setahun seorang sultanmuzaffar (bahagian i)
Bagaimana agaknya menjadi seorang sultanmuzaffar ? Ada orang kata best. Ada orang siap kata “I wish I was you !” Hahahaha. Saya kurang selesa sebenarnya. Lebih selesa sekiranya tidak dikenali.
Sepanjang tahun 2004, saya terlibat dengan blog penentu-arah politik negara, mencipta satu kelompok komuniti teater, membuat kemunculan berani dalam akademi fantasia, terlibat secara langsung dengan peminat akademi fantasia, menyusun kelompok peminat akademi fantasia dan mula memikirkan idea untuk menukar blog percuma menjadi wang ringgit. Sudah tiga tahun blog ini bergerak secara percuma, sedangkan ia mampu untuk menjana sedikit pendapatan kesan dari populariti blog ini. Blog sahaja yang popular, tuannya masih poyo macam dulu.
Pemenang Best Malaysian Blog Asia Weblog Awards
Hari-hari pertama tahun 2004, saya diumumkan pemenang Best Malaysian Blog untuk Asia Weblog Award. Pemenang yang dipilih melalui proses undian ini lebih bersifat populariti. Saya tidak menganggap blog yang saya kendalikan sebagai yang terbaik. Ada lebih banyak weblog di luar sana yang jauh lebih baik dari blog saya sendiri.
Saya sendiri turut melancarkan kempen melalui Yahoo Messenger untuk mendapatkan undian. Anugerah ini tidak lebih sebagai untuk meningkatkan jati diri sahaja tanpa ada faktor-faktor hadiah yang lumayan.
www.sivarasa.com
Saya memberanikan diri membuat satu keputusan yang agak drastik dalam hidup saya sendiri. Melibatkan diri untuk Pilihanraya Umum ke 11 dengan menggunakan segala ilmu dalam bidang rekabentuk laman internet untuk salah seorang calon parti pembangkang iaitu Sivarasa Rasiah. Walaupun beliau gagal memenangi kerusi Parlimen Petaling Jaya Selatan, pengalaman tersebut mendedahkan saya kepada lebih banyak peluang dalam bidang rekabentuk laman internet. Danny Lim, penulis untuk akhbar The Sun menyifatkan laman www.sivarasa.com sebagai “Malaysia First Politikus Blogger”.
Pengalaman paling beharga ialah menghadapi tekanan bekerja dalam tekanan. Maklumat yang diperolehi dari Bilik Gerakan perlu dikemaskinikan dengan segera. Percaya atau tidak, saya hanya bekerja dari rumah. Sepanjang tempoh pilihanraya saya tidak pernah bertemu dengan petugas di Bilik Gerakan dan hanya berhubungan melalui telefon bimbit. Agak lucu apabila para petugas pilihanraya sebenarnya agak skeptikal untuk berhubung dengan saya yang tidak mereka kenali dan hanya wujud secara maya.
OPs OPHELIA: A Fashion Opera
Pada mulanya saya agak berbelah bahagi untuk melibatkan diri dengan produksi ini kerana tahu yang Akademi Fantasia akan bermula pada waktu yang hampir sama dengan tarikh pementasan.
Bekerja dengan mereka dari kelompok teater Inggeris sememangnya amat berbeza dengan bekerja untuk produksi teater Melayu. Kelompok teater Inggeris lebih bersifat terbuka dan meluahkan pendapat mereka secara jujur. Segala permasalahan diselesaikan secara bijaksana tanpa ada selindung dan was-was.
Untuk portal komuniti teater ini saya menggunakan Drupal. Agak sukar pada mulanya, tetapi lama-kelamaan menjadi biasa. Ini kali pertama saya menggunakan produk content management system selain Blogger. Saya mula diperkenalkan dengan ilmu database, hosting dan tekanan kerja teater.
