Rumah Terbuka Akademi Fantasia
Rumah Terbuka Akademi Fantasia (RTAF) dijayakan dengan berjaya oleh tenaga produksi ASTRO yang diketuai oleh Adi Shamsul selaku Penerbit. Rancangan ini cuba membawa penonton mengimbau zaman anak-anak muda berhari raya di kampung halaman. Nostalgia yang dipertontonkan oleh mereka nampaknya menjadi. Konsep yang ingin ditonjolkan berjaya menepati citarasa sebilangan penonton tetapi tidak semua.
Saya pernah menonton Rumah Terbuka Tan Sri SM Salim beberapa tahun yang lepas. Apa yang boleh saya katakan, ia merupakan sebuah produksi yang boleh dibanggakan. Rancangan itu saya kira berjaya kerana menyerapkan unsur-unsur jenaka dan adakalanya berjaya menyentap emosi penonton. Rancangan yang bagus tidak banyak sedikit berjaya mendidik masyarakat bukan sekadar hiburan. Itu pandangan saya.
Konsep Hari Raya dalam Rumah Terbuka Akademi Fantasia lebih bersifat santai dan sayang, jenakanya terlalu slapstick. Lawak yang dibuat-buat dan seakan memaksa penonton untuk ketawa adalah lawak Hikayat Hang Setia terbitan RTM beberapa tahun dahulu. Rasanya lawak sedemikian sudah tidak sesuai dengan peredaran zaman.
Lakonan
Memandangkan rancangan ini dibuat bertujuan sebagai hiburan kepada penonton sempena Hari Raya, maka komedi adalah yang sesuai untuk dijadikan tunjang utama rancangan ini. Tetapi komedi yang bagaimana ? Itu yang menjadi persoalan. Adakala, komedi yang berlebihan menjadi terlalu slapstik umpama menonton Hikayat Hang Setia terbitan RTM berpuluh tahun yang dulu. Oleh itu di mana ilmu yang telah diajar kepada mereka ?
Penampilan Pengacara AF iaitu Aznil Haji Nawawi sebagai Pak Nil memang cemerlang. Beliau bijak mengawal keadaan dengan lakonan bersahajanya. Pengalaman pasti memberi sedikit kelebihan kepada beliau. Pelakon lain yang wajar diberi pujian ialah Nija yang bersifat selamba dalam kebanyakan adegan. Lakonan Atie walaupun mendapat pujian banyak pihak masih kelihatan kaku dan dibuat-buat. Solekan yang digunakan untuk Atie nampak kena dengan penampilannya. Posture tubuh Atie tidak konsisten. Sekejap bongkok dan sekejap elok pergerakannya. Stamina beliau sebagai seorang pelakon perlu dijaga agar tidak mengah di pentas lalu hilang konsistensi pada watak. Lakonan Adi kelihatan natural walaupun adakalanya kelihatan sedikit over-act. Beliau seharusnya memikirkan untuk terus menceburi bidang lakonan sekiranya diberi watak yang sesuai dengannya.
Lakonan Khai dan Rosma terlalu berlebihan dan mengada-ngada sifatnya. Pelakon lain yang perlu saya beri perhatian ialah Azizi. Lakonan Azizi sebagai budak jahat tidak menjadi. Ini kali kedua beliau diberikan peranan jahat. Pertama sewaktu Drama Merdeka ERA bila mana beliau diberikan peranan sebagai komunis. Apakah tujuan dan objektif mereka memberikan watak-watak jahat yang memerlukan perlakuan ganas yang jauh beza dengan penampilan sebenar beliau kepada Azizi tidak dapat saya ketahui.
Dipermudahkan cerita, tanpa Aznil, tidak ada seorang graduan AF pun yang mampu mencipta lawak spontan.
Rekaan Set
Pertama kali melihat rekaan set yang ada di dalam studio, hati saya bertanya adakah tenaga produksi ASTRO menyelongkar stor RTM untuk mendapatkan set sedemikian. Saya merasakan rekaan set dibuat terlalu berlebihan. Ada diantara props yang ada di pentas tidak digunakan sepenuhnya dan sekadar menyesakkan pentas. Saya masih ingat lagi ilmu yang diberikan oleh Puan Fatimah Abu Bakar tentang bagaimana perlunya menggunakan props yang ada di atas pentas tatkala Azizi menjadikan Liza patung tidak bernyawa sewaktu mendendangkan lagu Gerimis Mengundang. Aznil sendiri turut menyindir yang kemunculan patung Liza ditaja oleh Kamdar.
Suasana kampung yang cuba ditonjolkan lebih kepada suasana Kampung Baru di Kuala Lumpur dan bukannya kampung yang sebenar-benar kampung. Tetapi sedikit sebanyak suasana kampung itu timbul juga dengan props sangkar ayam, adegan mengacau dodol dan memasang panjut.
Tatacahaya
Saya wajar memuji rekaan tatacahaya yang dibuat untuk RTAF. Ada perbezaan pada kesan penggunaannya. Lampu yang digunakan untuk realism dan absurdism sangat berbeza. Teknik lampu yang digunakan untuk menggambarkan kesan realism pada adegan utama yang melibatkan aspek lakonan pentas. Manakala teknik absurdism digunakan apabila pelakon menyanyi. Penggunaan teknik ini adalah untuk membezakan antara dua alam tersebut yang saya sifatkan satu yang amat membanggakan.
Lagu Raya
Hampir kesemua lagu dalam album Salam Raya didendangkan semula oleh mereka dengan beberapa perubahan kecil untuk disesuaikan dengan watak dan penceritaan skrip RTAF. Rosma dan Khai dilihat cuba mendominasi nyanyian Liza dan Azizi walaupun lagu berkenaan adalah nyanyian mereka. Perkara yang sama berlaku untuk lagu Cahaya Aidil Fitri yang didendangkan secara beramai-ramai oleh graduan lelaki AF. Lagu Dendang Perantau didendangkan oleh Sahri dengan bersahaja. Aksi paling menarik serta persembahan yang paling cemerlang tentulah nyanyian finale oleh semua yang terlibat untuk lagu Di Pagi Raya. Aksi Aznil amat menghiburkan.
Memetik kata seorang sahabat, “Sebagai hiburan ringan, saya boleh mengabaikan semua kekurangan. Selepas ni mungkin boleh membuang ide ide stereotaip jika ingin terus memancing peminat. Mungkin peminat fanatik boleh menerima hiburan ini, tetapi pihak ASTRO harus pandai untuk tidak terikut ikut gaya Senario yang semakin ketandusan idea.”
Saya masih merasakan Rumah Terbuka Tan Sri SM Salim sebagai produksi Rumah Terbuka yang terbaik pernah ASTRO terbitkan.
Rating: 2/5 bintang
0 komen