Undilah

SULTANMUZAFFAR (26 Februari 2002 - sekarang)

Seorang blogger, pelayar internet, penyelam scuba dan penagih tegar televisyen dan Wii. Melihat seluruh dunia di laman blog menerusi kamera DSLR dan kacamata tebalnya (kadang-kadang kanta lekap).

Mengkritik tidak bererti menentang, menyetujui tidak semestinya menyokong, menegur tidak bermakna membenci, dan berbeza pendapat adalah kawan berfikir yang baik.
Entri oleh sultanmuzaffar 15 September 2004

Wawancara Email Tentang Akademi Fantasia

Saya menerima soalan ini untuk satu temuramah melalui email. Saya menyiarkannya di sini untuk tatapan pembaca blog saya. Beberapa persoalan masih belum terjawab kerana kesuntukan masa. Malam ini disiarkan Konsert Akhir Akademi Fantasia sebelum format Saluran 15 ditukar kepada format lain pula. Hujung minggu ini menerima jemputan ke Gathering Adam Fan Club. Teks ucapan masih belum disiapkan. Salah satu perenggan dalam jawapan wawancara ini akan dimasukkan sekali ke dalam teks ucapan saya hujung minggu ini.

"Sudah empat tahun aku menulis blog, belum pernah pun aku kena tulis ucapan dan beri ucapan."

1. Apakah yang menyebabkan anda begitu berminat untuk mengikuti rancangan Akademi Fantasia?

Kali pertama saya menonton Akademi Fantasia ialah pada siaran Diari Akademi pada minggu pertama di musim yang pertama. Pada mulanya sekadar menjadi penonton biasa. Akademi Fantasia bukanlah satu program yang saya tunggu-tunggu. Tirai Akademinya pun tidak saya tonton. Satu hari saya terbuka laman web Akademi Fantasia dan tertarik dengan salah seorang peserta yang terpilih pada musim pertama. Konsert minggu pertama tidak saya tonton. Satu rancangan yang membosankan. Konsert minggu kedua saya tonton dengan perasaan tidak sabar. Menariknya rancangan ini kerana segala-gala emosi ada pada rancangan ini. Sedih, gembira, benci, dendam, meluat, poyo, sombong, bongkak, rendah diri, hipokrit, gelak, seronok, risau, kecewa, tangisan, control macho, terlalu open, selamba, sumbang, sinis, pemalu dan senarai akan berterusan tidak henti-henti. Saya suka melihat gelagat manusia. Duduk diam-diam dan perhatikan gelagat mereka.

2. Adakah anda mempunyai apa-apa emosi ketika menonton Akademi Fantasia? Jika ada, apakah emosi-emosi tersebut?

Saya benci dengan AFMASUKnya Linda. Saya risau melihat Kaer yang semakin menurun prestasi persembahannya. Saya bangga dengan peningkatan prestasi persembahan Zahid. Saya menangis bila saat kedua-dua anak Mas dibawa bertemu dengannya di atas pentas Konsert II. Saya hairan melihat aksi Nurul yang ceria apabila diumumkan tersingkir pada Konsert VII. Saya bengang melihat Adam yang tidak mahu berubah dari mengikut gaya KRU. Saya meluat dengan pakaian kimono Fitri. Saya berkeinginan punya kebolehan menari seperti Anding. Saya terhibur dengan kelunakan vokal Bob. Saya ketawa apabila setiap kali Zarina diusik dengan Khai. Saya seronok dengan keletah Farah melayan Johnny. Saya suka dengan penampilan Edlin serta keramahannya. Saya terharu apabila Vince terpilih sebagai Juara Akademi Fantasia I. Saya sedih apabila membaca kutukan-kutukan yang dilemparkan terhadap keluarga Nana di dalam Forum Akademi Fantasia. Saya kecewa apabila melihat lajunya chat di Saluran 15 seperti air yang mengalir. Saya juga mula naik bosan apabila menonton seorang yang kononnya Peminat Nombor Satu Akademi Fantasia yang gagal berbicara dengan lancar. Dan sampai sekarang saya boleh sebak menonton lagu Aku Cinta Kau Dan Dia nyanyian Adifashla dan lagu Sekuntum Mawar Merah nyanyian Sahri.

3. Pada pendapat anda, apakah yang menyebabkan AF begitu berjaya dan diterima masyarakat Malaysia?

Orang Malaysia gemarkan filem hindustan. Akademi Fantasia ada ciri-ciri tersebut. Ada watak penjahat, ada watak orang baik, ada tangisan, ada jenaka dalam Akademi Fantasia. Penonton terlibat secara langsung dalam menentukan siapakah yang layak untuk meneruskan kemaraan pada minggu seterusnya. Episod Diari Akademi juga memainkan peranan yang cukup besar mendekatkan penonton dengan pelajar yang mereka sukai. Ini secara tidak langsung menguatkan lagi ikatan antara pelajar dan penonton.

