Undilah

SULTANMUZAFFAR (26 Februari 2002 - sekarang)

Seorang blogger, pelayar internet, penyelam scuba dan penagih tegar televisyen dan Wii. Melihat seluruh dunia di laman blog menerusi kamera DSLR dan kacamata tebalnya (kadang-kadang kanta lekap).

Mengkritik tidak bererti menentang, menyetujui tidak semestinya menyokong, menegur tidak bermakna membenci, dan berbeza pendapat adalah kawan berfikir yang baik.
Entri oleh sultanmuzaffar 22 December 2005

Projek Rumah Kaca Nikki : Bahagian Keempat

Apabila saya tergerak memberikan sokongan padu saya kepada Nikki, ada pihak yang mula bersuara menyuarakan ketidakpuashatian mereka. Kata mereka saya mula pilih kasih. Tidak salah untuk saya membuat pilihan kerana hidup adalah proses membuat pilihan. Kita yang menentukan pilihan kita bukan orang di sekeliling kita. Pilihan yang terbaik adalah di tangan kita.

Nyaris
Saya nyaris tidak terlibat dengan projek ini kerana di awal perancangannya berlaku sedikit salah faham dengan Joe Klubbkidd kerana isu Mawi vs MawiFC. Nama saya hampir dipadamkan dari senarai jemputan untuk Pre-Listening Album Maharani walaupun saya di antara yang mula-mula mengetahui tentang idea Rumah Kaca tersebut. Kalau sudah peluang saya di situ, tentulah tidak ke mana. Akhirnya segala kekusutan kembali usai kerana tiada gunanya meneruskan perselisihan faham hanya kerana bintang realiti yang pasang surut popularitinya tidak menentu. Persahabatan yang bersifat jangka panjang adalah yang perlu lebih dijaga daripada yang lain.

Kali Pertama
Kali pertama saya, Badrul dan Juan mendengar lagu Caramu di dalam kereta sewaktu dalam perjalanan ke Bangsar, saya menyatakan pandangan pertama saya tentang lagu tersebut. “Ini ke produk yang ko nak aku promote ?” ujar saya kepada Joe Klubbkidd. Kami ketawa. Muka Joe memang merah padam menahan marah. Lagu Caramu yang saya dengar itu adalah sebelum melalui proses mixing. Bunyi drumnya macam bunyi ketuk baldi. Lagu itulah yang berkali-kali diulang oleh Joe untuk kami dengar sampai tidak sanggup lagi saya dengar. Jangan salah faham kerana lagu Caramu waktu itu adalah nyanyian solo Nikki dan belum lagi dimasukkan vokal Zahid. Ada juga yang bersuara nanti mengatakan saya tidak sukakan lagu tersebut kerana Zahid.

Album tersebut perlu dilancarkan kepada umum dan Projek Rumah Kaca Nikki adalah satu idea yang gila dan perlu dilaksanakan. Saya tertarik dengan konsepnya kerana saya memang gilakan sesuatu yang realiti sama seperti realiti TV. Walaupun ada beberapa idea yang tidak dapat dilaksanakan kerana kesuntukan masa tetapi ia merupakan satu projek yang boleh saya sifatkan berjaya. Walaupun bukannya berjaya untuk semua, cukup sekadar merupakan satu kejayaan untuk diri saya sendiri.

Rata-rata mereka yang menyokong projek ini adalah mereka yang berada di dalam kelompok Akademi Fantasia. Malaysian Idol dan Akademi Fantasia adalah seperti minyak dan air yang terlalu mustahil untuk dicampur-adukkan bagi sesetengah pihak. Bintang-bintang realiti TV yang sudi menyatakan sokongan mereka kepada Nikki juga ialah mereka yang lahir dari program Akademi Fantasia seperti Zahid, Mawi, Marsha, Kaer, Farah dan Nana. Ke mana perginya bintang Malaysian Idol seperti Daniel, Nita dan Dina ? Yang hadir cuma Jaclyn Victor, itu pun atas jemputan peribadi dan bukannya melalui pihak pengurusan mereka. Sayang sekali, projek yang boleh saya sifatkan agak unik ini turut tidak mendapat sokongan dari krew Melodi.

