Pagi Ahad tidak lengkap tanpa menelah Pancaindera di Mingguan Malaysia. Bukan untuk membaca gossip terbaru oleh Huzz tetapi membaca ruangan Apresiasi Filem oleh saudara Ku Seman Ku Hussin. Andai anda bukan pembaca akhbar, jauh sekali membeli akhbar, saya sertakan di sini sepucuk surat kepada Tuan Produser karangan beliau untuk tatapan anda. Di sebuah akhbar yang satu lagi, Datuk Yusof Haslam juga menyuarakan suara hati beliau. Dalam nada yang berbeza sekali dari surat panjang untuk Tuan Produser ini.
Surat Kepada Tuan Produser
Apresiasi Filem
Siri 32
Oleh Ku Seman Ku Hussain
Usia filem tempatan pada relatifnya bukanlah baru. Siapa kata usia menjangkau enam dekad sebagai baru dan masih belum menemui arah yang selayaknya? Tentunya amat tidak masuk akal pembangunan filem tempatan yang mengambil masa enam dekad ini masih belum boleh menemui dirinya sendiri.
Saudara-saudara produser, kita boleh lupakan nostalgia Jalan Ampas yang digerakkan oleh pemodal dari Hong Kong dan pengarah dari India. Tetapi kalau kita bermula dengan Hulu Klang sebagai Beverly Hill Malaysia pada tahun 1960-an, usia filem tempatan masih juga bukan baru.
Pada usia empat dekad di negara ini, filem tempatan masih juga tercari-cari dirinya yang hilang. Tetapi pada masa yang sama para pemodal yang berfikiran niaga terus mencipta formula untuk menjadikan filem sebagai aset perniagaan. Barangkali di persimpangan ini kita sedikit tersesat antara filem sebagai cetusan hati nurani manusia dengan filem sebagai bahan dagang.
Sebahagian besar daripada kita menjadi keliru di persimpangan ini dan menjadi lebih malang lagi apabila kedua-dua jalur yang sangat berbeza ini disatukan. Kecelaruan ini menjadikan faktor yang sangat unik sekali gus membantutkan pembangunan filem tempatan.
Filem tempatan dianggap sangat malang apabila ia tidak mempunyai suara untuk bercakap mengenai bangsanya. Bukan saja di pentas antarabangsa malah di pentas dalam negara ini. Filem tempatan semacam langsung tidak ada suara kalau dilihat dalam konteks hati nurani manusia.
Apakah ini bukan lagi suatu yang malang bagi sebuah karya seni bernama filem? Berapa orang yang melihat fenomena ini sebagai suatu yang sangat malang bagi filem kita? Barangkali langsung tidak ada yang melihat daripada jurus demikian kerana kita keliru di persimpangan antara bahan niaga dan cetusan nurani tadi.
Filem tempatan masih belum boleh dibanggakan kalau dilihat daripada kemampuan menyuarakan cetusan bangsa dan negaranya. Habis kalau semua itu tidak mampu dilakukan, apa yang dilakukan oleh filem tempatan selama ini? Kepada para produser dan pengarah yang ratusan orang jumlahnya, apakah yang saudara semua lakukan untuk mengubah keadaan ini?
Saudara-saudara produser, kita sebenarnya antara negara yang paling malang kerana tidak menggunakan filem untuk memanjangkan suara kita. Apa kurangnya kita kalau dibandingkan dengan Kemboja, Vietnam atau Singapura.
Saiz industri filem kita ternyata lebih besar daripada negara-negara yang disebutkan tadi. Tetapi kenapa filem dari negara yang mundur seperti Vietnam atau Kemboja boleh bersuara, tetapi yang dilihat kaya-raya tidak mampu bersuara?
Sesetengah daripada saudara yang ligat mengira untung dan rugi daripada ringgit dan sen, filem kita telah ditinggalkan jauh oleh jiran-jiran yang mempunyai usia bidang perfileman yang lebih kurang sama atau lebih muda daripada kita. Hari ini kita jangan berbangga tidak tentu pasal dengan kutipan di pawagam.
Mentaliti inilah yang membuatkan filem Malaysia tertinggal jauh berbanding Singapura yang sangat muda usia perfileman mereka. Apa alasan untuk kita mempertahankan diri kalau dianggap filem tempatan terus dengan kekolotan berbanding Singapura?
Filem Singapura semakin jelas di pentas dunia. Malah Singapura juga menjadi destinasi penting perfileman di sebelah sini apabila berbelas tahun menganjurkan Festival Filem Antarabangsa Singapura.
Saudara-saudara produser, bila lagi saudara mahu membawa filem tempatan keluar dari persembunyian yang sangat lama ini? Janganlah selalu sangat melihat angka-angka sedangkan sebenarnya yang saudara berikan kepada pembeli tiket adalah bahan-bahan terbuang yang tidak ada nilai.
Kasihan penonton-penonton kita yang berkorban membeli tiket untuk menyokong filem tempatan. Mereka barangkali lebih patriotik daripada sesetengah saudara produser. Tetapi pengorbanan mereka tidak ke mana apabila barang buangan yang dihidangkan. Di mana martabat saudara sebagai produser kalau tiga dekad masih belum ``pandai'' memartabatkan filem sendiri?
Adakah kita tidak mempunyai karyawan atau sebenarnya karyawan berilmu dan berbakat tapi tidak diberi peluang? Dengan sekian banyak pusat pengajian tinggi yang menawarkan pengajian perfileman dan jumlah yang pulang dari luar negara, filem tempatan seharusnya telah jauh berubah.
Tetapi kerana penentuan di tangan saudara-saudara produser, apalah yang mampu dilakukan oleh pengarah-pengarah sekali pun berpengalaman luas? Maka saudara pun memancing penonton dengan tema-tema lapuk, gimik-gimik basi dan segala macam yang memperlihatkan sikap tidak bertanggungjawab saudara-saudara.
Bayangkan filem yang mendapat dana perfileman tetapi pengarah filem tidak dapat dibawa bersama ke makmal proses di luar negara kerana ketiadaan peruntukan? Tidakkah ini satu yang sangat luar biasa.
Tetapi kalangan saudara-saudara menganggap ini perkara biasa dan tentunya hal-hal lain berkaitan mutu dan artistik tentulah bukan keutamaan sesetengah daripada saudara.
Ikuti surat kedua minggu depan yang ditujukan kepada anak-anak muda yang baru bermain kamera. Tapi suara mereka bergema jauh menjelajahi dunia. Siapa mereka?
0 komen