Merdeka Anak Muda
Sebuah Apresiasi Puisi dan Eksperimental Muzik Merdeka
Anjuran : Akar Gita Estetika dengan kerjasama Pejabat Kebudayaan Wilayah Persekutuan
Hari : Sabtu
Tarikh : 13 September 2003
Jam : 8.30 malam
Tempat : Amphiteater MTC, Jalan Ampang
Konsep : Tayangan Filem Pendek, Baca Puisi dan Nyanyian Terbuka
Sekitar jam 9 malam saya harus membuat Executive Decision. Teruskan atau batalkan. Agak sukar untuk saya membatalkan acara tersebut kerana beberapa pendeklamator jemputan dan penonton telah pun tiba. Berpandukan nasihat Megat dan Akmal, saya telah membuat keputusan untuk meneruskan acara tersebut.
Video Merdeka Anak Muda :video yang anda dail sudah ditamatkan perkhidmatannya:
Midi bertindak sebagai pengerusi majlis pada malam tersebut. Bidan terjun juga ! Beliau telah memberikan sepenuh komitmen sebagai pengerusi majlis yang bijak mengawal perjalanan majlis agar tidak membosankan dan kucar-kacir. Saya harus memberi pujian setinggi langit kepada beliau.
Seorang demi seorang pendeklamator mengambil giliran. Deklamasi puisi dari rakan-rakan menaikkan semangat saya untuk terus mengetuai AGE menyudahkan acara tersebut.
Padilalang – Akmal
Padilalang bermula dengan sebuah lagu zaman kanak-kanak. Nyanyian Akmal akan menjadi lebih baik dan menjadi pemangkin malam tersebut sekiranya diiringi dengan kumpulan muzik. Malangnya, yang ada pada malam tersebut hanyalah tiga (3) tiang pembesar suara untuk pemuzik. Pemuziknya tidak kelihatan.
Padilalang
*Lagukan
Lihat jauh nun disana
Tekun petani kerja
Buah padi masak kuninng
Isteri kerja sama
Potong memotong
Membanting padinya
Bercerailah tangkai jerami
Dulu padi ditumbuk endang tampi
Kini mesin jadi pengganti
Resmi padi
semakin tunduk semakin berisi
lagaknya tidak mahu tinggi berdiri
ingin dihormati tidak boleh dicaci
Resmi padi
mestikah tunduk jika berisi??
keliling seteru menyamar diri
terus merobek tanpa peduli
dicucuk hidung ditunggang berlari
Resmi padi
Molek berisi tinggi berdiri
ibarat lilin bakar diri
jadi cermin untuk duniawi..
tak le hari-hari kena buli!!!
Resmi lalang
Meliuk lentok bersama dihembus bayu petang
kononnya pupus jati diri yang gemilang
ibarat ibu ayam cari anak yang hilang
DIHERDIK! DICANTAS!
serong mata memandang
Resmi lalang
Walaupun susuk tidak setegap Badang
emulasi diri dengan cabaran mendatang
giliran khalayak berduyun-duyun bertandang
ibarat berguru dengan pahlawan terbilang
Resmi lalang
yang dimiliki tidak melayang sebarang
kekal teguh dihiasi dengan segala yang dihidang
berjiwa teguh juang bersuara lantang
tumbuh melata menawan pelusuk gelanggang
Biar mati anak, jangan mati adat
Kalau anak mati, siapa nak bawa adat???
Telawi oh Telawi – Megat dari Grup Mekar
Megat sememangnya bersemangat ingin membantu pengurusan AGE yang sedang kerisauan ketika itu. Semangat beliau untuk mendeklamasikan sebuah sajak dipuji walaupun pada waktu tersebut beliau sedang sibuk berlatih untuk sebuah pementasan teater Zikir Ratna yang akan bermula esok di Dewan Tuanku Abdul Rahman, MTC.
Tayangan video tentang erti kemerdekaan
Asyik - Budi Hikayat
Beliau sememangnya seorang pendeklamator yang hebat. Saya mengenali beliau dari seorang sahabat. Beliau merupakan salah seorang pelopor Acara Puisi Keliling (ApuKe). AGE pernah menyertai APuKe yang telah dianjurkan. Pada 27 September ini bertempat di Auditorium Balai Seni Lukis Negara, mereka akan menganjurkan Mini Konsert APuKe.
Beliau menyampaikan dua buah sajak. Asyik menceritakan tentang pengalaman beliau mengintai seorang perempuan yang sedang mandi, setelah perempuan tersebut menyedari kehadiran beliau, lantas terbang ke langit. Beliau pergi ke langit untuk memulangkan baju perempuan tersebut. Saya gagal untuk mencatatkan ulasan sajak beliau yang kedua kerana sedang gemuruh menantikan giliran saya selepas itu.
Haiku - sultanmuzaffar
Saya memang kekok apabila berada di atas pentas. Saya menjadi terlalu gugup dan yang berdiri di hadapan anda itu bukannya saya apabila berada di atas pentas. Rasa cemas mungkin datang kerana perjalanan majlis yang tidak teratur. Walaupun pengerusi majlis cuba untuk mengurang kegugupan saya pada malam itu, saya kira beliau tidak berjaya. Walaupun pandangan saya dikaburkan di atas pentas sehingga tidak nampak kekosongan tempat duduk di hadapan pentas, namun rasa gugup itu benar-benar menguasai diri saya ketika itu. Mungkin kerana tidak cukup persediaan.
MERDEKA
Malam Dataran
Merdeka Anak Muda
Merdekahkah kau ?
Mobil kembara
Hilang aerodinamik
Kibar bendera
Bebas dari SARS
Pelancong lari jauh
SARS pergilah kau !
