Undilah

SULTANMUZAFFAR (26 Februari 2002 - sekarang)

Seorang blogger, pelayar internet, penyelam scuba dan penagih tegar televisyen dan Wii. Melihat seluruh dunia di laman blog menerusi kamera DSLR dan kacamata tebalnya (kadang-kadang kanta lekap).

Mengkritik tidak bererti menentang, menyetujui tidak semestinya menyokong, menegur tidak bermakna membenci, dan berbeza pendapat adalah kawan berfikir yang baik.
Entri oleh sultanmuzaffar 07 October 2003

Klip audio weblog sultanmuzaffar di Carta ERA
::terima kasih legally_evasive::

Di Mana Bulan Selalu RetakDiploma Showcase (PPA353)
Fakulti Seni Persembahan
Oleh Anjung Seni Production
Auditorium Muzium Negara, Kuala Lumpur
4, 5, 8 dan 9 Oktober 2003
8 malam

Di dalam sesebuah pertubuhan dan penganjuran sesebuah teater terdapat dua cabang yang penting di dalam menentukan kejayaan sesebuah produksi iaitu bahagian pengurusan dan persembahan. Untuk mewujudkan sebuah produksi yang cemerlang adalah perlu mengamalkan prinsip dan amalan pengurusan berteraskan keuntungan, kecekapan, perlaksanaan dan daya usaha yang tinggi.

Kumpulan besar ini dibahagikan kepada tiga buah kumpulan di mana sebuah kumpulan pengurusan dan dua buah produksi kreatif yang akan mempersembahkan dua karya yang berbeza. Karya agung yang dimaksudkan ialah Di Mana Bulan Selalu Retak karya Dato’ A.Samad Said dan Mimpi adaptasi dari terjemahan oleh Fakulti Undang-Undang, Universiti Malaya karya William Shakespears, “Mid Summer Night’s Dream”.

Di Mana Bulan Selalu Retak
Di Mana Bulan Selalu Retak merupakan sebuah cerita yang memaparkan kisah perjalanan hidup manusia yang sentiasa berhadapan dengan pelbagai cabaran, rintangan dan keperitan hidup. Penceritaan bermula dari kisah hidup seorang wanita bernama Zuraidah yang tinggal bersama seorang adik lelakinya yang bernama Falel. Zuraidah yang bekerja sebagai seorang penari kabaret di mana dia terdesak dengan keadaan. Ini adalah kerana dia tidak mempunyai kelulusan dalam pelajaran. Falel merupakan seorang bekas askar yang terpaksa berhenti kerja kerana perlu bertanggungjawab menjaga kakaknya yang keseorangan setelah berpisah dengan suaminya serta kematian bapa mereka. Keadaan sedemikian menjadikan mereka hidup dalam keadaan yang susah bila mana tiada sebarang harta yang ditinggalkan untuk mereka berdua. Melalui pekerjaan Zuraidah dan situasi pengangguran Falel, masyarakat setempat berpandangan negatif dan sering melemparkan tohmahan terhadap mereka berdua. Ini membuatkan Falel sering rasa tertekan dan sering bergaduh dengan kakaknya. Konflik tercetus antara mereka.

Di Mana Bulan Selalu Retak
Karya berat ini ini telah banyak kali dipentaskan oleh pelbagai kumpulan teater di Malaysia. Setiap kumpulan cuba memberi intepretasi baru kepada naskhah ini. Saya belum pernah berpeluang untuk menilai persembahan dari naskhah yang sama dari kumpulan yang lain. Ini merupakan kali pertama saya menonton naskhah ini diangkat ke pentas teater. Skrip sudah seminggu berada di tangan dan sudah hampir selesai dibaca oleh saya. Pada penilaian saya, ia merupakan sebuah skrip yang panjang dan penuh dengan mesej-mesej yang berguna untuk masyarakat di masa kini. Dialog-dialog panjang terlalu banyak dalam naskhah tersebut. Termasuklah dengan adegan-adegan panjang yang meleret-leret. Unsur humor cuba dimasukkan dalam skrip ini untuk mengurangkan ketegangan penonton dan diselitkan sesuai pada masanya.

