Undilah

SULTANMUZAFFAR (26 Februari 2002 - sekarang)

Seorang blogger, pelayar internet, penyelam scuba dan penagih tegar televisyen dan Wii. Melihat seluruh dunia di laman blog menerusi kamera DSLR dan kacamata tebalnya (kadang-kadang kanta lekap).

Mengkritik tidak bererti menentang, menyetujui tidak semestinya menyokong, menegur tidak bermakna membenci, dan berbeza pendapat adalah kawan berfikir yang baik.

Baru-baru ini saya berkesempatan untuk ke Central Market Annexe untuk satu festival yang dinamakan Kuala Lumpur Alternative Book 2008.

KLB 2008 merupakan lokasi di mana penggemar buku, penganalisis politik, pembikin filem dan peminat seni bertemu.

Pelbagai penerbit buku berkumpul memperagakan produk mereka seperti SIRD, Silverfish Books, Gerak Budaya, Matahari Books, Suara-Suara, KINIBooks dan banyak lagi.

Antara buku yang telah dilancarkan di festival tersebut ialah "SELAK", buku bergambar BERSIH, buku koleksi pemenang Hadiah Penulisan Skrip "KAKISENI", koleksi AWEKS KL dan buku bertajuk "Religion Under Siege".

Saya hadir tentunya untuk pelancaran buku bergambar BERSIH yang telah disempurnakan oleh Haris Ibrahim, penulis blog The People's Parliament. Turut hadir di majlis pelancaran tersebut ialah Ahli Parlimen Bukit Bendera, Liew Chin Tong dan Presiden MTUC, Syed Shahir.


Malaysia mengalami pelbagai pergolakan sosial, ekonomi dan politik sejak pilihan raya ke 11 pada tahun 2004 dan kebanyakan daripada aktiviti tersebut yang melibatkan masyarakat sivil tidak didokumentasikan sebagai sebahagian daripada sejarah moden Malaysia.


BERSIH, gabungan yang mengandungi 71 pertubuhan badan-badan bukan kerajaan (NGO) dan parti-parti politik bersependapat bahawa sebuah reformasi dalam sistem pilihan raya diperlukan dalam mengembalikan demokrasi di negara ini.

Dokumen-dokumen sepanjang BERSIH ditubuhkan ini perlu didedahkan kepada pengetahuan lebih ramai dan memberi kesedaran mengenai kepincangan sistem pilihan raya yang berlaku sekarang.

Buku yang mengandungi 90 peratus gambar asli diambil oleh jurugambar profesional dan amatur. Ribuan gambar dikumpul, disusun rapi dan dipilih agar dipersembahkan dalam satu buku.

Mengandungi empat bahagian yang menceritakan keseluruhan sejarah perjuangan BERSIH, fokus utama SELAK ialah acara perhimpunan kemuncak BERSIH yang berlangsung pada 10 November bila mana ribuan rakyat turun ke ibu negara bersama-sama menyatakan ketidakpuasan hati terhadap Suruhanjaya Pilihan Raya dengan berarak beramai-ramai menghantar memorandum kepada DYMM Agong di Istana Negara.

Nama SELAK digunapakai sebagai judul kerana sifatnya yang lebih santai sungguh pun isinya berat. Buku tersebut ditulis dalam dwi-bahasa kerana permintaan yang banyak dari kalangan komuniti antarabangsa yang ingin tahu perkembangan sejarah Malaysia dari sumber sebenar.

Saya tertarik dengan kenyataan Haris Ibrahim yang menggambarkan gelombang rakyat pada hari tersebut sememangnya sukar untuk diterjemahkan ke dalam sebuah buku. Semangatnya benar-benar berbeza. Lebih berbeza apabila berada di lokasi itu sendiri untuk merasai semangatnya. Dihujani air pancutan dari jentera FRU dan bercampur air hujan pastinya menyakitkan berbanding sekadar membaca buku ini ruang tamu rumah.

Jika anda ingin membeli buku tersebut secara online bolehlah melayari http://tokobuku.fotopages.com.

Turut mendapat tumpuan ialah bazar jualan hasil seni yang dihasilkan penggiat seni bebas seperti lukisan, foto, kemeja-T, arca mini, koleksi muzik dan filem.

Acara yang paling ditunggu-tunggu pastinya syarahan oleh Prof. Dr. Farish A.Noor, Felo Kanan dari Universiti Teknologi Nanyang, Singapura.

Beliau yang menyampaikan syarahan bertajuk "The Lost Tribes of Malaysia" selama lebih satu jam menarik minat tetamu untuk mendengar sehingga tamat.

Saya tertarik dengan gaya beliau melihat ke belakang sejarah dan menyelongkar sisi hitam sejarah yang selama ini sudah sebati dengan kita tetapi sebenarnya sebatian itulah sebenarnya penjajahan yang masih lagi berlaku di bumi Malaysia yang sudah merdeka sejak 50 tahun yang lalu.

Tanpa kita sedar, sebenarnya kita masih dijajah dengan rutin-rutin harian yang bersifat penjajah. Tetapi kita melupakan yang diri kita masih dijajah kerana ia sudah sebati dengan kita.

Melihat ke belakang, bagaimana Inggeris mengklasifikasikan setiap bangsa di lokasi-lokasi tertentu. Melayu di kampung, Cina di bandar dan India di estet. Dan kita setelah merdeka menggunakan cara yang sama meletakkan potret kaum-kaum di Sabah dan Sarawak bercawat sambil memegang senjata di poskad-poskad Kementerian Pelancongan. Cuba lihat balik, betul atau tidak ?

Kenapa penjajahan minda British itu masih melekat dalam kerajaan yang telah merdeka dalam usaha untuk membina satu Bangsa Malaysia ?

Festival KLAB 2008 diadakan sempena Hari Kebebasan Media Sedunia yang jatuh pada 3 Mei lepas dan dianjurkan oleh Centre Of Independent Journalism.

Related Posts with Thumbnails

www.gua.com.my

sultanmuzaffar - entertainment blogger