Acara Puisi Keliling (APuKe)
Walaupun dikatakan Acara Baca Puisi Keliling (APukE - berhati-hati dengan sebutan e) agak baru dan hanya teman-teman penganjur yang sering menyertai, malam kelmarin jelas kelihatan sambutan yang agak memberangsangkan. Kehadiran orang agak ramai sehingga suhu di dalam 'mini dewan' yang pada mulanya dingin perlahan-lahan menjadi hangat.
Kebiasaannya atau boleh dikatakan adat, sekiranya ada majlis di tempat majlis haruslah berada dalam keadaan 'menerima' kedatangan tetamu tetapi berlaku sebaliknya dimana ada peminat yang hampir-hampir berpatah balik kerana keadaan yang agak gelap gelita. Bayangkan rumah kampung yang hanya tinggal atuk dan nenek sahaja, dimana seawal jam 9 malam rumah sudah gelap dan sunyi. Seolah-olah hendak menyembunyikan sesuatu atau tidak mahu memberitahu ada keraian atau keramaian yang sedang dianjurkan. Atau mungkin terdapat tetamu yang boleh diklasifikasikan sebagai 'highly political icon'. Ini hanya sekadar melontarkan persoalan.
Jadual acara menyatakan, pada mulanya orang ramai akan mendengar dendangan puisi pada pukul 8.30pm. Seperti yang dijangka, apabila majoriti yang terlibat dan penganjurnya adalah sebangsa (meminjam istilah salah seorang pemuisi), masa yang dijanjikan untuk acara dimulakan agak lewat. 'Kita hanya bersantai, bukannya acara formal' , mungkin itulah alasan yang cukup realistik dijamukan kepada hadirin. Adakah ia satu tradisi, warisan atau amalan???
Acara seperti ini harus diberi sokongan dan 'platform' untuk pejuang/penggiat melahirkan idea atau melontarkan apa yang terlintas diminda, dimana kebebasan suara yang dilacurkan oleh 'pendidik bangsa' kita tidak dapat kita manipulasikan dengan maksimum. Dalam acara begini, kita bebas melakukan eksperimen ke atas idea yang hendak disampaikan, tiada sekatan tetapi hendaklah bersandarkan kepada ilmu-ilmu seni persembahan dan fakta yang relevan. Laras kata puisi disusun halus dan keras membawa pemikiran baru, mampu menggoncang peradaban dunia seperti yang berlaku pada peradaban Barat yang cenderung kepada gerajawi.
Ada pendeklamasi yang menghidangkan cerita "Kuala Lumpur Dilanda Hujan Yang Terlampau", kisah mereka sewaktu dalam perjalanan yang tidak sampai-sampai ke Pertama Complex. Sang highly political icon menceritakan pengalaman jenakanya tentang perjalanan hidupnya dua tahun dahulu dan mendeklamasikan beberapa buah sajak.
AGE menjamukan hadirin dengan sebuah Deklamasi Lakon atau DEKON bertajuk CAKAP. Isu yang cuba dijanakan pada pemikiran khalayak sebenarnya adalah kelakuan seharian manusia dan lebih menekankan kepada konsep 'PLAN, DO, CHECK, ACTION' (PDCA Cycle). Kedapatan pada segelintir sanggar hanya pada 'PLAN' sahaja. Pahat berbunyi, rumah tak siap. Peran bagi aksi lakon, Fayno, Midi dan Shahafeez bermain dengan aksi bersahaja, lebih kepada improvisasi terutama Midi yang sekali-sekala tutur katanya mencuit hati dan minda khalayak. Walaupun diakui kurangnya latihan sebelum persembahan, skrip masih ditangan pemain, tidak menjejaskan aliran cerita dan berjaya memuntahkan setiap butiran kelakuan manusia yang terdapat dalam 'DEKON - CAKAP' tersebut.
Acara APukE pada bulan depan akan disertai oleh Unit Muzik AGE yang akan cuba menjamukan khalayak dengan dendangan, alunan dan irama muzik yang lebih 'puitis'.
Adakah ia satu TRADISI atau WARISAN?
0 komen