Undilah

SULTANMUZAFFAR (26 Februari 2002 - sekarang)

Seorang blogger, pelayar internet, penyelam scuba dan penagih tegar televisyen dan Wii. Melihat seluruh dunia di laman blog menerusi kamera DSLR dan kacamata tebalnya (kadang-kadang kanta lekap).

Mengkritik tidak bererti menentang, menyetujui tidak semestinya menyokong, menegur tidak bermakna membenci, dan berbeza pendapat adalah kawan berfikir yang baik.
Entri oleh sultanmuzaffar 08 December 2004

Ning Baizura Erti PertemuanErti Pertemuan Ning Baizura

Saya bertemu Ning Baizura kali pertama di atas pembesar suara di dalam kelab bernama Movement ! Ketika yang tidak wajar untuk saya ingat-ingat. Saya melihat beliau seorang yang kuat untuk bangun semula mencipta nama. Jarang benar ada artis yang mampu bangkit semula dari kekecewaan dan kekesalan dari zaman gelap yang pernah mereka lalui. Sama ada lenyap terus atau pun bangkit semula. Ning berjaya bangkit semula walaupun perjalanannya bukan mudah. Kematangannya jelas dapat kita lihat pada lagu-lagunya dalam album ini. Pemilihan lagu serta penciptaan lagu dalam album kali ini jelas menyerlahkan kematangannya serta kekuatan semangatnya untuk berubah.

Awan Yang Terpilu 5/5 Lin Li Zhen/Loloq
Sebuah lagu yang memukau. Pertama kali saya mendengarnya saya sudah terpaut hati pada lagu ini. Iringan muzik yang minima serta susunan muzik yang baik telah menyerlahkan kekuatan vokal Ning.

Saya suka lagu yang punya korus yang sungguh “punching” dan mampu memberi satu semangat untuk saya mengikuti lagu ini sehingga akhirnya. Lenggok dan kelantangan vokal Ning juga mengkagumkan dalam lagu ini. Ia dikawal dengan baik oleh Ning lalu mencipta perasaan lagu tersebut.

Lagu ini terus meningkat pada penghujungnya sehingga penamatnya. Di situlah letaknya kemantapan vokal Ning dan kehebatan lagu itu.

Erti Pertemuan 4/5 Aidit Alfian/Loloq
Lagu ini mampu untuk mendekatkan diri Ning dengan pendengar luar bandar. Ini tidak bermakna lagu ini terlalu kekampungan tetapi ia sebuah lagu yang lebih senang di telinga mereka. Lagu ini terlalu tipikal Melayunya.

Saya lebih berbangga kerana penghasilan lagu ini turut dijayakan oleh pemain perkusi Melayu, iaitu kawan saya sendiri.

Gabungan elemen moden dan tradisional dalam lagu ini juga baik. Susunan muziknya boleh dibuat lebih baik lagi kerana lirik lagu tersebut sudah bagus. Saya kira lagu sebegini lebih santai dan lebih mesra pendengar. Idea duet dengan Jay Jay sewajarnya diteruskan kerana ada keserasian pada vokal mereka. Jay Jay juga antara penyanyi lelaki yang bervokal lantang, maka amat sesuai digandingkan dengan Ning.

Saya nampak perubahan pada lirik dalam album ini yang mana pelbagai tema diterapkan. Ciptaan lirik yang penuh bermakna juga memainkan peranan yang penting agar sesebuah lagu itu hidup jiwanya.

Bukan Sebarangan 4/5 Iman Wan/Ning Baizura/Al Walid
Lagu ini mesejnya seperti lagu I Will Survive yang bercerita tentang semangat setelah putus cinta atau dikecewakan. Sebuah lagu rancak yang memikat pendengaran saya.

Menariknya lagu ini saya terbayangkan sekumpulan pancaragam yang akan turut memeriahkan persembahan Ning di Juara Lagu 20 dalam kategori Pop Rock. Maaf, sekiranya fantasi saya keterlaluan. Tetapi hakikatnya, lagu ini adalah lagu yang layak memasuki carta kategori Pop Rock.

Liriknya memikat dan mesejnya besar.

