Bakal Bintang SoccaStars Malaysia ?
Apakah dia SoccaStars Malaysia ? Bakal muncul seorang bintang baru dalam bidang bola sepak di Malaysia hasil program realiti tv terbaru dari Astro. Kehadiran saya di majlis tersebut adalah secara mengejut. Mulanya hanya bertujuan untuk menonton permainan futsal beberapa bintang AF yang telah menyerikan lagi majlis pelancaran tersebut.
Kalau dua tahun lepas, setelah sekian lama tidak menjejakkan kaki ke Zoo Negara tetapi kerana Akademi Fantasia, saya ke sana. Pada tahun ini, saya menjejakkan kaki ke SportsPlanet juga kerana Akademi Fantasia. Alang-alang kebosanan di rumah tidak bekerja, apa salahnya saya menghabiskan masa di SportsPlanet.
Bintang Hati SoccaStars Malaysia ?
Melihatkan perancangan yang telah dibuat, saya melihat program ini sebagai sebuah program yang turut membantu kerajaan mencapai hasratnya untuk melihat golongan belia menghabiskan masa ke arah yang positif. Dalam proses melahirkan bintang bola sepak bukan boleh dilakukan hanya dengan sekelip mata. Perancangan perlu diatur dengan teliti. Proses yang sama juga dilalui oleh Akademi Fantasia.
Sebagai sebuah acara sukan yang agak popular di Malaysia, bola sepak juga mampu menyatupadukan kaum yang ada di Malaysia. Melalui sukan, perbezaan bangsa bukan halangan. Populariti sukan bola sepak tempatan semakin menurun sejak akhir-akhir ini. Dengan adanya program sebegini diharapkan dapat menaikkan kembali nama Malaysia di peta bola sepak dunia. Menjadikan Akademi Fantasia sebagai model, SoccaStars Malaysia diharapkan mampu menarik golongan remaja untuk mendekati sukan tersebut. Sebelum wujudnya Akademi Fantasia, industri muzik hampir menemui penghujungnya. Penjualan album semakin naik dan industri muzik kembali hidup walaupun masih dibelenggu masalah cetak rompak dan sebagainya.
Beat TV & Bintang SoccaStars Malaysia !
Saya agak optimis, rancangan ini dapat mencipta satu kelainan kepada rancangan yang sedia ada. Walaupun konsep rancangan masih rahsia dan samara-samar tetapi bayangannya agak jelas. Antara yang menjadi perhatian tentulah Diari Kehidupan para pelatih yang akan dipaparkan. Konsepnya mungkin sama dengan Diari Akademi. Jika sebelumnya dipaparkan aktiviti latihan vokal, tarian dan seni persembahan, kini dengan SoccaStars Malaysia para penonton bakal dihidangkan dengan taktik permainan, latihan intensif serta strategi perlawanan.
Sekiranya rancangan mampu melahirkan seorang lagi Mawi dalam arena bola sepak yang mana kemunculannya sentiasa dinanti-nantikan serta mampu menarik golongan muda untuk mendekati sukan tersebut, tentunya hasrat kerajaan untuk menjadikan acara sukan ini lebih popular dan mendatangkan hasil akan menjadi kenyataan.
Sukan juga perlu diberikan perhatian yang sewajarnya selain daripada hiburan. Saya menantikan bintang baru yang bakal tercipta melalui program realiti tv ini.
Siaran Akhbar : Astro Mencari Bakat Baru Bola Sepak dengan SoccaStars Malaysia
Kuala Lumpur, 29 Ogos 2005:
Stesen televisyen satelit Astro, mengorak langkah permulaan, merintis usaha memupuk minat belia dalam bidang sukan bola sepak dengan menerbitkan SoccaStars Malaysia. Program ini memberi tumpuan kepada sukan bola sepak dengan objektif utama untuk mencari dan melahirkan pemain bola sepak yang berkebolehan. Bakat-bakat yang terpilih akan menerima latihan di sebuah Akademi yang bakal ditubuhkan dan salah seorang daripada mereka akan terus mara untuk mengikuti latihan di salah sebuah akademi kelab bola sepak berprestij di Eropah.
Majlis pelancaran SoccaStars Malaysia telah disempurnakan oleh YB Datuk Azalina Dato’ Othman Said, Menteri Belia dan Sukan Malaysia. Turut hadir di majlis tersebut adalah Azran Osman-Rani, Pengarah Bahagian Hal Ehwal Perniagaan, Astro dan Rozina Aziz, Ketua Program Melayu, Astro.