Projek ini turut mendapat sokongan seratus peratus dari ERA. Buat pertama kalinya ERA terlibat dalam pelancaran sesebuah album artis baru. Tentunya ada sesuatu yang kita sendiri tidak nampak, tetapi mereka yang berada di ERA telah lama nampak.

Open Your Mind
Melibatkan diri untuk bekerja dengan pelbagai perangai manusia merupakan satu pengalaman yang cukup berharga buat saya. Ada di antaranya memberikan saya peluang untuk mengenali sifat-sifat mereka dengan lebih dekat dan memahami karektor masing-masing dengan lebih mendalam.

Cepat bertindak juga merupakan satu ciri penting apabila terlibat dalam projek yang pasukannya tidak besar. Hanya sekitar 20 orang sahaja dan tentunya kami perlu melakukan hampir semua kerja dan mendapat kerja-kerja sampingan tanpa diduga. Satu hari saya boleh diserahkan untuk menyiapkan siaran akhbar, esok saya boleh diarahkan untuk menjadi photoblogger dan kemudiannya menjadi pembawa cenderamata. Semua orang adalah multi-tasking. It was fun !

We were very lucky to have Ted as a stand-up comedian yang menghiburkan kami dengan jenaka-jenakanya. Boleh dilihat pada gambar klasik di tengah-tengah hujan beliau berpayung menjaga muka pintu Rumah Kaca tersebut. Banyak cerita-cerita sebalik tabir yang ingin diceritakan tetapi itulah kemanisan yang lebih baik dirasai sesama sendiri tetapi bukan dengan orang lain.

Cara saya melihat sesuatu projek-projek besar juga pastinya berubah selepas ini tetapi terus mengekalkan pandangan kritis yang diharapkan dapat memantapkan lagi setiap projek yang saya sertai.

Lagi satu yang saya belajar dalam projek ini ialah jangan under-estimate mereka yang muda-muda. Kadang-kadang idea mereka lebih bagus dari mereka yang senior dan adakalanya pandangan mereka terhadap sesuatu isu lebih matang. Apa yang kita tidak nampak, mereka boleh nampak. Apabila dibincangkan, kami mencapai satu kata putus yang lebih seimbang. Maka keputusan tersebut adalah keputusan terbaik yang diperolehi.

Sekiranya sebelum ini saya ada rasa prejudis terhadap bangsa lain, saya bersyukur kerana senilah yang telah berjaya membuatkan saya membuang sikap tersebut. Mungkin tidak seluruhnya, tetapi cukup sekadar sebagai satu permulaan yang positif. Bekerja dengan pelbagai bangsa membolehkan sifat toleransi lebih diperolehi. Saya sedar tidak ramai yang berkemampuan untuk keluar dari kelompok Melayu mereka untuk sama-sama menerima bangsa atau kaum lain untuk sama-sama berkerjasama dalam satu-satu projek. Wujudnya sikap prejudis tersebut sebenarnya adalah racun kepada proses pembinaan sebuah bangsa Malaysia yang lebih berjaya.

Sikap “kita hanya perlu menyokong kerja Melayu/Islam, kerja bangsa lain tidak perlu disokong” perlu dihindarkan. Kalau menyokong kerja Melayu pun boleh sampai mana, kecuali menyokong kerja Melayu kroni kerajaan.

Semalam Majlis Makan Malam Terima Kasih dibuat di Madam Kwan’s Bangsar. Ramai juga yang hadir antaranya ialah Nikki, Vernon, Syed, Ted, Joe Klubbkidd, Audi Mok, Rudy Imran, Aylwin, Najmie dan Terry. Dapat lagi satu CD Maharani. Buat susah-susah aje. Sudah ada sebuah cukuplah, buat apa beri lagi satu. Lebih baik jual saja CD tersebut. Saya belajar lebih lanjut tentang Media Manipulation 101. Welcome to the real world, SM !

Saya telah menghabiskan masa-masa yang berkualiti dengan pasukan ini selama tiga hari bersemayam di Istana Kaca, Bukit Bintang. Terima kasih Nikki, Ning Baizura, Vernon, Jinggo, Shah Security, Terry, Aylwin Santiago, Audi Mok, Syed Sobrie, Rudy Imran, Ted Ridzuan Michael, Joe Klubbkidd, Badrul dan Najmie

Ulasan :

Related Posts with Thumbnails

www.gua.com.my

sultanmuzaffar - entertainment blogger