Bebaskan 4.5/5 Audi Mok/Shah Shamsiri
Sebuah balada yang menjadi single pertama Ning. Tanpa saya sedar lagu ini tamat, begitulah ciptaan yang telah membuatkan saya terleka sebegitu rupa. Variasi vokal Ning juga baik dalam lagu ini. Beliau berjaya membawakan lagu ini dengan bersahaja dalam menyampaikan maksud lagu tersebut.

Lagu ini yang turut dirakamkan dalam versi Quiet Storm Mix dan Classic Club Mix. Nyata saya lebih menggemari Quiet Storm Mix yang mana saya dapat lebih menikmati keindahan vokal Ning berbeza Classic Club Mix yang lebih menekan aspek rentak lagu tersebut. Namun demikian kedua-dua versi lagu tersebut amat baik.

Takdir 4.5/5 Ajai/Pak Sheikh Hamzah
Sebuah nyanyian yang lahir penuh jujur dari hatinya yang ikhlas. Keindahan lirik tulisan bapa Ning sendiri iaitu Pak Sheikh Hamzah menceritakan kesengsaraannya sebagai bapa yang terpisah dengan anaknya sekian lama. Sebuah karangan lirik yang menusuk jiwa tetapi masih belum cukup kuat melodinya untuk meruntun jiwa pendengar.

Kekuatan lagu ini berteraskan vokal nyanyian Ning yang kuat serta bertenaga menyampaikan makna lirik lagu tersebut serta menzahirkan isi hati bapanya dengan baik. Lagu ini besar maknanya kepada Ning sendiri dan nyanyiannya ikhlas. Sayangnya melodi lagu ini masih belum cukup kuat untuk saya mendengar lagu ini berulang-ulang kali.

Menu Minggu Ini 4/5Aidit Alfian/Ad Samad
Saya memang menggemari muzik-muzik sebegini. Jazz adalah satu muzik yang menghiburkan serta melekakan. Saya senang dengan muzik sebegini dengan iringan saksofon, bass dan dram yang menjadi asas kekuatan lagu ini.

Kalau mahu kelainan pada Ning, dengar lagu ini. Pengaruh Norah Jones kuat pada lagu ini.

Melodi lagu ini menghiburkan. Ciptaan Aidit Alfian nyata telah menvariasikan khazanah muzik tempatan dengan satu cubaan yang berani digandingkan dengan penulis lirik Ad Samad anak Sasterawan Negara yang khabarnya akan berlepas ke Amerika Syarikat untuk melanjutkan pelajaran dalam bidang muzik pengkhususan muzik jazz.

Senang Tari 5/5 Farihin Abdul Fatah/Ain/Alia Elkine
Bijaksana ! Sebolehnya saya mahu tahu proses terciptanya lagu Senang Tari ini yang khabarnya menjadi lagu tema filem pendek bertajuk Pua. Jika saya bandingkan dengan Asmaradana, lagu ini lebih indah susunan muziknya tetapi dinilai daripada populariti, lagu Asmaradana jauh lebih di hadapan. Tetapi setelah didengar berkali-kali saya semakin menyukai lagu Senang Tari dari Asmaradana.

Saya kira lagu ini penuh misteri dan membuatkan saya begitu teruja untuk menonton filem pendek Pua dan tertanya-tanya isi ceritanya. Saya suka sekali sekiranya lagu ini dihasilkan dalam bentuk single serta diadun dalam pelbagai versi. Pengaruh etnik Melayu, India dan Timur Tengah nyata besar dalam lagu ini dan vokal nada sederhana Ning melengkapkan setiap ruang lagu tersebut.

Cuba bayangkan sekiranya lagu ini dimainkan di Movement. Saya sememangnya begitu taksub dengan Movement sebuah kelab di mana elemen muziknya terarah ke muzik rave dan trance. Maka lagu ini amat sesuai kerana pengaruh-pengaruh yang melekakan.

Lirik lagu ini agak unik kerana turut dihasilkan dalam bahasa Perancis.

Bersama 4/5 Azlan Abu Hassan/Mohariz Yaakup
Bandingan Azlan Abu Hassan dan Mohariz sememangnya agak sinonim untuk sebuah ciptaan bercorak balada sebegini. Lagu ini agak biasa tetapi senang diterima oleh pendengar kerana lebih simple ciptaannya.

