setahun seorang sultanmuzaffar (bahagian ii)
Dalam Bahagian II catatan saya lebih banyak cerita-cerita sedih yang berlaku. Semakin menuju penghujung tahun, cerita-cerita menjadi semakin cerita sedih.
Berehat, Tetapi Tidak Lama
Pada mulanya saya sepatutnya berehat sehingga 1 April 2005. Memandangkan cadangan saya secara lisan telah pun dipersetujui, maka saya mengambil keputusan untuk menulis di blog semula. Banyak juga pihak yang datang membantu. Beri idea, beri server, beri domain, beri masalah, beri tekanan. Ada di kalangan pembaca saya yang menjangkakan saya hanya mampu bertahan selama dua minggu. Tetapi saya bertahan selama lebih sebulan. Seronok juga bila tidak menulis. Adakalanya membosankan.
Kerjasama Fanclub Bintang Akademi Fantasia
Saya dan fanclub yang terbina melalui Yahoogroups bintang Akademi Fantasia hubungannya amat intim. Ada semacam satu ikatan yang mengikat saya dengan mereka. Sebagai salah seorang peminat Akademi Fantasia tentu saya merasainya. Saya mahu mencipta sebuah ikatan kekeluargaan yang terjalin dalam Akademi Fantasia dan di bawa keluar untuk kelompok fanclub. Saya sebolehnya mahu menyatukan mereka. Bertukar pendapat dan idea sesama sendiri dan mempunyai matlamat yang satu. Jika mereka ditipu saya pasti merasai kepedihannya.
Trauma Gathering
Seminggu saya trauma mengenangkan apa yang terjadi. Diam saya tidak bermakna bisu. Rabun saya tidak bermakna buta. Biar saja tidak bermakna tuli. Diam saya merancangkan sesuatu. Agar semua pihak sedar dan mahu berubah.
Sedikit sebanyak kejadian tersebut telah mencalarkan nama baik yang saya bina selama dua tahun. Apa yang berlaku menyedarkan saya. Kata orang beringat sebelum kena, langkah pantas harus diatur. Strategi harus dirancang. Terima kasih kepada yang mengingatkan.
Undur Diri
Saya lebih selesa berdiri dengan nama ini tanpa perlu mengaitkan diri dengan mana-mana pihak. Hubungan yang telah pun dicipta biarlah hubungan yang bersifat profesional tanpa ada unsur-unsur ketidak-puashatian. Saya sedar apa yang dirancang mampu dilaksanakan tetapi biarlah dengan niat yang ikhlas. Sekiranya wang ringgit merajai mata, maka hati lebih cepat menjadi panas dan sifat lebih pantas menjadi tamak. Susun satu-satu agar mengikut jalan perancangan awal. Jangan dipesongkan oleh ringgit yang bertaburan, jangan disongsangkan oleh tamak yang menggasak diri. Saya sudah bebas dan mari kita sama-sama menuju puncak menjayakan sebuah keluarga yang ceria, jujur, ikhlas dan setia.
Anugerah Weblog Terbaik Gathering Gengjurnal.net
Untuk menjadi yang terbaik lebih sukar dari untuk terus kekal yang terbaik. Anugerah yang tercipta sekadar menjadi pemangkin semangat untuk terus melakukan yang terbaik serta memberikan yang terbaik. Popular tidak semestinya terbaik tetapi selalunya yang terbaik akan popular. Tetapi ada juga yang terbaik tidak popular dan lebih senang untuk terus berada di kelompok “low-profile”. Terlalu “low-profile” sebenarnya kurang berkesan kerana suara kita, isi hati kita, rintihan kita, jerit kita tidak ada siapa yang dengar. Apa guna punya idea bagus tetapi tidak dihebahkan. Satu kekurangan yang nyata dalam penganjuran Anugerah Gengjurnal.net apabila hanya mereka yang mendaftar dengan Gengjurnal sahaja yang layak dicalonkan. Ini secara tidak langsung menyekat peluang dan kebebasan untuk dicalonkan. Saya akui di luar sana ada beratus malah beribu lagi blog yang lebih baik dari blog saya sendiri. Tidak juga dinafikan ada di kalangan blog terbaik itu ada yang tidak popular tetapi telah memberikan komentar yang bagus serta idea yang bernas. Mereka ini di kalangan ahli tidur dan Gengjurnal mahu pun ahli yang lebih selesa untuk tidak dikenali. Peluang mereka semacam tertutup untuk dicalonkan kerana mereka tidak popular.
Apa kata sekiranya kelompok petalingstreet.org dan gengjurnal.net bergabung menghimpun seluruh blogger Malaysia. Kita sendiri tahu yang kini suara blogger semakin didengari. Oleh sebab itulah, Jeff Ooi dan Mat Jan telah berjaya meninggalkan jejak di muka hadapan Berita Harian dan Harakah Daily. Himpunan bukan sekadar kerana anugerah tetapi untuk membentuk seakan Union di kalangan kita sendiri. Blogger harus punya satu visi untuk membentuk sebuah Malaysia yang lebih bermaklumat. Itu kekuatan kita.
Tsunami Melanda: Bayangkan jika kita di tempat mereka !
