Memoir Untukmu Malaysia (Bhg.2)
Masih Ingat ?
IKON Malaysia Separuh Akhir, 9 malam ini di Astro RIA
kredit : Astro Malay Programming YouTube.
Gerhana Ska Cinta KO
Farah KO
Flop Poppy OK
Dayang OK
OAG OK
Reshmonu KO
May KO
Mawi KO
Jaclyn Victor OK
Jinbara OK
Nota : Apa lagi agaknya cerita yang boleh dikongsi bersama untuk entri-entri akan datang ? Saya akan mengimbau kembali kenangan sewaktu Reformasi (berhadapan dengan FRU), Sukan Komanwel 1998 (bangganya jadi rakyat Malaysia), Peristiwa Memali (menonton Combat secara langsung di TV Malaysia), Sukan SEA Kuala Lumpur 1989 (permulaan kepada Sukom 98), Wawasan 2020 diperkenalkan (apa itu wawasan?), satu Malaysia bergelap (study guna lilin), Y2K (berjaga depan PC), Tower 2 Twin Tower (September 11), Tsunami atau apa saja yang ingin anda ceritakan. Mana tahu kalau-kalau ada yang anda ingatkan...
Sekitar tahun 1998. Darah masih manis. Usia lewat graduan universiti. Semangat membara. Baru saja empat bulan mengenal erti gaji sendiri. Ketika itu, bulan September. Gelombang reformasi melanda Malaysia. Dalam negara sedang sibuk membuat persiapan terakhir Sukan Komanwel yang akan berlangsung 11 September, pada 2 September 1998 Datuk Seri Anwar Ibrahim dipecat sebagai Timbalan Perdana Menteri dan Timbalan Presiden UMNO. Negara kecoh ! Rakyat memberontak !
Ini rahsia yang saya simpan dari pengetahuan ramai. Antara kawan-kawan yang turut menjadikan rumah kami tempat lepak pada waktu tersebut merupakan anak lelaki kepada seorang Menteri Kabinet pada waktu tersebut. Oleh itu gosip-gosip keretakan hubungan Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri waktu itu telah kami ketahui. Kami mengetahuinya lebih awal. Lupakan soal itu. Bertitik-tolak dari kes pemecatan tersebut, berlakulah gelombang reformasi yang belum pernah saya lihat sebelum ini. Setiap hujung minggu merupakan hari yang memeritkan di Kuala Lumpur. Jalan banyak ditutup. Kedai juga ditutup awal. Keadaan negara menjadi huru-hara seketika.
Rakyat keluar berdemonstrasi di Dataran Merdeka. Lori-lori FRU di merata-rata kawasan sekitarnya. Pasukan FRU membawa belantan dan perisai. Lori penyembur air juga kelihatan. Itu situasi yang normal pada waktu tersebut. Satu hujung minggu saya ingin merasai bagaimana perasaan rakyat keluar berdemonstrasi. Kami meletakkan kereta di SOGO. Lalu berjalan ke Dataran Merdeka. Orang ramai merata-rata. Ada orang awam ada juga yang turun benar-benar untuk berdemonstrasi. Saya dan kawan-kawan hanya ingin melihat.
Bergerak perlahan-lahan ikut kelompok demonstrator ke Dataran Merdeka. Dari SOGO kami melalui Jalan Tuanku Abdul Rahman hinggalah ke Panggung Coliseum. Melintas ke DBKL. Sudah ramai orang di sana. Jalan di hadapan Dataran Merdeka sudah ditutup. Kami hanya lihat pasukan FRU berada di penghujung jalan penutup Dataran Merdeka. Mereka arahkan kami agar bersurai. Kelompok di hadapan mungkin sedang berbincang sesuatu dengan pihak polis. Kami masih di tepi DBKL. Semangat saja membara tetapi tidak berani untuk meneruskan perjalanan ke depan. Sekadar memerhati dari jauh. Kami sendiri tidak mendengar butir-butir perbincangan.
Tiba-tiba kami lihat ramai orang bertempiaran lari. Lori penyembur air sudah mula menyemburkan air ke arah orang ramai. Kami lihat dari jarak kami berada polis FRU masih lagi jauh. Entah dari mana datangnya, tiba-tiba mereka berada dekat dengan kami. Dikejarnya kami. Kami lari bertempiaran hingga terpisah. Saya lari ikut jalan belakang Coliseum hingga SOGO. Tanpa kenal erti penat. Jauh jugak. Sempat juga merasa bagaimana air semburan tersebut kena ke baju. Mujur bukan belantan.
Itu kali terakhir saya ke Dataran Merdeka untuk cuba-cuba belajar berdemonstrasi. Beberapa hari selepas itu, pada hari Ratu Elizabeth 2 berada di Kuala Lumpur untuk majlis penutupan Sukan Komanwel, Datuk Seri Anwar Ibrahim ditangkap di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA). Anehnya semangat yang membara di Dataran Merdeka hilang bila menjadi bangga dengan usaha Malaysia khususnya Datuk Seri Dr.Mahathir Mohamed (sekarang Tun) di majlis penutupan Sukan Komanwel yang penuh gilang-gemilang.
0 komen