Saya suka lagu ini kerana vokal Ning yang lebih menguatkan lagi lagu ini. Lagu ini agak catchy terutamanya di bahagian korus. Walaupun liriknya mudah tetapi penuh bermakna.

Susunan muziknya agak indah.

Ini Yang Dikata Cinta 2.5/5 Ajai/Nurul
Berbanding lagu-lagu lain, lagu ini kedengaran agak biasa. Tidak banyak perubahan yang dibawakan melalui lagu ini. Selain dari liriknya yang banyak mengulang pakai perkataan cinta, melodinya juga seakan sudah basi. Lagu ini terlalu tipikal dan melankolik cinta yang meleret-leret. Penulisan liriknya juga lapuk.

Dikau 3/5 Audi Mok/Al Walid
Sebuah lagi lagu berentak rancak yang menghiburkan. Saya menyukai adunan alat muziknya yang kedengaran agak moden.

Sebuah lagu santai dari Ning untuk para peminatnya. Sudah sedekad Ning bersama di arena seni tempatan tanda terima kasih dari Ning untuk para penyokongnya.

Breathe Again 3/5 Lin Li Zhen
Sebuah lagu yang biasa dari Lin Li Zhen tetapi ia merupakan satu percubaan yang baik. Nyata Ning cuba menyampaikan lagu ini dengan lebih cemerlang untuk memberikan sedikit kekuatan pada lagu ini. Kesempurnaan dalam sebutan yang terhasil dengan bantuan lirik yang menarik dan mampu menangkap pendengaran saya.

Kepulangan Yang Terindah 4.5/5 Firdouz JP/Arab
Seperti lagu Awan Yang Terpilu, lagu ini juga punya graf menaik sehingga mampu membuatkan saya turut terhibur mendengar nyanyian Ning.

Susunan muzik lagu ini dibuat dengan baik. Lirik lagu ini juga lahir dari sejarah Ning sendiri yang pernah dilaluinya.

Kawalan vokal Ning juga amat baik dalam lagu ini dan beliau menyampaikan lagu ini dengan baik. Nyata semangatnya kuat untuk kembali dan lirik lagu ini menyampaikan hasratnya.

Keseluruhan
Erti Pertemuan membawa perubahan baru dalam dunia muzik tempatan setidak-tidaknya perubahan dalam diri Ning yang lebih bersifat positif kini.

Saya lebih menyukai lagu-lagu yang ada dalam album ini berbanding album-albumnya yang terdahulu. Saya suka album Erti Pertemuan sama seperti saya suka album Jangan Kau Mimpi Sarah yang masa lebih variasi corak muziknya.

Kulit albumnya juga agak biasa dalam bentuk yang agak berbeza dengan yang sebelumnya. Penggunaan foto yang tidak kena pada kulit album sedikit mencacatkan. Saya menyukai foto di bahagian tengah yang lebih menangkap pemerhatian, selain foto pada lirik Dikau. Tetapi sayangnya kulit album ini belum cukup kuat untuk menempah tempat untuk kategori Kulit Album Terbaik. Rekabentuknya masih kurang jelas penceritaan yang ingin disampaikan. Sekiranya album ini bercerita tentang kisah keluarga Ning, adalah lebih baik sekiranya elemen-elemen kasih sayang, kekeluargaan diterapkan di dalam kulit album tersebut. Apa yang dapat saya simpulkan, rekaan kulit album kali ini tidak dapat menyampaikan mesejnya dengan jelas.

Ranking sultanmuzaffar
1. Senang Tari 5/5
2. Awan Yang Terpilu 5/5
3. Bebaskan 4.5/5
4. Kepulangan Yang Terindah 4.5/5
5. Takdir 4.5/5
6. Erti Pertemuan 4/5
7. Bukan Sebarangan 4/5
8. Menu Minggu Ini 4/5
9. Bersama 4/5
10. Dikau 3/5
11. Breathe Again 3/5
12. Ini Yang Dikata Cinta 2.5/5

Rating: 4.5/5