Undilah

SULTANMUZAFFAR (26 Februari 2002 - sekarang)

Seorang blogger, pelayar internet, penyelam scuba dan penagih tegar televisyen dan Wii. Melihat seluruh dunia di laman blog menerusi kamera DSLR dan kacamata tebalnya (kadang-kadang kanta lekap).

Mengkritik tidak bererti menentang, menyetujui tidak semestinya menyokong, menegur tidak bermakna membenci, dan berbeza pendapat adalah kawan berfikir yang baik.

Diddy : Lahir Dari Hati

Entri oleh sultanmuzaffar 15 October 2007




Akhirnya, album yang saya tunggu-tunggu telah pun berada di pasaran. Saya tahu usahanya bukan sedikit. Pelbagai kepayahan ditempuh untuk memastikan apa yang diusahakan membuahkan hasil. Inilah hasilnya jika usaha yang dibuat lahir dari hati yang jujur. Saya masih ingat lagi pada satu ketika dahulu di malam penyingkiran Diddy dari Akademi Fantasia, tekad yang seakan nekad itu telah dibulatkan dan hari ini ia menjadi realiti. Meneliti kulit albumnya yang menggunakan kertas yang berkualiti sudah membuktikan ia bukan usaha yang sia-sia. F-tersix mahu memberikan yang terbaik. Imej sebahagian daripada kulit album ini telah saya paparkan untuk anda nilai sendiri kualitinya.



Track 1 – Lena (Audi Mok/Nur Fatima)
Pasang sahaja CD dan lagu Lena kedengaran. Lagu ini menjadi single yang kedua dalam album ini. Saya hairan juga kenapa lagu ini terpilih. Tapi menyedari citarasa penggemar muzik, saya terima sahaja. Saya rasa ada “fast song” yang lebih baik berbanding lagu ini. Contohnya lagu Kubu dan Sana.

Track 2 – Hilang (Audi Mok/Bash)
Pendengar sudah mula biasa dengan lagu Hilang. Sewaktu mula-mula mendengar lagu ini saya cakap ini lagu “hantu”. Beza tau, antara lagu berhantu dan lagu hantu. Usaha menggubah lagu ini nampaknya dibuat dengan modal yang lebih apabila menggunakan gabungan strings yang lengkap. Antara kekuatan lagu ini terletak pada vokal “hantu” Nikki yang melatari nyanyian dari vokal Diddy yang mantap. Hilang merupakan antara lagu yang terbaik dalam album ini kerana susunan muziknya yang mantap. Alunan vokal Diddy menjadi sebahagian daripada lagu ini dan ditambah dengan graf melodi lagu ini yang tidak mendatar sebaliknya mempunyai turun naik yang memberikan keterujaan yang benar-benar mengagumkan.



Track 3 – Bosan (Shazzy/Bash)
Dari sebuah lagu balada, pendengar dibawa ke sebuah lagu yang berentak dance. Lagu ini menampilkan satu kelainan pada vokal Diddy. Beliau menampilkan satu vokal yang ada attitude pada permulaan lagu ini. Bila dengar sekali macam vokal orang malas. Pada mulanya saya menyangkakan lagu ini dicipta oleh Audi Mok kerana pengaruh muziknya kuat menjurus kepada gaya garapan Audi. Tetapi saya silap, lagu ini ciptaan Shazzy. Rentak drumnya ada bunyi-bunyi lagu-lagu terdahulu ciptaan Audi. Lagu ini terasa seperti cepat habis. Macam tidak puas mendengarnya. Sebenarnya banyak lagu yang terasa macam cepat betul habis.

Track 4 – Kubu (Audi Mok/Ad Samad)
Belum puas mendengar lagu Bosan, fikiran ditenangkan dengan lagu Kubu. Pertama kali mendengar lagu ini sewaktu sesi pradengar di satu lokasi rahsia saya sudah kata yang saya sukakan lagu ini. Sebabnya lagu ini menampilkan elemen kreatif ektik. Seperti saya sukakan lagu Senang Tari, begitu juga saya sukakan lagu Kubu. Lagu ini dibuka dengan melodi ala-ala permainan video Prince of Persia, antara permainan video yang saya sewaktu zaman kanan-kanak. Elemen etnik Timur Tengah dan pengaruh muzik India pada lagu ini benar-benar menjadikan lagu ini berbeza bunyinya dari lagu-lagu pop yang biasa kita dengar selama ini. Audi sentiasa tampil dengan idea baru dalam penghasilan lagu-lagu yang bermutu. Diperkuatkan lagi apabila lagu ini juga merupakan antara lagu yang mempunyai lirik yang bagus yang mana bait liriknya telah ditulis oleh Ad Samad. Beliau bukan anak A.Samad Said. Sekarang saya dah tahu. Saya pernah ditegur dulu dalam ulasan album Erti Pertemuan Ning Baizura. Tak tahu lah kalau-kalau mamat yang menegur tu wujud lagi ke tak. Berbalik kepada hasil kerja Ad Samad, perkataan-perkataan yang digunakan tidak terlalu tipikal seperti yang ada dalam lagu-lagu Melayu. Keseluruhannya lagu ini ada pengaruh etnik Melayu, India dan Timur Tengah yang ternyata besar dalam lagu ini dan vokal Diddy melengkapkan setiap ruang lagu tersebut.



