Undilah

SULTANMUZAFFAR (26 Februari 2002 - sekarang)

Seorang blogger, pelayar internet, penyelam scuba dan penagih tegar televisyen dan Wii. Melihat seluruh dunia di laman blog menerusi kamera DSLR dan kacamata tebalnya (kadang-kadang kanta lekap).

Mengkritik tidak bererti menentang, menyetujui tidak semestinya menyokong, menegur tidak bermakna membenci, dan berbeza pendapat adalah kawan berfikir yang baik.
Entri oleh sultanmuzaffar 06 April 2006

Sinar “Bintang” di AIM 13

Untuk AIM 13 atau untuk fun-fair ?

Sinar “bintang” di AIM kembali lagi pada 29 April ini di Dewan Merdeka PWTC Kuala Lumpur. Antara artis yang bakal membuat persembahan terdiri daripada Adibah Noor, Ahli Fiqir, Akbar, Brothers, Dayang Nurfaizah, Dina, Elyana, Jaclyn Victor, Jamal Abdillah, Jason Lo, M.Nasir, Ridzuan, Shanon, Sharifah Zarina, V.E., Waheeda dan Zoul.

Manakala Penyampai anugerah terdiri daripada Ajai, Amy Mastura, Etty Farhana, Farah Fauzana, Jatt, Juliana Banos, Khadeeja, Nash, Ning Baizura, Nurul, Rina Omar, Sarimah Ibrahim, Siti Sarah dan Siti Nurhaliza.

Apa yang boleh saya simpulkan, AIM 13 hilang serinya. Sinar bintang yang bergemerlapan pada setiap kali AIM semakin pudar.

Artis gred A yang akan membuat persembahan hanyalah M.Nasir. Selain daripada itu, artis yang paling menyerlah dan agak senior ialah Jamal Abdillah dan Dayang Nurfaizah. Artis yang lain ialah sekadar artis gred B, C atau D.

Siti Nurhaliza hanya layak menjadi penyampai anugerah pada tahun ini. Cuma diharapkan beliau bukan menjadi penyampai untuk kategori Persembahan Vokal Terbaik Di Dalam Album (Wanita). Paling tidak beliau menyampaikan anugerah Album Terbaik.

Artis di bawah naungan Maestro tidak langsung kelihatan dalam senarai penyampai atau artis yang membuat persembahan berbanding tahun lepas. Tahun lepas mungkin sekadar terpaksa kerana semua artis yang tercalon dalam kategori Artis Harapan datang dari program Akademi Fantasia. Ini termasuklah untuk artis yang telah memenangi Anugerah Bintang Popular. Buruk atau baiknya, Mawi tetap merupakan salah seorang artis yang pernah menerima anugerah Bintang Paling Popular dan beliau wajar diberikan peluang untuk beraksi di AIM 13.

Bila kali terakhir Dayang Nurfaizah dapat beraksi di pentas AIM ? Empat tahun yang lalu dengan lagu Seandainya Masih Ada Cinta ? Ya ! Dayang memerlukan masa empat tahun untuk kembali semula ke pentas AIM. Sebaliknya yang berlaku ke atas Dina dan Jaclyn Victor yang berpeluang untuk beraksi dua tahun berturut-turut.

Star value di AIM semakin pudar apabila nama seperti Akbar, Etty Farhana, Farah Fauzana, Rina Omar dan Zoul tersenarai kali ini. Siapa Akbar ? Ada yang kenal ? Siapa Etty Farhana ? Farah Fauzana dan Rina Omar muncul atas tiket Media Prima melalui HotFM dan 8TV. Ini termasuklah dua bintang realiti tv ciptaan Malaysian Idol. Jika difikirkan balik, apa salahnya kerana ini projek mereka. Sama juga apabila personaliti ASTRO tersenarai sebagai penyampai untuk Anugerah ERA dan Anugerah Planet Muzik.

Antara artis yang baru melancarkan albumnya tetapi tidak dapat beraksi di AIM ialah seperti Sheila Majid. Baru sahaja tampil dengan album baru iaitu Sheila Majid XVXX Legenda, beliau sewajarnya diberikan satu segmen khas penampilannya setelah dua dekad berada di dalam industri muzik tempatan. Pelbagai trofi AIM juga pernah menjadi milik beliau dan pasukannya. Ini termasuklah Lagu Terbaik, Album Pop Terbaik, Susunan Muzik Di Dalam Lagu Terbaik dan Persembahan Vokal Terbaik Di Dalam Album (Wanita). Beliau seharusnya diberikan peluang tersebut kerana album Legenda adalah album nostalgia yang mempunyai nilai legenda.

Antara persembahan yang saya ingin tonton pada malam AIM ialah dari Adibah Noor, Dayang Nurfaizah, Jaclyn Victor, M.Nasir, Ridzuan, Shanon dan V.E. Persembahan artis lain adalah sangat tidak perlu dan sekadar mencukupkan syarat. Ridzuan sudah pasti akan menampilkan persembahan vokal yang memukau jika vokal langsungnya adalah sama seperti di dalam album. Shanon boleh menjadikan AIM sebagai platform untuk khalayak muzik tempatan sedar akan kewujudannya. Jika tidak, nasibnya akan pasti menjadi sama seperti Adibah Noor. Jaclyn Victor, cukup-cukuplah dengan lagu Gemilang. Bawalah lagu lain selain Gemilang pada malam itu. Adakah lagu lain yang bagus di dalam album tersebut ? M.Nasir sudah pasti akan mempromosikan lagu barunya nanti.

Apakah AIM tanpa nilai bintang yang layak dipanggil bintang ?

AIM 13 : Sebuah Lagi Projek Mega Media Prima !

Kredit Foto : Utusan Malaysia

Related Posts with Thumbnails

www.gua.com.my

sultanmuzaffar - entertainment blogger