Undilah

SULTANMUZAFFAR (26 Februari 2002 - sekarang)

Seorang blogger, pelayar internet, penyelam scuba dan penagih tegar televisyen dan Wii. Melihat seluruh dunia di laman blog menerusi kamera DSLR dan kacamata tebalnya (kadang-kadang kanta lekap).

Mengkritik tidak bererti menentang, menyetujui tidak semestinya menyokong, menegur tidak bermakna membenci, dan berbeza pendapat adalah kawan berfikir yang baik.
Entri oleh sultanmuzaffar 08 January 2006

Majlis Pelancaran Produksi Musim 2006
Istana Budaya


Istana Budaya bakal menerima produksi-produksi tempatan untuk berkarya di Panggung Sari iaitu panggung paling berprestij di Malaysia untuk kalendar tahun 2006. Majlis Peng-War-War-an Achara Tahunan Istana Budaya telah berlangsung dalam suasana meriah dengan kehadiran ramai penggiat teater tempatan yang sudi memberikan sokongan mereka.

Majlis diadakan dengan penuh ringkas tanpa ucapan-ucapan yang meleret-leret serta disusuli dengan penyampaian Permit Masuk Panggung kepada penerbit yang telah terpilih untuk beraksi di Istana Budaya pada tahun ini.

Persembahan ringkas dari produksi-produksi terpilih juga menarik dan telah memberikan sedikit gimik persembahan akan apa yang bakal kita tonton untuk tahun ini.
Mata tentunya tertumpu kepada persembahan finale dari produksi Puteri Gunung Ledang The Musical yang membawa Tiara Jacquelina turun dari puncak Gunung Ledang untuk bersama Stephen Rahman-Hughes untuk dua buah lagu iaitu Kepadamu Kekasih dan sebuah lagu single terbaru dari muzikal tersebut. Tergamam seketika penonton menyaksikan kekacakan Stephen Rahman-Hughes yang diperkenalkan untuk membawa watak Hang Tuah membawakan lagu-lagunya dalam Bahasa Melayu. Saya sendiri kagum melihat beliau membawakan lagu-lagu tersebut dalam Bahasa Melayu tetapi apabila beliau mula berdialog ada sesuatu yang kurang dan yang pasti watak Hang Tuah bakal menjadi kontroversi dalam sedikit waktu yang akan datang. Tiara Jacquelina sebagai Puteri Gunung Ledang berkemampuan untuk membawakan watak tersebut dengan baik. Apa yang dikhuatiri adalah nyanyiannya yang jika dibandingkan dengan nyanyian Stephen adalah seperti langit dengan bumi. Moga keserasian antara mereka dapat menyeimbangkan kekurangan masing-masing apabila ianya dipentaskan dalam waktu sebulan yang akan datang.

Hebat sekali produksi ini apabila mempunyai laman webnya iaitu http://www.pglthemusical.com.my. Pementasan Puteri Gunung Ledang The Musical bakal berlangsung pada 7-26 Februari ini.

Saya sudah boleh tersenyum pada hari ini apabila hajat saya untuk melihat Tengku Seindahkuno atau lebih dikenali dengan nama T.Pinkie bakal menari di lantai Panggung Sari. Kata Pinkie; “Lantai ini tempat kasut-kasut bercerita…” Saya rindukan watak T.Pinkie, Nyai Sunarti, Siti Udaya, Puteh Su, Musalmah Jiing, Jongkidin Jaroi, Muhairi, Loiran Sindu dan pelbagai watak yang bakal mewarnai Lantai T.Pinkie.