Ophelia memberikan saya lebih peluang untuk bertemu mesra dengan penggiat-penggiat teater di Malaysia. Saya punya kawan yang lebih ramai dari pelbagai latarbelakang, bangsa dan agama. Pada hari Krismas yang lalu, Pengarah OPS OPHELIA Rohaizad Suaidi telah mengambil keputusan untuk berhijrah ke Federated Republic of Micronesia untuk menjadi English Instructor di sana.
Akademi Fantasia
Akademi Fantasia kembali lagi membawa cabaran yang lebih besar kepada saya. Saya meneruskan penulisan percuma saya tentang Akademi Fantasia setiap hari sedaya yang mungkin. Kemunculan blog-blog baru yang mengulas tentang perkara yang sama memberikan sedikit tekanan kepada saya untuk menyaingi kualiti masing-masing. Lebih menarik, untuk musim ini ada di kalangan mereka yang menulis ulasan dalam Bahasa Inggeris tidak kurang juga yang menulis sebuah novel parodi tentang Akademi Fantasia.
Melihat secara positif, kemunculan mereka telah memperbanyakkan lagi kandungan Akademi Fantasia di internet yang secara tidak langsung telah mempromosikan program realiti tv tersebut. Peminat rancangan tersebut telah didedahkan dengan pelbagai perspektif pandangan yang berbeza-beza untuk dibaca dan berinteraksi secara positif untuk meningkatkan lagi mutu serta mengekalkan hype rancangan tersebut.
Imbasan Akademi Fantasia
Saya melangkah satu langkah ke hadapan apabila diberi peluang untuk muncul dalam rancangan Imbasan Akademi Fantasia. Satu lagi keputusan yang perlu dibuat dalam masa yang begitu singkat. Terima atau tidak ! Saya akhirnya menerima tawaran tersebut. Dengan gelaran Peminat Nombor Satu Akademi Fantasia, saya muncul dalam rancangan tersebut yang mana hanya diketahui oleh dua orang sahabat baik saya. Memberikan gelaran tersebut rasanya masih terlalu awal, sedangkan Akademi Fantasia punya ribuan peminat yang lebih sanggup berkorban wang ringgit mengundi pelajar kesukaan mereka.
Kemunculan selama sepuluh minit itu merupakan titik tolak kepada penglibatan saya dengan Akademi Fantasia secara langsung. Angkara kemunculan itu, seminggu selepas ia disiarkan, nama saya tersiar dalam sisipan Bintang Popular. Saya tetap menganggapnya sebagai satu promosi yang baik. Terima kasih.
Sahabat Akademi Fantasia
Macam demam Akademi Fantasia, panasnya pasti juga surut. Begitu juga dengan sahabat Akademi Fantasia. Nampaknya tidak ada yang berkekalan. Setelah beberapa tahun, minggu dikenali makin terserlah sifat-sifat sebenar diri sendiri. Maka tidak hairanlah sekiranya ada yang undur diri atau menjauhkan diri.
Saya suka untuk memetik kata-kata salah seorang sahabat akademi fantasia saya, yang mana katanya “Mungkin juga ketika itu, seperti mana lumrah berkawan akan ada pasang surutnya. Ada perkara yang jelek berlaku tapi terpulanglah sama ada kita perlu membesarkannya ataupun buat tidak tahu dan meneruskan hidup.”
Ya benar, hidup perlu diteruskan. Hidup kita perlu ada prioriti. Jangan bicara atau pertikaikan soal prioriti orang lain hanya untuk menunjukkan yang kita benar-benar seorang yang setia bersahabat. Saya juga punya prioriti. Jika angkuh pada pandangan kalian, terpulang. Saya punya prioriti.
Bahagian II meliputi tajuk Berehat, Tetapi Tidak Lama, Bertemu Di Bukit Damansara, Kerjasama Fanclub Bintang Akademi Fantasia, Trauma Gathering, Undur Diri dan Anugerah Weblog Terbaik Gathering Gengjurnal.net dan Tsunami Melanda.
0 komen