Tidak pernah-pernah pengulas kaji cuaca agensi berita CNN menyebut perkataan Sitiawan dan Tioman. Tetapi sejak tragedi tsunami melanda Asia Tenggara, tiba-tiba lidah mereka mampu menyebut perkataan-perkataan tersebut walaupun dengan bantuan nota di tapak tangan. Sama ada mereka tahu atau tidak lokasi kedua-dua nama tempat yang disebutkan itu, tidaklah saya tahu. Satu dunia terarah ke sekitar kawasan kita.
Bencana alam yang melanda dunia meragut lebih 100,000 manusia di sekitar Indonesia, Sri Lanka, India, Thailand, Malaysia dan negara-negara di sekitarnya. Di Malaysia sahaja meragut hampir 70 orang yang mana kebanyakannya dari Pulau Pinang, Kedah, Perak and Selangor.
Asia's Deadly Waves
Bagaimana hati tidak sayu apabila melihat gereja dan masjid pantas menjadi rumah anak yatim. Melihat anak-anak kecil ini tersenyum tanpa mengerti apa yang akan berlaku kepada masa depan mereka. Hati mana yang tidak sebak apabila melihat imej kanak-kanak kecil mengusai longgokan sisa-sisa akibat bencana untuk dijadikan pakaian. Hati mana yang tidak sayu melihat mangsa berebutkan Maggi yang mana bekalan air bersih untuk menjerang Maggi masih belum tiba. Suratkhabar semalam terpampang gambar Pak Lah sedang berdoa. Sayu lagi hati melihat foto tersebut.
Bantuan kemanusiaan yang pertama sampai di Banda Acheh datangnya dari Mercy Malaysia. Dalam bangga saya sebak. Di mana Amerika Syarikat, kononnya polis antarabangsa? Di mana Arab Saudi, yang kaya raya dengan hasil minyaknya?
Hari ini di ruangan Forum Utusan Malaysia tersiar satu artikel bertajuk “Jadikan belanja perayaan sebagai bantuan”. Saya bangga.
Saya mempunyai sumber-sumber internet yang penting untuk mendapatkan maklumat terkini berkenaan bencana tsunami ini. Anda juga bolehlah melayarinya di:-
Angka Kematian Terkini dari CNN
Video Tsunami
Foto Rakaman Perlahan Tsunami
http://www.jeffooi.com/
http://www.petalingstreet.org
http://thestar.com.my
Rayuan Bantuan Kemanusiaan
Sesiapa yang ingin menyumbangkan pakaian untuk mangsa Tsunami di Utara Malaysia, boleh lah menghantar pakaian tersebut ke tempat letak kereta bersebelahan Dataran Maybank, Bangsar antara jam 4:00 petang hingga 6:30 petang hari Jumaat 31/12/2004.
KUTIPAN WANG DAN PAKAIAN UNTUK TABUNG MANGSA TSUNAMI UNITAR
28 Disember hingga 7 Januari 2005
Anda telah membacanya di akhbar. Anda telah menontonnya di kaca televisyen. Anda telah bercerita mengenainya dengan rakan, berkongsi kejutan dan kesedihan.
Tsunami Sumatera meragut lebih 80,000 nyawa dan meranapkan tempat tinggal lebih 1 juta manusia.
Bak kata pepatah Melayu, berat mata memandang, berat lagi bahu memikul.
Hulurkan bantuan anda kepada Tabung Mangsa Tsunami UNITAR dalam bentuk wang atau pakaian terpakai mahupun yang baru.
DERMA WANG
Hubungi Ayu (76278036 /ayuaziz at unitar dot edu dot my) atau Muzaffar (76277248 / muzaffar at unitar dot edu dot my). Permintaan dari meja ke meja juga akan dilakukan dari sekarang hingga 7 Januari 2004.
Semua derma akan dimajukan kepada Tabung Mangsa Tsunami Malaysia NST-BH-TV3-8TV.
PAKAIAN BARU / TERPAKAI
Dua pusat pengumpulan di UNITAR Kelana Jaya akan disediakan seperti berikut:
1. Lobi UNITAR / Reception Area, Blok A
2. Lobi Pelajar / Student Lobby Area, Blok B
Anda boleh meletakkan sumbangan Pakaian anda di mana-mana pusat pengumpulan ini yang dibuka dari jam 8.30 pagi hingga 5.30 petang mulai 29 Disember 2004 hingga 7 Januari 2005.
Sila bungkuskan sumbangan pakaian anda dengan baik, sebaik-baiknya dalam kotak, untuk memudahkan kami membuat penghantaran.
Semua sumbangan pakaian akan dimajukan kepada Persatuan Bulan Sabit Merah Malaysia.
Zahirkan prihatin anda.
Untuk maklumat atau pertanyaan, sila hubungi Jabatan Komunikasi Korporat UNITAR di 03 7809 2100 atau 03 7627 7209.
Sekian, terima kasih.
Hasnan Hakim
Jabatan Komunikasi Korporat
Universiti Tun Abdul Razak
Terkini: Salji turun pertama kali di negara Arab
Tanda Ingatan dari kita...
0 komen