Jika dahulu saya terbaca tentang kemunculan Erra Fazira untuk salah satu watak dalam produksi ini, kini beberapa pelakon telah dikenal-pasti untuk sama-sama memberikan nyawa kepada watak-watak dalam skrip teater tulisan Sasterawan Negara Datuk A.Samad Said. Antaranya ialah Nasha Aziz sebagai T.Pinkie, Safura Yaacob (mungkin Nyai Sunarti), Vanidah Imran (mungkin Musalmah Jiing), Juhara Ayob (mungkin Siti Udaya), Zuhairi Ibrahim (Muhairi), Mazlan Tahir (Muhari Tua), Soong Ai Ling (mungkin Puteh Su), Azizah Mahzan (mungkin Nyai Sunarti) dan Zaifri Husin (S.Diman) serta 20 pelakon pembantu.
Sempat saya berbual-bual di luar dewan dengan Siti Rohayah Atan selaku penerbit untuk produksi ini. Sama seperti Puteri Gunung Ledang The Musical, Lantai T.Pinkie juga merupakan sebuah teater muzikal. Saya melihat teater ini membesar dari Dewan Tuanku Abdul Rahman MTC Jalan Ampang dan kemudiannya Dewan Bandaraya Kuala Lumpur, kini mula melangkah gagah ke Panggung sari Istana Budaya. Tentulah sesuatu yang amat membanggakan kerana saya sering kali terfikir bila agaknya karya Pak Samad akan mendapat peluangnya untuk bertamu di panggung tersebut. Zuhairi Ibrahim contohnya mula memegang watak Loiran Sindu dan kini bakal memegang watak Muhairi. Hanya Mazlan Tahir yang memegang watak yang sama sejak teater ini dipentaskan pada tahun 1997.

Saya sendiri telah menyuarakan hasrat saya untuk melihat proses pembikinan teater ini agar saya dapat mempelajari sesuatu dari sebuah produksi besar di Istana Budaya. Saya mahu meneliti dan mendapatkan sesuatu dari aspek pembikinan lebih-lebih lagi produksi besar sebegini. Saya akan cuba untuk menyampaikan maklumat-maklumat produksi tersebut di blog saya ini untuk tujuan promosi. Sebagai langkah awal untuk mendekatkan penonton dengan produksi ini, pihak penerbit telah mewujudkan sebuah blog iaitu http://lantaitpinkie.blogspot.com. Diharapkan dengan blog yang ada, pihak penerbitan dapat berkongsi dengan penonton pengalaman-pengalaman mereka berteater dan juga barisan pelakon juga boleh bercerita tentang pengalaman mereka sewaktu proses latihan dan sebagainya.

Muzikal Lantai T.Pinkie bakal menemui penonton pada 28 April - 7 Mei ini.

Sebuah lagi muzikal yang akan menemui penonton pada 28 Julai hingga 20 Ogos ialah P.Ramlee The Musical. Setelah beberapa kali tertangguh sejak 2002, akhirnya teater ini bakal dipentaskan setelah mendapat sokongan penaja dan lain-lain pihak yang telah memberikan komitmen mereka. Teater ini juga merupakan sebuah cerita yang bukan main-main. Ia melibatkan ikon besar industri muzik dan perfileman Malaysia iaitu Tan Sri P.Ramlee. Khabarnya watak Saloma telah diberikan kepada Ziana Zain dan beliau telah bersetuju untuk membawakan watak tersebut. Pementasan ini akan diarahkan oleh Adlin Aman Ramli iaitu anak kepada seniman AR Tompel.

Menyaksikan gimik ringkas persembahan tersebut masih belum cukup menguja saya untuk memberikan kebanggaan saya kepada produksi tersebut. Hari pementasan yang masih jauh lagi di hadapan mungkin antara faktor banyak persediaan belum dilaksanakan. Apa yang dipertontonkan hanya ringkasan dari sebuah persembahan panjang berlatar-belakangkan lagu Di Mana Kan Ku Cari Ganti. Penonton akan dibawa bersama ke dalam satu perjalanan mengasyikkan yang akan menyingkap kisah suka duka P.Ramlee sepanjang hayatnya. Berdasarkan sinopsis ringkas ini tentu ada sesuatu yang menarik menanti penonton.