Track 5 – Bebas (Audi Mok/Bash)
Irama rancak kembali bergema dengan lagu Bebas. Bebas merupakan antara”fast song” yang ada dalam album ini. Lagu ini merupakan lagu paling pendek dari segi durasinya sehingga saya tak tahu nak tulis apa berkenaan lagu ini. Liriknya boleh tahan panjang juga. Siapa yang suka fast song mungkin boleh suka lagu ini.

Track 6 – Saling (Audi Mok/Nur Fatima)
Lagu ini menjadi terlalu biasa di telinga saya kerana ia merupakan single terawal gandingan duo, Diddy & Yanie. Lagu ini juga merupakan langkah awal Diddy bertapak dalam industri muzik tempatan. Digandingkan dengan pasangan duet yang serasi, lagu ini meniti carta setiap minggu.





Track 7 – Sana (Azan Addin/Azan Addin)
Kembali menyegarkan pendengaran, lagu Sana lebih merupakan sebuah lagu yang happy-happy yang berkonsepkan santai. Saya tidak tahu nak cerita apa tentang lagu ini. Tetapi setiap kali mendengar lagu ini, saya teringat Siti Nurhaliza. Kelakar gila ! Tapi serius memang teringat kat Siti Nurhaliza. Apasal tah ? Nak kata lagu ini ada kena mengena dengan Siti tak juga. Tapi entahlah. Lagu ini macam love song Diddy je.

Track 8 – Genggam (Audi Mok/Imran)
Sama seperti lagu Hilang, Genggam juga menggunakan alunan strings yang menusuk kalbu. Dibandingkan antara kedua buah lagu ini, saya merasakan lagu Hilang lebih baik dan unik penghasilan. Menjadi seorang yang jiwang, sudah tentulah saya lebih menggemari lagu-lagu yang berentak balada seperti lagu ini. Setelah lapan lagu diperdengarkan, baru saya perasan yang tidak begitu besar perubahan pada alunan vokal Diddy dalam setiap lagunya. Mungkin juga kerana mahu mengurangkan pengaruh mesin dalam menghasilkan album ini maka vokal Diddy yang didengar merupakan vokalnya yang asli.



Track 9 – Puja (Audi Mok & Faizal Tahir/Bash)
Baru sahaja bercakap tentang alunan vokal, akhirnya lagu ini membuka satu warna baru pada vokal Diddy. Tanpa merujuk kepada kulit album saya sudah boleh mengagak yang lagu ini ditulis oleh Faizal Tahir kerana elemen rock pada lagu ini begitu kuat. Agak sukar untuk saya menyukai lagu ini kerana elemen tersebut. Tetapi jika untuk mewujudkan kepelbagaian dalam album ini pastinya lagu ini merupakan taruhan yang terbaik oleh Diddy untuk menyerlahkan lagi keupayaan sebenar pada vokalnya. Saya kira ia merupakan satu percubaan yang berani. Apa-apa pun saya tetap kurang suka dengan lagu ini. Mujur cepat habis.

Track 10 – Saat (Zain/Bash)
Yes ! Akhirnya saya menemui lagu KEGEMARAN saya dalam album ini. Selepas terpaksa mendengar lagu Puja, saya diperdengarkan dengan lagu Saat. Lagu yang terakhir dalam ini menjadi lagu yang paling saya suka dan saya ulang-ulang. Ini rahsia antara kita. Lagu Saat juga saya rasa bila saya nyanyikan lagu tersebut macam kena je dengan vokal saya sendiri. Hahaha. Memang rasa sedap sangat bila nyanyi dalam kereta seorang diri. Feeling habis ! Sememangnya minat saya terhadap lagu-lagu yang berkonsepkan unplugged seperti lagu ini sudah diketahui sejak dulu lagi. Saya sukakan sesuatu yang minimalist. Saya lebih gemarkan lagu yang mementingkan vokal dan ini dapat didengar dalam lagu ini. Saya memang puas hati mendengar vokal Diddy dalam lagu ini. Ada satu bahagian dalam lagu ini yang vokalnya seakan berbisik, perghh memang tangkap syahdu.




Puas hati bila lihat usaha ini akhirnya membuahkan hasil. Ini baru permulaan. Ada banyak lagi yang perlu dipertingkatkan untuk lebih maju. Benar saya puas dengan album ini, tetapi kepuasan tidak perlu ditamatkan disini. Ia perlu dijalinkan dengan usaha untuk memperbaiki diri agar lebih berjaya di masa akan datang. Benar saya puas dengan vokal Diddy tetapi banyak yang perlu dipelajari. Sentiasa berada di keliling mereka yang betul-betul ikhlas membantu kerana ia akan memudahkan lagi setiap perjalanan. Ada satu kata hikmat. Bukan saya yang cipta, tetapi ada orang Putih yang cipta. "There are more good than bad people in the world. It's just that the bad ones make more noise than the good ones" - Lina Morgan.

Pilihan sultanmuzaffar
1. Saat (5/5)
2. Hilang (5/5)
3. Kubu (5/5)
4. Genggam (4.5/5)
5. Sana (4.5/5)
6. Lena (4/5)
7. Bebas (4/5)
8. Saling (3/5)
9. Bosan (3/5)
10. Puja (3/5)


Nota : Dapatkan segera di pasaran dengan harga RM29.90 di toko muzik serata Malaysia.