Sepak Mula oleh Datuk Azalina, Menteri Belia dan Sukan Malaysia
Azran berkata seramai 26 calon akan dipilih sebagai kumpulan aperantis pertama SoccaStars Malaysia yang akan disaring menerusi empat sesi ujian kelayakan yang akan diadakan pada tarikh dan di lokasi berikut:
- Sabtu, 10 September di Padang Sri Gelam, Johor Bahru, Johor
- Jumaat, 16 Sepetember Padang Kompleks Belia dan Sukan Bukit Besar, Kuala Terengganu, Terengganu
- Jumaat, 23 Sepetember, Stadium Sultan Abdul Halim, Alor Setar, Kedah
- Sabtu, 1 Oktober Kompleks Sukan PKNS, Kelana Jaya, Selangor
Mereka yang berminat perlu menghadiri sesi pendaftaran bermula pada pukul 9 pagi sehingga jam 12 tengahari. Ujian kelayakan SoccaStars Malaysia terbuka kepada semua lelaki warganegara Malaysia berusia 18 tahun ke atas.
SoccaStars Malaysia akan membantu aperantis terpilih ini mencapai impian untuk menjadi bintang bola sepak negara. Mereka akan ditempatkan di sebuah akademi yang bakal ditubuhkan di ibu negara dan akan menerima latihan, di antaranya taktik menguasai sukan bola sepak dari jurulatih-jurulatih berpengalaman. Sepanjang berada di Akademi, mereka harus menjalani ujian-ujian kelayakan serta program latihan yang intensif.
"Sebagai ganjaran, SoccaStars Malaysia akan menghantar dua orang pemain terbaik ke Eropah di mana hanya seorang daripada mereka akan dipilih untuk menerima latihan eksklusif dari sebuah akademi latihan di salah sebuah kelab bola sepak Eropah yang berprestij" terang Azran.
SoccaStars Malaysia diterbit berdasarkan konsep SoccaStars dari Ireland. Ianya adalah sebahagian daripada usaha Astro untuk membantu kerajaan melahirkan pemain-pemian bola sepak yang berbakat dan berpotensi untuk mengharumkan nama Malaysia di persada sukan antarabangsa.
Impian rakyat Malaysia menjadi SoccaStars Malaysia !
"Rakyat Malaysia memang dari dahulu lagi menggemari sukan bola sepak," kata Azran. "Program ini bukan sahaja bakal menepati citarasa mereka, malahan juga dapat memberi peluang kepada peminat-peminat bola untuk memahami teknik latihan yang dapat membantu mereka memahirkan diri menerusi pendedahan kepada kursus latihan yang bakal kami paparkan di kaca TV."
"Di samping itu, pengenalan program tersebut juga akan memperkukuhkan barisan rancangan yang kami sediakan di platform Astro, khasnya Astro RIA. Gabungan elemen latihan skil bola sepak serta paparan kehidupan harian peserta yang terpilih menggabungkan elemen sukan dan gaya kehidupan. Ianya memperluaskan pilihan genre rancangan dan sesuai pula untuk ditonton oleh seluruh keluarga. Kami menaruh harapan agar program tersebut akan turut diminati oleh para pelanggan kami. Mungkin di antara mereka akan lahir seorang bintang bola sepak terkemuka yang mendapat pendedahan skil bola sepak melalui program kami." Jelas Azran lagi.
Sebagai sebuah badan korporat yang prihatin, Astro terus memainkan peranan menggalakkan perkembangan sukan nasional. Tahun lalu, Astro telah terpilih sebagai "Penaja Utama Pasukan Malaysia ke Sukan Olimpik 2004 dan 2008" oleh Majlis Olimpik Malaysia (MOM). Di bawah perjanjian itu, Astro juga terpilih menjadi "Penaja Utama Kontinjen Malaysia ke Sukan SEA 2005 dan 2007" serta "Penaja Utama Kontinjen Malaysia ke Sukan Komanwel 2006".
Menjanjikan kepuasan kepada peminat sukan, Astro akan menyiarkan lebih banyak acara sukan bertaraf antarabangsa seperti Piala Dunia 2006 dari Jerman (9 Jun - 9 Julai 2006) dan Sukan Komanwel 2006 dari Melbourne (15 - 26 Mac 2006). Dengan operasi satelit terbaru MEASAT 3, Astro akan menambah 4 saluran sukan eksklusif seperti liputan sukan yang terbaik dan komprehensif.
0 komen