Magiknya Akademi Fantasia apabila menggabungkan mereka yang terpisah atasa erti persahabatan, dapat menggabungkan dua belas pelajar berlainan latar belakang di bawah satu bumbung, bergabung tidak kira umur, bangsa dan menggabungkan ahli keluarga tanpa batasan umur untuk bersantai bersama-sama setiap malam menonton rancangan ini.

Jika setelah saban hari kita sentiasa disogokkan dengan imej-imej mereka, maka dengan sendiri imej-imej itu sukar luput dari dalam diri penonton. Ikatan yang kuat itulah yang telah membina benteng kukuh untuk setiap pelajar. Mereka bertahan saban minggu mempertahankan pelajar yang mereka undi.

Musim kedua tiada isu peluk-peluk yang menjadi asas utama kontroversi pada musim pertama tetapi rancangan ini masih terus kukuh di atas.

4. Adakah AF membawa apa-apa kebaikan untuk masyarakat Malaysia?

Telah dibuktikan, jalanraya hampir kosong pada malam Konsert Akhir. Setiap keluarga dapat berkumpul untuk menonton rancangan ini sekaligus mengeratkan lagi pertalian kekeluargaan mereka. Yang menarik, ibu bapa berbincang dengan anak-anak mereka tentang pilihan mereka. Berdebat secara positif mempertahankan pilihan masing-masing.

Begitu juga di pejabat, topik perbincangan utama mereka ialah tentang Akademi Fantasia.

Penggunaan undian SMS dalam industri muzik tempatan sebenarnya dalam usaha mendidik masyarakat Malaysia untuk membuat pilihan yang bijak. Walaupun asas perniagaan masih menjadi faktor utama dalam Akademi Fantasia, setidak-tidaknya rakyat Malaysia telah dilatih untuk membuat keputusan dengan menggunakan asas-asas yang telah mereka tonton dalam Diari Akademi.

Industri muzik tempatan yang semakin tenat kembali bersinar dengan adanya bakat-bakat baru yang mana mereka ini dipilih oleh mereka sendiri. Mereka memilih apa yang ingin mereka dengar.

Melalui blog yang telah saya hasilkan, para pembaca saya berpeluang untuk memberikan maklumbalas secara berhemah dan menjaga tatasusila masing-masing. Saya mengharapkan mereka memberikan pandangan masing-masing secara terbuka dan bukannya melulu. Saya cuba untuk menjadi setelus yang mungkin tetapi sebagai manusia tentulah ada batas-batas yang perlu kita ikuti. Perbincangan secara positif inilah juga telah merapatkan hubungan sesama peminat.

5. Adakah AF sesuai untuk semua peringkat umur?

Akademi Fantasia memang sesuai untuk semua peringkat umur tetapi malangnya kanak-kanak di bawah umur 12 tahun tidak dibenarkan menonton siaran langsung konsert mingguan di Dewan Sivik Petaling Jaya. Saya merasa semua peringkat umur sesuai menonton rancangan ini. Setiap pelajar punya personaliti untuk diminati oleh mereka dari pelbagai golongan serta latarbelakang. Golongan remaja perempuan dan kanak-kanak tentunya menyukai Adam. Golongan lebih dewasa tentunya meminati Bob dan Mas. Kanak-kanak mana yang tidak sukakan keletah Farah. Zahid diminati oleh hampir semua peringkat umur. Begitu juga dengan Kaer, golongan ibu dan anak perempuan mereka sama-sama berkongsi meminati Kaer. Saya pernah menghadiri perjumpaan Fitri Fan Zone dan saya perhatikan golongan yang meminati Fitri terdiri daripada peminat perempuan juga dari pelbagai peringkat umur. Walaupun saya kurang minat dengan Fitri tetapi saya pergi juga sebagai memenuhi undangan mereka. Akan datang perjumpaan Adam Fan Club yang pastinya akan dipenuhi dengan peminat perempuannya.

6. Adakah konsep AF mewakili seluruh rakyat Malaysia?

Konsep rancangan seperti Akademi Fantasia sesuai dan mewakili seluruh rakyat Malaysia. Siapa sahaja kenal siapa Zahid Baharuddin sekarang lebih daripada kenal siapa dia Zahid Hamidi. Konsep yang telah dibuat sepanjang dua musim lekat di hati penonton-penonton Akademi Fantasia. Rancangan hiburan ini diterima secara positif oleh sebilangan besar penonton ASTRO. Hanya segelintir sahaja yang antikan Akademi Fantasia.

