Diari Akademi Fantasia Minggu 10 Episod 09
Sheila Majid !! Terkasima !
Diari Akademi Fantasia Finale
Ulasan ini ditulis sambil diiringi dengan lagu Untuk Terakhir Kali dendangan Siti Nurhaliza. Ada seribu satu macam kenangan yang berlaku dari dalam banglo Akademi Fantasia. Pelbagai kenangan itu dapat kita saksikan baik melalui Diari atau pun Diari Extended. Itulah bezanya antara Akademi Fantasia 1 dan 2 dengan Akademi Fantasia 3. Hubungan penonton dengan pelajar amat dekat dengan adanya teknologi tersebut. Kitalah yang sebenarnya mengenali mereka dengan begitu dekat. Kita jugalah yang memberikan komen yang adakalanya tidak enak didengar. Tetapi itulah Akademi Fantasia. Emosinya semacam terlekat dengan penonton. Ikatannya amat kuat.
Telinga kita seperti pembesar suara yang tersemat di baju para pelajar. Mata kita seperti 12 kamera yang terpasang di dalam Akademi. Setiap pergerakan dan percakapan pelajar kita teliti. Setiap kebaikan mereka kita serlahkan. Setiap keburukan mereka juga kita bongkarkan. Itulah kita selama 10 minggu yang lalu.
Mulai Ahad depan mereka bakal mengharungi sebuah lagi cabaran. Cabaran yang lebih hebat telah pun menanti di hadapan mereka. Setiap cabaran perlu diharungi dengan semangat jati diri yang tinggi. Jika dibandingkan cabaran mereka menerima lagu-lagu sukar di Akademi Fantasia, mahu pun cabaran-cabaran dipulau rakan-rakan atau pun cabaran menerima kejutan-kejutan yang di luar dugaan adalah tidak seberapa jika ingin dibandingkan dengan cabaran sebagai seorang artis di luar sana.
Selangkah mereka menapak ke luar dari Akademi Fantasia, seribu macam dugaan menanti. Di situlah realiti. Di situlah sesuatu yang pasti. Selama ini kita hanya disogokkan dengan sesuatu fantasi yang menjadi mainan emosi setiap dari kita. Selangkah itulah bermulanya segala realiti. Puncakkah yang berjaya didaki ataupun lurah kontroversi yang sering mengelilingi diri. Tiada siapa yang menentukan destinasi hidup mereka di luar sana kecuali iltizam mereka. Saban hari selama sepuluh minggu, jalan hidup mereka kita tentukan, corak jenaka yang kita dengar juga kita rencanakan, maka kini tiba giliran mereka untuk menentukan jalan mereka sendiri. Nasib yang menyebelahi mereka sama ada baik atau buruk bakal diredah. Apabila sudah berada di puncak, jangan mudah lupa diri. Itu antara nasihat Dr. Azahari, Pakar Motivasi Akademi Fantasia.
Anda rindukan kekecohan di Bilik Aktifkan ? Anda rindukan gelak tawa mereka di Meja Makan ? Anda rindukan kelincahan mereka di Dewan Tarian ? Anda rindukan kegigihan mereka di Bilik Latihan Vokal ? Kini semuanya sunyi sepi. Yang tinggal hanya kenangan yang mereka tinggalkan buat kita.
Latihan Akhir
Bersediakah Mawi untuk menghadapi gelombang yang beliau telah cetuskan sejak 10 minggu dahulu ? Mampukah gelombang itu membawa satu impak besar kepada industri muzik tempatan ? Mawi nampak selesa dengan lagu Aduh Saleha. Keyakinannya jelas tinggi dalam lagu tersebut. Sudah cukup emosinya ? Kerana terlalu selesa dalam lagunya, nampak beliau begitu bersahaja. Menurut Cikgu Fatimah, lagu ini memintanya menangis untuk lebih mendapat feel tersebut. Mawi belum dapat menceritakan kesengsaraannya melalui lirik lagu tersebut.
Mampukah Marsha membawakan lagu Untuk Terakhir Kali dengan baik ? Sesudah beberapa minggu saya meneliti persembahan Marsha, nampaknya minggu ini saya melihat persembahannya terlalu kejang. Postur badannya terlalu keras dan seperti terlalu menekan untuk menghasilkan lontaran vokal yang baik. M.Nasir turut berbicara tentang perkara yang sama apabila melihat komposisi tubuh Marsha yang terlalu keras untuk cuba menyampaikan lagunya. Marsha perlu lebih bersahaja dan menyampaikan lagunya dengan penuh emosi. Adakalanya pergerakan tubuhnya boleh dibahasakan serta memberikan makna-makna serta konotasi kesedihan yang tidak disampaikan melalui lirik lagu tetapi pergerakan tubuhnya. Cikgu Marlis memperbetulkan caranya berdiri agar nampak lebih berkeyakinan dan cantik di atas pentas.
Amylea antara pelajar yang mendapat lagu yang kurang menyerlah pada minggu terakhir ini. Lagunya sehingga sekarang masih belum dapat meresap ke dalam diri saya. Apakah kejutan yang bakal ditampilkan oleh Amylea ? Apakah beliau akan tampil dengan sebuah persembahan stereotype yang tidak banyak bezanya dengan minggu-minggu yang lepas. Rasa dari lagu tersebut kurang sampai kepada penonton.Amylea harus bijak menarik perhatian penonton untuk dikumpulkan emosi-emosi mereka ke dalam lagunya. Tarikan dari lirik lagu perlu beliau lakukan dan sedikit demi sedikit emosi penonton akan terserap ke dalam lagu tersebut.