Dinilai dari aspek lakonan, Farid Kamil sebagai Falel dilihat kurang berjaya merealisasikan watak Falel. Falel seorang lelaki yang bersifat memberontak, jiwanya tertekan, sengsara kesan hinaan masyarakat dan tanggungjawabnya yang maha berat buat kakaknya. Watak Falel memerlukan mainan emosi yang benar-benar ikhlas dari hati pemainnya. Falel adalah jiwa yang memberontak, jiwa yang cuba memenuhi harapan, jiwa ego seorang lelaki, jiwa seorang lelaki yang tertekan dengan keadaan serta jiwa seorang lelaki yang kecewa. Farid Kamil sebagai teraju utama persembahan ini dilihat mampu memikul beban itu dengan baik. Fokus cerita ini lebih tertumpu kepadanya dan beliau bijak bermain dengan ruang dan ekspresi wajahnya menampakkan gelora jiwanya ketika itu serta intonasi dialognya kena pada cara. Kehebatan beliau menguasai pentas harus dipuji. Siti Nurbaya sebagai Zuraidah juga tidak berjaya membawakan wataknya dengan baik lebih-lebih lagi sebagai penari kabaret. Tetapi kelebihan beliau ialah ekspresi kesedihannya berjaya diluahkan dengan berjaya. Hasnor Wan Zarifi terlalu banyak kali mematikan mood penonton. Mungkin kerana dua watak yang jauh beza sekali karekternya menyebabkan beliau hilang arah. Beliau membawakan watak Atan dan Yazid. Atan sebagai seorang kanak-kanak dan Yazid sebagai seorang rakan kepada Falel. Sifat keanak-anakannya jelas pada watak Yazid. Kegugupan beliau di pentas jelas ketara pada tangannya. Pengucapan dialog setiap pelakon lebih kepada sekadar menghabiskan dialog. Kegugupannya mengingatkan saya pada watak Leman dalam Rumah Kedai Jalan Seladang. Malangnya tiada hubungan antara enam pelakon tersebut. Setiap pelakon berdiri dengan sendirinya. Tiada chemistry di antara setiap watak walaupun hubungkait mereka dalam penceritaan saling berkait. Terdapat dua pelakon yang membawakan dua watak. Melihatkan bilangan tenaga produksi yang terlibat rasanya tidak salah sekiranya watak Yazid dan watak Hanisah diberikan kepada pelajar yang lain. Persembahan ini tidak dikekang oleh mana-mana peraturan seperti peraturan sewaktu menyertai Festival Teater yang mana bilangan tenaga produksi sesuatu persembahan tidak boleh melebihi 20 orang.

Di Mana Bulan Selalu RetakRekaan Set dan Tatacahaya
Rekaan set yang minima amat sesuai dengan persembahan ini. Hanya dinding yang bertampal surat khabar serta poster-poster wajah pelakon-pelakon filem zaman tersebut. Oleh kerana ruang pentas yang kecil, maka pertukaran set perlu dilakukan untuk membezakan di antara rumah Falel dan kabaret. Penggunaan tatacahaya juga bersesuaian ditambah lagi dengan kemudahan pentas di Auditorium Muzium Negara yang sememangnya bukan untuk tujuan pementasan teater. Adakalanya cahaya tidak memancar ke wajah pelakon dan penonton tidak dapat melihat ekspresi wajah pelakon. Saya amat tertarik dengan konsep lampu yang digunakan. Teknik bayang yang mengenai dinding pentas amat menarik. Ada sedikit-sedikit konsep noir yang diterapkan atau pun secara kebetulan. Saya tidak pasti. Mungkin juga secara kebetulan tatacahaya hanya mengenai separuh wajah pelakon dan tidak secara keseluruhan. Jika dikaji dari teknik pencahayaan yang digunakan, pada zaman tersebut adalah zaman gelap manusia-manusia yang hidup pada zaman tersebut. Kesamaran hidup, kesengsaraan hidup menjadi gelora yang berlaku pada ketika itu.