Perubahan konsep secara mengejut seperti AFMASUK telah menyebabkan sedikit kontroversi dan mencalarkan sedikit kredibiliti Akademi Fantasia. Ia adalah kejutan yang sukar diterima oleh penonton dan telah berjaya menjadi pemangkin kepada semangat mengundi.

7. Adakah AF menarik semua kaum?

Agak sukar untuk Akademi Fantasia menarik minat semua kaum di Malaysia kerana kurangnya penyertaan dari bangsa Cina dan India. Lebih-lebih lagi rancangan ini disiarkan di RIA.

Sebagai langkah awal yang positif, Akademi Fantasia sebenarnya telah berjaya menarik minat bangsa asing untuk menghayati karya-karya seni berbahasa Melayu melalui penyertaan Burn dan Vince yang telah muncul Juara pada musim yang lalu. Melalui musim ini, peminat Akademi Fantasia didedahkan pula dengan ras-ras suku bangsa yang wujud di Sabah dan Sarawak. Perbezaan agama atau bangsa sebenarnya bukan penghalang kepada Akademi Fantasia kerana faktor-faktor tersebut bukan penentu undian setiap penonton.

8. Patutkah AF menukar format di mana juri professional turut menyumbang kepada keputusan?

Kita sudah ada Bintang RTM untuk pertandingan yang menggunakan juri profesional. Mengapa perlukan juri profesional untuk Akademi Fantasia. Pilihan juri profesional juga adakalanya dipertikaikan. Asas utama masalah ini adalah kita tidak dapat memuaskan hati semua pihak. Sememangnya sukar. Jika mahu membuat perubahan pada Akademi Fantasia III, tidak menjadi salahnya untuk kita mencuba kerana pada Akademi Fantasi Indosiar III mereka menggunakan juri profesional sepenuhnya kecuali menggunakan SMS sewaktu pemilihan di peringkat separuh akhir. Apa-apa pun rancangan ini masih terikat dengan syarat perlesenan yang telah diberikan oleh La Academia. Penggunaan juri profesional sekadar akan meleraikan ikatan kukuh antara penonton dengan pelajar lalu mengurangkan sedikit kesannya kepada penonton.

9. Pada pendapat anda, sejauh manakah realitinya Akademi Fantasia?

Rancangan ini masih ada penyuntingnya. Apa yang kita tonton, telah pun disunting dengan baik. Realiti bagi saya apabila kita dapat menonton aksi dua belas orang pelajar selama 24 jam untuk 7 hari tanpa suntingan. Satu baris ayat yang diucapkan oleh pelajar boleh disalah tafsir sekiranya disunting dengan bijak untuk menimbulkan polemik. Maksud sebenar pelajar boleh diputar-belitkan dengan teknik suntingan yang baik.

Kehidupan kita di Malaysia masih berlandaskan tatasusila ketimuran yang kuat berbeza dengan di Barat. Realiti yang dipaparkan dalam rancangan Survivor lebih meyakinkan bagi saya. Emosi peserta diberi tontonan secara keseluruhannya. Mereka lebih terbuka dalam melahirkan emosi-emosi mereka berbanding peserta Akademi Fantasia yang masih terkawal perlakuan mereka.

10. Apa pendapat anda mengenai sesetengah penonton yang gemar mengutuk dan mengeji pelajar di saluran 15, Forum Akademi Fantasia dan blog SM? Adakah itu sikap sebenar rakyat Malaysia?

Tentu ada sebab dan penyebab kutuk-mengutuk dan keji-mengeji ini terjadi. Seperti yang telah saya huraikan tentang bagaimana kukuhnya ikatan pelajar dengan peminat mereka walaupun mereka saling tidak mengenali antara satu sama lain. Sikap sebenar rakyat Malaysia, mereka sukar dipuaskan. Mana-mana manusia di dunia ini pun sukar untuk dipuaskan hati mereka. Sudah dapat betis, mahu minta peha. Perasaan tidak puas hati, emosi, benci lahir dalam hati setiap manusia. Mana ada yang sempurna. Kalau pun kita kata kita tidak punya perasaan benci pun terhadap pelajar Akademi Fantasia, kita tentunya punya perasaan benci terhadap peminat mereka atau yang mengutuk mereka. Benci juga. Sama juga. Dua kali lima.

Kemudahan telah diberikan melalui wujudnya Forum Akademi Fantasia, Chat di Saluran 15 dan juga blog saya sendiri. Kemudahan tersebut bukan hak. Cuma mereka perlu gunakan sebaik yang mungkin dan bertanggungjawab. Saya berani bertanggungjawab dan menerima apa sahaja akibat kesan dari komen-komen saya di blog saya sendiri. Itu sebab saya berani memunculkan diri di khalayak ramai dan bukannya seperti sesetengah peminat yang marahkan saya dan hanya berani menggunakan email tanpa berani memunculkan diri berkata depan-depan. Macam tikus.

