Akademi Fantasia Isnin 23 Jun 2003
Semalam hari pertama mereka di Akademi setelah ketiadaan Azza. Azza gadis pemalu dan rajin itu telah disingkirkan pada Konsert II yang berlangsung Sabtu lepas. Suasana Akademi masih seperti biasa. Ceria. Walaupun ada ketikanya Encik Baha, warden mereka dengan sengaja menyebut-nyebut nama Azza dengan tujuan untuk menimbulkan mood kesedihan mereka tetapi tiada kesedihan wujud dalam diri masing-masing. Jika ada pun yang dibuat-buat. Nana lebih sibuk berbual atau "bercinta" dengan Burn. Ketiadaan Azza sebenarnya tiada meninggalkan kesan ke atas dirinya. Dalam rancangan Imbasan Akademi Fantasia Ahad lalu, Azza ditemuramah oleh Seelan Paul. Azza sebagai seorang Melayu masih menyembunyikan apa yang tersirat di dalam hatinya. Beliau tidak berterus terang tentang apa yang berlaku di Akademi. Siapa yang rajin mengemas, siapa yang pemalas masih disembunyikan. Itu typical Melayu yang bersifat pemaaf. Sepatutnya Azza wajar mencontohi sifat Christie di dalam siri Survivor Amazon yang mana beliau dengan lantang menyatakan ketidakpuashatiannya tentang Jenna dan Heidi sewaktu ucapan selamat tinggalnya selepas diundi keluar. Namun begitu, ketidakpuashatian Azza terhadap Nana diluahkan apabila Seelan Paul bertanya siapakan yang dipilih oleh Azza untuk muncul sebagai Top 5. Azza menjawab Rosma, Khai, Sahri, Atie dan Vince, dan meninggalkan nama Nana walaupun Nana di antara yang top di kalangan peserta tersebut.
Lagu baru
Minggu ini akan menyaksikan beberapa pelajar terkejut apabila menerima lagu baru. Atie contohnya maha terkejut apabila menerima sebuah lagu Inggeris nyanyian Vanessa Williams. Adi pula menerima lagu Biru nyanyian Jai. Sebagai cadangan untuk memantapkan lagi persembahannya, Adi perlu bermain gitar secara live supaya kebolehannya terserlah dan dalam pada itu tidak mengetepikan mutu vokalnya. Vince sekali lagi bernasib baik apabila menerima sebuah lagu nyanyian Innuendo iaitu Belaian Jiwa. Sekali lagi keupayaan vokalnya tidak diuji pada minggu ini. Rosma menerima lagu Bunga Tanjung nyanyian asal Datuk Sharifah Aini. Keupayaan vokal Rosma akan teruji apabila membawakan lagu irama Malaysia ini. Yang pastinya mata sudah pasti tertumpu kepada Sahri. Beliau akan membawakan lagu Salsabila nyanyian asal Yassin. Lagu irama etnik Arab ini sudah pasti menguji keupayaannya membawakan lagu berentak etnik. Jika Sahri berjaya membawakan lagu ini, beliau sudah membuktikan sebagai penghibur serba boleh yang mampu membawa pelbagai jenis rentak lagu. Yang hanya perlu dilakukan selepas itu hanyalah menguruskan badan. Khai terpilih untuk membawakan lagu Jesnita sebuah lagu bernada rendah yang amat sukar dibawakan.
Nana dan Burn
Saya masih tidak faham kenapa perlu disensasikan kisah mereka. Semalam shot adegan mereka agak lama dan Burn masih tidak faham-faham dengan teguran Pengetua Akademi. Shot dilakukan sewaktu Nana sedang membasuh pinggan mangkuk. Adakah ini untuk membuktikan bahawa Nana bukanlah seorang pemalas dan sekaligus imej Azza sebagai seorang yang rajin terhakis ?
Khai dan Nemo
Khai mendapati Nemo tidak berapa sihat. Beliau meminta Encik Baha membawa Nemo ke klinik. Khai banyak menyendiri semalam. Shot dia menyendiri dengan tidur di sofa sengaja dipaparkan semalam.
Roda Impian
Sewaktu mereka sedang bermain Roda Impian, pengacara Hani Mohsin datang melawat mereka secara mengejut. Hani menasihatkan mereka agar tidak merasa rendah diri dengan kekurangan yang ada pada diri masing-masing.
0 komen