Kata merdeka
Merdeka dengan tongkat
Merdeka apa ?
AKADEMI FANTASIA
Menuju Puncak
Fantasia Mereka
Realitiku
Melayu undi
Sistem Pesanan Ringkas
Cina yang menang
India kaya
Undi Undi SMS
Makna muhibbah
Tangis ketawa
Penganggur berijazah
Makin bertambah
KUALA LUMPUR
Hujan terlampau
Ranap Actor Studio
Banjir terlampau
Oh ! Longkang pintar
Penyelamat terlampau
Secepat kilat
Lokasi : Broga
Kampung menjadi mangsa
Insenarator
First in Malaysia
No To Incinerator
Think of your loved ones
Tayangan video tentang erti kemerdekaan
Tanahair – Zaril
Zaril yang mendeklamasikan sebuah sajak bertajuk Tanahair dipaksa berbuat demikian oleh saya dan Midi, pengerusi majlis pada malam tersebut. Terima kasih kerana beliau sudi untuk mendeklamasikan sajak tersebut walaupun dalam keadaan tidak bersedia.
Menyusuri Sungai Merdeka – Fadil
Katanya ini kali pertama beliau mendeklamasikan sajak. Mendengar sahaja suaranya, beliau mempunyai bakat untuk menjadi seorang pendeklamator yang baik. Beliau merupakan pendeklamator bidan terjun. Keinginan beliau timbul setelah melihatkan rakan beliau Megat membaca puisi. Terima kasih !
Tayangan video tentang erti kemerdekaan
Kucing dan Perempuan – Jimadi
Jimadi merupakan seorang pelajar Universiti Malaya yang menganggotai ISUM. Beliau merupakan seorang regular dengan APuKe. Dua buah sajak yang beliau baca amat menarik. Bercerita tentang perempuan dan seorang perempuan bernama Katalina. Hati-hati dengan seorang perempuan bernama Katalina.
Acara tersebut telah pun berlangsung seperti yang dirancangkan. Pelbagai masalah menimpa. bermula dengan penundaan tarikh, perubahan lokasi dan seterusnya kepada hari acara tersebut dilangsungkan. Namun demikian, apa yang dirancangkan perlu diteruskan.
Urusan promosi telah dilakukan dengan giat sekali. Tetapi keberkesanannya harus dinilai semula. Tidak perlu melihat jauh untuk menuding jari kepada penonton yang tidak ramai hadir, ahli kelab sendiri tidak kelihatan. Di mana mereka ?
Saya telah cuba melakukan promosi sebaik yang mungkin melalui weblog ini serta menghantar email kepada rakan-rakan. Cara lain yang boleh digunakan untuk promosi ialah meminta bantuan Pejabat Kebudayaan Wilayah Persekutuan untuk menghebahkan program ini di sekitar MTC, tempat berlangsungnya acara tersebut.
Penonton yang hadir selain daripada ahli merupakan kenalan saya dari grup APuKe, Malaysiakini.com dan beberapa pembaca weblog saya. Mereka rata-rata mengenali AGE dari weblog saya, pengalaman bekerjasama, serta tulisan berkenaan AGE di majalah Siasah. Rata-rata mereka mempunyai pandangan yang berbeza setelah malam tersebut.
Unit promosi yang terlalu bercita-cita tinggi menghantar hebahan kepada akhbar harian, laman kakiseni.com, klue.com sepatutnya menjadikan pengalaman ini sebagai pengajaran yang paling utama akan kegagalan program ini.
AGE perlu memikirkan sesuatu, dengan promosi yang hebat jika tanpa karya yang baik, adalah tidak adil untuk AGE menipu penonton yang hadir pada malam tersebut.
Penglibatan semua pihak di dalam AGE amat perlu untuk menganjurkan sesuatu acara. Jika tidak, cukuplah AGE sebagai peserta di dalam setiap acara yang telah dirancangkan dan bukannya sebagai penganjur. Perubahan cara mengurus ini bukan sahaja memudahkan saya malah memberi kemudahan kepada semua pihak agar tidak wujud cakap-cakap belakang dan tidak puas hati bekerja seorang diri di masa hadapan.
Setiap manusia dijadikan mempunyai prioriti masing-masing. Jika mereka boleh mengutamakan komitmen kerja dan keluarga mereka, mengapa saya tidak ?
Fakta Menarik
5 tiang pembesar suara
8 tiang bendera
14 orang penonton, 5 darinya ahli AGE
3 orang technician
::gambar dan video akan disiarkan apabila Akmal selesai mengeditnya::
::ACARA AKAN DATANG::
Akar Gita Estetika (AGE) akan menganjurkan sebuah acara yang diberi nama 3+3 AGE BERMAHARAJALELA
Acara ini bertujuan untuk mengenengahkan bakat-bakat di dalam bidang teater dan filem serta memberi pendedahan kepada aspek-aspek kerja di belakang tabir. Acara ini akan diadakan pada awal tahun hadapan.
Konsep acara tersebut adalah pementasan 3 buah produksi teater pendek dan tayangan 3 buah produksi filem pendek !
Oleh itu, AGE sedang giat meneroka hutan batu kospomolitan Kuala Lumpur dan sekitarnya untuk mencari bakat-bakat baru yang berminat untuk menjadi pelakon teater dan filem tersebut serta mereka yang ingin terlibat di belakang tabir. Jika anda berminat, anda juga boleh menghantar karya anda untuk dipersembahkan.
Sila download brosur untuk maklumat lajut serta isikan butiran peribadi anda dan dihantar semula kepada saya di saya@sultanmuzaffar.com
0 komen