Undilah

SULTANMUZAFFAR (26 Februari 2002 - sekarang)

Seorang blogger, pelayar internet, penyelam scuba dan penagih tegar televisyen dan Wii. Melihat seluruh dunia di laman blog menerusi kamera DSLR dan kacamata tebalnya (kadang-kadang kanta lekap).

Mengkritik tidak bererti menentang, menyetujui tidak semestinya menyokong, menegur tidak bermakna membenci, dan berbeza pendapat adalah kawan berfikir yang baik.
Entri oleh sultanmuzaffar 18 December 2003

Projek Suitcase 2003

Saya berkesempatan untuk menonton teater monolog yang dipersembahkan sempena Projek Suitcase 2003. Karya-karya oleh penulis-penulis drama di kalangan generasi muda dari Malaysia dan Singapura seperti Faisal Tehrani, Nam Ron, Alfian Sa'at dan Aidli 'Alin' Mosbit dipersembahkan dalam bentuk persembahan monolog.

Suitcase 2003matderihkolaperlih
matderihkolaperlih hebat di pentas. Pelakon kelahiran Perlis ini bersahaja apabila melontarkan dialognya. Dialek yang digunakan mungkin sudah biasa beliau gunakan. Monolog ini diarahkan, dilakonkan dan ditulis oleh Nam Ron. Nam Ron menjadi dirinya sendiri dalam monolog ini. Begitu bersahaja tetapi lakonannya berjaya dikawal dengan baik. Penonton seolah-olah terkunci untuk menontonnya dari awal hingga akhir. Transformasi pelbagai watak juga mampu direalisasikan oleh beliau dengan cemerlang. Saat di kala beliau membuka dompet lelaki yang baru sahaja dibunuh olehnya, penonton diam. Seakan-akan dibawa bersama perasaan kecewa, sedih hasil dari lakonannya itu. Nam Ron berjaya memancing penonton dengan lakonannya dan saya pasti penonton termakan umpan lakonannya yang hebat. Satu yang agak menarik ialah penglibatan penonton yang tanpa segan silu memberikan kerjasama yang baik di dalam monolognya itu. Penonton berinteraksi dengan beliau seperti profesional. Penggunaan teknik bayang memberikan satu kelainan dalam pengarahan teater. Sebenarnya, jika diberi sedikit kelonggaran, teater mampu menjadi medium untuk penggiat teater yang “outspoken” untuk berkarya kerana apa yang dipersembahkan adalah secara langsung tanpa ada sekatan guntingan penapisan.

Suitcase 2003La Libre Latifa (Latifa yang Bebas)
La Libre Latifa berkisar tentang seorang wanita yang ingin berkahwin dengan lelaki dari India tetapi mendapat tentangan keluarganya. Lakonan Molizah Mohd Mohter sebagai Latifa amat cemerlang. Beliau beraksi dengan penuh bertenaga lalu berjaya menjiwai wataknya dengan baik. Tenaga yang disalurkan kepada watak Latifa sungguh diluar dugaan. Transformasi wataknya dengan beberapa watak lain yang harus dibawa oleh beliau berjaya dijanakan dengan lancar. Hingga saya merasakan watak tersebut dibawa oleh pelakon yang berlainan. Cerita yang dipersembahkan juga merupakan sebuah cerita masyarakat. Kisah yang biasa tetapi mesej yang ingin disampaikan berjaya mendapatkan audiennya. Kelebihan La Libre Latifa yang saya kira amat menarik ialah penggunaan teknik multimedia di dalam persembahannya. Layar video sebenarnya mampu memberi pemahaman yang lebih baik kepada penonton. Kekuatan monolog ini tentunya terletak pada arahan dan lakonan pelakonnya yang cemerlang. Kita patut membuat keputusan yang akhirnya menggembirakan diri kita dan bukannya untuk memuaskan hati orang lain.

Suitcase 2003Minah & Monyet
Minah & Monyet disogok dengan terlalu banyak sub-plot sehingga cerita utama monolog ini tenggelam. Dinilai dari aspek lakonan, saya kira Elnie Shumastri telah berjaya membawakan wataknya dengan cemerlang mengambilkira beliau hanyalah understudy. Tiga hari untuk menghafal monolog-monolog panjang amat mengkagumkan dan saya harus tabik kepada beliau. Sekali lagi transformasi pelbagai watak berjaya dilakukan dengan baik.

Monsopiad & Lain-Lain Cerita
Kata Nizam Zakaria, Monsopiad & Lain-lain Cerita adalah sebuah karya yang kabur (cukup kabur sehingga rakan penonton di sebelah saya tertidur buat beberapa ketika). Harap maaf, sayalah yang tertidur itu. Karya berbahasa asing (Dusun) ini jika sarikatanya tidak ditapis sudah pasti saya akan menontonnya dari awal hingga akhir. Ulasan saya cukup setakat ini sahaja.

Komen keseluruhan
Kesan tatacahaya yang digunakan adalah secara minima sesuai dengan konsep monolog yang dipersembahkan. Paling penting dalam monolog ialah lakonannya. Kedua adalah ceritanya dan yang akhir ialah tekniknya. Tanpa kekuatan teknik, persembahan monolog masih boleh dipersembahkan, tetapi tanpa kekuatan cerita, persembahan monolog boleh gagal. Penggunaan multimedia serta sarikata yang terpancar di dinding Stor Teater sedikit sebanyak memberikan lebih pemahaman kepada naratif cerita yang dipertontonkan. Secara keseluruhan saya harus puji penerbit Projek Suitcase 2003 yang telah berjaya memperkenalkan kepada saya generasi penggiat teater Singapura. Sebelum ini saya hanya sekadar mendengar nama dan tidak pernah berpeluang untuk menonton persembahan mereka. Karya-karya penggiat generasi muda teater perlu diperluaskan lagi agar raungan suara anak-anak muda teater kelompok ini didengar oleh khalayaknya.

Rating
matderihkolaperlih: A
La Libre Latifa (Latifa yang Bebas): A-
Minah & Monyet: B-
Monsopiad & Lain-Lain Cerita: tiada