Apa sudah jadi dengan Felix ? Terlalu yakin ? Atau hilang fokus ? Masalah lupa lirik ini merupakan masalah yang sewajarnya dibuang sejak minggu pertama lagi. Felix terlalu tertekan untuk menjadi Juara ? Apa yang beliau persembahkan turut diiringi dengan rasa tekanan yang amat menekan. Felix harus menumpukan sepenuh perhatiannya kepada lagu tersebut. Lagu itu senang untuk dihafal liriknya tetapi masih juga boleh dilupakan oleh Felix. Ini minggu yang terakhir, sebarang kesilapan boleh mengundang bencana.
Pesanan Pelajar
Marsha seboleh-bolehnya mahu enjoy pada hari-hari terakhir di Akademi Fantasia. Felix pula merasa sedih dan agak sukar bagi beliau melupakan kenangan tersebut. Amylea juga sedih tetapi perlu mengawal kesedihannya. Mawi gembira dan tidak sangka dapat beraksi di Konsert Akhir. Tidak semua orang mendapat pengalaman tersebut dan beliau merasa amat bertuah kerana dapat mempelajari sesuatu untuk melengkapkan dirinya untuk menjadi seorang penghibur.
Apa kata Tenaga Pengajar ?
Cikgu Siti Hajar merasa kecewa kerana ada pelajar yang tidak dapat memahami teknik yang telah mereka pelajari. Tidak nampak usaha yang mereka lakukan untuk memperbaiki kekurangan tersebut terutamanya teknik pernafasan. Beliau turut menganggap usahanya gagal kerana setiap pelajar tetap kembali kepada kebiasaannya. Pemikiran mereka masih tidak berjaya mengubah cara-cara lama yang telah dipraktikkan sebelum ini. Ada yang bertanya apa pentingnya teknik sekiranya vokal sudah sedap. Saya hanya mampu tersenyum. Selama hari ini apa yang kita dengar hanyalah sebuah lagu dari mereka. Paling tidak dua buah lagu yang perlu mereka nyanyikan. Tanpa teknik yang betul adalah mustahil untuk mereka menyanyikan rangkaian puluhan buah lagu secara sekaligus dalam sesebuah konsert. Tanpa teknik yang betul juga, mereka tidak akan mampu menahan diri mereka untuk terus bertahan sehingga akhir konsert. Siti Nurhaliza mempunyai vokal yang bagus, tetapi tanpa teknik yang betul Siti Nurhaliza tidak akan mampu membawakan 30 buah lagu dalam sebuah konsert berdurasi tiga jam. Itulah pentingnya teknik. Baik teknik nyanyian, teknik pernafasan dan segala macam teknik yang ada. Rasa ralat kerana saya perlu menerangkan kepada pembaca makna teknik pada hari terakhir minggu ke sepuluh.
Cikgu Linda Jasmine akan merindui saat-saat bersama mereka dan mengucapkan good luck kepada para pelajarnya. Manakala Dr. Azahari berasa amat yakin mereka boleh melakukannya. Semangat-semangat mereka amat tinggi untuk melakukan yang terbaik dari mereka.
Cikgu Adnan Abu Hassan merasakan pertemuan mereka di dalam Akademi Fantasia tentunya tidak sama setelah bertemu mereka sebagai artis di luar sana kelak. Beliau mengucapkan selamat berjaya dan yakin mereka mampu untuk menyerlah dengan lebih baik pada konsert akhir esok.
Cikgu Marlia tidak dapat mengawal emosinya kerana seperti kita beliau juga semacam sudah terikat emosinya dengan para pelajar di situ. Beliau yang pernah menjawat jawatan sebagai pensyarah di luar tentulah tidak sama dengan kerjayanya di dalam Akademi Fantasia. Tanggungjawabnya amat berat terutamanya apabila bekerja dengan anak-anak.
Cikgu Fatimah menyarankan agar budaya kasih sayang yang diterapkan dari Akademi Fantasia akan terus subur di luar sana. Budaya kutuk-mengutuk dan benci membenci harus dibuang dan ia mulai disemai oleh Akademi Fantasia.
Pengetua M.Nasir semacam sudah bersedia untuk berhadapan dengan masyarakat luar terutamanya para pemerhati yang melihat hasil kerja beliau di dalam Akademi Fantasia. Seakan menjawab persoalan pertama yang berlegar di dalam kepala setiap orang luar apakah beliau merasa kecewa setelah 10 minggu menjadi Pengetua Akademi Fantasia dan jawapannya tidak sama sekali. Beliau merasa bertuah kerana berada di sini. Harapan akan ada bermacam-macam harapan. Setiap orang boleh mengharapkan sesuatu dari hasilnya. Secara individu, beliau akan terus berada di dalam industri muzik tempatan. Manakala mereka baru bermula dan segalanya terbuka luas untuk bintang yang telah beliau ciptakan.
Kenangan bersama Elliza, Fuad, Idayu, Reza, Amy, Aidil, Ekin, Akma, Kefli, Yazer, Marsha, Amylea, Mawi dan Felix tentunya sukar untuk kita lupakan. Pelbagai karenah pelajar di bawah satu bumbung yang menjadi tontonan kita saban malam hampir kepada penghujungnya. Setiap yang bermula pasti akan berakhir. Musim ini antara pelajar yang memberikan impak besar kepada saya ialah Fuad, Reza, Aidil, Akma, Marsha, Amylea, Mawi dan Felix. Setiap dari mereka ada cerita suka, ada cerita duka untuk dikongsi bersama.
Terima kasih di atas sokongan anda. Jumpa lagi di Akademi Fantasia 4 dalam situasi yang berbeza !
0 komen