnya cuba untuk menyelamatkan anak bangsanya yang semakin hanyut dan terlena.
Tidak cukup dengan itu, Erma menjelmakan pula watak Hang Tuah yang hadir di sisi Puteri Gunung Ledang, tepat pada saat dia kecewa dengan sikap anak bangsanya yang tidak mahu sedar dari lenanya. Wujud pula adegan Puteri Gunung Ledang bercinta dan bercumbu rayu dengan Hang Tuah.
Meor dan Nasir seharusnya mengambil kira pelbagai sudut bukan saja dari segi lakonan dan lontaran vokal malahan pergerakan, kesan cahaya dan keseimbangan pentas.
Sesuatu yang dikeluarkan di tengah pentas perlu ada sebab dan kepentingan. Setiap pergerakan perlulah diiringi dengan kesesuaiannya. Begitu juga dengan masuk dan keluarnya sesuatu watak itu.
Misalnya, Puteri Gunung Ledang yang sedang berkata-kata tetapi batu yang disuluh terang pastinya tidak mendatangkan nilai logik yang munasabah. Berlakon dalam keadaan gelap menyukarkan penonton untuk menghayati mimik muka pelakon sekali gus keberkesanan dialog dan pergerakan sudah sia-sia.
Zikir Ratna akan dipentaskan sehingga 18 September ini. Dapatkan tiket berharga RM20 dan RM30 di Pusat Pelancongan Malaysia (Matic).
::Saya bersama beberapa orang rakan akan menontonnya pada hari Khamis ini. Saya akan ulas teater ini keesokkannya. Semoga berjaya buat beberapa rakan yang terlibat dengan teater ini::
0 komen