Selain daripada itu, Muzikal Pi Mai Pi Mai Tang Tu dan Muzikal Kanak-Kanak Ali Baba akan turut beraksi di Istana Budaya pada 12-20 November dan 16-24 Disember 2006.

Selain daripada pementasan teater muzikal, persembahan konsert yang telah dirancang adalah ’60 merupakan persembahan yang menggabungkan muzik dan lakon menyingkap perjalanan dan pencarian sekelompok anak muda dalam menelusuri kehidupan dan juga memenuhi pengisian kemerdekaan tanahair. Persembahan ini adalah berkisar kepada latar tahun 60an serta penglibatan artis-artis dari zaman tersebut.

Irama Tanah Pusaka 2 bakal menyusul pada 13 dan 14 Mei dan diikuti dengan French Arts Festival pada 19 Mei. Tumpuan utama persembahan muzik pada tahun ini adalah kepada persembahan konsert Jamal Abdillah dengan tajuk Aku Penghibur pada 26-28 Mei 2006 sebagai mengenang sumbangan Jamal Abdullah kepada industri muzik selama lebih 30 tahun. Persembahan akan dibahagikan kepada tiga segmen iaitu Siapalah Aku, Seniman Menangis dan Akulah Penghibur.

Melodi Emas 2 Ahmad Nawab adalah kesinambungan daripada Konsert Melodi Emas 1 yang akan menemui penonton pada 16-18 Jun. Selain daripada itu Konsert Nur - Suara Kerohanian terbitan PEYATIM akan menggabungkan muzik tradisional dan moden untuk mengangkat keagungan nilai-nilai Islam selaras dengan konsep Islam Hadhari. Gabungan pantomin dan lagu-lagu yang memuji kebesaran Allah disusun dalam beberapa segmen untuk menterjemahkan keindahan seni dalam sebuah konsert seperti ini.

Melihat kepada senarai produksi yang bakal menemui penonton untuk tahun 2006, memperlihatkan usaha Istana Budaya yang dengan berani mempertaruhkan rata-rata kesemuanya adalah produksi tempatan berbeza dengan tahun 2005 yang banyak menampilkan produksi antarabangsa. Adalah diharapkan pengalaman yang ditimba dari produksi antarabangsa pada tahun lepas dapat digunakan dan dipraktikkan oleh produksi tempatan pada tahun ini.

Senarai Produksi Istana Budaya 2006
7-26 Februari - Puteri Gunung Ledang The Musical (teater muzikal)
14-16 April - Gemilang ’60 (konsert muzik lakon)
21-22 April - Dramatari Artistana (dramatari)
28 April -7 Mei - Lantai T.Pinkie (teater muzikal)
13-14 Mei - Irama Tanah Pusaka 2 (konsert muzik)
19 Mei - French Arts Festival (dramatari moden)
26-28 Mei - Aku Penghibur (konsert muzik)
7-11 Jun - Lagenda Chini (bangsawan moden)
16-18 Jun - Melodi Emas 2 Ahmad Nawab (konsert muzik)
1-5 Julai - KL Muzik Fest (festival muzik)
10-11 Julai - Konsert Klasik OSK (muzik klasikal)
18 Julai - Malaysian Music - The Evolution (konsert muzik)
28 Julai - 20 Ogos - P.Ramlee The Musical (teater muzikal)
16-17 September - Konsert Nur - Suara Kerohanian (konsert muzik/pantomin)
6 November - An Evening With NSO (konsert muzik)
12-20 November - Muzikal Pi Mai Pi Mai Tang Tu (teater muzikal)
25-26 November - Konsert Irama Melayu Asli (konsert muzik)
8-10 Disember - Konsert Simfoni Rakyat (konsert muzik)
16-24 Disember - Muzikal Kanak-Kanak Ali Baba (teater muzikal)

Related Posts with Thumbnails

www.gua.com.my

sultanmuzaffar - entertainment blogger