Undilah

SULTANMUZAFFAR (26 Februari 2002 - sekarang)

Seorang blogger, pelayar internet, penyelam scuba dan penagih tegar televisyen dan Wii. Melihat seluruh dunia di laman blog menerusi kamera DSLR dan kacamata tebalnya (kadang-kadang kanta lekap).

Mengkritik tidak bererti menentang, menyetujui tidak semestinya menyokong, menegur tidak bermakna membenci, dan berbeza pendapat adalah kawan berfikir yang baik.

Ada Dunia Yang Lebih Tenang II

Entri oleh sultanmuzaffar 13 June 2008

Aku Mahu Lari...
Hari kedua “diving” bermula seawal jam 9 pagi. Hafiz dan Jolyn baru saja sampai dari Kuala Lumpur. Mereka terlewat sikit kerana tidak mendapat cuti. Malam itu saya tidur agak awal kerana agak letih selain memandangkan saya seorang saja Melayu yang ada dalam kumpulan tersebut, maka proses komunikasi agak sukar. Ada jenaka yang tidak saya fahami.

Lalu saya ambil keputusan untuk tidur. Pagi itu Hafiz yang kejutkan saya. Lagipun dia memang bersemangat untuk diving hari itu.

Haluan kami yang keempat ialah Soyak. Pulau yang sama dengan yang semalam.

Selepas sarapan pagi kami bertolak. Tepat jam 11.44 pagi kami memulakan aktiviti kami. Hujan renyai pagi itu. Suasana di atas bot memang agak sejuk sedikit. Mujur apabila berada di dalam laut suhunya semakin panas.

Arus agak besar pagi itu. Permukaan laut agak berombak. Lalu timbul perasaan sedikit gusar. Ini mungkin kali pertama saya melangkah ke lautan dalam dengan cuaca yang tidak begitu baik.

Saya bersama Shonny menyelam sedalam 15.8 meter selama 29 minit. Jarak penglihatan tidak begitu baik iaitu hanya 4 meter. Selain skil mengapungkan diri, saya perlu melatih skil “fining”. Kayuhan saya masih lemah dan banyak ketinggalan dari kumpulan.

Berada jauh dari kumpulan memang agak menakutkan kerana jika ada apa-apa yang berlaku. Selain itu saya perlu sentiasa berada dalam keadaan horizontal kerana apabila badan senget, saya akan naik ke atas dan itu perlu dielakkan.

Kalaulah saya tahu berenang mungkin lebih mudah. Satu cara untuk belajar adalah dengan meniru. Saya banyak meniru gaya Shonny dan Hafiz “fining”. Ada juga yang menjadi. Fining kena power, barulah boleh bergerak dalam air.

Kami melakukan beberapa skil untuk peperiksaan seperti buoyancy control dan hovering.

Kami naik ke permukaan tepat jam 12.13 tengahari. Kami makan tengahari di atas bot. Satu pengalaman yang agak berbeza yang tidak pernah saya lakukan sebelum ini.

Dive-Buddy !
Sebulan yang lepas...
SM : Diving ni hobi orang mewah lah ! Too posh lah for me !
Shonny : No lah ! Diving hobi orang yang ada kelas, like us !

Haluan kami yang kelima ialah Sea Fan Garden.

Kami memulakan aktiviti selaman tepat jam 2.38 petang sedalam 15.5 meter. Kami berada di dasar selama 42 minit.

Saya melakukan beberapa skil menyelamatkan diri iaitu dikenali sebagai CESA. Secara jujurnya CESA merupakan skill yang paling saya tidak suka sewaktu belajar di kolam renang dulu.

CESA ialah kaedah yang perlu dipelajari untuk naik ke permukaan laut sekiranya tangki kehabisan udara. Bayangkan jika tiba-tiba kehabisan udara di dasar laut. BCD tidak dapat di”inflate” dan selepas 3 nafas kena naik ke permukaan dengan menggunakan kayuhan kaki sahaja sambil mendongak dan mengeluarkan bunyi “ahhh”. Ada sebab kenapa perlu mengeluarkan bunyi agar paru-paru terbuka.

Tekanan dari bawah laut ke atas akan bertambah. Bagi saya memang sukar benar skil tersebut. Saya terpaksa mengulanginya tiga kali kerana beberapa kesilapan.

Apabila berada di permukaan, BCD perlu di”inflate”. Ingat ! Tangki sudah kehabisan udara, oleh itu perlu inflate guna “oral inflate”. Bayangkan dalam kaki sedang mengayuh, minda perlu bekerja keras untuk melakukan pelbagai perkara dalam satu masa.