Namun demikian, hanya segelintir sahaja. Ia tidak menggambar sikap sebenar rakyat Malaysia. Ada juga yang berani.

11. Pada pendapat anda, adakah drama, filem dan ‘talk show’ di Malaysia melambangkan realiti di Malaysia?

Terlalu umum soalan ini. Ada banyak drama, filem dan talk show di Malaysia. Ada drama yang menggambarkan realiti hidup di Malaysia, begitu juga dengan filem dan talk show. Ada yang tidak. Forum Perdana menggambarkan realiti di Malaysia. Topik perbincangan mereka banyak berkisar tentang permasalahan-permasalahan semasa. Itu realiti. Isu-isu yang diketengahkan adalah isu-isu semasa cuma sama ada kita tonton atau tidak sahaja.

Memang tidak saya nafikan, ada drama dan filem yang cuba melebih-lebihkan sesuatu perkara sehingga tidak menggambarkan realiti di Malaysia.

12. Jika anda diberi peluang untuk menukar apa sahaja di dalam AF, apakah yang akan anda tukar?

Selain AFUNDI, saya mahu AFSINGKIR. Peratus undian dikira berdasarkan perbezaan AFUNDI dan AFSINGKIR. Jadi saya boleh membuang mana-mana pelajar yang tidak saya ingini untuk pengajiannya di dalam Akademi.

Pelajar Akademi Fantasia diberi pilihan untuk memilih lagu-lagu yang sesuai dengan mereka pada minggu-minggu awal atau pada mana-mana minggu sebagai kejutan.

Peratus undian disiarkan secara real-time memberikan satu lagi elemen yang mendebarkan kepada penonton lalu terus berperang sehingga ke akhir menyelamatkan pelajar mereka. Sewaktu lagu Menuju Puncak bolehlah dipadamkan dari skrin untuk membuatkan penonton merasai debarannya.

Gelaran Pelajar Contoh harus diberikan setiap minggu bukan hanya setelah pelajar yang tidak disukai Pengetua masih lagi berada di dalam Akademi.

Live coverage 24/7 untuk Akademi Fantasia. Paling tidak secara streaming di internet. Mungkin akan ada kompeni yang tutup angkara ini.

13. Jika anda diberi peluang untuk menghasilkan sebuah rancangan realiti tv, apakah rancangan yang akan anda hasilkan?

Sebuah rancangan seperti The Amazing Race telah pun dilaksanakan di Malaysia iaitu Explorace. Sebuah rancangan seperti American Idol juga telah dihasilkan iaitu Malaysian Idol. Agak sukar untuk menghasilkan rancangan realiti tv di Malaysia kerana kekangan tatasusila ketimuran yang perlu dipegang. Jika ingin menghasilkan sesuatu seperti Survivor, pasti ada suara-suara yang memprotes tentang bagaimana kehidupan mereka yang bercampur gaul di dalam hutan. Begitu juga kalau ingin menghasilkan sesuatu seperti The Big Brother. Kita harus berpegang kepada pegangan dan tatasusila tersebut.

Jika diberi peluang saya mahu sahaja mengumpulkan beberapa orang penulis profesional dan artis yang terdiri daripada pelakon/penyanyi dan penari profesional di dalam sebuah Istana Budaya. Mereka dihimpunkan dan menulis sebuah skrip teater muzikal. Penonton mengundi untuk memberikan idea kepada penulis untuk mencorakkan plot teater muzikal tersebut. Setiap hari mengundi plot yang berbeza dari penulis yang berbeza. Pada penghujung minggu para artis profesional akan mementaskan skrip yang telah dihasilkan. Penulis plot yang tidak mendapat sambutan akan disingkirkan. Di penamat teater muzikal tersebut, pemenangnya ialah semua penulis profesional yang telah menghasilkan sebuah skrip teater muzikal secara kolektif. Semua adalah pemenang, tiada pengalah.

Konsep penulisan yang memberikan pilihan kepada pembaca untuk menentukan jalan cerita telah pun dilakukan oleh Nizam Zakaria melalui novel Akademi Impiana yang telah selesai dan Seri Tertangguh yang masih dikarang oleh beliau kini.

Saya juga mengharapkan maklumbalas daripada pembaca blog saya untuk setiap persoalan yang telah dijawab ataupun yang masih belum terjawab agar hasil temuramah ini lebih bersifat kolektif.

Terima kasih daun keladi!