Undilah

SULTANMUZAFFAR (26 Februari 2002 - sekarang)

Seorang blogger, pelayar internet, penyelam scuba dan penagih tegar televisyen dan Wii. Melihat seluruh dunia di laman blog menerusi kamera DSLR dan kacamata tebalnya (kadang-kadang kanta lekap).

Mengkritik tidak bererti menentang, menyetujui tidak semestinya menyokong, menegur tidak bermakna membenci, dan berbeza pendapat adalah kawan berfikir yang baik.
Entri oleh sultanmuzaffar 03 December 2003

Mr. Cinderella 2: Angan-Angan Orang Melayu !

Pertama kali dalam sejarah perfileman Malaysia, lima buah filem berentap untuk tayangan sempena Hari Raya tahun ini. Satu yang amat membanggakan kerana stok filem Melayu sudah dikatakan terlalu banyak sehingga berlaku lambakan di pasaran. Tetapi filem sebagaimana yang dipertontonkan kepada masyarakat, masih menjadi tandatanya.

Menonton sekuel Mr.Cinderella kali ini merupakan pengalaman yang paling membosankan. Kelemahan utama filem ini ialah sub-plot yang terlalu banyak sehingga memeningkan kepala saya. Jika tujuan filem ini dibuat adalah untuk hiburan, matlamatnya sudah jauh tersasar.

Kelancaran naratif filem ini terganggu kerana diselitkan isu-isu yang sekadar untuk menyedapkan cerita. Kita seharusnya belajar dari Iran, negara yang kita pandang sebelah mata kemajuannya dari segi politik dan pembangunan negaranya tetapi mereka sudah jauh meninggalkan kita dalam industri perfileman. Iran boleh berbangga dengan filem yang bercerita hanya tentang sepasang kasut. Tumpuan yang jelas dari awal hingga akhir dan menyebabkan kita terpaku di kerusi menonton filem sedemikian. Kelemahan sebegini sepatutnya sudah diambil iktibar sejak dahulu.

Mesej
Kekuatan utama filem ini adalah meningkatkan fantasi penonton Melayu agar terus dibuai mimpi-mimpi indah Prince Charming datang melamar Puteri Cinderellanya. Lalu masyarakat yang berjaya dihasilkan oleh filem ini adalah masyarakat yang terlalu dibuai oleh fantasi. Filem ini langsung tidak mendidik masyarakat Melayu menjadi lebih progresif sebaliknya filem ini terus menekankan yang masyarakat Melayu adalah masyarakat yang gemarkan fitnah dan salah sangka. Mungkin kerana fitnah, salah sangka, tipu muslihat itu sudah terlalu sinonim dengan Melayu sejak zaman Hang Tuah lagi.

MC2Dipetik dari Berita Harian, Pengarah Urusan Kuasatek Pictures, Mohd Noor Kadir, berkata sekuel Mr Cinderella ini adalah sebuah kisah cinta yang lebih hebat dan diyakini akan memberi kepuasan kepada penonton filem Melayu.

Selain menonton kisah menarik, penonton juga berpeluang meneroka keindahan alam semula jadi New Zealand di sekitar Victoria Square, Botanic Gardens, Port of Lyttleton dan ladang ternakan biri-biri Malvern Abuttoir di Burnham.


Apakah itu matlamat sesebuah filem dihasilkan ? Tepuk dada tanya selera.

Lakonan
Saya kira lakonan Yusry lebih baik dalam Cinta Kolestrol berbanding filem ini dan lakonan Erra masih terkongkong dengan skrip. Tiada keistimewaan lakonan oleh pelakon utamanya dalam filem ini kecuali lakonan oleh beberapa pelakon tambahan. Jalaluddin Hassan contohnya telah berjaya melarikan diri dari stereotype romeonya dalam filem ini. Maya Karin juga tidak begitu mengecewakan dan berpotensi untuk digilap menjadi pelakon yang lebih berjaya. Saya nantikan hasil yang lebih hebat dari Maya Karin melalui filem Pontianak Harum Sundal Malam. Kemunculan Helmi The Gimmick yang membawakan watak Hassan juga tiada kesinambungan dengan sekuel yang terdahulu. Watak beliau sebagai seorang yang ber”mulut busuk” itulah yang akhirnya menjerat dirinya sendiri. Wataknya ditamatkan dengan mudah walaupun setelah membuat fitnah yang bukan kecil terhadap bakal menantu Di Raja. Watak Anita Sarawak sebagai Suraya juga seperti ada yang tidak kena. Suaranya lebih sesuai jika menggunakan suara asal beliau daripada mengubahnya kepada suara Doraemon.

Sinematografi
Saya wajar memuji keindahan negara Malaysia dan New Zealand yang dipaparkan di dalam filem ini. Kerja kameranya nyata bagus. Walaupun terdapat gegaran pada sesetengah shot apabila melibatkan pergerakan kamera. Kemewahan golongan Di Raja diceritakan dengan terperinci dalam filem ini. Filem ini nampak begitu mewah.

Cadangan
Saya mencadangkan agar Penerbit Kuasatek Pictures terus sahaja menerbitkan Cerekarama yang jauh lebih berkualiti daripada beliau menghabiskan wang berjuta ringgit untuk menerbitkan filem yang nampak gah di luar tetapi isinya kosong. Saya amat mengkagumi Cerekarama yang telah beliau terbitkan yang saya kira amat hebat. Surah Terakhir, Rebah Di Pintu Neraka, Salam Taj Mahal, Cinta Korporat dan beberapa lagi tajuk yang tidak dapat saya ingati. Saya pasti bakal menyusul Mr. Cinderella 3 kerana Hakimi dan Puteri Megawati belum pun berkahwin di penamat filem yang satu ini. Secara keseluruhan saya resah menonton filem ini yang terlalu syok sendiri serta bunyi handphone oleh penonton dangkal yang tidak pernah memikirkan tentang penonton lain.

Pada pandangan saya biarlah filem itu jika pun mahu dikomersialkan tetapi tetap diberi sentuhan artistik yang baik serta nilai mesej yang ingin disogokkan kepada penonton berbaloi dengan nilai wang ringgit yang dibelanjakan oleh Penerbit serta nilai wang yang digunakan oleh penonton untuk menonton filem ini. Kita masih memerlukan filem komersial tetapi biarlah yang mampu mendidik masyarakat dan bukan sekadar mengaut keuntungan.

Nota: Al-Fatihah disedekahkan buat 14 mangsa yang terbunuh dalam kemalangan antara bas sekolah dan bas ekspres di Kilometer 63 Jalan Lipis-Merapoh, Kuala Lipis. Kepada pengundi di Kelantan, Terengganu dan Pahang, pastikan anda mengundi Barisan Nasional pada pilihanraya akan datang. Barisan Nasional pasti menghadiahkan kepada anda sebuah lebuhraya yang lebih baik untuk kegunaan semua. Selepas 4 tahun, undi semula PAS iaitu setelah lebuhraya disiapkan oleh kerajaan Barisan Nasional. Sebelum siapnya lebuhraya baru itu, maka semakin banyaklah nyawa yang melayang.

Related Posts with Thumbnails

www.gua.com.my

sultanmuzaffar - entertainment blogger