Yang penting, JANGAN PANIK ! Itu prinsip utama untuk penyelam. JANGAN PANIK ! Ia sebenarnya banyak mengajar saya untuk berhadapan dengan pelbagai situasi yang tidak diduga sekiranya berlaku.

Apabila tiba di permukaan, saya perlu juga melakukan beberapa skil yang melibatkan permukaan seperti memasang dan membuka BCD. Lebih kurang macam nak pakai baju, cuma ia dibuat di permukaan air dengan tangki yang berat yang perlu diimbangkan di permukaan laut. Jika nasib tidak baik permukaan laut berombak.

Selain daripada itu, saya perlu melakukan navigasi kompas di permukaan laut. Saya perlu tahu menggunakan kompas dan membaca kompas. Kita perlu percaya kepada kompas kerana itulah satu-satunya cara untuk mendapatkan arah.

Berada di dasar laut di Sea Fan Garden lebih indah. Pelbagai hidupan laut yang sebelum ini hanya saya lihat di akuarium berada di depan mata. Ada ikan yang datang pada kita. Setakat ini saya masih belum bertemu dengan penyu, stingray atau pun jerung. Saya mahu bertemu dengannya, mungkin di Sipadan.

Saya mahu lihat sendiri bagaimana diri saya mengawal keadaan tersebut. Apakah debaran akan menguasai situasi atau pun sebaliknya. Belum cuba belum tahu ! Jujur, saya tidak sabar untuk ke Sipadan lusa ini.

Jarak penglihatan di Sea Fan Garden lebih jauh iaitu 10 meter. Jadi apa sahaja yang berada di hadapan saya kelihatan dengan jelas. Sekali-sekala saya perlu buat “mask clearing” untuk membuang air yang masuk ke dalam mask.

Aku Mahu Lari...

Haluan kami yang keenam ialah Labas.

Labas agak menarik kerana kedalamannya. Kami memulakan aktiviti selaman pada jam 4.24 petang dan berada di dasar laut selama 44 minit. Kami naik semula ke permukaan pada pukul 5.08 petang.

Kedalamannya membolehkan banyak hidupan di dasar dapat dilihat. Saya berpeluang untuk menyelam di tengah batu karang. Sekali lagi skil hovering amat penting ketika ini.

Sesuatu yang menarik dalam selaman ini ialah sewaktu safety stop selama 3 minit saya semacam naik ke atas secara tiba-tiba. Saya lihat Hafiz dan Jolyn berdekatan. Selepas selaman ketiga untuk hari kedua memang agak memenatkan. Mereka banyak membantu saya berenang ke arah bot.

Malam itu memang saya tidur agak awal kerana kepenatan.

Hari ketiga kami iaitu hari terakhir saya di Tioman kami ke Renggis sekali lagi.

Kami memulakan aktiviti kami tepat jam 10.59 pagi sedalam 8.8 meter dan berada di dasar selama 20 minit sahaja.

Angin terlalu kuat. Satu lagi selaman yang menyukarkan. Baik di permukaan mahu pun di dasar. Di dasar laut, arus terlalu kuat. Saya belajar untuk drifting. Bukan kereta saja boleh drift, diving pun boleh drift. Drift membawa kami entah ke mana-mana. Bot di permukaan menunggu di tempat lain, kami naik di tempat lain.

Untuk naik ke atas bot dengan permukaan laut yang berombak memang amat menyukarkan. Siapa yang tidak tahan boleh pengsan. Lebih-lebih lagi dengan kepenatan melawan arus. Sungguh sukar.

Kami menamatkan diving di Tioman dengan satu selaman yang sukar. Sebuah pengalaman yang tidak boleh dibeli di mana-mana.

Certified Diver

Malam terakhir itu saya sudah boleh digelar DIVER. Janji saya. Diving akan saya jadikan hobi yang serius. Jika Shonny boleh menjadikannya sebagai mata pencarian, tidak mustahil satu hari saya juga akan melakukan yang sama.

Jika saya sudah berjanji, saya akan tepati. Itu janji saya. Saya sudah temui apa yang saya cari walaupun kehilangan sesuatu. Kehilangan itu bersifat sementara kerana pencarian tidak pernah tamat.

Aku Mahu Lari...

Mulai Isnin depan, buku log saya akan tertulis SIPADAN. Saya sendiri tidak pernah mengimpikan untuk pergi ke pulau itu dulu-dulu. Ianya berlaku secara tiba-tiba. Sebagai satu cara untuk saya melarikan diri dari tekanan. Jika boleh saya mahu juga lari dari Astro AWANI. Itu yang saya rasa sekarang.

Lari dari Astro AWANI… aku mahu lari...aku mahu lari...aku mahu lari...