Muzik
Saya menggemari muzik yang digunakan untuk persembahan ini. Penggunaan muzik latar ciptaan sendiri wajar dipuji. Lagu ciptaan Hamzah Tahir amat bersesuaian dengan latar zaman tersebut. Penggunaan alat muzik yang minima berjaya mencantikkan lagu-lagu tersebut.

Pengurusan
Sebagai sebuah kumpulan teater, faktor penajaan sering menjadi masalah besar kepada produksi ini. Kumpulan ini bergerak atas nama UITM dan subjek pengajian. Maka penajaan yang dipohon agak sukar untuk diperolehi. Namun demikian, sebagai bakal anak seni, saya puji semangat mereka yang terus berusaha dengan gigih untuk merealisasikan persembahan ini. Promosi yang dilakukan oleh mereka berjaya sampai kepada saya melalui sekeping poskad yang diterima oleh rakan saya. Melalui cara tersebut, saya berkeinginan untuk menonton persembahan tersebut. Segala kekurangan yang ada saya anggap sebagai satu percubaan yang boleh saya sifatkan berjaya kerana mereka tidak patah semangat.

Di Mana Bulan Selalu RetakSaya tertarik dengan Anjung Seni Production (ASP) yang ditubuhkan oleh sekumpulan pelajar ini untuk terus bergiat aktif walaupun setelah menamatkan pengajian mereka. Secara tidak langsung, bilangan kumpulan seni yang ada di Malaysia semakin bertambah. Apa yang perlu kita tunggu ialah hasilnya kelak. Barulah boleh dinilai keberkesanan atas pengwujudan ASP sebagai mewujudkan sebuah kakitangan produksi yang profesional untuk mendapatkan mutu persembahan yang terbaik. Setiap seorang dari 43 orang pelajar tersebut telah diberikan tugas untuk menjayakan persembahan ini. Dari pelakon, pengarah, penata bunyi, cahaya, kostum, pereka set, pemasaran dan publisiti, kewangan, logistik, tajaan, dokumentasi dan perhubungan awam juga yang menjaga makan-minum setelah selesai pementasan. Mereka berganding bahu menyiapkan tugasan ini. Saya harus puji salah seorang tenaga kerja yang merasa bersalah kerana saya tidak mendapat layanan sewajarnya sewaktu menikmati persegaran setelah selesai pementasan. Berkali-kali beliau memohon maaf.

Di Mana Bulan Selalu RetakRata-rata penonton pada malam tersebut ialah dari kalangan penggiat seni teater tanahair yang biasa saya tonton persembahan mereka. Penggiat teater sejati jika boleh saya guna perkataan tersebut. Mereka datang menonton untuk memberikan sokongan yang tidak berbelah bahagi kepada mereka ini. Terima kasih.

Minggu hadapan, pada hari Sabtu dan Ahad akan berlangsung sebuah lagi pementasan teater bertajuk Mimpi arahan Ahmad Yatim di tempat yang sama iaitu di Auditorium Muzium Negara. Mimpi adalah karya William Shakespeare dan merupakan adaptasi dari Mid Summer Night’s Dream. Ia mengisahkan tentang Thesus, Raja Athens yang akan mengumumkan perkahwinannya dengan Hippolyta, Ratu Kaum Amazon dalam masa empat hari. Egues telah berjumpa dengan Thesus untuk mengadu tentang anaknya, Hermia hendak dikahwinkan dengan Demetrius. Hermia mencintai Lysander tetapi Egues tidak sukakan Lysander. Rhesus mengumumkan Hermia mesti berkahwin dengan Demitreus atau dihukum mati ataupun berkhidmat di gereja. Lysander mengajak Hermia lari ke rumah Mak Cik Lysander dan terpaksa menempuhi hutan belantara. Ketika di dalam hutan, sekumpulan buruh kasar iaitu Quince, Bottom, Flute, Starveling, Snug dan Snout telah merancang membuat persembahan di hari perkahwinan Raja.